Category Archives: sosial

Apa ‘Bisikan’ Zahid Hamidi Kepada Kawan Kawan ‘Tiga Line’


zahid 3

Pesan Zahid pada ‘kawan-kawan Tiga Line’

Berbeza dengan sikapnya pada kumpulan jenayah lain, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi nampaknya berlembut apabila bercakap mengenai kumpulan Tiga Line, yang disifatkannya sebagai rakan-rakannya dan menyarakankan agar pihak tersebut “menjalankan apa yang patut”.

Menteri Dalam Negeri itu membuat kenyataan tersebut dalam satu acara di Melaka pada Jumaat lalu, di mana beliau mengugut para wartawan yang hadir bahawa beliau akan menutup akhbar masing-masing sekiranya mereka melaporkan kenyataannya.

Malaysiakini bagaimanapun berjaya mendapatkan rakaman ucapan selama 20 minit di mana beliau mendakwa sedang berucap kepada perwakilan Umno, dalam majlis yang kelihatan seperti acara kerajaan.

Ahmad Zahid memulakan ucapan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Air Keroh itu dengan mengisytiharkan bahawa Ops Cantas yang dijalankan pasukan polis tidak mengenal warna kulit.

Katanya, polis memeriksa seramai 178,217 orang Melayu, 77,104 orang Cina dan 73,505 orang India serta 51,517 kaum lain dalam operasi memerangi kumpulan kongsi gelap itu.

Tambahnya, dari jumlah itu, seramai 14,511 orang didapati anggota kongsi gelap – 6,171 orang Melayu, 1,701 Cina, 3,685 India dan 2,954 kaum lain.

Kemudiannya, beliau menyebut mengenai kumpulan Tiga Line dan mengumumkan bahawa kumpulan itu bukanlah “samseng betul” tetapi hanya “gengster kenduri-kendara”.

“Tapi yang Melayu 6,171 ini, bukan samseng betul. Mereka dulu anggota Pekida, mereka merupakan kumpulan Tiga Line, Geng 30, Geng 7, ini gengster kenduri kendara…

“Saya beritahu kawan-kawan Tiga Line itu, jalankan apa yang patut,” katanya yang disambut sorakan dari para hadirin.

Tiga Line merupakan antara 47 kumpulan kongsi gelap yang dikeluarkan oleh Kementeri Dalam Negeri pada Ogos lalu dan diisytiharkan sebagai pertubuhan haram.

Sementara itu, dalam twitnya lewat petang ini, Zahid yang juga ahli parlimen Bagan Datoh berkata:

“Perasaan dia orang cuma satu – kalau hentam orang suatu kepuasan. Orang lain semua tak betul. Semua berita dia orang ‘gospel truth’

www.malaysiakini.com/news/

EJA Pulak Ikut Bertudung


PELANCARAN COSRY

Eja Azam Tidak Tinggalkan Solat Selepas Bertudung
Oleh FERIDE HIKMET ATAK (feride@thestar.com.my)

PETALING JAYA: Selepas membuat keputusan bertudung sekembalinya dari menunaikan umrah pada Mac lalu, pelakon Eja mempraktikkan diri untuk tidak meninggalkan solat.

Eja atau nama sebenarnya Siti Shahrizah Saifuddin, 41, berkata, selama ini dia jarang melengkapkan sembahyang lima waktu yang diwajibkan untuk umat Islam kerana kesibukan tetapi selepas mendapat hidayah Allah, dia akan pastikan kewajipan itu dapat dilaksanakan walaupun di lokasi penggambaran.

“Sebagai manusia, banyak kekurangan yang saya miliki kerana sibuk dengan hal-hal dunia dan sepanjang 17 tahun berada dalam industri seni, kadang-kadang saya lupa terhadap kewajipan saya.

“Tetapi sejak pulang daripada mengerjakan Umrah buat kali keempat, hati dan fikiran saya sudah mula berubah.

“Saya memastikan diri ini tidak tinggalkan solat dan seandainya terlepas dengan tidak sengaja, saya akan qada semula. Selebihnya saya serah kepada Allah,” katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Khamis.

Tambah pelakon yang popular dengan filem Sepi dan Janin ini, perubahan imej bertudung juga membuatkan dia lebih berjaga-jaga daripada segi tingkah laku serta pertuturan agar tidak dipandang serong.

Watak bertudung Eja dalam drama lakonannya turut mempengaruhi dia menutup aurat.

Malah Eja juga berazam untuk melakukan kebaikan sesama manusia agar dapat menggembirakan mereka selain berusaha tidak melukakan hati sesiapa.

Sementara itu, Eja juga bersyukur imej baharu itu tidak menyekat rezekinya sebagai pelakon sebaliknya tawaran yang diterima tidak pernah putus termasuklah turut dilantik menjadi duta buat produk Cosry Skin Therapy.

“Kalau nak tahu, saya menandatangani kontrak dengan pihak Cosry sebelum bertudung dan Alhamdulillah apabila bertudung, mereka tetap menerima imej baru saya ini.

“Dan saya berpendapat, apabila kita melakukan perubahan kerana Allah, sudah pasti rezeki kita sentiasa ada dalam apa-apa situasi sekalipun asalkan kita rajin berusaha,” ujarnya.

Dalam pada itu Eja turut menasihati artis-artis bertudung lain agar tidak risau untuk meneruskan karier kerana industri hiburan tempatan sekarang ini lebih terbuka.

Mengenai perkembangannya Eja baharu selesai menjalani penggambaran filem Tembus, arahan Ahmad Idham dan Manisnya Cinta (Bernard Chauly).

Malah Eja juga bakal mengacarakan sebuah program televisyen mengenai isu wanita dan berhajat mengarah sebuah filem pendek tidak lama lagi.

Gambar Terbaru Lina Hangat Berhijab


Leina Hangat Berhijab, Enggan Lihat Gambar Lama

leina hangat cool

Gambar terbaharu Leina Hangat diambil daripada laman Facebook miliknya.

PETALING JAYA: Penyanyi Leina Hangat mengakui tidak mahu melihat gambar-gambar lamanya yang berpakaian seksi selepas tekad untuk berhijab dan berubah menjadi lebih baik.

Leina atau nama sebenarnya, Norazlina Abdul Rahman, 40, berkata, dia enggan menoleh ke belakang dan mahu memulakan kehidupan baru yang lebih diredai.

“Saya tidak pernah tengok gambar lama, jika orang masih bercakap fasal gambar-gambar seksi saya biarlah, itu zaman jahiliah dan saya jadikan ianya sebagai renungan untuk menjadi lebih baik.

“Semua yang terjadi dalam hidup kita ada hikmahnya, saya tidak kisah orang anggap saya tidak sempurna, asalkan saya cuba jadi yang terbaik demi Allah taala,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Ahad.

Kata Leina, dia mula berubah pada Ogos lalu selepas menghadiri kursus keagamaan yang membuatkan hatinya terdetik untuk bertudung dan menjalankan tanggungjawab kepada agama.

Jelasnya, perubahan tersebut juga membuatkan dirinya lebih banyak menghabiskan masa bersama keluarga di rumah.

“Saya rasa saya sudah terlambat dan sepatutnya dari dulu lagi saya berubah tapi saya bersyukur ada masa lagi untuk saya bertaubat.

“Saya akui bukan senang untuk berubah secara drastik tapi perkara pertama yang saya jaga ialah untuk tidak tinggal sembahyang dan sebab itu juga saya lama tidak jumpa kawan-kawan,” katanya.

Perubahan tersebut juga membuatkan dirinya menjadi lebih tenang dan menghargai nikmat yang Allah berikan kepadanya.

Sementara itu, bercakap soal nama, Leina berkata dia masih mahu dikenali dengan nama tersebut.

“Alhamdulillah, saya rasa lebih tenang dan lebih menghargai kehidupan saya sekarang.

“Tentang nama itu, biarlah orang panggil nama apa pun kerana bagi saya nama itu bukan satu masalah,” katanya.

Tambahnya, dia masih lagi meneruskan kerjaya sebagai penyanyi, namun kini lebih menjaga batas sebagai seorang yang berhijab.

kemalia othman mStar

Nama Anak Farid Kamil ialah Muhammad


muhammad bersaa diana daniel

Tanda tanya mengenai nama anak Farid Kamil dan Diana terjawab

KUALA LUMPUR: Pelakon Diana Danialle, 22, mendedahkan nama anak lelakinya yang kini berusia dua bulan sebagai Muhammad Farid Kamil.

Isteri kepada pengarah dan pelakon Farid Kamil ini berkata, pemilihan nama tersebut dibuat oleh ibu mertuanya selepas dia pulang ke Malaysia beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Nama anak saya Muhammad, mudah dan senang tapi kami panggil dia Sayang sahaja.

“Sebenarnya nama itu dipilih oleh nenek dia dan kami juga bersetuju dengan nama itu,” katanya yang ditemui ketika menemani Farid pada Malam Gala Filem Dampak, di sini, Khamis.

Diana berkata demikian ketika ditanya mengenai anaknya yang dikatakan masih menjadi rahsia dan hanya akan disiarkan melalui program eksklusif sebuah stesen televisyen swasta.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas tentang hubungan dia dan ibunya Norsiah Ramli yang dilaporkan dingin, Diana enggan mengulas perkara tersebut.

“Maaf ya, saya tidak mahu komen tentang itu, terima kasih,” katanya.

Sementara itu, Diana yang masih lagi berpantang itu mengakui belum bersedia untuk kembali berlakon.

“Buat masa ini saya belum bersedia untuk kembali berlakon kerana kondisi saya yang lemah dan masih menyusukan Muhammad,” katanya.

Tambahnya lagi, dia kurang mempercayai orang luar untuk menjaga anaknya itu ketika dia bekerja.

Sementara itu, Diana kini menetap di kampung halaman suaminya di Kedah bagi menghabiskan tempoh berpantang.

“Saya selesa tinggal di kampung kerana lebih aman seperti ketika saya berada di Australia.

“Insya-Allah kalau ada rezeki anak kedua nanti saya ingin pergi ke tempat seperti itu lagi,” katanya.

Farid Kamil dan Diana Danielle selamat diijab kabul pada 3 November 2012 di Hotel Flamingo By The Lake, Ampang.

Bercakap tentang pengajiannya, Diana yang sedang menuntut di National Institute of Dramatic Art (NIDA), Australia, berkata, dia bakal menjalani latihan praktikal di Malaysia selepas selesai proses berpantang.

kemalia othman mStar

Faraf AF Muflis ?


farah AF

paper

NAMA Farah Diana Anuar atau Farah AF kembali menjadi perhatian ramai, apabila sebuah akhbar memaparkan nama dan alamat Farah, serta mendakwa bintang yang lahir dari program Akademi Fantasia musim kedua ini sudah muflis.

Berita ini ternyata mengejutkan ramai pihak selepas penyanyi dan pengacara ini didakwa terlibat dengan kes mencuri.

Ia menjadikan Farah sebagai artis kedua yang diisytiharkan muflis selepas penyanyi, Aweera, Julai lalu.

Bagaimanapun, usaha Zass untuk mendapatkan bapa Farah sendiri tidak berhasil apabila telefon bimbitnya tidak diangkat, manakala telefon Farah ditutup.

SH- WAN NASRAH ABDUL RAHIM

Banteras Syiah: Malaysia Tidak Akan Putuskan Hubungan Diplomatik Dengan Iran – Anifah


anifah

Tidak wajar dan tidak berasas kata Menteri Luar Malaysia

PETALING JAYA: Malaysia tidak akan memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran dalam usaha membanteras penyebaran ajaran Syiah di negara ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata Iran merupakan rakan penting bagi Malaysia dan adalah tidak wajar serta tidak berasas, kerana isu yang dibincangkan merupakan satu isu domestik yang perlu ditangani oleh pihak berkuasa yang berkenaan di negara ini.

“Ingin saya menyatakan bahawa kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh itu tidak mencerminkan pandangan Kerajaan Malaysia walau dalam apa cara sekalipun.

“Adalah menjadi dasar luar Malaysia untuk menjalin hubungan baik dengan semua negara berlandaskan sikap saling menghormati untuk memupuk hubungan muhibah dan kerjasama dalam semua bidang yang berkepentingan demi manfaat bersama,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Dalam laporan media baru-baru ini, Wan Zahidi dilaporkan mengusulkan supaya Kerajaan Malaysia menamatkan hubungan diplomatik dengan Iran dalam Seminar “Mendepani Virus Syiah”, yang diadakan di Pusat Islam, Kuala Lumpur pada 8 September lalu.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Anifah berkata dalam usaha untuk memperkukuh dan memperluaskan skop serta keakraban hubungan Malaysia dengan negara-negara lain, adalah menjadi amalan Malaysia untuk berinteraksi dengan semua negara yang menjadi rakan kongsi melalui pelbagai mekanisme dan forum yang turut memberikan peluang kepada Malaysia untuk membincangkan serta menyelesaikan isu-isu berkepentingan bersama.

Justeru itu, beliau berkata gesaan supaya Malaysia memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran, adalah tidak wajar serta tidak berasas, kerana isu yang dibincangkan merupakan satu isu domestik yang perlu ditangani oleh pihak berkuasa yang berkenaan di negara ini.

“Saya ingin menyatakan bahawa Malaysia mengalu-alukan kedatangan warganegara asing ke Malaysia untuk meneroka serta menikmati keindahan dan kepelbagaian unik yang ditawarkan Malaysia termasuklah hospitaliti rakyatnya, serta mengalu-alukan penyertaan mereka dalam bidang perniagaan di Malaysia.

“Semasa berada di Malaysia, mereka perlulah menghormati undang-undang Malaysia dan peka akan sensitiviti budaya dan agama masyarakat negara ini, serta tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara kita atau menyebabkan perpecahan atau mengganggu keharmonian kaum dan agama, termasuklah perihal yang membabitkan agama Islam di Malaysia yang mempunyai kepelbagaian sosial dan budaya,” katanya.

Anifah berkata sepertimana juga di negara lain, sebarang pelanggaran undang-undang dan tingkah laku yang menimbulkan ketegangan di negara ini tidak kira sama ada kesalahan tersebut dilakukan oleh rakyat Malaysia ataupun warganegara asing akan dikenakan tindakan mengikut lunas undang-undang Malaysia.

mStar

%d bloggers like this: