Monthly Archives: November 2010

Che det Suruh Lupakan Sejarah


Untuk wujudkan bangsa Malaysia perlu lupakan sejarah dan bangsa

Konsep 1Malaysia yang dipelopori oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak hanya akan berjaya jika rakyat membelakangkan bangsa dan keturunan masing-masing dan mengasimilasikan diri menjadi satu, kata mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Katanya, konsep Najib hampir sama dengan prinsip Wawasan 2020 yang diterajuinya dalam percubaan mewujudkan bangsa Malaysia bagi mencapai perpaduan kebangsaan.

“Apabila kita berbicara mengenai perpaduan kebangsaan kita mesti lupakan sejarah kita, keturunan dan menganggap diri kita sebagai rakyat Malaysia. Kita bercakap dalam satu bahasa dan tidak minta keistimewaan hanya kerana kita bumiputera ataupun bukan bumiputera,” kata Dr Mahathir.

Beliau menjawab soalan daripada hadirin ketika sesi dialog pada forum ketiga dialog Malaysia-Eropah (MEF) di Kuala Lumpur.

Dr Mahathir juga membidas kumpulan yang menyokong ‘prinsip 1Malaysia’ tetapi masih mempertahankan diri mereka daripada kumpulan yang berasal daripada latar belakang sesuatu keturunan.

“Kita tidak boleh lagi anggap diri kita rakyat Malaysia yang berketurunan Melayu, Cina ataupun India,” katanya sambil menambah jika rakyat boleh melupakan perkara itu, 1Malaysia akan mempunyai pengertian sebenar.

Forum ini menyaksikan Mahathir duduk di pentas yang sama dengan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Tan Sri Rafidah Aziz yang bertindak sebagai moderator sesi dialog.

Pena: Mungkin sebab itulah diwaktu pemerintahan che det dulu dihilangkan status ‘bangsa’ pada Kad Pengenalan.

Terima kasih pada Pak Lah kerana mewujudkan status agama pada Kad Pengenalan.

Persoalan sekarang ialah kononnya umno membela Melayu, jika semua melayu Islam di Malaysia sudah tidak menjadi Melayu.

umno nak bela apa pulak?.bela kroni lama dah orang tahu.

Rupa bangsa sebenarnya ialah penciptaan Allah..’Aku jadikan dikalangan kamu berbangsa bangsa supaya kamu saling kenal mengenali,dan sebaik baik manusia dikalangan kamu ialah yang paling berTaqwa kepada Allah’.

Sejarah mematangkan sesuatu bangsa,contohnya Jepun bangkit menyaingi kuasa ekonomi dunia selepas 30 tahun perang dunia ke 2.China menjadi peneraju ekonomi Asia selepas membuka pintu dari ‘perang dingin’. Iran menjadi kuasa ekonomi dunia ke 9 selepas ‘Revolusi Islam Iran’.

Adakah kita perlu lupakan sejarah ‘Jatuhnya Kota Melaka Kerana Mamak Bendahara’?

Minyak Ron 97 Naik 15 sen


Minyak Ron97 naik lagi 15 sen menjadikan harga baru $2.30 sen seliter


KUALA LUMPUR, 30 Nov – Harga minyak petrol RON97 mengalami kenaikan 15 sen kepada RM2.30 seliter mulai tengah malam ini.

“Ya, harga minyak petrol RON97 naik mulai esok,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.

Ia kenaikan kali kedua sejak kerajaan membuat pelarasan subsidi dan mengapungkan harganya dari semasa ke semasa.

m.i

‘Habislah Orang Kampong Baru’


Pindaan Draf Perancangan Kuala Lumpur 2020:Dr Lolo’

Ahli parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali berkata pindaan terbaru Draf Rancangan Pembangunan Kuala Lumpur 2020 yang menyaksikan Kampung Baru ditandakan sebagai kawasan komersial sepenuhnya, perlu dipersoal,.

Katanya, pindaan itu juga memberi maksud bahawa penduduk Kampung Baru tidak boleh lagi menetap di Kampung Baru dan perlu berpindah.

“Habislah orang Kampung Baru. Pindaan terkini Deraf KL 2020 menandakan Kampung Baru sebagai kawasan komersial seratus peratus.

“Bermakna tiada residential area. Orang Kampung Baru tak boleh tinggal dah di Kampung Baru, semua kena pindah terus,” katanya yang juga AJK PAS Pusat kepada Harakahdaily.

Dr Lo’ Lo’ berkata demikian sebagai mengulas pindaan terbaru Draf Rancangan Pembangunan Kuala Lumpur 2020.

Zon komersial sepenuhnya

Mengikut draf rancangan itu, Kampung Baru di Kuala Lumpur telah ditandakan sebagai kawasan komersial sepenuhnya.

Perancangan itu, kini dipamerkan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sehingga Rabu ini dan menunjukkan semua kawasan seluas 250 ekar tanah di Kampung Baru akan dimasukkan sebagai satu daripada tiga Pusat Komersial Bandaraya (CCC).

Dua lagi CCC itu adalah kawasan sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan kawasan sekitar KL Sentral di Brickfields.

CCC, seperti ditakrif dalam draf itu tidak perlu mempunyai unit kediaman dan boleh mempunyai 100 peratus kawasan komersial.

Ini menimbulkan tandatanya sama ada rumah-rumah kediaman di Kampung Baru, termasuk rumah tradisional Melayu terpaksa dirobohkan untuk pembinaan bagunan komersial.

Namun plan draf itu menyatakan pembangunan masa depan tidak akan menghakis imej Kampung Baru sebagai tapak warisan Melayu tetapi sebaliknya berkata akan ‘memperkuatkan lagi identiti Melayu daripada pelbagai aspek”.

Masjid diperbesarkan

Ia bagaimanapun tidak memberi butiran tersebut kecuali berkata konsep seni bina Melayu akan diterapkan.

Seorang pegawai DBKL yang mengendalikan ‘booth’ di sana memberi jaminan bahawa rancangan pembangunan Kampung Baru akan memastikan tanda mercu seperti Masjid Jamek dan Kelab Sultan Sulaiman tidak akan diusik.

“Malah, masjid akan diperbesarkan,” katanya yang memohon namanya tidak disiarkan.

Ditanya mengenai nasib yang bakal dialami oleh kira-kira 39,000 penduduk Kampung Baru, pegawai itu memberi jaminan mereka tidak akan diusir keluar.

Apabila diajukan bagaimana ini akan dilakukan, beliau berkata pembangunan akan dijalankan secara berperingkat tetapi tidak mahu mengulas lanjut.

Penjara Pudu

Perkembangan terbaru itu menimbulkan persoalan sama ada rumah-rumah kediaman di Kampung Baru, termasuk rumah tradisional Melayu terpaksa dirobohkan untuk pembinaan bagunan komersial.

Menurut Lo’ Lo’ lagi, lebih menghairankan, kenapa kawasan Penjara Pudu boleh dibina kawasan penempatan, sedangkan ia juga terletak di kawsan bandar Kuala Lumpur, malah bukan kawasan penempatan pun sebelum ini.

“Hairannya Penjara Pudu akan dibangunkan dengan 30 peratus residential,” katanya lagi.

Kira-kira 39,000 penduduk menetap di Kampung Baru dan nasib mereka kini menjadi tanda tanya.

Mk

‘Making Love’ Depan Mayat


Mohafri yang dituduh membunuh isterinya Fazlina

Astaga: Keterangan dari kekasih tertuduh

SHAH ALAM – Saksi pendakwaan kelima yang juga kekasih kepada Mohafri Mohamed, 38, tertuduh yang didakwa membunuh isterinya, Fazlina Ahmad, 39, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, mereka mengadakan hubungan seks di dalam bilik di rumah tertuduh tempat mayat wanita itu ditemui dalam almari pakaian.

Sebelum itu, saksi Nazratul Annis Zainal Abidin, 23, dalam keterangannya berkata, dia dijemput Mohafri, 38, di Hentian Bas Jalan Duta, Kuala Lumpur sebaik tiba dari Parit Buntar, Perak pada pukul 5 petang, 30 Disember 2009.

Cerita saksi itu, dia yang mengenali tertuduh ketika bekerja di Tropicana Medical Centre, Petaling Jaya tahun 2009 datang ke Kuala Lumpur pada hari itu kerana merancang untuk berkahwin di sempadan Thailand selepas hubungan mereka dihalang oleh bapanya.

Nazratul Annis berkata, dia bersetuju untuk berkahwin dengan Mohafri selepas tertuduh mengaku dia sudah menceraikan isterinya.

Dari Hentian Bas Jalan Duta, Mohafri membawanya ke sebuah rumah di Ampang dekat sini.

“Saya naik ke bilik tidur di tingkat atas untuk menggunakan tandas sebelum tertuduh mengajak saya melakukan hubungan seks,” katanya di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki.

Nazratul Annis yang kini bekerja sebagai pelatih pengurusan di Pulau Pinang memberi keterangan terhadap Mohafri yang didakwa membunuh isterinya, Fazlina yang mayatnya disumbat ke dalam almari pakaian di rumahnya dalam keadaan hidung dan mulutnya ditutup dengan pita pelekat.

Negara Arab Minta U.S Serang Iran


Pendedahan dari maklumat WikiLeaks

WASHINGTON – Dokumen sulit Amerika Syarikat (AS) yang didedahkan dalam laman web WikiLeaks di Internet kelmarin mendedahkan bahawa pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah meminta AS menyerang Iran.

Tujuan serangan itu diminta adalah untuk menghalang program nuklear Iran.

Maklumat itu didedahkan menerusi penghantaran maklumat menerusi kabel melalui kedutaan AS.

Ia turut mendedahkan bahawa AS, Israel dan negara-negara Arab mengesyaki bahawa Iran semakin hampir untuk mengeluarkan senjata nuklear.

Raja Arab Saudi berulang kali menggesa AS untuk menyerang Iran bagi menamatkan program senjata nuklearnya.

“Baginda (Raja Abdullah) memberitahu anda (pegawai-pegawai AS) untuk memotong kepala ular,” kata Duta Arab Saudi ke Washington, Adel al-Jubeir.

Maklumat itu didedahkan berdasarkan satu laporan berhubung mesyuarat antara Raja Abdullah dengan pegawai tinggi tentera AS, Jeneral David Petraeus pada April 2008.

Maklumat itu turut mendedahkan bahawa:

* Pegawai-pegawai di Jordan dan Bahrain meminta secara terbuka supaya program nuklear Iran dihentikan dengan menggunakan pelbagai pendekatan termasuk ketenteraan.

* Pemimpin-pemimpin di Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir merujuk Iran sebagai jahat, satu ancaman yang wujud dan satu kuasa yang akan menyebabkan negara tersebut berperang.

* Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates memberi amaran pada Februari lalu bahawa jika usaha-usaha diplomatik gagal risiko perkembangan senjata nuklear di Asia Barat akan berlaku menyebabkan perang berlaku menerusi satu serangan Israel.

* Ketua Perisikan tentera Israel, Mejar Jeneral Amos Yadlin memberi amaran pada tahun lalu bahawa: “Israel tidak berada dalam satu kedudukan untuk silap penilaian ke atas Iran dan menjadi terkejut seperti AS mengenai serangan 11 September 2001.”

Ketika ditanya mengenai kenyataan itu, jurucakap Jabatan Negara AS, PJ Crowley semalam menyatakan bahawa dasar AS adalah tidak memberi komen berhubung bahan-bahan itu.

Iran beulang kali menyatakan bahawa program nuklearnya adalah untuk membekalkan tenaga dan bukan mengeluarkan senjata nuklear.

Agensi

Dr M Tak Sokong Menara 100 Tingkat


Che Det memberi amaran tentang lambakan hartanah di Lembah Kelang

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberi amaran bahawa rancangan kerajaan bagi membina bangunan 100 tingkat Warisan Merdeka akan menyaksikan lebihan hartanah dan ruang pejabat yang kini sudahpun melanda Lembah Klang.

“Jika anda bertanya saya, kita belum memerlukan menara 100 tingkat itu,” kata Mahathir ketika menjawap soalan daripada hadirin pada persidangan “Revisiting Vision 2020” anjuran Institut Pemasaran Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

“Saya lihat banyak papan tanda ‘untuk dijual’ dan ‘untuk disewa’ apabila saya bersiar-siar. Ini bermakna kita telah mempunyai bangunan yang mencukupi.

Sebelum ini, Mahathir menggesa kerajaan merujuk dengan rakyat berhubung projek Warisan Merdeka dan secara tidak langsung menyokongnya kerana berpendapat ia akan memberi kesan ekonomi yang positif.

Dalam nada yang sama, Mahathir berkata beliau mungkin mempunyai pandangan yang berat sebelah kerana Menara Berkembar Petronas adalah projek semasa pemerintahnnya dan beliau tidak mahu melihat rekodnya sebagai bangunan tertinggi di negara ini diatasi.

“Mereka boleh bina, tetapi bukan sekarang, mungkin kemudian… apabila saya tiada lagi,” katanya dalam nada bergurau.NONEDubai merupakan contoh klasik tentang lebihan bangunan, katanya lagi ketika menjawab soalan lain daripada hadirin.

Menurut beliau, Jepun dan Hong Kong juga mengalami keadaan yang sama pada masa
lalu.

“Jepun masih belum pulih daripada keruntuhan ekonominya disebabkan oleh lebihan bangunan. Begitu juga Dubai dan apa yang terjadi di sana, boleh terjadi di mana-mana sahaja.

“Banyak orang beli dengan harapan harga akan naik dan mereka boleh menjualnya untuk mendapatkan keuntungan, tetapi ada kalanya harga melonjak terlalu tinggi hingga tidak boleh jual.

“Bila tidak boleh jual, kita tidak boleh bayar balik pinjaman yang kita ambil untuk beli harta itu. Bila perkara begini berlaku dengan meluas, bank-bank akan menjadi mangsa kerana tidak boleh dapat balik wang yang dipinjamkan,” kata Mahathir.

Oleh itu, Malaysia perlu berhati-hati.

“Hari ini, kita nampak banyak kren di Kuala Lumpur dan seluruh negara, kita juga bina, tidaklah gila-gila, tetapi gila juga membina,” katanya berjenaka.

Mk

%d bloggers like this: