Category Archives: Pas

Yang Menang dan Yang Kalah di Sungai Limau


SUNGAI_LIMAU_BY-ELECTION_041113_TMINAJJUA_05_540_360_100

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Limau yang baru, Mohd Azam Abdul Samat ketika membuang undi semalam

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar adalah orang yang paling gembira ekoran kemenangan PAS di Sungai Limau manakala Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir pula adalah pihak paling terasa kesan kegagalan Barisan Nasional mengalahkan PAS semalam.

Sementara itu, badan penyelidik bebas Ilham Centre antara pihak yang sangat gembira dengan kemenangan ini ekoran jangkaan mereka menjelang pemilihan adalah tepat manakala Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin pula meleset apabila jangkaan beliau BN akan menang tersasar.

Berikut adalah pihak yang menang dan kalah dalam pilihan raya kecil Sungai Limau.

Yang menang

1) PAS

Sudah pasti pemimpin dan penyokong PAS di seluruh negara paling gembira dengan kemenangan ini. Sudah tentu mereka akan membuat pelbagai kenduri-kendara bagi meraikan kemenangan ini. Pilihan raya kecil ini juga berjaya meredakan ketegangan antara pucuk pimpinan mereka ekoran pemilihan pucuk kepimpinan parti yang akan berlaku 22 hingga 24 November ini.

2) Mahfuz Omar

Beliau menjadi individu yang paling gembira dengan kemenangan PAS kali ini. Beliau baru saja mengambil alih jawatannya ini daripada allahyarham Tan Sri Azizan Razak selepas pilihan raya umum lalu ketika Azizan mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang. Kemenangan ini bakal menjadi modal besar kepadanya yang akan berdepan dengan pemilihan parti kerana beliau akan mempertahankan jawatan naib presiden. Kalau sebelum ini beliau antara penyandang yang paling risau, kini beliau mempunyai harapan yang sangat cerah untuk menang.

3) Ustaz Azam

Mohd Azam Abdul Samat, 37 tahun, adalah Penolong Pengetua Sekelah Menengah Agama Bantuan Kerajaan An-Nahzah, Bukit Besar sebelum dipilih sebagai calon. Beliau tidak dikenali sebelum ini. Selepas menjadi wakil rakyat sudah tentu beliau mempunyai rutin yang berlainan selepas ini.

4) Ilham Centre

Ramalan yang dibuat oleh penyelidik bebas Ilham Centre bahawa PAS akan menang sekitar 53 – 55 peratus dalam pilihan raya ini menjadi kenyataan. Ilham mengulangi ketepatan ramalan menjelang pilihan rayanya yang dibuat sejak pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada 2008 lalu. Kerisauan jelas terbayang kepada Pengerusi Eksekutifnya, Mohamad Hisomuddin Bakar apabila berita awal menunjukkan BN menang. Namun selepas terbukti ia hanya perang saraf BN, Hisom antara yang menang dalam pilihan raya kecil ini.

5) Penduduk Sungai Limau

Mereka menang kerana berjaya mendapat wakil rakyat yang mereka mahukan di samping mendapat segala macam daripada kerajaan negeri Kedah dan kerajaan pusat menjelang pilihan raya lalu. Gula dijual dengan harga RM1 sekilo, beras 5kg hanya RM5 dan lain-lain lagi bantuan termasuk anak pokok mempelam, cermin mata, baja padi dan sebagainya.

Pihak yang kalah

1) Mukhriz Mahathir

Pihak yang paling terasa apabila BN kalah dalam pilhan raya kecil ini sudah tentulah Mukhriz. Ini kerana, ia kekalahan kedua selepas beliau gagal memenangi naib presiden Umno dalam pemilihannya baru-baru ini. Mukhriz adalah orang yang paling kuat bekerja untuk mempastikan kemenangan calon BN kali ini. Beliau berada di Sungai Limau siang dan malam untuk memastikan jentera BN berjalan lancar. Di saat-saat akhir beliau membawa turun ayahandanya Tun Dr Mahathir Mohamad, namun pengundi Sungai Limau tetap menolak BN.

2) Umno

Umno sudah tentu paling terasa apabila calonnya tewas dalam pilihan raya kecil ini. Ini kerana pertembungan di Sungai Limau adalah antara Umno dan musuh tradisinya PAS bukan antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Kekalahan ini bererti kegagalan untuk Umno memecahkan kubu PAS di Sungai Limau padahal dalam pilihan raya umum lalu Umno berjaya menang di Parlimen Jerai dan dua lagi DUN di bawah Parlimen Jerai.

3) Dr Ahmad Sohaimi

Sudah tentu pihak yang terasa kecewa dengan kekalahan ini adalah calon BN sendiri Dr Ahmad Sohaimi Lazim. Sohaimi terpaksa melepaskan jawatannya sebagai pensyarah kanan di UPSI untuk menyertai pertandingan ini. Walaupun mungkin boleh masuk balik kerana semua boleh dibuat oleh Umno tetapi sudah tentu air muka beliau yang hilang.

4) Muhyidin

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tentu pihak yang kalah dalam pilihan raya ini. Selaku pengarah utama pilihan raya bagi BN, Muhyiddin banyak menghabiskan masa dan tenaga beliau untuk memastikan calon BN menang. Namun apakan daya pengundi Sungai Limau menolak beliau. Sudahlah terpaksa meminta maaf daripada keluarga allahyarham Azizan kerana tersalah cakap, pilihan raya kalah pula.

5) Kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Kedah

Ini kerana, berapa banyak wang daripada kedua-dua kerajaan ini digunakan untuk “membeli” undi pengundi di sini. Namun ia tetap ditolak. Bagaimana pemimpin kerajaan hendak jawab apabila gula dijual RM1 sekilo saja sedangkan ketika harganya dinaikkan alasan yang diberikan adalah untuk mengelakkan kencing manis. Apakah kerajaan mahu penduduk Sungai Limau diserang kencing manis apabila gula dijual dengan harga murah di sini. Kerajaan yang kena tanggung. Duit rakyat juga yang hilang. – 5 November, 2013.

Oleh Zulkifli Sulong, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA tmi

Advertisements

Kes Tibai Kerajaan Kelantan, Presiden PAS Bela Husam


Hadi-Awang-PAS-Kuala-Besut-200713-TMI-Afif_360_263_100

Presiden PAS bela Husam, anggap teguran biasa

PAS tidak akan mengambil tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Datuk Husam Musa yang mengkritik secara terbuka pentadbiran kerajaan Kelantan baru-baru ini kerana menganggap ia adalah satu teguran biasa.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar), berkata PAS melihat kritikan Husam itu turut dibuat oleh orang lain, lapor Bernama.

“Kritikan itu juga tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian PAS Pusat dan Lajnah Politik PAS Kelantan, di Kota Bharu, petang semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada mesyuarat itu membincangkan isu Husam yang mengkritik kerajaan Kelantan berhubung beberapa isu dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Abdul Hadi berkata, PAS juga tidak menerima permohonan PAS Kelantan supaya tindakan diambil terhadap Husam.

Dalam persidangan DUN Kelantan pada 8 Oktober lalu, Husam yang juga Naib Presiden PAS dan bekas Exco kanan kerajaan Kelantan, membuat kejutan apabila membidas beberapa tindakan kerajaan negeri yang disifatkannya tidak wajar dan menyimpang daripada konsep ketelusan dan antaranya ialah isu pembalakan Hutan Simpan Kekal Ulu Sat di Machang dan kenaikan tarif air yang berkuat kuasa Ogos lalu.

Husam turut bertembung dengan Exco kerajaan negeri Kelantan dalam sidang DUN berkaitan berhubung isu pelantikan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Kelantan.

Isu ini dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini lalu dicadangkan pertemuan dengan PAS Kelantan memandangkan wakil Kelantan khasnya Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub tidak hadir pada mesyuarat tersebut.

Sehubungan itu, Dewan Harian PAS Pusat turun ke Kelantan petang semalam bertemu dengan Lajnah Politik PAS Negeri bagi membincangkan isu yang berkaitan.

Bernama turut melaporkan, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang diminta mengulas isu berkenaan, berkata mesyuarat turut mendengar penjelasan daripada Husam.

“Alhamdulillah mesyuarat berjalan dengan baik dan kita rasa beruntung kerana dapat penjelasan secara langsung antara Husam dan kerajaan negeri,” katanya.

Husam yang turut hadir memberitahu pemberita beliau berpuas hati dengan perbincangan yang diadakan. – 23 Oktober, 2013.

tmi

 

PRK Sg Limau: Azam Samad lawan Ahmad Sohaimi


azam_samad_pas

Ketua Pemuda PAS Jerai, Azam Samad, calon PRK DUN Sungai Limau.

Ketua Pemuda PAS Jerai, Azam Samad diumumkan sebagai calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau malam tadi oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ini bermakna, Azam akan berdepan dengan Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ahmad Sohaimi Lazim yang diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) petang semalam.

Ahmad Sohaimi diumumkan sebagai calon oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi BN di Bilik Gerakan BN bagi PRK DUN Sungai Limau di Sungai Lentang, Sungai Limau.

Ketika memberikan ucapan sulung selepas diumumkan sebagai calon, Azam seorang bekas guru berkata, beliau akan meneruskan agenda bekas Menteri Besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak sebelum ini.

Azam berkata, beliau berharap semua pihak menghadapi pilihan raya kecil kali ini dengan penuh harmoni.

Muhyiddin ketika mengumumkan pemilihan calon BN berkata, pemilihan Ahmad Sohaimi, 52, adalah berdasarkan kelebihan beliau yang mempunyai kelulusan tinggi selain pernah terlibat dalam parti termasuk kini sebagai Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Jerai dan aktiviti kemasyarakatan.

Katanya, pemilihan dibuat berdasarkan penilaian oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak, beliau sendiri dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.

“Mohon kerjasama pengundi untuk memberi peluang kepadanya. Jika terpilih segala perkara yang perlukan perhatian akan disampaikan kepada kerajaan negeri dan kerajaan pusat,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman itu.

ahmad_sohaimi_bn

Ahmad Sohaimi, pensyarah kanan Jabatan Pengajian Kemasyarakatan, Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI berasal dari Kampung Titi Batu, Guar Chempedak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Oktober sebagai hari penamaan calon, manakala 4 November depan sebagai hari mengundi.

Kerusi DUN Sungai Limau kosong ekoran kematian bekas menteri besar Kedah, Azizan kerana komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis pada 26 September lalu.

Pada pilihan raya umum ke-13 Mei lalu, Azizan mempertahankan kerusi Sungai Limau yang dimenanginya sejak 1995 untuk PAS, dengan menewaskan sepupu beliau Fazillah Mohd Ali yang mewakili BN dengan majoriti 2,774 undi. – 22 Oktober, 2013.

tmi

 

PAS Bermasalah Pilih Calon Sungai Limau ?


PRK-Sungai-Limau

Tiga kumpulan mahu mencari pengaruh untuk meletakkan calon pilihan mereka.

Kerusi DUN Sungai Limau di Kedah diketahui umum kubu kuat PAS atau lebih tepat lagi kubu Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Bekas Menteri Besar Kedah yang meninggal dunia dua minggu lalu menang lima kali sejak tahun 1995 ketika itu atas nama Sala.

Tetapi PAS kini berdepan masalah baru menjelang hari mengundi 4 November depan kerana didakwa berlaku perpecahan di kalangan pemimpin utama parti.

Satu kumpulan pro Azizan, satu lagi kumpulan Datuk Phahrolrazi Zawawi yang satu waktu lalu pernah `menentang’ bekas Menteri Besar Kedah itu.

Datuk Mahfuz Omar yang dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS negeri menggantikan Azizan pula didakwa mengetepikan pemimpin yang tidak sehaluan dengannya.

“Mereka bergaduh sesama sendiri untuk mencari calon yang boleh diterima oleh kumpulan-kumpulan ini.

“Dijangka ada protes terhadap calon baru PAS nanti,” kata Abdullah Hashim, bekas penyokong kuat Azizan.

Saingan sengit Umno-PAS

Daripada 27,222 pengundi, 93% adalah Melayu, Cina (6.75% ) dan India cuma empat orang. Daripada bilangan pengundi Melayu itu pula, 30.27 peratus adalah ahli Umno, PAS (32.58%) dan selebihnya dikatakan pengundi atas pagar.

Pada PRU-13, beliau menewaskan sepupunya, Fazillah Mohd. Ali yang mewakili BN, dengan meraih majoriti 2,774 undi.

Pada 5 Mei lalu, PAS menang 13 daripada 19 pusat daerah mengundi iaitu Matang Buloh, Sungai Dedap, Gelam Tiga, Bukit Choras, Bukit Besar, Simpang Tiga Luar, Sungai Limau, Kabu Sepuloh, Sedaka, Ulu Sedaka, Padang Lumat, Batu Enam Belas dan Kampung Titi Batu.

Di Bukit Choras dan Bukit Besar misalnya, PAS jauh meninggalkan BN, dengan kedudukan 458-81 undi dan 459-115 undi.

BN juga bermasalah kerana pertandingan jawatan Ketua Bahagian Jerai antara Datuk Seri Jamil Khir Baharom dengan Datuk Suhaimi Abdullah.

BN akan mengumumkan calonnya pada 21 Oktober ini.
http://www.freemalaysiatoday.com

Bekas Naib Presiden PAS Sahkan Konsep Kepimpinan Ulama Dari Iran


pas

Konsep kepimpinan ulama dalam Pas bukan berasal dari Mesir atau Turki

Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Nakhaie Ahmad mengesahkan Majlis Syura Ulama berasal dari Iran dengan mengatakan beliau bertanggungjawab merangka pindaan perlembagaan parti Islam itu.

Menurut Nakhaie, Majlis Syura Ulama bukan satu kesilapan dan menegaskan ia adalah perkara yang wajar diambil demi memastikan PAS dipimpin mereka yang tahu mengenai ajaran Islam.

“Saya sebagai Naib Presiden PAS ketika itu ditugaskan membuat  beberapa pindaan Perlembagaan PAS, memasukkan kehendak dalam perlembagaan yang dinamakan Majlis Syura Ulama, yang dipimpin oleh Mursyidul Am.

“Saya yang rangka draf dan ia diluluskan Jawatankuasa Agung PAS yang kemudiannya diterima muktamar,” katanya dipetik daripada akhbar Sinar Harian.

Bagaimanapun menurut Nakhaie, ajaran dari ulama Syiah Iran tidak boleh diterima.

“Kita hanya ambil strukturnya sahaja, tetapi pengisiannya hendaklah berasaskan kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu  mengatakan kepimpinan Ulama dan Unit Amal berasal dari Iran.

Mohamad  berkata, beliau dan rakan-rakannya dari Pemuda PAS yang membawa konsep kepimpinan ulama, Unit Amal bahkan lagu Unit Amal dari Iran ke dalam PAS kerana tertarik dengan konsep “Wilayatul Faqih” yang digagaskan oleh Ayatollah Ruhullah Khomeini selepas berlakunya revolusi di negara tersebut.

“Apabila dunia dikejutkan dengan revolusi Iran pada 1978, saya yang berada dalam Pemuda PAS ketika itu dipimpin Mustafa Ali (sekarang Datuk) dan Haji Subky Latif selaku setiausaha, kami pergi ke sana,” katanya.

“Kami bawa usul kepimpinan ulama ini dalam Muktamar Pemuda 1982 di Bukit Mertajam. Selepas diluluskan kami bawa ke Muktamar Pusat dan diluluskan dalam Muktamar di Dewan Bahasa dan Pustaka tahun itu. Pada 1983, usul ini dibawa ke dalam Perlembagaan PAS, maka terbentuklah Majlis Syura Ulama, badan tertinggi dalam PAS sekarang,” katanya.

Menurut Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu, konsep kepimpinan ulama ini bukan datangnya dari Mesir atau Turki, tetapi datangnya dari Iran.

DIYANA IBRAHIM tmi

Jom ‘Fight’ Dengan Tongkat Tok Guru Nik Aziz


tongkat nik aziz

Fight harga saja untuk membantu mangsa kebakaran

Muhd Bajili menunjukkan tongkat Nik Aziz yang akan dilelong hari ini (Jumaat).

KOTA BHARU – Cakna nasib dialami mangsa kebakaran rumah di Kampung Sireh Bawah Lembah awal bulan ini, bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berbesar hati melelong tongkatnya untuk membantu keluarga terbabit.

Hasrat itu dinyatakan Nik Abdul Aziz menerusi Dewan Pemuda Pas Kawasan Kota Bharu dalam usaha mengurangkan bebanan ditanggung keluarga terbabit yang hilang tempat tinggal berikutan kejadian tersebut.

Setiausaha Pemuda Pas Kota Bharu, Muhd Bajili Bakri berkata, salah satu tongkat kegunaan Mursyidul Am itu akan dilelong pada jualan amal dengan harga permulaan bidaan RM500.

“Tongkat tersebut akan dilelong hari ini (Jumaat) selama 30 minit bermula jam 5.30 petang di tapak Car Boot Sale Lembah Sireh dan orang ramai yang ingin bersama-sama membantu mangsa kebakaran bolehlah mengunjungi jualan amal ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Selain itu, Muhd Bajili berkata, pada hari sama juga bermula jam 3 petang hingga 10 malam, pihaknya turut melelong pelbagai barangan baru dan terpakai dengan harga serendah RM1.

Pada 6 September lalu, tujuh rumah melibatkan 15 keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila harta benda mereka musnah dalam kebakaran kira-kira jam 12 tengah hari.

SH

%d bloggers like this: