Tag Archives: kongsi gelap

PEKIDA Sahkan Tiada Kaitan Dengan Tiga Line dan Geng 30


Gambar dari leecopperten.blogspot.com.

“Mengatakan Tiga Line dan Geng 30 mempunyai kaitan dengan Pekida sama sekali tidak benar”

Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) Malaysia, Jamaludin Yusof menegaskan dua kumpulan yang diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini iaitu Tiga Line dan Geng 30 tidak mempunyai kaitan dengan mereka.

Jamaluddin berkata, Pekida merupakan sebuah pertubuhan yang sah didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sejak 1983.

“Mengatakan Tiga Line dan Geng 30 mempunyai kaitan dengan Pekida sama sekali tidak benar.

“Ahli Pekida berdaftar dan kami mempunyai perlembagaan yang mesti dipatuhi oleh setiap ahli. Setiap ahli kami mempunyai kad yang sah dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti menyalahi undang-undang,” katanya yang memegang jawatan tersebut sejak 2008 kepada The Malaysian Insider awal minggu ini.

Jamaludin, 60, berkata sepanjang bergiat aktif dalam Pekida selama 30 tahun, matlamat pertubuhan tersebut hanya membela nasib kaum Melayu khususnya dalam ekonomi dan keselamatan.

“Pekida adalah pertubuhan yang berlandaskan moto ‘amal makruf nahi mungkar’, ini adalah matlamat awal sejak penubuhannya dan kami tidak pernah lari daripada landasan ini.

“Kami bukan pertubuhan gengster atau pun kongsi gelap, apa yang kami laksanakan adalah demi memartabatkan dan menjaga keselamatan kaum Melayu,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak terdapat segelintir bekas ahli Pekida yang menyertai Tiga Line dan Geng 30 sehingga menyebabkan terkena tempias hingga menimbulkan persepsi tidak baik.

“Memang ada bekas ahli Pekida yang menyertai kedua-dua kumpulan tersebut.

“Secara tidak langsung apabila berlaku perkara tidak baik, Pekida pun kena tempias juga walhal kami tidak buat semua itu,” katanya.

Beliau berkata, Pekida sentiasa berusaha untuk mewujudkan suasana yang aman dalam negara di samping merapatkan diri dengan masyarakat menerusi program anjuran mereka.

“Kami sentiasa merapatkan diri dengan masyarakat untuk menangkis imej tidak baik yang dikaitkan dengan Pekida,” katanya.

Beliau berkata, Pekida tidak menggunakan simbol “tiga” seperti dua pertubuhan yang diharamkan oleh KDN tersebut, sebaliknya mempunyai logo tersendiri bagi melambangkan pertubuhan itu.

September lalu, KDN mengumumkan 49 petubuhan haram di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Senarai itu dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan mengandungi beberapa kumpulan termasuklah Tiga Line dan Geng 30.

Berbeza dengan pendekatan pertubuhan lain, Jamaludin berkata, Pekida yang memiliki 230,000 ahli seluruh negara mahu dikenali dan dihormati oleh masyarakat dan bukan untuk digeruni atau ditakuti seperti yang digambarkan sesetengah pihak dan orang awam.

“Kami yang akan ke hadapan sekiranya berlaku buruk dalam negara. Perjuangan Pekida berlandaskan al-Quran dan Hadis,” katanya.

Dalam satu klip rakaman suara yang dimuat naik oleh sebuah portal berita minggu baru-baru ini, Ahmad Zahid mempertahankan Tiga Line akan tetapi tindakan tegas diambil ke atas kumpulan lain, memberi gambaran mereka “sebagai rakannya dan menggesa mereka untuk melakukan apa yang perlu”.

Rakaman ucapan Ahmad Zahid sepanjang 20 minit itu, ketika beliau sedang berucap dalam satu majlis kerajaan di Melaka.

Susulan pendedahan ucapan itu, Ahmad Zahid dibidas pelbagai pihak kerana membela kumpulan gengster dan kongsi gelap walaupun diharamkan oleh kementeriannya. – 13 Oktober, 2013.

MD IZWAN tmi

‘Janda Ganas’


Hilang arah selepas cerai

Dia layak digelar janda gengster! Selepas diceraikan suaminya, wanita ini cuba melupakan masalah dihadapi dengan cara songsang apabila terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan kumpulan kongsi gelap.

Lebih memalukan, janda mualaf berusia 28 tahun yang memeluk Islam ketika berkahwin dengan bekas suaminya tiga tahun dulu seakan-akan membelakangi agama dianutinya apabila kini mempunyai dua anak hasil hubungan luar nikah dengan dua lelaki berbeza.
Usaha wartawan Metro Ahad yang cuba menyelongkar kisah janda ganas ini berhasil apabila penyiasatan dilakukan berjaya menembusi tembok ‘kebal’ wanita itu.

Hidup janda dikenali sebagai Zalika atau Ika itu didapati tidak terurus apabila dia tidak lagi bekerja. Disebabkan itu, kehidupannya bersama dua anak yang masih kecil terumbang-ambing dan serba kekurangan, lebih-lebih lagi apabila si ibu menjadi hamba dadah.
Selepas berjaya memasuki rumah wanita itu menerusi penyamaran, wartawan mendapati Ika tanpa segan silu menghisap syabu di depan anak perempuannya berusia dua tahun.
Selain itu, keadaan rumah yang sempit, tidak terurus, berbau serta kotor juga tidak sesuai buat wanita ini membesarkan anaknya, termasuk paling kecil berusia empat bulan.

Menurut Ika yang berasal dari Johor Bahru, pada mulanya dia berhijrah ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan pekerjaan tetapi selepas beberapa bulan di bandar raya ini, dia mengenali seorang lelaki beragama Islam dan kemudian merancang untuk berkahwin.
“Masa itu umur saya baru 23 tahun tetapi sudah berjinak-jinak dengan heroin dan syabu. Pada waktu itu juga saya dan keluarga penganut agama Kristian.

.

“Tidak lama selepas itu, kami mengikat tali pertunangan dan saya bertekad ingin mempelajari Islam dan memeluk agama itu sebelum kami bernikah serta meninggalkan segala tabiat buruk yang pernah saya lakukan.
“Selepas berkahwin, keluarga mentua menyambut baik kedatangan saya sebagai saudara baru. Mereka mengajar dan membimbing saya mengenai pelbagai ilmu agama seperti bagaimana mahu menunaikan solat, membaca al-Quran dan menutup aurat seperti memakai tudung,” katanya.

.
Bagaimanapun, Ika menjelaskan, tanggungjawab terbabit yang sepatutnya dipikul bekas suaminya sering diabaikan dan lelaki itu menyerahkan segala-galanya kepada keluarga.
“Pada mulanya saya pelik kenapa bekas suami tidak mengajar saya mengenai perkara itu? Saya saudara baru yang harus dibimbing olehnya, tetapi perkara lain pula berlaku.

.
“Selepas tiga tahun berkahwin dan dikurniakan dua cahaya mata, tiba-tiba bekas suami benci dan muak melihat saya tanpa sebab. Dia juga secara terang-terangan mengatakan ada teman wanita baru dan ingin menceraikan saya.

.
“Hati wanita mana tidak hancur mendengar kenyataan itu, lebih-lebih lagi saya sanggup meninggalkan keluarga kerana cinta dan sayang kepadanya,” katanya.

.
Selepas diceraikan, kedua-dua anak wanita ini diambil bekas suaminya. Patah hati dengan tindakan itu dan bergelar janda pada usia 26 tahun, Ika mengambil keputusan tidak lagi menjalin ikatan dengan keluarga bekas suami dan mencari hala hidup baru.

.
Bagaimanapun, sinar dicari tidak ditemui apabila wanita ini mula berkawan dengan rakan lamanya. Sejak itu, Ika kembali mengambil dadah untuk melupakan masalahnya serta mengamalkan seks bebas sehingga terlanjur dengan teman lelaki.

.
“Selepas bercerai, saya seakan-akan hilang arah dan tidak tahu ke mana ingin dituju. Walaupun keluarga masih menerima saya, saya tidak mahu menyusahkan mereka kerana mereka juga bukan orang senang.
“Saya mengambil keputusan untuk hidup sendirian dan bergaul semula dengan teman lama. Lama-kelamaan, saya kembali mengambil dadah, melakukan seks bebas dan menyertai kumpulan kongsi gelap untuk melepaskan tekanan hidup,” katanya.
Selepas dua tahun menjanda, Ika tidak mempunyai kerja tetap dan kadangkala hanya menjadi pelayan separuh masa di sebuah restoran berdekatan rumahnya bagi menyara kehidupannya dan dua anak tidak sah taraf terbabit.

.
Menurut anak kedua daripada tujuh beradik ini, dia tidak mempunyai kelayakan untuk mendapatkan kerja yang baik, malah akibat pengambilan dadah, tingkah laku yang berbeza membataskan pergaulannya dengan orang ramai.
“Saya tidak ada keyakinan untuk mencari pekerjaan. Yang boleh saya lakukan ialah mencari kerja separuh masa saja. Walaupun tidak cukup untuk menampung belanja saya dan anak, sedikit sebanyak ia membantu. Paling tidak, saya menjadi ‘pusher’ menjual dadah secara kecil-kecilan.
“Kadangkala, kawan terdekat dan keluarga turut memberi bantuan untuk saya menyediakan keperluan dua anak. Walaupun tidak mewah, ia memadai bagi kami meneruskan kehidupan,” katanya.

.
Meskipun sudah lama terjebak dengan pelbagai gejala sosial sehingga membinasakan dirinya, Ika masih mengharapkan peluang kedua untuk kembali ke jalan asal.
Namun, sehingga kini apa saja dilakukannya menjadi serba tidak kena dan sering tersalah arah. Malah, Ika juga sedar tabiatnya menghisap dadah boleh mempengaruhi anaknya dan membinasakan hidup mereka.

.
“Saya seakan-akan berputus asa untuk meneruskan kehidupan, lebih-lebih lagi hidup saya tidak terurus dan sering berdepan masalah.
“Sebenarnya, saya pernah terfikir untuk menyerahkan dua anak ini kepada rumah kebajikan tetapi tidak sanggup berpisah dengan mereka.
“Saya sedar perangai buruk saya akan turut memakan diri mereka. Namun begitu, saya hanya ada mereka sebagai penguat semangat,” katanya.

mtmetro

307 ‘Rekrut Baru’ Kongsi Gelap Kena Berkas


ANTARA tujuh wanita yang hadir pada majlis angkat sumpah kumpulan penjenayah di sebuah Resort di Teluk Batik, malam kelmarin.

33 pelajar bakal duduki SPM, 7 wanita ditahan di sebuah resort

MANJUNG: Sekumpulan individu dipercayai dianggotai penjenayah dikesan cuba merekrut ahli baru mereka termasuk membabitkan pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini, menerusi penganjuran satu majlis khas di sebuah resort di Teluk Batik, di sini, malam kelmarin.

Mereka yang dipercayai datang dari seluruh negara terutama dari Pulau Pinang dikatakan mula mendaftar masuk ke resort itu bermula jam 3 petang kelmarin bagi menghadiri majlis ‘Hari Keluarga Genki Seven Malaysia’ yang dijadualkan diadakan di resort sama, bermula jam 8 malam.

Bagaimanapun, aktiviti dan perhimpunan haram itu berjaya dibanteras apabila sepasukan anggota dan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Perak dibantu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung menyerbu majlis terbabit kira-kira sejam kemudian.

Serbuan itu berjaya menahan 307 individu berusia 17 tahun hingga 30-an termasuk tujuh wanita dan 39 pelajar yang 33 daripadanya bakal menduduki SPM serta tiga kakitangan kerajaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata ketika serbuan dijalankan, semua mereka sedang mendengar ucapan dan dipercayai dalam proses mengangkat sumpah menjadi ahli kumpulan.

Katanya, polis mengesyaki mereka mengadakan majlis khas itu untuk merekrut ahli kumpulan baru dan menjadikan program hari keluarga berkenaan sebagai mengaburi pandangan masyarakat serta pihak berkuasa.

“Pada serbuan pertama, kami menahan 180 individu di dalam dewan berkenaan, manakala selebihnya ditahan di beberapa lokasi selepas siasatan susulan dibuat.
“Turut dirampas kemeja-T, pelekat kenderaan dan rantai kunci berlogo sebuah pertubuhan bukan kerajaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

“Semua mereka ditahan mengikut Seksyen 327 Kanun Keseksaan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung untuk siasatan lanjut. Siasatan polis mengesyaki kumpulan terbabit dipercayai mengadakan majlis mengangkat sumpah untuk sebuah kumpulan kongsi gelap,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Berita Harian ke lobi resort berkenaan ketika serbuan dijalankan mendapati satu kain rentang tertera tulisan ‘Hari Keluarga Genki Seven Malaysia’ yang disertakan dengan logo kumpulan.

oleh syamsul kamal dan nurhayati

%d bloggers like this: