
“Mengatakan Tiga Line dan Geng 30 mempunyai kaitan dengan Pekida sama sekali tidak benar”
Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) Malaysia, Jamaludin Yusof menegaskan dua kumpulan yang diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini iaitu Tiga Line dan Geng 30 tidak mempunyai kaitan dengan mereka.
Jamaluddin berkata, Pekida merupakan sebuah pertubuhan yang sah didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sejak 1983.
“Mengatakan Tiga Line dan Geng 30 mempunyai kaitan dengan Pekida sama sekali tidak benar.
“Ahli Pekida berdaftar dan kami mempunyai perlembagaan yang mesti dipatuhi oleh setiap ahli. Setiap ahli kami mempunyai kad yang sah dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti menyalahi undang-undang,” katanya yang memegang jawatan tersebut sejak 2008 kepada The Malaysian Insider awal minggu ini.
Jamaludin, 60, berkata sepanjang bergiat aktif dalam Pekida selama 30 tahun, matlamat pertubuhan tersebut hanya membela nasib kaum Melayu khususnya dalam ekonomi dan keselamatan.
“Pekida adalah pertubuhan yang berlandaskan moto ‘amal makruf nahi mungkar’, ini adalah matlamat awal sejak penubuhannya dan kami tidak pernah lari daripada landasan ini.
“Kami bukan pertubuhan gengster atau pun kongsi gelap, apa yang kami laksanakan adalah demi memartabatkan dan menjaga keselamatan kaum Melayu,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menolak terdapat segelintir bekas ahli Pekida yang menyertai Tiga Line dan Geng 30 sehingga menyebabkan terkena tempias hingga menimbulkan persepsi tidak baik.
“Memang ada bekas ahli Pekida yang menyertai kedua-dua kumpulan tersebut.
“Secara tidak langsung apabila berlaku perkara tidak baik, Pekida pun kena tempias juga walhal kami tidak buat semua itu,” katanya.
Beliau berkata, Pekida sentiasa berusaha untuk mewujudkan suasana yang aman dalam negara di samping merapatkan diri dengan masyarakat menerusi program anjuran mereka.
“Kami sentiasa merapatkan diri dengan masyarakat untuk menangkis imej tidak baik yang dikaitkan dengan Pekida,” katanya.
Beliau berkata, Pekida tidak menggunakan simbol “tiga” seperti dua pertubuhan yang diharamkan oleh KDN tersebut, sebaliknya mempunyai logo tersendiri bagi melambangkan pertubuhan itu.
September lalu, KDN mengumumkan 49 petubuhan haram di bawah Akta Pertubuhan 1966.
Senarai itu dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan mengandungi beberapa kumpulan termasuklah Tiga Line dan Geng 30.
Berbeza dengan pendekatan pertubuhan lain, Jamaludin berkata, Pekida yang memiliki 230,000 ahli seluruh negara mahu dikenali dan dihormati oleh masyarakat dan bukan untuk digeruni atau ditakuti seperti yang digambarkan sesetengah pihak dan orang awam.
“Kami yang akan ke hadapan sekiranya berlaku buruk dalam negara. Perjuangan Pekida berlandaskan al-Quran dan Hadis,” katanya.
Dalam satu klip rakaman suara yang dimuat naik oleh sebuah portal berita minggu baru-baru ini, Ahmad Zahid mempertahankan Tiga Line akan tetapi tindakan tegas diambil ke atas kumpulan lain, memberi gambaran mereka “sebagai rakannya dan menggesa mereka untuk melakukan apa yang perlu”.
Rakaman ucapan Ahmad Zahid sepanjang 20 minit itu, ketika beliau sedang berucap dalam satu majlis kerajaan di Melaka.
Susulan pendedahan ucapan itu, Ahmad Zahid dibidas pelbagai pihak kerana membela kumpulan gengster dan kongsi gelap walaupun diharamkan oleh kementeriannya. – 13 Oktober, 2013.
MD IZWAN tmi
Like this:
Like Loading...