Yang Menang dan Yang Kalah di Sungai Limau


SUNGAI_LIMAU_BY-ELECTION_041113_TMINAJJUA_05_540_360_100

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Limau yang baru, Mohd Azam Abdul Samat ketika membuang undi semalam

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar adalah orang yang paling gembira ekoran kemenangan PAS di Sungai Limau manakala Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir pula adalah pihak paling terasa kesan kegagalan Barisan Nasional mengalahkan PAS semalam.

Sementara itu, badan penyelidik bebas Ilham Centre antara pihak yang sangat gembira dengan kemenangan ini ekoran jangkaan mereka menjelang pemilihan adalah tepat manakala Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin pula meleset apabila jangkaan beliau BN akan menang tersasar.

Berikut adalah pihak yang menang dan kalah dalam pilihan raya kecil Sungai Limau.

Yang menang

1) PAS

Sudah pasti pemimpin dan penyokong PAS di seluruh negara paling gembira dengan kemenangan ini. Sudah tentu mereka akan membuat pelbagai kenduri-kendara bagi meraikan kemenangan ini. Pilihan raya kecil ini juga berjaya meredakan ketegangan antara pucuk pimpinan mereka ekoran pemilihan pucuk kepimpinan parti yang akan berlaku 22 hingga 24 November ini.

2) Mahfuz Omar

Beliau menjadi individu yang paling gembira dengan kemenangan PAS kali ini. Beliau baru saja mengambil alih jawatannya ini daripada allahyarham Tan Sri Azizan Razak selepas pilihan raya umum lalu ketika Azizan mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang. Kemenangan ini bakal menjadi modal besar kepadanya yang akan berdepan dengan pemilihan parti kerana beliau akan mempertahankan jawatan naib presiden. Kalau sebelum ini beliau antara penyandang yang paling risau, kini beliau mempunyai harapan yang sangat cerah untuk menang.

3) Ustaz Azam

Mohd Azam Abdul Samat, 37 tahun, adalah Penolong Pengetua Sekelah Menengah Agama Bantuan Kerajaan An-Nahzah, Bukit Besar sebelum dipilih sebagai calon. Beliau tidak dikenali sebelum ini. Selepas menjadi wakil rakyat sudah tentu beliau mempunyai rutin yang berlainan selepas ini.

4) Ilham Centre

Ramalan yang dibuat oleh penyelidik bebas Ilham Centre bahawa PAS akan menang sekitar 53 – 55 peratus dalam pilihan raya ini menjadi kenyataan. Ilham mengulangi ketepatan ramalan menjelang pilihan rayanya yang dibuat sejak pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada 2008 lalu. Kerisauan jelas terbayang kepada Pengerusi Eksekutifnya, Mohamad Hisomuddin Bakar apabila berita awal menunjukkan BN menang. Namun selepas terbukti ia hanya perang saraf BN, Hisom antara yang menang dalam pilihan raya kecil ini.

5) Penduduk Sungai Limau

Mereka menang kerana berjaya mendapat wakil rakyat yang mereka mahukan di samping mendapat segala macam daripada kerajaan negeri Kedah dan kerajaan pusat menjelang pilihan raya lalu. Gula dijual dengan harga RM1 sekilo, beras 5kg hanya RM5 dan lain-lain lagi bantuan termasuk anak pokok mempelam, cermin mata, baja padi dan sebagainya.

Pihak yang kalah

1) Mukhriz Mahathir

Pihak yang paling terasa apabila BN kalah dalam pilhan raya kecil ini sudah tentulah Mukhriz. Ini kerana, ia kekalahan kedua selepas beliau gagal memenangi naib presiden Umno dalam pemilihannya baru-baru ini. Mukhriz adalah orang yang paling kuat bekerja untuk mempastikan kemenangan calon BN kali ini. Beliau berada di Sungai Limau siang dan malam untuk memastikan jentera BN berjalan lancar. Di saat-saat akhir beliau membawa turun ayahandanya Tun Dr Mahathir Mohamad, namun pengundi Sungai Limau tetap menolak BN.

2) Umno

Umno sudah tentu paling terasa apabila calonnya tewas dalam pilihan raya kecil ini. Ini kerana pertembungan di Sungai Limau adalah antara Umno dan musuh tradisinya PAS bukan antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Kekalahan ini bererti kegagalan untuk Umno memecahkan kubu PAS di Sungai Limau padahal dalam pilihan raya umum lalu Umno berjaya menang di Parlimen Jerai dan dua lagi DUN di bawah Parlimen Jerai.

3) Dr Ahmad Sohaimi

Sudah tentu pihak yang terasa kecewa dengan kekalahan ini adalah calon BN sendiri Dr Ahmad Sohaimi Lazim. Sohaimi terpaksa melepaskan jawatannya sebagai pensyarah kanan di UPSI untuk menyertai pertandingan ini. Walaupun mungkin boleh masuk balik kerana semua boleh dibuat oleh Umno tetapi sudah tentu air muka beliau yang hilang.

4) Muhyidin

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tentu pihak yang kalah dalam pilihan raya ini. Selaku pengarah utama pilihan raya bagi BN, Muhyiddin banyak menghabiskan masa dan tenaga beliau untuk memastikan calon BN menang. Namun apakan daya pengundi Sungai Limau menolak beliau. Sudahlah terpaksa meminta maaf daripada keluarga allahyarham Azizan kerana tersalah cakap, pilihan raya kalah pula.

5) Kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Kedah

Ini kerana, berapa banyak wang daripada kedua-dua kerajaan ini digunakan untuk “membeli” undi pengundi di sini. Namun ia tetap ditolak. Bagaimana pemimpin kerajaan hendak jawab apabila gula dijual RM1 sekilo saja sedangkan ketika harganya dinaikkan alasan yang diberikan adalah untuk mengelakkan kencing manis. Apakah kerajaan mahu penduduk Sungai Limau diserang kencing manis apabila gula dijual dengan harga murah di sini. Kerajaan yang kena tanggung. Duit rakyat juga yang hilang. – 5 November, 2013.

Oleh Zulkifli Sulong, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA tmi

Advertisements

Ada Lagi Pak Guard Samun Kedai Emas Pulak


jewellery2

Pengawal Keselamatan Bersenjata Rompak Kedai Emas di Setapak

PETALING JAYA: Seorang pengawal keselamatan yang memiliki senjata api merompak sebuah kedai emas di KL Festival City Mall, dekat Setapak pada Khamis.

Rompakan berkenaan berlaku pada pukul 9 pagi dan sumber polis mengesahkan suspek merupakan rakyat Sabah yang menggunakan kad pengenalan palsu.

Pengawal keselamatan berkenaan telah bekerja kurang dua daripada dua bulan, mengacukan pistol kepada pemilik kedai emas berkenaan dan melarikan diri dengan satu dulang barang kemas pada pagi Khamis.

Timbalan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Asisten Supritendan, Khairi Ahrasa berkata ketika kejadian pemilik kedai dan tiga pekerjanya sedang bersiap sedia untuk membuka kedai.

“Mereka telah membaca mengenai apa yang berlaku di sebuah bank dan segera menyerahkan dulang berisi barang kemas kerana berasa takut kejadian sama akan berulang kembali,” katanya.

Pengawal keselamatan tersebut, yang ketika kejadian memakai pakaian seragam segera mengambil dulang berisi barang kemas itu dan dengan selamba keluar daripada pusat membeli belah berkenaan.

“Ia berlaku sangat pantas, dan tiada siapa menyangka ia akan berlaku kepada kami,” kaanya sambil menambah pihak polis masih menyiasat nilai barang kemas yang dicuri.

Polis juga sedang menyiasat sama ada pistol yang digunakan dalam rompakan tersebut dikeluarkan kepada suspek oleh syarikat kawalan keselamatan tempatnya bekerja atau milik peribadi.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ada kemungkinan pengawal keselamatan tersebut merupakan perompak yang meniru aksi rompakan yang berlaku di sebuah bank baru-baru ini.

“Ada kemungkinan pengawal keselamatan itu mendapat idea daripada pengawal keselamatan yang merompak Ambank.

“Saya juga tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa kes melibatkan pengawal keselamatan merompak majikan mereka,” katanya.

Justeru, beliau menggesa syarikat kawalan keselamatan menyemak dengan teliti latar belakang kakitangan mereka terlebih dahulu.

“Sekiranya mereka ada rasa ragu-ragu mengenainya, tolong hubungi pihak polis dan kami akan membantu anda,” katanya.

Khalid berkata pihak polis sedang memberi perhatian serius kepada pengawal keselamatan dan semakan secara rawak turut dijalankan di seluruh negara.

Ketika dihubungi, syarikat kawalan keselamatan yang mengambil pengawal keselamatan itu berkata suspek dikenalpasti sebaai warga Sabah melalui kad pengenalannya.

Namun pihaknya enggan mengulas sama ada pihaknya ada melakukan pemeriksaan terhadap latar belakang suspek atau dia mempunyai lesen untuk membawa senjata api.

Pada 23 Oktober lalu, seorang pengawal keselamatan menembak mati pegawai bank Norazita Abu Talib selepas dia membuka pintu bilik kebal sebuah bank di Subang Jaya.

Suspek berjaya melarikan diri dengan wang rompakan berjumlah RM450,000 daripada bilik kebal bank berkenaan.

Bagaimanapun, polis berjaya menemui semula wang bernilai RM20,000 selepas menahan tiga ahli keluarga suspek dan usaha mengesan pengawal keselamatan berkenaan masih giat dijalankan.

Suspek juga dilaporkan menggunakan kad pengenalan palsu dengan menggunakan alamat terakhir di Tawau, Sabah.

mStar

 

Naik Harga: Anwar Dakwa “Taikun” Gula Untung 1 Bilion RM


sugar

Anwar dakwa syarikat gula untung 1 bilion

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa penghapusan subsidi 34 sen sekilogram bagi gula memberikan keuntungan sebelum cukai syarikat monopoli gula sehingga RM1 bilion dengan lonjakan keuntungan 20% hingga 25%.

Ketua Pembangkang itu berkata, penghapusan subsidi itu hanya menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM551.25 juta.

“Apa yang menjadi pertanyaan kita ialah mengapa korporat mendapat keuntungan berganda akibat penghapusan subsidi gula dan rakyat dibebankan dengan kenaikan harga gula,” katanya di Parlimen hari ini.

Beliau berkata, liberalisasi gula perlu dilakukan untuk mengelak monopoli berterusan yang boleh mengekang kenaikan harga gula akibat pemotongan subsidi dengan penyertaan syarikat baru.

Anwar berkata, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) gagal mengimbangi pengurangan subsidi dengan sejumlah RM7.29 bilion subsidi dikurangkan bagi 2014 dengan RM39,408 bilion berbanding RM46.698 bilion pada 2013.

“Potongan subsidi sebanyak RM7.29 bilion jauh melebihi kenaikan bayaran BR1M untuk 2014. Kesimpulannya, perbezaan sebanyak RM5.6 bilion yang dikutip oleh kerajaan ini masih akan dibiayai oleh penerima BR1M kerana pengurangan subsidi walaupun BR1M ditambah,” katanya.

Semasa membentangkan Bajet 2014 pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penghapusan subsidi gula secara serta-merta. – 28 Oktober, 2013.

tmi

Kes Tibai Kerajaan Kelantan, Presiden PAS Bela Husam


Hadi-Awang-PAS-Kuala-Besut-200713-TMI-Afif_360_263_100

Presiden PAS bela Husam, anggap teguran biasa

PAS tidak akan mengambil tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Datuk Husam Musa yang mengkritik secara terbuka pentadbiran kerajaan Kelantan baru-baru ini kerana menganggap ia adalah satu teguran biasa.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar), berkata PAS melihat kritikan Husam itu turut dibuat oleh orang lain, lapor Bernama.

“Kritikan itu juga tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian PAS Pusat dan Lajnah Politik PAS Kelantan, di Kota Bharu, petang semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada mesyuarat itu membincangkan isu Husam yang mengkritik kerajaan Kelantan berhubung beberapa isu dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Abdul Hadi berkata, PAS juga tidak menerima permohonan PAS Kelantan supaya tindakan diambil terhadap Husam.

Dalam persidangan DUN Kelantan pada 8 Oktober lalu, Husam yang juga Naib Presiden PAS dan bekas Exco kanan kerajaan Kelantan, membuat kejutan apabila membidas beberapa tindakan kerajaan negeri yang disifatkannya tidak wajar dan menyimpang daripada konsep ketelusan dan antaranya ialah isu pembalakan Hutan Simpan Kekal Ulu Sat di Machang dan kenaikan tarif air yang berkuat kuasa Ogos lalu.

Husam turut bertembung dengan Exco kerajaan negeri Kelantan dalam sidang DUN berkaitan berhubung isu pelantikan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Kelantan.

Isu ini dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini lalu dicadangkan pertemuan dengan PAS Kelantan memandangkan wakil Kelantan khasnya Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub tidak hadir pada mesyuarat tersebut.

Sehubungan itu, Dewan Harian PAS Pusat turun ke Kelantan petang semalam bertemu dengan Lajnah Politik PAS Negeri bagi membincangkan isu yang berkaitan.

Bernama turut melaporkan, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang diminta mengulas isu berkenaan, berkata mesyuarat turut mendengar penjelasan daripada Husam.

“Alhamdulillah mesyuarat berjalan dengan baik dan kita rasa beruntung kerana dapat penjelasan secara langsung antara Husam dan kerajaan negeri,” katanya.

Husam yang turut hadir memberitahu pemberita beliau berpuas hati dengan perbincangan yang diadakan. – 23 Oktober, 2013.

tmi

 

PRK Sg Limau: Azam Samad lawan Ahmad Sohaimi


azam_samad_pas

Ketua Pemuda PAS Jerai, Azam Samad, calon PRK DUN Sungai Limau.

Ketua Pemuda PAS Jerai, Azam Samad diumumkan sebagai calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau malam tadi oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ini bermakna, Azam akan berdepan dengan Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ahmad Sohaimi Lazim yang diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) petang semalam.

Ahmad Sohaimi diumumkan sebagai calon oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi BN di Bilik Gerakan BN bagi PRK DUN Sungai Limau di Sungai Lentang, Sungai Limau.

Ketika memberikan ucapan sulung selepas diumumkan sebagai calon, Azam seorang bekas guru berkata, beliau akan meneruskan agenda bekas Menteri Besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak sebelum ini.

Azam berkata, beliau berharap semua pihak menghadapi pilihan raya kecil kali ini dengan penuh harmoni.

Muhyiddin ketika mengumumkan pemilihan calon BN berkata, pemilihan Ahmad Sohaimi, 52, adalah berdasarkan kelebihan beliau yang mempunyai kelulusan tinggi selain pernah terlibat dalam parti termasuk kini sebagai Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Jerai dan aktiviti kemasyarakatan.

Katanya, pemilihan dibuat berdasarkan penilaian oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak, beliau sendiri dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.

“Mohon kerjasama pengundi untuk memberi peluang kepadanya. Jika terpilih segala perkara yang perlukan perhatian akan disampaikan kepada kerajaan negeri dan kerajaan pusat,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman itu.

ahmad_sohaimi_bn

Ahmad Sohaimi, pensyarah kanan Jabatan Pengajian Kemasyarakatan, Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI berasal dari Kampung Titi Batu, Guar Chempedak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Oktober sebagai hari penamaan calon, manakala 4 November depan sebagai hari mengundi.

Kerusi DUN Sungai Limau kosong ekoran kematian bekas menteri besar Kedah, Azizan kerana komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis pada 26 September lalu.

Pada pilihan raya umum ke-13 Mei lalu, Azizan mempertahankan kerusi Sungai Limau yang dimenanginya sejak 1995 untuk PAS, dengan menewaskan sepupu beliau Fazillah Mohd Ali yang mewakili BN dengan majoriti 2,774 undi. – 22 Oktober, 2013.

tmi

 

Cerita Mukhriz Mahathir Kena “Bungkus”


pasukan wawasan

Ramalan awal dari blog ini tepat..

Team Wawasan berjaya mengalahkan pasukan trio.

Apa sebab utama kekalahan Mukhriz ?

Dari awal lagi “restu” Presiden Umno (Baru) perlu diikuti..

Team Wawasan sudah berakar dan memonopoli jumlah undi sejak dari pemilihan yang lalu.Kata beberapa pengalisa politik Team Wawasan suudah tersusun sejak zaman Pak Lah lagi.

Itulah ‘budaya’ dalam Umno. Perhatian Presiden Umno umpama ‘wahyu’ yang perlu ditaati.

UMNO 2013: Zahid, Shafie, Hishammuddin kekal Naib Presiden

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafiie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein kekal mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO bagi penggal 2013/2016.

Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2013, Tan Sri Tajol Rosli pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, sebentar tadi.

Setakat jam 1.40 pagi ini, Zahid memperoleh 185 daripada 191 undian, diikuti Shafie (174), Hishammuddin (100) dan Datuk Mukhriz Mahathir (91).

Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Isa Samad pula masing-masing memperoleh tujuh undi.

Pemilihan jawatan Naib Presiden UMNO dan Ahli Majlis Tertinggi membabitkan 146,500 perwakilan dari 191 Bahagian.

BH

 

PEKIDA Sahkan Tiada Kaitan Dengan Tiga Line dan Geng 30


Gambar dari leecopperten.blogspot.com.

“Mengatakan Tiga Line dan Geng 30 mempunyai kaitan dengan Pekida sama sekali tidak benar”

Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) Malaysia, Jamaludin Yusof menegaskan dua kumpulan yang diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini iaitu Tiga Line dan Geng 30 tidak mempunyai kaitan dengan mereka.

Jamaluddin berkata, Pekida merupakan sebuah pertubuhan yang sah didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sejak 1983.

“Mengatakan Tiga Line dan Geng 30 mempunyai kaitan dengan Pekida sama sekali tidak benar.

“Ahli Pekida berdaftar dan kami mempunyai perlembagaan yang mesti dipatuhi oleh setiap ahli. Setiap ahli kami mempunyai kad yang sah dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti menyalahi undang-undang,” katanya yang memegang jawatan tersebut sejak 2008 kepada The Malaysian Insider awal minggu ini.

Jamaludin, 60, berkata sepanjang bergiat aktif dalam Pekida selama 30 tahun, matlamat pertubuhan tersebut hanya membela nasib kaum Melayu khususnya dalam ekonomi dan keselamatan.

“Pekida adalah pertubuhan yang berlandaskan moto ‘amal makruf nahi mungkar’, ini adalah matlamat awal sejak penubuhannya dan kami tidak pernah lari daripada landasan ini.

“Kami bukan pertubuhan gengster atau pun kongsi gelap, apa yang kami laksanakan adalah demi memartabatkan dan menjaga keselamatan kaum Melayu,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak terdapat segelintir bekas ahli Pekida yang menyertai Tiga Line dan Geng 30 sehingga menyebabkan terkena tempias hingga menimbulkan persepsi tidak baik.

“Memang ada bekas ahli Pekida yang menyertai kedua-dua kumpulan tersebut.

“Secara tidak langsung apabila berlaku perkara tidak baik, Pekida pun kena tempias juga walhal kami tidak buat semua itu,” katanya.

Beliau berkata, Pekida sentiasa berusaha untuk mewujudkan suasana yang aman dalam negara di samping merapatkan diri dengan masyarakat menerusi program anjuran mereka.

“Kami sentiasa merapatkan diri dengan masyarakat untuk menangkis imej tidak baik yang dikaitkan dengan Pekida,” katanya.

Beliau berkata, Pekida tidak menggunakan simbol “tiga” seperti dua pertubuhan yang diharamkan oleh KDN tersebut, sebaliknya mempunyai logo tersendiri bagi melambangkan pertubuhan itu.

September lalu, KDN mengumumkan 49 petubuhan haram di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Senarai itu dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan mengandungi beberapa kumpulan termasuklah Tiga Line dan Geng 30.

Berbeza dengan pendekatan pertubuhan lain, Jamaludin berkata, Pekida yang memiliki 230,000 ahli seluruh negara mahu dikenali dan dihormati oleh masyarakat dan bukan untuk digeruni atau ditakuti seperti yang digambarkan sesetengah pihak dan orang awam.

“Kami yang akan ke hadapan sekiranya berlaku buruk dalam negara. Perjuangan Pekida berlandaskan al-Quran dan Hadis,” katanya.

Dalam satu klip rakaman suara yang dimuat naik oleh sebuah portal berita minggu baru-baru ini, Ahmad Zahid mempertahankan Tiga Line akan tetapi tindakan tegas diambil ke atas kumpulan lain, memberi gambaran mereka “sebagai rakannya dan menggesa mereka untuk melakukan apa yang perlu”.

Rakaman ucapan Ahmad Zahid sepanjang 20 minit itu, ketika beliau sedang berucap dalam satu majlis kerajaan di Melaka.

Susulan pendedahan ucapan itu, Ahmad Zahid dibidas pelbagai pihak kerana membela kumpulan gengster dan kongsi gelap walaupun diharamkan oleh kementeriannya. – 13 Oktober, 2013.

MD IZWAN tmi

Tanda Hishamuddin Hussein Akan Kekal Naib Presiden Umno


kj dllKETUA Pemuda Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Puteri UMNO, Mas Ermieyati Samsudin meraikan kejayaan masing-masing selepas mengetahui keputusan tidak rasmi pemilihan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sebentar tadi. – Foto BERNAMA

Umno: Kemenangan Khairy, Shahrizat indikasi Hishammuddin kekal Naib Presiden

Kemenangan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi jawatan ketua bagi sayap Pemuda dan Wanita dalam pemilihan pimpinan bagi sayap-sayap parti Melayu itu membuktikan kekuatan pengaruh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dalam parti Melayu itu.

Kedua-dua Khairy dan Shahrizat merupakan sebahagian daripada “Team Najib” yang bertanding dalam pemilihan Umno kali ini berjaya mengenepikan kekuatan pengaruh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan elemen garis keras daripada meresap ke sayap-sayap utama parti itu.

“Jika saya mahu menang dengan selesa, saya boleh menggunakan formula sayap kanan. Saya mahu menunjukkan bahawa anda boleh menjadi progresif dan menang dalam Umno.

“Kita perlu memulakannya. Kita mesti berfikiran ke hadapan,” kata Khairy kepada pemberita sejurus selepas diumumkan sebagai pemenang oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Tan Sri Tajol Rosli Ghazali di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) awal pagi ini.

Kemenangan Khairy dan Shahrizat juga memberikan indikasi Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang turut berada dalam “Team Najib” mempunyai peluang cerah untuk mengekalkan jawatannya minggu hadapan walaupun ramai penganalisis politik meramalkan beliau sebagai salah seorang calon paling lemah bagi jawatan tertinggi dipertandingkan Umno itu.

Hishammuddin, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Shafie Apdal merupakan penyandang bagi jawatan naib presiden Umno.

Mereka dicabar oleh Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir, bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad.

Hishammuddin merupakan sepupu kepada Najib dan orang yang paling dipercayai oleh perdana menteri jika dilihat daripada amanah diberikan kepadanya dalam Kabinet.

Selain menjawat jawatan Menteri Pertahanan, Hishammuddin juga dipercayai Najib untuk memangku jawatan Menteri Pengangkutan yang akan diberikan kepada MCA selepas selesai pemilihan parti komponen mewakili kaum Cina dalam Barisan Nasional (BN) itu.

Jika pengaruh Najib mampu mengekalkan Khairy dan Shahrizat dalam Pemuda dan Wanita, tidak mustahil Hishammuddin juga mampu diselamatkan di jawatan naib presiden.

“Tak mungkin Najib akan biarkan Hishammuddin kalah. Daripada ketiga-tiga naib presiden Umno, Hishammuddin dipilih Najib untuk memangku jawatan Menteri Pengangkutan dan MCA juga boleh menerimanya,” kata seorang penganalisis politik kepada The Malaysian Insider.

“Walaupun Dr Mahathir dilihat mempunyai pengaruh besar dalam Umno, zaman beliau sudah berakhir, ini boleh dibuktikan dengan keputusan pilihan raya lalu di mana beliau tidak mampu membantu BN merampas kembali majoriti dua pertiga,” katanya.

Dalam pilihan raya umum ke-13 lalu, BN menang 133 kerusi Parlimen berbanding Pakatan Rakyat (PR) yang mendapat 89 kerusi. Selain itu, PR juga berjaya memenangi undi popular 51% berbanding BN yang hanya mendapat 47%.

Hishammuddin merupakan anak kepada perdana menteri ketiga Tun Hussein Onn dan cucu kepada pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar.

Pemilihan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri di 191 bahagian Umno membabitkan 183 calon dijalankan semalam.

Pada 19 Oktober depan, perwakilan Umno di seluruh negara akan memilih tiga naib presiden dan ahli Majlis Tertinggi parti Melayu terbesar itu.

ANALISIS OLEH AMIN ISKANDAR, PENGARANG BERITA tmi

Mahkamah Tolak Saman RM1 juta Pensyarah Terhadap Penulis Blog Berhubung Isu Wahhabi


wahab zamihan

Mahkamah menolak dengan kos

Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak dengan kos permohonan saman RM1 juta yang difailkan seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terhadap seorang bekas pegawai Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) berhubung isu fahaman ‘Wahhabi’ yang diterbitkan dalam sebuah blog yang didakwa memfitnahnya.

Hakim Datuk Wira Halijah Abbas membuat keputusan itu selepas mendapati plaintif, Dr Azwira Abdul Aziz, 45, gagal membuktikan kesnya berada atas imbangan kebarangkalian.

Dalam saman yang difailkan pada 18 Jun 2009, Azwira menamakan Zamihan Mat Zin, 37, bekas penolong pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, ILIM, yang juga pemilik blog alghari.blogspot.com sebagai defendan.

Azwira menuntut ganti rugi am sebanyak RM500,000, ganti rugi pengajaran sebanyak RM500,000, faedah, kos tindakan dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Dalam pernyataan tuntutannya, Azwira berkata Zamihan telah menerbitkan sebuah artikel bertajuk “Kisah Lama dari UKM” di blog berkenaan pada 6 Mac 2008, yang mengandungi kenyataan mengaitkan beliau dengan fahaman Wahhabi yang didakwa tidak benar dan berunsur fitnah.

Katanya, perkataan-perkataan dalam artikel terbabit antara lain membawa maksud bahawa beliau adalah seorang yang bermetodologi Salafi Al Wahhabi dan amat taksub terhadap fahaman Wahhabi serta seorang yang membawa ajaran yang sesat.

Azwira berkata penerbitan artikel itu telah menjatuhkan maruahnya di sisi umum khususnya kepada masyarakat beragama Islam.

Katanya beliau sebelum ini, melalui surat peguam caranya bertarikh 11 Mei 2009, menuntut defendan membuat satu kenyataan memohon maaf secara bertulis dan ganti rugi sebanyak RM500,000, namun defendan telah gagal, cuai dan/atau enggan berbuat demikian.

Dalam pernyataan pembelaannya, Zamihan yang kini penolong setiausaha di bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Kementerian Dalam Negeri antara lain berkata plaintif telah membuat salah tafsiran tentang kepercayaan yang dipegangnya dan sememangnya plaintif perlu disedarkan.

Mengenai kecederaan yang didakwa dialami plaintif berhubung tindakan beliau, Zamihan berkata jika adapun ia adalah akibat daripada tindak tanduk plaintif sendiri dalam menulis dan/atau menyatakannya di mana-mana dengan memberi pandangan tidak tepat tentang ilmiah sesuatu isu yang diketengahkan.

Azwira diwakili peguam Adnan bin Seman @ Abdullah sementara Zamihan diwakili peguam Azmi Mohd Rais dan Ilyani Noor Khuszairy.

– Bernama

 

%d bloggers like this: