KETUA Pemuda Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Puteri UMNO, Mas Ermieyati Samsudin meraikan kejayaan masing-masing selepas mengetahui keputusan tidak rasmi pemilihan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sebentar tadi. – Foto BERNAMA
Umno: Kemenangan Khairy, Shahrizat indikasi Hishammuddin kekal Naib Presiden
Kemenangan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi jawatan ketua bagi sayap Pemuda dan Wanita dalam pemilihan pimpinan bagi sayap-sayap parti Melayu itu membuktikan kekuatan pengaruh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dalam parti Melayu itu.
Kedua-dua Khairy dan Shahrizat merupakan sebahagian daripada “Team Najib” yang bertanding dalam pemilihan Umno kali ini berjaya mengenepikan kekuatan pengaruh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan elemen garis keras daripada meresap ke sayap-sayap utama parti itu.
“Jika saya mahu menang dengan selesa, saya boleh menggunakan formula sayap kanan. Saya mahu menunjukkan bahawa anda boleh menjadi progresif dan menang dalam Umno.
“Kita perlu memulakannya. Kita mesti berfikiran ke hadapan,” kata Khairy kepada pemberita sejurus selepas diumumkan sebagai pemenang oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Tan Sri Tajol Rosli Ghazali di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) awal pagi ini.
Kemenangan Khairy dan Shahrizat juga memberikan indikasi Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang turut berada dalam “Team Najib” mempunyai peluang cerah untuk mengekalkan jawatannya minggu hadapan walaupun ramai penganalisis politik meramalkan beliau sebagai salah seorang calon paling lemah bagi jawatan tertinggi dipertandingkan Umno itu.
Hishammuddin, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Shafie Apdal merupakan penyandang bagi jawatan naib presiden Umno.
Mereka dicabar oleh Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir, bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad.
Hishammuddin merupakan sepupu kepada Najib dan orang yang paling dipercayai oleh perdana menteri jika dilihat daripada amanah diberikan kepadanya dalam Kabinet.
Selain menjawat jawatan Menteri Pertahanan, Hishammuddin juga dipercayai Najib untuk memangku jawatan Menteri Pengangkutan yang akan diberikan kepada MCA selepas selesai pemilihan parti komponen mewakili kaum Cina dalam Barisan Nasional (BN) itu.
Jika pengaruh Najib mampu mengekalkan Khairy dan Shahrizat dalam Pemuda dan Wanita, tidak mustahil Hishammuddin juga mampu diselamatkan di jawatan naib presiden.
“Tak mungkin Najib akan biarkan Hishammuddin kalah. Daripada ketiga-tiga naib presiden Umno, Hishammuddin dipilih Najib untuk memangku jawatan Menteri Pengangkutan dan MCA juga boleh menerimanya,” kata seorang penganalisis politik kepada The Malaysian Insider.
“Walaupun Dr Mahathir dilihat mempunyai pengaruh besar dalam Umno, zaman beliau sudah berakhir, ini boleh dibuktikan dengan keputusan pilihan raya lalu di mana beliau tidak mampu membantu BN merampas kembali majoriti dua pertiga,” katanya.
Dalam pilihan raya umum ke-13 lalu, BN menang 133 kerusi Parlimen berbanding Pakatan Rakyat (PR) yang mendapat 89 kerusi. Selain itu, PR juga berjaya memenangi undi popular 51% berbanding BN yang hanya mendapat 47%.
Hishammuddin merupakan anak kepada perdana menteri ketiga Tun Hussein Onn dan cucu kepada pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar.
Pemilihan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri di 191 bahagian Umno membabitkan 183 calon dijalankan semalam.
Pada 19 Oktober depan, perwakilan Umno di seluruh negara akan memilih tiga naib presiden dan ahli Majlis Tertinggi parti Melayu terbesar itu.
ANALISIS OLEH AMIN ISKANDAR, PENGARANG BERITA tmi