Category Archives: Siasatan

Ketua Polis Penang Diugut Bunuh


kp penang

Ketua Polis P.Pinang diugut bunuh

GEORGETOWN – Bimbang keselamatan dirinya, keluarga dan anggota lain, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi membuat laporan selepas menerima ugutan bunuh dua hari lalu.

Abdul Rahim dilaporkan menerima ugutan itu menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar melalui telefon bimbitnya ketika berada di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang kira-kira jam 9 pagi Isnin lalu.

Difahamkan, kiriman SMS oleh individu yang tidak dikenali itu mengandungi ayat ugutan kerana tidak berpuas hati apabila lima rakannya ditembak polis bulan lalu.

Kandungan SMS yang diterima Abdul Rahim adalah ‘Hello kepala penang, mau kasi ingat, u sudah ambil saya punya kawan lima orang, u jangan ingat u the best, u jaga u punya body, tak dapat u, u punya kawan saya ambil. Jaga-jaga’.

Abdul Rahim membuat laporan sehari selepas menerima ugutan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, kira-kira jam 8.50 malam semalam.

SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI SH

Buku Teks Ada Unsur Syiah ?


buku teks x syiah

Buku teks ada unsur Syiah tidak benar

SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan menafikan dakwaan kononnya terdapat buku teks berunsurkan Syiah digunakan di sekolah rendah dan menengah seperti yang didakwa Gabungan Institusi Pondok, Tahfiz dan Ilmuwan Sunni (Giptis), Julai lalu.

Merujuk kepada laporan muka hadapan akhbar Sinar Harian bertarikh 30 Julai itu, KPM berkata, pihaknya sudah membuat semakan dan mendapati dakwaan tersebut tidak benar di samping ia bukanlah buku teks terbitannya.

“KPM telah meneliti dakwaan berkenaan dan mendapati buku teks yang dimaksudkan tersebut bukan buku teks KPM.

“Ia adalah terbitan pihak swasta bagi rujukan murid Tingkatan Enam yang mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM),” jelas KPM dalam kenyataan itu.

Giptis sebelum ini menggesa kerajaan supaya mengkaji semula sejarah Islam yang terdapat dalam buku teks Pendidikan Islam rendah dan menengah yang didakwa mempunyai kecenderungan ke arah fahaman Syiah.

Pengerusinya, Prof Madya Dr Abd Aziz Hanafi berkata, perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana ada silibus pengajian yang menggambarkan seolah-olah para sahabat nabi terlibat dalam pembunuhan Saidina Uthman.

“Saya khuatir perkara ini boleh merosakkan akidah pelajar. Sebabnya, sahabat nabi tidak seorang pun yang terlibat dalam pembunuhan Saidina Uthman. Malah, mereka murka terhadap pembunuhan yang dilakukan itu,” katanya.

Namun KPM menegaskan, setelah meneliti beberapa halaman buku teks Pendidikan Islam Tingkatan Lima, didapati tiada sebarang unsur yang cenderung mempromosikan fahaman Syiah.

“Kandungan buku teks tersebut ialah fakta-fakta mengenai penyelewengan Syiah dan bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Di samping itu, dalam Bahagian Aqidah buku teks ini memperjelaskan pegangan-pegangan lain yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti Qadiani, Bahai dan Taslim, yang dikategorikan sebagai ajaran sesat.

“Berdasarkan dapatan tersebut, KPM menolak dakwaan yang dikemukakan oleh Giptis kerana buku teks yang dimaksudkan itu diterbikan oleh swasta sebagai rujukan murid Tingkatan Enam yang mengambil peperiksaan STPM,” tegas kenyataan itu.

Pihak KPM juga menegaskan buku teks Pendidikan Islam Tingkatan Lima KPM juga telah disemak dan dikenal pasti bebas daripada kecenderungan atau mempromosikan fahaman Syiah.

SH

Roti Canai, Teh Tarik Naik 2 Kupang Di Penang


bn punya pasal

Roti canai, teh tarik naik 20 sen

GEORGE TOWN – Para pelanggan kedai mamak dan restoran nasi kandar di negeri ini mendakwa mereka kini terpaksa membayar lebih 20 sen bagi setiap harga makanan dan minuman yang dijual di kedai-kedai itu sejak kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak Isnin lalu.

Tinjauan Kosmo! di sekitar Bayan Baru, Bayan Lepas dan George Town mendapati lima buah kedai nasi kandar di kawasan terbabit telah menaikkan harga makanan seperti roti canai, nasi lemak serta pelbagai lauk selain menaikkan harga minuman teh tarik dan minuman berais.

Sekeping roti canai kini perlu dibayar RM1 berbanding 80 sen sebelum ini, teh tarik RM1.20 berbanding RM1, nescafe ais RM1.90 berbanding RM1.70, milo ais RM1.90 berbanding RM1.70 manakala jus buah-buahan pula RM2.70 berbanding RM2.50.

Penyelia sebuah restoran nasi kandar di Bayan Baru memberitahu, harga baharu itu diputuskan oleh pihak pengurusan dan berkuat kuasa serta-merta tetapi dia menolak kenaikan tersebut ada kaitan dengan kenaikan harga petrol.

“Kenaikan harga makanan dan minuman tidak dapat dielakkan kerana kos operasi semakin bertambah. Senarai harga baharu di restoran kami akan dipaparkan sedikit masa lagi,” kata penyelia restoran itu yang enggan dikenali.

ksm

Sambutan Aidil Fitri Dengan Cerita Hantu Macam Palat


zombi kg pisang

Layanan stesen TV untuk Aidil Fitri tahun ini tersangat selekeh

Kebanyakan stesen televisyen tempatan mengambil tindakan di luar dugaan apabila mereka melambakkan filem-filem hantu dan seram di stesen masing-masing pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Lebih menyedihkan, kebanyakan filem hantu dan seram itu bukan sahaja tidak berkualiti malah memperbodohkan penonton ke tahap paling menjengkelkan. Lebih buruk lagi, ia ditayangkan hampir setiap hari dalam minggu pertama perayaan Aidilfitri.

Pihak pengurusan stesen televisyen dipercayai sengaja berbuat demikian semata-mata untuk meningkatkan rating penonton memandangkan filem genre sedemikian tetap menarik ramai penonton.

Mereka juga berbuat demikian untuk mendapatkan iklan manakala penerbit filem turut menerima bayaran setiap kali filem mereka ditayangkan di televisyen.

Tinjauan Kosmo! di beberapa laman web rasmi stesen televisyen tempatan dan stesen televisyen berbayar mendapati filem-filem hantu lazimnya ditayangkan pada waktu puncak iaitu antara pukul 8 malam hingga 11 malam.

Malah terdapat juga stesen televisyen yang menayangkan filem hantu tanpa mengira waktu termasuk antara pukul 1.30 pagi sehingga pukul 6 pagi.

Selain karya tempatan, sebilangan daripadanya merupakan filem keluaran luar negara seperti dari Indonesia yang ditayangkan menerusi stesen televisyen berbayar.

Antaranya ialah filem Pocong Jalan Blora, Pocong Rumah Angker dan Pocong Jumaat Kliwon di mana kesemuanya adalah terbitan dari negara jiran.

Di samping itu, terdapat filem yang ditayangkan secara berulang kali bagi tempoh yang berbeza di stesen televisyen berlainan.

Sebagai contoh, Hantu Kak Limah Balik Rumah ditayangkan di TV3 pada Hari Raya pertama pukul 2 petang.

Filem yang sama turut ditayangkan di Astro Ria pada 15 Ogos pukul 9 malam.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0814&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2btY0liZo
Hakcipta terpelihara

Uthaya Sankar Malaysian insider ingin Timbulkan Konflik Agama ?


Apa yang Uthaya Sankar ingin dari artikel semacam ini ?

Artikel ini akan mencetuskan beribu persoalan terhadap beliau..

Perkara agama bukanlah suatu tajuk sesuai untuk dibahaskan secara terbuka, maupun dicuba ‘konar baring’ dengan tajuk persoalan cinta..

Blog ini berharap pihak berkuasa akan menyiasat dimana ‘majlis’ yang Uthaya Sankar maksudkan itu diadakan.

Agama baru di pulau cinta

21 NOV — Baru-baru ini, semasa berkunjung ke sebuah pusat peranginan terkemuka, saya berpeluang bertemu sekumpulan belia pelbagai etnik.

Mereka menghadiri suatu program kaunseling berkumpulan yang diatur badan tertentu.

Kisah yang mereka ceritakan kepada saya amat menyentuh perasaan dan wajar dikongsikan bersama orang ramai. Malah, demikian juga permintaan 12 individu berkenaan.

Bagaimanapun, mereka meminta identiti diri dirahsiakan. Saya juga akan menggunakan frasa “Agama Asal” dan “Agama Baru” kerana artikel ini bukan berkaitan mana-mana agama, sebaliknya berkaitan manusia yang menjadi mangsa dan pemangsa atas nama agama.

“Kami diwajibkan menghadiri sesi kaunseling individu sebanyak sebelas kali. Selepas itu, kami perlu menyertai sesi kaunseling berkumpulan. Semua ini sudah mengambil masa empat tahun. Hanya selepas ini, kononnya kes kami akan dibawa ke mahkamah,” seorang menceritakan.

“Malah, kaunselor sudah memaklumkan bahawa pihaknya akan meminta kebenaran mahkamah untuk mengadakan sebelas lagi sesi kaunseling sebelum kes diteruskan,” seorang lagi menambah.

Kemudian, seorang demi seorang menceritakan kisah masing-masing. Pertemuan tanpa dirancang itu menjadi semacam sesi kaunseling berkumpulan untuk meluahkan apa yang terbuku dalam hati.

“Bapa saya tinggalkan Agama Asal dan masuk Agama Baru beberapa tahun selepas berkahwin. Emak tak ada pelajaran, lalu dia tukar agama akibat pujukan dan tipu-helah bapa. Kata bapa, perlu tukar agama sahaja, tak perlu amalkan. Kemudian, bapa mula halang emak sambut perayaan berkaitan Agama Asal,” seorang pekerja swasta menceritakan.

Apabila anak-anak lahir, bapa berkenaan berkata, wajib tukar ke Agama Baru demi masa depan anak-anak sebelum mereka masuk sekolah.

Akan tetapi seluruh keluarga itu tidak pernah mengamalkan tuntutan Agama Baru; sebaliknya sentiasa mengamalkan ajaran Agama Asal.

“Kemudian, suatu hari, bapa meninggalkan keluarga semasa saya berumur lima tahun. Emak berjaya kembali ke Agama Asal. Begitu juga kakak dan abang,” katanya sambil menahan sebak.

Hanya dia yang “tersekat”. Semasa berumur 10 tahun, emaknya cuba menukar agama kanak-kanak itu kembali ke Agama Asal tetapi diberitahu pegawai tertentu bahawa hanya individu terbabit boleh menentukan agama pilihan apabila mencapai umur 18 tahun.

“Semasa di sekolah menengah, saya sering menjadi mangsa diskriminasi dan penghinaan atas nama kaunseling oleh guru-guru tertentu. Saya terasa amat marah tetapi terpaksa tanggung semua itu demi pengajian,” individu itu meluahkan.

Seterusnya, semasa menyambung pelajaran di kolej, dia dinasihatkan supaya menangguhkan dahulu niat membawa kes ke mahkamah kerana tidak mahu pelajaran terjejas akibat komplikasi yang mungkin wujud.

“Selepas tamat belajar dan mula bekerja, saya menghantar permohonan untuk kembali ke Agama Asal. Sudah lima tahun, belum ada sebarang keputusan. Malah, kes belum dibawa ke mahkamah,” dia mengakhiri ceritanya.

Kesemua individu yang saya temui di pusat peranginan itu mengakui bahawa semasa sesi kaunseling, kaunselor akan mengutuk dan menghina Agama Asal semahu-mahunya; kononnya untuk menyedarkan mereka tentang kehebatan Agama Baru.

“Kesan psikologi yang berlaku adalah sebaliknya; kami semakin menyampah, kecewa dan mula membenci Agama Baru,” seorang pemuda menyimpulkan.

“Kami tahu bahawa Agama Baru itu tidak bersalah. Ajaran sebenar yang terkandung dalam Agama Baru — atau mana-mana agama — adalah amat baik,” kata seorang lagi.

“Tapi akibat sikap buruk kaunselor yang menghina dan mengutuk semua agama selain Agama Baru membuatkan kami semakin menyampah dan pintu hati tertutup rapat,” sambung rakannya.

Pada pandangan seorang lagi: “Kalau kami mahu dipancung sekali pun, hati kami tidak akan terbuka untuk mengaku kami penganut Agama Baru. Semua ini akibat sikap buruk yang ditunjukkan oleh kaunselor yang kononnya mahu membawa kami kembali ke pangkal jalan.”

Seorang lagi pemuda berasal daripada keluarga di mana si bapa adalah kaki botol serta sering bergaduh dan memaki-hamun anak-isteri.

Akibatnya, semasa berumur 12 tahun, dia berhenti sekolah, tinggal di asrama dan bekerja di sebuah kilang. Dia sering menangis mengenangkan nasib dirinya.

Pada waktu itu, rakan-rakan yang bekerja di kilang berkenaan memujuknya supaya meninggalkan Agama Asal dan memeluk Agama Baru; kononnya akan menyelesaikan segala masalah dalam hidup.

“Saya yang masih mentah mengikut sahaja dengan harapan dapat mengubah hidup. Malangnya tiada apa-apa perubahan. Rakan-rakan yang kononnya mahu membantu, mula menjauhkan diri selepas saya meninggalkan Agama Asal dan memeluk Agama Baru,” katanya dengan kecewa.

Menurutnya lagi, semasa berumur 16 tahun, dia menyedari apa yang berlaku dan mahu kembali ke Agama Asal.

“Malangnya, terdapat pelbagai halangan dan sekatan dikenakan. Umur saya kini 25 tahun dan perjuangan saya untuk secara sah kembali ke Agama Asal masih berterusan.”

Kes lain adalah berkaitan seorang pemuda yang bercinta dengan gadis berlainan agama.

“Saya bersedia untuk meninggalkan Agama Asal dan memeluk Agama Baru kerana perkara itu yang menjadi faktor penghalang utama untuk kami bersatu,” pemuda itu berkongsi kisah.

Malangnya, selepas itu, ibu bapa kekasihnya tetap tidak membenarkan mereka berkahwin kerana berlainan kaum.

“Kini saya terbuang, tersisih dan terumbang-ambing. Saya tidak boleh berkahwin dengan gadis yang saya cintai dan saya juga tidak dibenarkan kembali ke Agama Asal berikutan karenah pihak tertentu,” katanya.

Seorang lagi menceritakan bahawa bapanya dulu masuk Agama Baru untuk berkahwin. Sejak kecil, mereka sekeluarga tidak pernah mengamalkan Agama Baru.

“Saya juga tertarik pada Agama Asal, iaitu agama asal bapa saya. Enam tahun lalu, saya berkenalan dengan seorang pemuda daripada Agama Asal. Kami sudah berkahwin mengikut upacara Agama Asal,” dia mendedahkan.

Semasa mengandungkan anak sulung, dia dan suami memutuskan untuk menggugurkan kandungan kerana tidak mahu anak yang lahir menjadi mangsa perebutan antara Agama Asal dan Agama Baru.

“Begitu juga anak kedua. Kini saya mengandung lima bulan. Saya tidak tahu nasib anak ini apabila lahir nanti,” wanita itu menceritakan.

Kesemua individu berkenaan mengatakan bahawa mereka tidak tahu berapa lama kes mereka akan berlarutan atas alasan sesi kaunseling yang sebenarnya — kata mereka — lebih merupakan sesi penderaan mental dan sesi mengutuk agama-agama lain.

“Bayangkan, orang lain berhak untuk bercinta, berkahwin dan mempunyai anak. Kami pula tidak mampu menikmati semua itu kerana dihalang dan terhalang,” kata seorang.

“Masakan kami mahu berkahwin dengan individu daripada Agama Baru semata-mata untuk menikmati hidup berkeluarga sedangkan hati dan jiwa kami bersama Agama Asal,” soal seorang lagi.

Dalam kes lain, seorang pemuda bercinta dengan teman sekerja. Untuk membolehkan mereka berkahwin, dia meninggalkan Agama Asal dan memeluk Agama Baru.

“Setahun kemudian, isteri saya menuntut cerai kerana mahu berkahwin dengan lelaki lain. Terus-terang, saya hanya meninggalkan Agama Asal untuk berkahwin. Saya tidak pernah walau sedikit pun mengamalkan ajaran Agama Baru,” katanya.

Selepas bercerai, dia mahu kembali ke Agama Asal kerana jiwa dan raganya tetap bersama ajaran agama itu.

“Malangnya, usaha, niat dan impian saya disekat dan dihalang dengan pelbagai cara dan alasan. Sedangkan bekas isteri saya sudah berkahwin lain dan ada dua anak bersama suami barunya,” ujarnya dengan kecewa.

Dalam kes lain pula, seorang gadis bercinta dengan seorang pemuda yang memujuknya meninggalkan Agama Asal dan memeluk Agama Baru supaya mereka boleh berkahwin.

“Tetapi tidak sampai lima bulan selepas saya tukar agama, pemuda itu menghilangkan diri. Saya dapat tahu daripada kawan-kawannya bahawa dia memang tidak berniat mengahwini saya, sebaliknya mahu menambah pengikut Agama Baru,” dia menceritakan.

Sebaik menyedari dirinya ditipu, gadis itu berusaha kembali ke Agama Asal tetapi dihalang dengan pelbagai cara.

“Bayangkan: Apabila saya meninggalkan Agama Asal dan memeluk Agama Baru, prosesnya amat mudah dan tak ada apa-apa masalah,” katanya.

“Benar! Tetapi apabila kami mahu kembali ke Agama Asal, sekatan yang pelbagai dikenakan; termasuk menghina kami dan Agama Asal kami,” individu lain dalam kumpulan itu menyahut.

Fauzi Nawawi Ada ‘Kekasih Gelap’ ?


Apa benar suami Lisdawati ada kekasih gelap

“Saya tidak terkejut dengan perkhabaran itu, sebaliknya rasa begitu kelakar,” kata pelakon, Nisdawati Nazaruddin (Lisdawati), 32, selepas ditanya mengenai suaminya, pelakon, Fauzi Nawawi, 38, didakwa mempunyai ‘kekasih gelap’.

Lisdawati berkata, dia langsung tidak terkejut biarpun diberitahu mengenai cerita kurang enak membabitkan suaminya semalam, sejurus satu blog hiburan melaporkan Fauzi Nawawi kini mempunyai kekasih gelap.
“Saya seorang yang mudah… kalau memang betul Fauzi ada gadis baru, wanita lain atau pun skandal, silalah kedua-duanya tampil ke hadapan.

“Saya janji demi nama Allah, saya tidak akan marah mereka, cuma saya nak tanya kedua-dua pihak, betul ke korang (kamu berdua) ni skandal? Apa yang korang (kamu) nak? Itu je,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kata Lisdawati, apa yang penting dia amat mempercayai suaminya.
“Saya tak boleh menerima kebenaran tanpa bukti yang kukuh. Sudah-sudahlah membuat gosip kerana orang tidak mengenali Lisdawati dan Fauzi,” katanya yang menganggap cerita disampaikan itu kurang bijak.

Sementara itu, Fauzi ketika dihubungi berkata, dia terkejut dengan laporan dianggap fitnah itu.
“Saya tidak pernah bercerita mengenai masalah rumah tangga kepada orang lain, termasuk kepada ibu sendiri atau ibu mentua. “Saya menafikan sekeras-kerasnya mempunyai kekasih gelap,” katanya bagi menangkis dakwaan blog hiburan yang melaporkan dia mempunyai ‘skandal baru’ selepas lampiran mesej di Blackberry Messenger (BBM) miliknya menunjukkan dia sedang menjalin hubungan cinta dengan seseorang selain memberitahu mahu berkahwin lain.

 .

“Tuduhan ini sangat melampau dan saya menganggap perkara ini sebagai fitnah, mencemarkan maruah diri dan isteri yang boleh memecahbelahkan rumah tangga kami.
“Sejak bila saya ada kekasih gelap? Sekarang ini teknologi semakin canggih dan nama yang terpampang di screeshoot (lampiran mesej) BBM hanyalah satu penyamaran. Selain itu, gambar digunakan juga diciplak daripada gambar saya,” katanya.

.
Menurut Fauzi, paparan mesej BBM itu hanya rekaan semata-mata kerana ada individu yang iri hati dengannya.
“Mustahil untuk saya menceritakan masalah rumah tangga sendiri kepada sesiapa saja, apa lagi untuk berkongsi perkara itu di Blackberry kerana saya tidak mempercayai orang ketiga,” katanya.
Ketika ditanya sama ada akan mengambil sebarang tindakan, Fauzi memberitahu, dia akan membuat laporan polis dan menyerahkan kes ini kepada peguam peribadi.

.
Dia berkata, fitnah terbabit antara permainan dalam industri hiburan kerana ia berniat untuk menjatuhkan dirinya selain memecahbelahkan rumah tangga, sedangkan hakikatnya dia dan isteri (Lisdawati) hidup bahagia.
Katanya, dia ada memberitahu perkara itu kepada Lisdawati, namun isterinya hanya ketawa besar.

.
“Saya mahu menegaskan biar apa pun yang terjadi saya tidak akan meninggalkan isteri saya,” katanya.

.

HM

%d bloggers like this: