Category Archives: Mahkamah

Mahkamah Tolak Saman RM1 juta Pensyarah Terhadap Penulis Blog Berhubung Isu Wahhabi


wahab zamihan

Mahkamah menolak dengan kos

Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak dengan kos permohonan saman RM1 juta yang difailkan seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terhadap seorang bekas pegawai Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) berhubung isu fahaman ‘Wahhabi’ yang diterbitkan dalam sebuah blog yang didakwa memfitnahnya.

Hakim Datuk Wira Halijah Abbas membuat keputusan itu selepas mendapati plaintif, Dr Azwira Abdul Aziz, 45, gagal membuktikan kesnya berada atas imbangan kebarangkalian.

Dalam saman yang difailkan pada 18 Jun 2009, Azwira menamakan Zamihan Mat Zin, 37, bekas penolong pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, ILIM, yang juga pemilik blog alghari.blogspot.com sebagai defendan.

Azwira menuntut ganti rugi am sebanyak RM500,000, ganti rugi pengajaran sebanyak RM500,000, faedah, kos tindakan dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Dalam pernyataan tuntutannya, Azwira berkata Zamihan telah menerbitkan sebuah artikel bertajuk “Kisah Lama dari UKM” di blog berkenaan pada 6 Mac 2008, yang mengandungi kenyataan mengaitkan beliau dengan fahaman Wahhabi yang didakwa tidak benar dan berunsur fitnah.

Katanya, perkataan-perkataan dalam artikel terbabit antara lain membawa maksud bahawa beliau adalah seorang yang bermetodologi Salafi Al Wahhabi dan amat taksub terhadap fahaman Wahhabi serta seorang yang membawa ajaran yang sesat.

Azwira berkata penerbitan artikel itu telah menjatuhkan maruahnya di sisi umum khususnya kepada masyarakat beragama Islam.

Katanya beliau sebelum ini, melalui surat peguam caranya bertarikh 11 Mei 2009, menuntut defendan membuat satu kenyataan memohon maaf secara bertulis dan ganti rugi sebanyak RM500,000, namun defendan telah gagal, cuai dan/atau enggan berbuat demikian.

Dalam pernyataan pembelaannya, Zamihan yang kini penolong setiausaha di bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Kementerian Dalam Negeri antara lain berkata plaintif telah membuat salah tafsiran tentang kepercayaan yang dipegangnya dan sememangnya plaintif perlu disedarkan.

Mengenai kecederaan yang didakwa dialami plaintif berhubung tindakan beliau, Zamihan berkata jika adapun ia adalah akibat daripada tindak tanduk plaintif sendiri dalam menulis dan/atau menyatakannya di mana-mana dengan memberi pandangan tidak tepat tentang ilmiah sesuatu isu yang diketengahkan.

Azwira diwakili peguam Adnan bin Seman @ Abdullah sementara Zamihan diwakili peguam Azmi Mohd Rais dan Ilyani Noor Khuszairy.

– Bernama

 

Tu Dia: Anak Taib Mahmud Ada RM2 Billion Dalam Pelbagai Akaun, Kata Bekas Isteri


Shahnaz-Majid-syariah-divorce-mahmud-taib

Shahnaz A.Majid memberitahu Mahkamah

Anak Ketua Menteri Sarawak Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib mempunyai kira-kira AS$700 juta (lebih RM2 billion) di bank akaun serata dunia termasuk Switzerland dan Luxembourg, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

Bekas isterinya, Shahnaz A. Majid (gambar) memberitahu mahkamah, beliau tidak ingat di mana akaun berkenaan secara spesifik namun memberitahu jumlahnya AS$700 juta dalam akaun Abu Bekir. Shahnaz sebelum ini memaklumkan jumlah itu hanya RM700 juta.

“RM100 juta jumlah kecil baginya. Dia pasti mampu membayarnya,” katanya.

Shahnaz memberi keterangan di mahkamah berhubung permohonan pampasannya RM300 juta dan RM100 juta mutaah dalam permohonan penceraian itu.

Shahnaz, 50, turut mendakwa 50 peratus aset mereka kepunyaan bekas suaminya. Ini termasuk kereta mewah, rumah, tanah dan pegangan saham.

Kes perbicaraan itu mendedahkan kemewahan keluarga ketua menteri Sarawak.

Dalam penghakiman itu, Shahnaz meminta aset bekas suaminya itu seperti tujuh buah kereta mewah, ribuan hektar tanah di Sarawak dan pegangan saham dalam 15 syarikat.

“Dia memiliki 150 buah syarikat dan pemegang saham dalam 21 syarikat tersebut dan memiliki RM1 bilion pegangan saham.

“Dia memperoleh secara bersih RM2 juta setahun untuk peruntukan hiburan, pelancongan dan kereta yang ditanggung oleh syarikat tersebut,” katanya.

Sewaktu ditanya oleh peguamnya, Dr Rafie Mohd Shafie, Shahnaz berkata beliau bekerja dengan Sarawak Securities pada 1993 sebagai pengurus besar dan Abu Bekir sebagai pengarah.

“Syarikat mencatatkan keuntungan RM60 juta setahun dengan pulangan lebih dari RM200 juta,” katanya semasa perbicaraan itu.

Suri rumah 50 tahun itu menafikan beliau memeterai perjanjian bersama Abu Bekir bagi membayar sejumlah wang bagi penyelesaian di luar mahkamah.

Semasa ditanya oleh peguam lain, Akbardin Abdul Kader, Shahnaz berkata beliau tidak akan menerima perbuatan Abu Bekir kepada dirinya.

Shahnaz sebelum ini mendedahkan Abu Bekir mempunyai seorang anak dengan perempuan warga Australia dan kemudian berkahwin dengan wanita Rusia. – 2 September, 2013.

tmi

Sirul, Azilah Bebas Pertuduhan Bunuh Altantuya


sirul azilah

Mahkamah Rayuan Bebaskan Dua Polis Daripada Tuduhan Bunuh Altantuya

Mahkamah Rayuan pada Jumaat membatalkan sabitan terhadap dua pegawai polis unit tindakan khas berhubung kes pembunuhan rakyat Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Mahkamah menerima rayuan yang difailkan oleh bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Koperal Sirul Azhar Umar dan Ketua Inspektor Azilah Hadri dan membebaskan kedua-duanya.

Mahkamah rayuan, pada 10 Jun, membenarkan Sirul Azhar untuk memasukkan dua alasan baru, termasuk bantahan, dalam usahanya untuk mendapatkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mengisytiharkan perbicaraan silap.

Bagaimanapun, kerajaan masih boleh merayu terhadap keputusan itu pada Jumaat di Mahkamah Persekutuan.

Sirul Azhar dan Azilah Hadri didapati bersalah dan disabitkan hukuman mati pada tahun 2009 kerana membunuh Altantuya, yang ketika itu berusia 28 tahun, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober, 2006.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang didakwa kerana bersubahat dengan mereka, telah dibebaskan pada 31 Oktober 2008 selepas mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Mstar

Sembur Dr Mahathir: Nik Sapeia ‘Terlepas’


AHLI perniagaan, Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff, 58, bersama isterinya, Datin Suriani Yahya sejurus keluar dari Mahkamah Tinggi Kota Bharu, semalam. – Foto Zulkifle Che Abdullah

Hakim Mahkamah Tinggi ketepi hukuman 6 bulan penjara

KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi, di sini semalam melepas dan membebaskan ahli perniagaan, Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff, 58, daripada pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap empat individu termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menyembur bahan pemedih mata, pada Julai 2006.

Keputusan itu dibuat selepas Hakim Datuk Mariana Yahya membenarkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara enam bulan yang dijatuhkan di Mahkamah Majistret, dua tahun lalu.

Mariana dalam penghakimannya mendapati majistret khilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila mensabitkan Nik Sapeia yang juga perayu dalam kes berkenaan dengan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

 

“Keputusan sabitan hukuman (terhadap Nik Sapeia oleh majistret sebelum ini) diketepikan dan rayuan dibenarkan. Oleh itu, perayu dibebas dan dilepaskan daripada sabitan pertuduhan seperti dipertuduhkan ke atasnya,” katanya dalam penghakimannya lebih sejam.

Berdasarkan pertuduhan, Nik Sapeia yang juga Naib Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) dituduh sengaja menyebabkan kecederaan terhadap empat individu termasuk Dr Mahathir di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pangkalan Chepa, kira-kira 11 pagi, 28 Julai 2006.

Tiga individu lain itu ialah Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali; Mohd Nasir Muda dan Suberi Sahidan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani dan Lailawati Ali, manakala Nik Sapeia diwakili peguam Datuk Seri Mohammad Shafee Abdullah; Datuk Ramli Yusoff; Badrul Munir; Y Sheelan Samuagam; dan Zainal Abidin Mustaffa.
Sebaik Mariana membuat keputusan itu, Nik Sapeia yang berada di kandang tertuduh mengalirkan air mata sebelum dipeluk oleh isterinya, Datin Suriani Yahya, anak dan penyokongnya.

Isteri dan anak ahli perniagaan yang duduk di barisan depan galeri awam itu turut sebak sehingga mengalirkan air mata sebaik dimaklumkan mengenai keputusan berkenaan.

oleh norliza wasilan

Salim Parlan dan Diayana Kena Denda $3,000.00


Khalwat: Salim,Diayana didenda RM3,000

GEORGE TOWN – Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan dan bekas pembantu peribadinya, Nur Diayana Norslan dikenakan denda RM3,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam setelah mengaku bersalah berkhalwat di sebuah hotel di Batu Feringghi di sini April tahun lalu.

Hakim Syarie, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahaya menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh dan pasangannya yang berusia 30 tahun selepas mengambil kira pelbagai faktor.

Dalam penghakimannya, Nik Bukhari berkata, mahkamah berpuas hati dengan pengakuan secara sukarela yang dibuat kedua-dua tertuduh, namun perlu juga menitikberatkan masa dan kos yang dibazirkan sepanjang tempoh pertuduhan dijalankan.

“Kedua-dua tertuduh merupakan penjawat awam. Salim yang memegang jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam perlu menunjukkan teladan yang baik dan bukannya mencemar imej jabatan masing-masing.

“Sehubungan itu, mahkamah memutuskan untuk memberi hukuman setimpal yang boleh memberi pengajaran kepada masyarakat luar agar tidak melakukan perkara yang sama dengan masing-masing dikenakan hukuman denda RM3,000 atau lima bulan penjara sekiranya gagal membayar denda,” katanya.

oleh nurhasliza nusi

Saiful Kena ‘Panjat’ Mahkamah Syariah Pulak ?


Apa pun hal qazaf belum habis lagi..

malas laa nak tulis panjang panjang pasal qazaf tuu..duit zakat dan sebagainya..

Pertuduhan qazaf terhadap Saiful

KUALA LUMPUR, 9 Jan:Mahkamah Syariah digesa meneruskan  pertuduhan qazaf yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan (gambar).

Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham),  Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berkata, pertuduhan qazaf itu harus diteruskan memandangkan Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan Anwar bebas daripada tuduhan meliwat Saiful.

“Keputusan mahkamah hari ini menunjukkan tidak berlaku dakwaan liwat.

“Kes ini (qazaf)  telah difailkan tetapi sengaja ditangguhkan tanpa sebab, kononnya untuk menunggu keputusan mahkamah dan hari ini mahkamah  membuktikan tidak berlaku liwat,” kata beliau ketika ditemui di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi memutuskan  Anwar yang merupakan Ketua Umum PKR, bebas daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukjari Azlan di sebuah kondominium, empat tahun lalu.

Mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati wujudnya elemen tiada integriti dalam sampel DNA.

Menurut Ahmad Zamri, dengan keputusan tersebut, Saiful berhak didakwa di bawah kesalahan qazaf kerana memfitnah Anwar  meliwat tanpa membawa saksi.

“Ini merupakan kesalahan jenayah syariah dan saiful boleh dituduh di bawah akta kesalahan jenayah Wilayah Persekutuan,” katanya.

Pertuduhan qazaf ialah membuat tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat saksi lelaki, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Anwar memfailkan tuntutan qazaf tersebut pada 8 Julai 2008 namun ditolak.

oeh Hazayani Zakaria

%d bloggers like this: