Category Archives: Banjir di Kedah

Banjir Kilat Sebabkan Kesesakan Lalu Lintas di Penang


Kawasan tempat letak kereta di Pangsapuri Sri Saujana, Sungai Dua, Pulau Pinang dinaiki air hingga menyebabkan beberapa buah kereta tenggelam akibat banjir kilat yang berlaku pada Sabtu. 

Banjir kilat jadi kalut di Penang

GEORGE TOWN: Hujan lebat yang turun sekitar pukul 11 pagi tadi menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan rendah di sekitar Pulau Pinang hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di beberapa jalan utama.

Berdasarkan tinjauan yang dijalankan air naik hingga ke paras lutut di kawasan perumahan, Minden Heights.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pembangunan Taman Brown, K. Santha berkata beberapa buah rumah di Changkat Minden 7 ditenggelami air.

“Saya menerima maklumat daripada ahli kami bahawa banjir kilat yang melanda ini disebabkan oleh kebocoran paip yang bawah tanah akibat tekanan air yang kuat di Universiti Sains Malaysia (USM).

Bukan itu sahaja, berdasarkan tinjauan beberapa kawasan turut ditenggelami air antaranya sepanjang Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Masjid Negeri.

Kejadian tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas hingga 1kilometer berlaku di lebuh raya bertingkat dari Bayan Baru ke Gelugor.

Ia disebabkan oleh lampu isyarat yang rosak di persimpangan Jalan Sultan Azlan Shah-Sungai Dua.

Kesesakan bertambah buruk apabila terdapat kenderaan rosak diletakkan sepangjang jalan tersebut.

mStar

Banjir Perlis: Lebih 4,000 Dipindahkan


 

umat Islam mengharungi banjir untuk solat jumaat di masjid Putra

Peningkatan jumlah mangsa banjir berbanding semalam

Jumlah mangsa banjir di Perlis yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan meningkat kepada 4,230 orang sehingga 8 pagi ini berbanding 4,032 malam semalam.

Jurucakap bilik gerakan banjir Perlis berkata mereka yang dipindahkan itu adalah daripada 1,135 keluarga dan ditempatkan di 32 pusat pemindahan.

Paras air di kawasan selatan bandar Kangar meningkat malam tadi namun di kebanyakan kawasan di utara air mulai surut. Beberapa batang jalan di bandar Kangar masih ditenggelami air.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu menasihati penduduk di kawasan banjir supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan berpindah. Katanya, beliau menerima laporan ada penduduk di kawasan pinggir sungai yang enggan berpindah kerana mereka ini berpendapat air sungai semakin surut.

Md Isa yang meninjau pusat-pusat pemindahan banjir sehingga awal hari ini berkata, penduduk terbabit tidak seharusnya mengambil risiko kerana kerajaan menyediakan pusat pemindahan untuk mereka.

Bernama

Banjir Perlis: Bandar Kangar ‘Tenggelam’ Lagi


SEBAHAGIAN pelajar Sekolah Menengah Syed Hassan meredah banjir selepas kawasan sekolah mereka dinaiki air akibat hujan berterusan sejak semalam. Kira-kira 20 sekolah diarahkan tutup di beberapa kawasan sekitar Perlis. – Foto Eizairi Shamsudin

Mangsa banjir di Perlis terus meningkat

KANGAR: Walaupun paras air di beberapa kawasan yang dilanda banjir di Perlis sudah mulai surut, namun jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat berbanding semalam.

Jurucakap bilik gerakan banjir Perlis berkata, ketika ini 3,062 mangsa banjir dari 759 keluarga berada di 33 pusat pemindahan di kawasan Kangar, Padang Besar dan Arau berbanding 2,998 orang lewat malam tadi.

Paras air di bahagian utara Perlis ketika ini didapati surut sedikit berbanding semalam. Di bandar Kangar, air mulai naik malam tadi mengakibatkan banyak kedai ditutup, dan sehingga kini 28 batang jalan dinaiki air, namun kebanyakannya masih boleh dilalui semua kenderaan.

Di Kedah

Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca di Kedah dan Perlis akan bertambah baik dalam tempoh beberapa hari lagi walaupun berlaku perubahan cuaca berikutan hujan lebih kerap sepanjang Mac ini, berbanding bulan sama beberapa tahun lalu.

Pegawai Pejabat Meteorologi Bayan Lepas, Pulau Pinang, ketika dihubungi, berkata keadaan cuaca seperti itu boleh berlaku dan ia tidak menunjukkan sebarang tanda berterusan dalam jangka masa panjang.

Katanya, keadaan beransur baik ketika ini dan ia dijangka berterusan walaupun sepanjang minggu lalu hingga semalam hujan agak kerap. “Keadaan cuaca sebegini memang boleh berlaku dalam keadaan cuaca yang tidak menentu seperti ini. Ia mungkin ada timbal balik kerana perubahan cuaca yang berlaku pada bulan ini mungkin juga mengubah keadaan cuaca pada bulan April nanti.

“Pada bulan ini kadar hujan tidak seperti biasa apabila hujan kerap dan ia mungkin menyebabkan hujan pada bulan April nanti kurang sedikit berbanding beberapa tahun sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri, Datuk Azmi Lateh, berkata lebih 400 rumah membabitkan enam daerah di negeri ini terjejas teruk akibat dilanda ribut pada petang Isnin lalu.

Antara daerah yang terjejas teruk dalam bencana itu ialah Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap, Yan, Pendang dan Kuala Muda.
“Kami dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mendapatkan maklumat terkini mangsa bencana itu bagi memudahkan kita menyampaikan bantuan atau membaiki bumbung dan dinding yang rosak,” katanya yang ditemui ketika melawat mangsa ribut di Kampung Kandis, Kodiang, Jerlun, hari ini.

Bernama

Banjir di Melaka dan Johor Terus Meningkat


Anuar Yassin, 38, dan anaknya dari Kampung Gangsa di sini terpaksa mengharung banjir untuk ke kawasan selamat setelah rumah mereka di landa banjir. — Foto Bernama

Mangsa banjir di Melaka dan Johor terus meningkat

MELAKA, 2 Feb — Jumlah mangsa banjir di 19 pusat pemindahan membabitkan tiga daerah di Melaka kini meningkat kepada 4,555 orang berbanding 4,110 orang malam tadi.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri Melaka berkata daerah Melaka Tengah mencatatkan mangsa teramai dengan 2,264 orang, iaitu meningkat berbanding 2,114 orang pada pukul 7 malam tadi.

Anuar Yassin, 38, dan anaknya dari Kampung Gangsa di sini terpaksa mengharung banjir untuk ke kawasan selamat setelah rumah mereka di landa bajir. — Foto Bernama

Di Alor Gajah, jumlah mangsa yang dipindahkan juga meningkat kepada 1,748 orang berbanding 1,568 orang, katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, keadaan banjir di Jasin kini bertambah baik dan jumlah mereka yang berada di pusat pemindahan ialah seramai 543 orang.

Beliau berkata keadaan paras air di sungai-sungai utama juga dilapor semakin menyusut berikutan cuaca baik tanpa hujan di seluruh negeri.

Dalam pada itu, jumlah mereka yang terlibat dengan bencana banjir di dua daerah di Pahang kini meningkat kepada 1,941 orang berbanding 1,777 petang semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata daerah Rompin merekodkan pemindahan tertinggi iaitu seramai 1,778 orang daripada 222 keluarga membabitkan lima buah kampung.

Kampung-kampung terbabit ialah di Bukit Serok (1,499 orang), Kampung Rekoh (162), Kampung Kurnia Tanjung Gemok (85), Kampung Mekang Ibam (26) dan Kampung Lubuk Batu (6 orang), katanya ketika dihubungi pagi ini.

Jurucakap itu berkata di Temerloh, mangsa yang dipindahkan adalah seramai 163 orang daripada 44 keluarga di empat buah kampung, iaitu Kampung Insaf (83 orang), Kampung Batu Kapor (70), Kampung Sempadan (7) dan Kampung Rantau Panjang Lanchang (3).

Katanya beberapa jalan turut ditutup kepada semua kenderaan melibatkan jalan Kampung Inoi, jalan Kampung Baru Bukit Ibam, jambatan Sungai Gayong Kedaik dan jambatan Kampung Lubuk Batu Kota Bahagia di Rompin.

Sementara itu, jalan di KM 5 Felda Selancar, Rompin, ditutup kepada kenderaan berat selepas berlaku runtuhan tebing manakala Jalan Hwa Li Cenderawasih dan Jalan Lam Trading Cenderawasih hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda, katanya.

Selain itu katanya, KM 22 Jalan Kemayan-Risda di Bera hanya boleh dilalui kenderaan berat selepas dinaiki air sedalam 1.5 meter.

Bernama

Banjir di Johor dan Melaka Kian Parah


Kenderaan pacuan empat roda meredah banjir di bandar Segamat, Johor malam tadi. — Foto oleh Choo Choy May

Mangsa banjir dipindah meningkat di Johor dan Melaka

KUALA LUMPUR,1 Feb — Seramai 45,909 penduduk di beberapa kawasan di Johor terpaksa dipindahkan ekoran banjir yang bertambah buruk dan hujan yang berterusan pula masuk hari ketujuh.

Begitu juga keadaan di Melaka di mana lebih ramai dipindahkan sehingga tengah malam tadi.

Di Johor jumlah kawasan yang terlibat dalam banjir juga dikatakan bertambah berbanding pagi semalam.

Menurut jurucakap bilik gerakan banjir negeri Johor, sebanyak 10,989 keluarga telah berpindah ke pusat perpindahan sehingga pukul 12 tengah malam tadi.

“Sehingga tengah malam tadi seramai 45,909 penduduk dengan 10,989 keluarga telah dipindahkan di seluruh negeri.

“Semua daerah di negeri ini menghadapi banjir dan kita terpaksa memindahkan mereka ke pusat perpindahan. Kita tidak tahu bagaimana keadaan banjir sekarang (tengah malam tadi), tapi kita jangkakan jumlah ini akan bertambah,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Angkatan Tentera Malaysia juga mula menggerakan pasukan mereka untuk membantu mangsa banjir.

Sebanyak 261 pusat perpindahan telah dibuka untuk menempatkan mangsa banjir dengan 13 pusat perpindahan telah ditutup.

Seramai 4,715 mangsa banjir dari 1,232 keluarga di Johor Baru telah dipindahkan ke 20 pusat perpindahan, 2,095 mangsa dari 481 keluarga di Muar dipindahkan ke 21 pusat perpindahan dan seramai 2,417 mangsa dari 544 keluarga di Batu Pahat dipindahkan ke 25 pusat perpindahan.

Sementara itu di Segamat, seramai 18,915 mangsa dari 4,499 keluarga telah dipindahkan ke 88 pusat perpindahan, seramai 9,730 mangsa dengan 2,408 keluarga di Kluang dipindahkan ke 48 pusat perpindahan dan di Pontian seramai 656 mangsa dari 149 keluarga dipindahkan ke sembilan pusat perpindahan.

Di Kota Tinggi – kawasan yang terjejas teruk dalam banjir besar empat tahun lalu, seramai 2,419 mangsa dari 524 keluarga telah dipindahkan ke 18 pusat pemilihan, di Mersing seramai 99 mangsa dari 31 keluarga dipindahkan dengan satu pusat perpindahan, di Ledang seramai 3,454 mangsa dari 776 keluarga ditempatkan di 22 pusat perpindahan dan di Kulai Jaya seramai 1,409 mangsa dari 345 keluarga dipindahkan ke 9 pusat perpindahan.

Sejak semalam banjir buruk yang berlaku telah menyebabkan tiga kematian dan lebih 40,000 telah dipindahkan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.

Masih ramai terperangkap di beberapa bandar Johor dengan ketiadaan bekalan elektrik atau bekalan, memaksa pasukan tentera membantu operasi menyelamat mangsa.

Bencana kali ini diakibatkan hujan berterusan selama hampir 10 hari manakala menurut Jabatan Meteorologi, hujan dijangka turun hingga minggu ini di Segamat, Kota Tinggi dan Kluang.

Dalam pada itu, laporan Bernama menyebut, jumlah mangsa banjir di tiga daerah di Melaka yang ditempatkan di 26 pusat pemindahan meningkat kepada 2,889 orang sehingga pukul 9 malam tadi berbanding 2,714 mangsa pada sebelah petang.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri Melaka berkata Alor Gajah menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,534 daripada 344 keluarga di 10 buah pusat pemindahan.

Di Jasin, jumlah mangsa yang ditempatkan di 15 buah pusat pemindahan ialah 1,306 orang daripada 321 keluarga dan 49 mangsa daripada lapan keluarga di sebuah pusat pemindahan di Melaka Tengah.

Banjir di Melaka meragut mangsa pertama hari ini di Jasin iaitu seorang pengawal keselamatan, Yusry Mohd Yusof, 40, yang ditemui lemas di Loji Air, Kampung Chinchin pada pukul 1.30 tengah hari semalam.

Maklumat Jabatan Meteorologi menunjukkan hujan sekejab-sekejab kadangkala sederhana di Johor dan Pahang pagi semalam manakala di Kelantan, Melaka dan Terengganu hujan di satu dua tempat di kawasan pantai.

Keadaan di Johor itu diramalkan akan berterusan sepanjang 24 jam. Begitu juga di Pahang.

Di Melaka, ribut petir dijangkakan di beberapa tempat pada sebelah petang.

Di Negeri Sembilan, diramalkan tiada hujan sebelah pagi tetapi ribut petir di beberapa tempat sebelah petang dan hujan di satu dua tempat sebelah malam.

Laporan Bernama menyebut, beberapa perkhidmatan tren ke selatan dan timur Semenanjung dibatalkan semalam akibat banjir dan tanah runtuh antara Bahau dan Tampin di Negeri Sembilan hingga ke Kluang, Johor.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata perkhidmatan Ekspres Rakyat dari Butterworth ke Singapura dan Singapura-Butterworth hanya beroperasi dari KL Sentral ke Butterworth sahaja.

Ekspres Sinaran Selatan dari Singapura ke KL Sentral dan KL Sentral-Singapura serta Ekspres Senandung Sutera antara KL Sentral-Singapura terpaksa dibatalkan.

Ekspres Sinaran Timur bagi laluan Singapura-Tumpat dan Tumpat-Singapura hanya beroperasi antara laluan Kemayan-Tumpat manakala perkhidmatan ulang alik antara Gemas-Singapura dan Singapura-Gemas hanya beroperasi antara laluan Kluang-Singapura.

Perkhidmatan ulang alik dari Kuala Lipis ke Singapura akan ditamatkan di Stesen Kemayan.

Menurut KTMB, penumpang Ekspress Senandung Wau dari KL Sentral ke Tumpat akan menaiki bas dari KL Sentral ke Mentakab sebelum menaiki tren ke Tumpat.

Bagi laluan Tumpat ke KL Sentral pula, penumpang akan menaiki tren dari Tumpat ke Mentakab sebelum meneruskan perjalanan ke KL Sentral menaiki bas.

Penumpang yang terjejas akibat pembatalan itu boleh membuat pertukaran tarikh perjalanan atau menuntut pemulangan tiket di kaunter KTMB yang berhampiran, kata kenyatataan KTMB yang dikeluarkan 6 petang semalam.

Pertanyaan boleh dibuat dengan menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan KTMB di talian 1-300-88-5862).

Sementara itu, Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) telah mengaktifkan kaedah respons banjir tempatan dengan membuat persediaan memberi bantuan kepada mangsa banjir di Johor dan Sarawak.

Presidennya Datuk Dr Ahmad Faizal Perdaus berkata pihaknya sedang berurusan dengan Majlis Keselamatan Negara bagi membantu mangsa serta menghantar bekas yang mengandungi barangan penjagaan kebersihan kepada mereka.

“Sukarelawan kami di Johor sedang membungkus 500 bekas barangan penjagaan kebersihan untuk kawasan Setia Alam dan 500 bekas akan diedarkan ke kawasan lain yang terjejas,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya Mercy Malaysia cawangan Sarawak telah mengedarkan sejumlah 900 bekas barangan penjagaan kebersihan untuk masyarakat yang terjejas akibat banjir di Niah, Asap, Beluru dan Bakung sejak 23 Januari lalu.

Sementara itu pasukan Mercy Malaysia yang tiba di Sri Lanka pada 19 Januari lalu sedang sibuk membantu mangsa banjir di Ampara dan Batticaloa di negara itu.

Pengurus Besar Operasi Mercy Malaysia, Takako Izumi, berkata pihaknya menyediakan 1,000 bekas barangan penjagaan kesihatan untuk diedarkan di dua kawasan tersebut.

Orang ramai boleh membuat sumbangan derma melalui nombor akaun Maybank 5621-7950- 4126 atas nama Mercy Humanitarian Fund atau akaun CIMB Bank melalui nombor 1424-000-6561053 atas nama Mercy Malaysia.

Syed Mua’z Syed Putra

TINJAUAN dari udara menunjukkan keadaan banjir di sekitar Segamat, Johor, hari ini. – Foto Effendy Rashid

Feb 1, 2011 2:05 pm

Banjir Semakin Buruk di Selatan,3 Maut


TENGGELAM…Banjir yang melanda Stesen Keretapi Gemas hari ini lebih teruk berbanding 2006 sehingga menyebabkan sebahagian besar laluan kereta api di sekitarnya ditenggelami air. – Foto Owee Ah Chun

Keadaan banjir bertambah buruk di 4 negeri, 40,000 orang dipindahkan

KUALA LUMPUR, 31 Jan — Dengan tiga kematian dan lebih 40,000 telah dipindahkan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang hari ini, masih ramai terperangkap di beberapa bandar di Johor dengan ketiadaan bekalan elektrik atau bekalan makanan, memaksa pasukan tentera menyertai operasi menyelamat mangsa.

Sehingga pukul 6.45 petang tadi, sebahagian besar Johor diselubungi awan mendung manakala maklumat pihak berkuasa kaji cuaca menunjukkan hujan akan turun sehingga hujung minggu ini.

Di Labis, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, bencana banjir yang melanda Labis, Segamat, Kluang,

Ledang dan beberapa daerah lain sejak dua hari lepas, berpunca akibat keadaan cuaca hujan lebat yang disifatkannya sebagai luar biasa.

Terdahulu beliau mengunjungi pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Agama Labis – sehari selepas pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang. Pusat itu menempatkan 830 orang daripada 137 keluarga, yang terjejas ababila banjir melanda beberapa kawasan perkampungan dan taman-taman perumahan di sekitar Labis.

Kata Muhyiddin, segala usaha untuk memindahkan mangsa dan memberi pelbagai bantuan kemanusiaan telah digerakkan melibatkan kerajaan negeri dan pelbagai agensi kerajaan pusat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Beliau turut meminta Kementerian Pertahanan menggerakkan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu operasi pemindahan mangsa banjir.

Bencana kali ini diakibatkan hujan berterusan selama hampir 10 hari, kata penduduk Segamat manakala menurut Jabatan Meteorologi, hujan dijangka turun hingga minggu ini di Segamat, Kota Tinggi dan Kluang.

Johor menyaksikan lebih  37,000 telah dipindahkan dengan dua kematian manakala di Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang membabitkan sekitar 5,000 orang.

Seorang meninggal dunia di Jasin, Melaka.

Penduduk tempatan Segamat bimbang keadaan banjir akan semakin buruk berbanding yang melanda kawasan itu pada Disember 2006 dan Januari 2007.

Hotel-hotel di Segamat terpaksa memindahkan ruang memasak ke aras yang lebih tinggi untuk menyediakan makanan bagi tetamu, yang hanya mampu menyaksikan sebahagian bandar yang terselamat dalam banjir 2006 tetapi tidak terlepas daripada bencana kali ini.

Satu-satunya cara untuk mereka keluar dari Segamat dan perkampungan sekitar ialah dengan menggunakan bot.

Sebahagian mangsa dilihat meninggalkan rumah masing-masing yang dinaiki air setinggi satu meter menggunakan sampan manakala pasar mini dan pasar raya yang tidak terlibat dengan banjir pula sudah kehabisan bekalan makanan.

Keluarga di pusat-pusat pemindahan juga risau dengan mendakwa bekalan makanan hanya cukup untuk sehari meskipun pihak berkuasa mengatakan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang mengambil  langkah yang perlu untuk menyediakan makanan kepada mangsa-mangsa terlibat.

Banjir juga mencecah laluan Lebuh Raya Utara Selatan dekat Tangkak selepas air Sungai Kesang melimpah.

Keadaan itu menyebabkan pergerakan kenderaan menggunakan satu lorong, sekali gus membawa kepada kesesakan sejauh 10 kilometer ketika ramai mula menggunakannya sempena sambutan Tahun Baru Cina Khamis ini.

Sehingga petang tadi lebih 10,169 orang di daerah Segamat dipindahkan ke pusat perpindahan ekoran keadaan banjir yang semakin teruk.

Menurut jurucakap bilik gerakan banjir daerah Segamat, sehingga pukul petang tadi kesemua penduduk telah dipindahkan dari rumah masing-masing dan dibawa ke 82 pusat perpindahan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 2,400 keluarga dipindahkan ke pusat perpindahan.

“Kita jangkakan jumlah itu akan bertambah, selain itu 19 kawasan terputus hubungan dan beberapa jalan utama juga terpaksa ditutup termasuk jalan Segamat ke Jementah dan Segamat ke Gemas,” katanya.

Menurut jurucakap itu, keadaan banjir yang melanda daerah Segamat sejak semalam ekoran hujan berterusan sejak awal pagi dijangka akan terus meningkat sekiranya hujan masih turun.

“Bandar Segamat sudah ditenggelami air, begitu juga dengan beberapa kawasan petempatan lain terutamanya di kawasan kampung.

“Paras air masih lagi sama, kejap naik kejap turun tapi kalau masih hujan kita jangkakan ia akan naik lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, banjir yang melanda Johor meragut nyawa dua wanita — seorang di Chaah, Segamat, dan seorang lagi di Kampung Rahmat, Kulaijaya.

Kedua-duanya terperangkap dalam kenderaan masing-masing yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian malam tadi.

Di Chaah, Rohani Ismail, 51, lemas selepas kereta yang dipandunya dihanyutkan arus deras di KM145 Jalan Johor Baharu-Seremban, kata Ketua Polis Daerah Segamat, Supt Abdul Majid Mohd Ali.

Di Kulaijaya pula, Ketua Polis Daerah Kulaijaya Supt Zulkefly Yahya berkata, mangsa yang lemas akibat banjir di Kampung Rahmat dikenali Aw Yoke Lin, 53, berasal dari Taman Pelangi.

Pegawai Jabatan Meteorologi memberitahu The Malaysian Insider, hujan lebat diakibatkan musim monsun timur laut.

“Angin dari musim monsun timur laut membawa hujan lebat, Johor menjadi tumpuan,” katanya.

“Fenomena La Nina juga mungkin menyebabkan hujan lebat juga,” kata pegawai jabatan itu.

Laporan berasingan Bernama menyebut, banjir di Melaka meragut mangsa pertama hari ini di Jasin sementara 2,714 mengsa dipindahkan di 26 pusat pemindahan di ketiga-tiga daerah di Melaka sehingga empat petang ini.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri berkata mangsa yang dipindahkan terdiri daripada 616 keluarga di daerah Jasin, Alor Gajah dan Melaka Tengah.

Seramai 1,275 mangsa dari 330 keluarga dipindahkan di Jasin di 15 pusat pemindahanan, 1,390 mangsa dari 278 keluarga di Alor Gajah di 10 pusat pemindahan dan 49 mangsa dari lapan keluarga di Melaka Tengah di satu pusat pemindahan.

Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Che Suza Che Hitam, berkata, mangsa yang ditemui lemas ialah Yusry Mohd Yusof, 40, seorang pengawal keselamatan di Loji Air, Kg Chinchin, Jasin.

“Mangsa dilaporkan terjatuh ke kolam itu pada pukul 10 pagi ini dan polis dengan bantuan orang ramai, pasukan bomba dan penyelamat menemui mayat mangsa kira-kira 1.30 tengah hari,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Kerajaan negeri telah membuka bilik gerakan banjir yang beroperasi 24 jam di Kota Cemerlang, Air Keroh, di sini dan boleh menghubunginya di talian 06-2333333.

Seramai 538 mangsa banjir dari empat daerah di Pahang ditempatkan di 13 pusat pemindahan, kata Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abd Rahim.

Beliau berkata mangsa-mangsa itu adalah dari 18 perkampungan di daerah Rompin, Raub, Bera dan Maran yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan yang dibuka sejak pukul 2.40 petang semalam.

Daerah Raub mencatatkan angka pemindahan tertinggi dengan 204 mangsa diiikuti Rompin (179), Bentong (100) dan Maran (55), katanya kepada pemberita di Kuantan.

Sementara itu katanya, beberapa jalan di daerah Bentong, Bera dan Rompin ditutup kepada semua jenis kenderaan setelah dinaiki air setinggi 1.5 hingga dua meter.

Jalan-jalan tersebut ialah di KM9, 12 dan 13 Jalan Karak-Kuala Pilah di Bentong, jalan alternatif Kampung Pasal ke Felda Palong 8 dekat Muadzam Shah, jambatan Kampung Lubuk Batu dan Jambatan Sungai Gayung di Rompin serta KM22 Jalan Kemayan ke Ladang Risda di Bera.

Bernama juga melaporkan bahawa kira-kira 1,921 penduduk dari empat daerah dipindahkan ke pusat pemindahan hari ini berikutan banjir akibat hujan yang turun sejak semalam.

Gemas dan Tampin merupakan daerah yang paling teruk dilanda banjir apabila seramai 1,545 mangsa dipindahkan ke 13 pusat pemindahan.

Banjir di Gemas kali ini adalah paling teruk berbanding tahun 2006, ekoran hujan luar biasa yang berterusan dalam tempoh dua hari menyebabkan air Sungai Muar melimpah.

Pekan Gemas ditenggalami air hingga menjejaskan aktiviti perniagaan.

Oleh Shannon Teoh, Syed Mu’az Syed Putra dan Boo Su Lyn

Sebahagian daripada mangsa banjir di kawasan Segamat dipindahkan ke tempat lebih selamat oleh pasukan menyelamat mangsa banjir hari ini. — Foto oleh Choo Choy May

%d bloggers like this: