Category Archives: Politik Malaysia

Yang Menang dan Yang Kalah di Sungai Limau


SUNGAI_LIMAU_BY-ELECTION_041113_TMINAJJUA_05_540_360_100

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Limau yang baru, Mohd Azam Abdul Samat ketika membuang undi semalam

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar adalah orang yang paling gembira ekoran kemenangan PAS di Sungai Limau manakala Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir pula adalah pihak paling terasa kesan kegagalan Barisan Nasional mengalahkan PAS semalam.

Sementara itu, badan penyelidik bebas Ilham Centre antara pihak yang sangat gembira dengan kemenangan ini ekoran jangkaan mereka menjelang pemilihan adalah tepat manakala Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin pula meleset apabila jangkaan beliau BN akan menang tersasar.

Berikut adalah pihak yang menang dan kalah dalam pilihan raya kecil Sungai Limau.

Yang menang

1) PAS

Sudah pasti pemimpin dan penyokong PAS di seluruh negara paling gembira dengan kemenangan ini. Sudah tentu mereka akan membuat pelbagai kenduri-kendara bagi meraikan kemenangan ini. Pilihan raya kecil ini juga berjaya meredakan ketegangan antara pucuk pimpinan mereka ekoran pemilihan pucuk kepimpinan parti yang akan berlaku 22 hingga 24 November ini.

2) Mahfuz Omar

Beliau menjadi individu yang paling gembira dengan kemenangan PAS kali ini. Beliau baru saja mengambil alih jawatannya ini daripada allahyarham Tan Sri Azizan Razak selepas pilihan raya umum lalu ketika Azizan mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang. Kemenangan ini bakal menjadi modal besar kepadanya yang akan berdepan dengan pemilihan parti kerana beliau akan mempertahankan jawatan naib presiden. Kalau sebelum ini beliau antara penyandang yang paling risau, kini beliau mempunyai harapan yang sangat cerah untuk menang.

3) Ustaz Azam

Mohd Azam Abdul Samat, 37 tahun, adalah Penolong Pengetua Sekelah Menengah Agama Bantuan Kerajaan An-Nahzah, Bukit Besar sebelum dipilih sebagai calon. Beliau tidak dikenali sebelum ini. Selepas menjadi wakil rakyat sudah tentu beliau mempunyai rutin yang berlainan selepas ini.

4) Ilham Centre

Ramalan yang dibuat oleh penyelidik bebas Ilham Centre bahawa PAS akan menang sekitar 53 – 55 peratus dalam pilihan raya ini menjadi kenyataan. Ilham mengulangi ketepatan ramalan menjelang pilihan rayanya yang dibuat sejak pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada 2008 lalu. Kerisauan jelas terbayang kepada Pengerusi Eksekutifnya, Mohamad Hisomuddin Bakar apabila berita awal menunjukkan BN menang. Namun selepas terbukti ia hanya perang saraf BN, Hisom antara yang menang dalam pilihan raya kecil ini.

5) Penduduk Sungai Limau

Mereka menang kerana berjaya mendapat wakil rakyat yang mereka mahukan di samping mendapat segala macam daripada kerajaan negeri Kedah dan kerajaan pusat menjelang pilihan raya lalu. Gula dijual dengan harga RM1 sekilo, beras 5kg hanya RM5 dan lain-lain lagi bantuan termasuk anak pokok mempelam, cermin mata, baja padi dan sebagainya.

Pihak yang kalah

1) Mukhriz Mahathir

Pihak yang paling terasa apabila BN kalah dalam pilhan raya kecil ini sudah tentulah Mukhriz. Ini kerana, ia kekalahan kedua selepas beliau gagal memenangi naib presiden Umno dalam pemilihannya baru-baru ini. Mukhriz adalah orang yang paling kuat bekerja untuk mempastikan kemenangan calon BN kali ini. Beliau berada di Sungai Limau siang dan malam untuk memastikan jentera BN berjalan lancar. Di saat-saat akhir beliau membawa turun ayahandanya Tun Dr Mahathir Mohamad, namun pengundi Sungai Limau tetap menolak BN.

2) Umno

Umno sudah tentu paling terasa apabila calonnya tewas dalam pilihan raya kecil ini. Ini kerana pertembungan di Sungai Limau adalah antara Umno dan musuh tradisinya PAS bukan antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Kekalahan ini bererti kegagalan untuk Umno memecahkan kubu PAS di Sungai Limau padahal dalam pilihan raya umum lalu Umno berjaya menang di Parlimen Jerai dan dua lagi DUN di bawah Parlimen Jerai.

3) Dr Ahmad Sohaimi

Sudah tentu pihak yang terasa kecewa dengan kekalahan ini adalah calon BN sendiri Dr Ahmad Sohaimi Lazim. Sohaimi terpaksa melepaskan jawatannya sebagai pensyarah kanan di UPSI untuk menyertai pertandingan ini. Walaupun mungkin boleh masuk balik kerana semua boleh dibuat oleh Umno tetapi sudah tentu air muka beliau yang hilang.

4) Muhyidin

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tentu pihak yang kalah dalam pilihan raya ini. Selaku pengarah utama pilihan raya bagi BN, Muhyiddin banyak menghabiskan masa dan tenaga beliau untuk memastikan calon BN menang. Namun apakan daya pengundi Sungai Limau menolak beliau. Sudahlah terpaksa meminta maaf daripada keluarga allahyarham Azizan kerana tersalah cakap, pilihan raya kalah pula.

5) Kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Kedah

Ini kerana, berapa banyak wang daripada kedua-dua kerajaan ini digunakan untuk “membeli” undi pengundi di sini. Namun ia tetap ditolak. Bagaimana pemimpin kerajaan hendak jawab apabila gula dijual RM1 sekilo saja sedangkan ketika harganya dinaikkan alasan yang diberikan adalah untuk mengelakkan kencing manis. Apakah kerajaan mahu penduduk Sungai Limau diserang kencing manis apabila gula dijual dengan harga murah di sini. Kerajaan yang kena tanggung. Duit rakyat juga yang hilang. – 5 November, 2013.

Oleh Zulkifli Sulong, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA tmi

PRK Sg Limau: Azam Samad lawan Ahmad Sohaimi


azam_samad_pas

Ketua Pemuda PAS Jerai, Azam Samad, calon PRK DUN Sungai Limau.

Ketua Pemuda PAS Jerai, Azam Samad diumumkan sebagai calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau malam tadi oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ini bermakna, Azam akan berdepan dengan Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ahmad Sohaimi Lazim yang diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) petang semalam.

Ahmad Sohaimi diumumkan sebagai calon oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi BN di Bilik Gerakan BN bagi PRK DUN Sungai Limau di Sungai Lentang, Sungai Limau.

Ketika memberikan ucapan sulung selepas diumumkan sebagai calon, Azam seorang bekas guru berkata, beliau akan meneruskan agenda bekas Menteri Besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak sebelum ini.

Azam berkata, beliau berharap semua pihak menghadapi pilihan raya kecil kali ini dengan penuh harmoni.

Muhyiddin ketika mengumumkan pemilihan calon BN berkata, pemilihan Ahmad Sohaimi, 52, adalah berdasarkan kelebihan beliau yang mempunyai kelulusan tinggi selain pernah terlibat dalam parti termasuk kini sebagai Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Jerai dan aktiviti kemasyarakatan.

Katanya, pemilihan dibuat berdasarkan penilaian oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak, beliau sendiri dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.

“Mohon kerjasama pengundi untuk memberi peluang kepadanya. Jika terpilih segala perkara yang perlukan perhatian akan disampaikan kepada kerajaan negeri dan kerajaan pusat,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman itu.

ahmad_sohaimi_bn

Ahmad Sohaimi, pensyarah kanan Jabatan Pengajian Kemasyarakatan, Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI berasal dari Kampung Titi Batu, Guar Chempedak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Oktober sebagai hari penamaan calon, manakala 4 November depan sebagai hari mengundi.

Kerusi DUN Sungai Limau kosong ekoran kematian bekas menteri besar Kedah, Azizan kerana komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis pada 26 September lalu.

Pada pilihan raya umum ke-13 Mei lalu, Azizan mempertahankan kerusi Sungai Limau yang dimenanginya sejak 1995 untuk PAS, dengan menewaskan sepupu beliau Fazillah Mohd Ali yang mewakili BN dengan majoriti 2,774 undi. – 22 Oktober, 2013.

tmi

 

PAS Bermasalah Pilih Calon Sungai Limau ?


PRK-Sungai-Limau

Tiga kumpulan mahu mencari pengaruh untuk meletakkan calon pilihan mereka.

Kerusi DUN Sungai Limau di Kedah diketahui umum kubu kuat PAS atau lebih tepat lagi kubu Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Bekas Menteri Besar Kedah yang meninggal dunia dua minggu lalu menang lima kali sejak tahun 1995 ketika itu atas nama Sala.

Tetapi PAS kini berdepan masalah baru menjelang hari mengundi 4 November depan kerana didakwa berlaku perpecahan di kalangan pemimpin utama parti.

Satu kumpulan pro Azizan, satu lagi kumpulan Datuk Phahrolrazi Zawawi yang satu waktu lalu pernah `menentang’ bekas Menteri Besar Kedah itu.

Datuk Mahfuz Omar yang dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS negeri menggantikan Azizan pula didakwa mengetepikan pemimpin yang tidak sehaluan dengannya.

“Mereka bergaduh sesama sendiri untuk mencari calon yang boleh diterima oleh kumpulan-kumpulan ini.

“Dijangka ada protes terhadap calon baru PAS nanti,” kata Abdullah Hashim, bekas penyokong kuat Azizan.

Saingan sengit Umno-PAS

Daripada 27,222 pengundi, 93% adalah Melayu, Cina (6.75% ) dan India cuma empat orang. Daripada bilangan pengundi Melayu itu pula, 30.27 peratus adalah ahli Umno, PAS (32.58%) dan selebihnya dikatakan pengundi atas pagar.

Pada PRU-13, beliau menewaskan sepupunya, Fazillah Mohd. Ali yang mewakili BN, dengan meraih majoriti 2,774 undi.

Pada 5 Mei lalu, PAS menang 13 daripada 19 pusat daerah mengundi iaitu Matang Buloh, Sungai Dedap, Gelam Tiga, Bukit Choras, Bukit Besar, Simpang Tiga Luar, Sungai Limau, Kabu Sepuloh, Sedaka, Ulu Sedaka, Padang Lumat, Batu Enam Belas dan Kampung Titi Batu.

Di Bukit Choras dan Bukit Besar misalnya, PAS jauh meninggalkan BN, dengan kedudukan 458-81 undi dan 459-115 undi.

BN juga bermasalah kerana pertandingan jawatan Ketua Bahagian Jerai antara Datuk Seri Jamil Khir Baharom dengan Datuk Suhaimi Abdullah.

BN akan mengumumkan calonnya pada 21 Oktober ini.
http://www.freemalaysiatoday.com

Bolehkah Mohamad Sabu Undur Setapak ?


mat sabu

Cadangan untuk  Abang Mat bertanding Naib Presiden PAS Pusat

Bahang pemilihan kepimpinan boleh dikatakan semua partti politik Malaysia sudah mulai muncul.Baik Umno (Baru) maupun PAS dan DAP serta parti di Sarawak dan Sabah.

Samada komen ,cadangan dan isyarat terkini bermacam macam spekulasi dan perspektif semasa menjelma.

Beberapa pemerhati dan penganalisa politik Malaysia melalui sumber media menyarankan Mohamad Sabu atau nama glamour beliau Mat Sabu supaya mengundur setapak untuk bertanding jawatan Naib Presiden PAS.

Biarkan jawatan Timbalan Presiden ditandingi hanya 2 orang calon iaitu antara Husam Musa dan Nik Amar sahaja.

Ramai memperakui Mat Sabu adalah seorang yang konsisten dengan perjuangan dan tidak pernah memngenal erti penat lelah.Jasa beliau kepada PAS dan rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan dan kesejahteraan sangat besar.

Tidak ada orang yang sanggup masuk ISA sehingga 2 kali.

Mat Sabu menjadi ikon pemuda dizaman beliau, “Tanker” PAS sejak dulu dan sekarang walau dimana saja ceruk rantau yang beliau hadir sambutan kepada majlis  beliau sangat meriah sekali.

Tidak ada cacat celanya atau istilah ‘turun pangkat’ pun jika Mat Sabu hanya bertanding jawatan Naib Presiden.

Berdasarkan faktor sejarah Saidina Omar al Khattab dan Khalid al Walid beberapa kali tidak diberi peranan sebagai panglima perang oleh Baginda Rasul SAW.

Terkini, pemimpin Umno (Baru) boleh ‘gostan’ barang setapak . Kenapa pemimpin PAS tidak boleh berbuat demikian ?.

Idris beri laluan untuk meremajakan Umno Besut

Sebaliknya beliau berundur ke belakang bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian.

BESUT: Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh mengejutkan ahli-ahli Umno Bahagian Besut apabila beliau tidak mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian tersebut.

Sebaliknya beliau berundur ke belakang bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian.

Jawatan Ketua Bahagian yang dikosongkan Idris jadi rebutan antara ADUN Jerteh, Muhammad Pehimi Yusof dengan ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad.

Manakala jawatan Timbalan Ketua Bahagian menjadi rebutan ADUN Kota Putera, Mohd Mahdi Musa dengan Pengarah Unit Komunikasi (UKOM), Haji Shamsuddin Sulong.

Idris menang tanpa bertanding bagi jawatan Naib Ketua Bahagian.

Menurut sumber yang rapat dengan beliau, tindakan Idris itu sebagai menyahut seruan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu meremajakan Umno.

“Oleh kerana beliau sibuk sebagai menteri dan ahli majlis tertinggi Umno maka sudah sampai masanya bagi orang muda mengambilalih pimpinan Bahagian Besut,” kata sumber itu lagi.

Katanya lagi, tindakan Idris wajar dipuji kerana ramai pemimpin yang menjadi Ketua Bahagian enggan berundur.

“Sebab itulah beliau sanggup berundur ke bawah supaya Umno Besut diketuai oleh orang muda,” ujarnya.

Bagaimanapun,Idris tetap mempertahankan jawatan ahli majlis tertinggi pada 19 Oktober depan.

fmt

Siapa Punya ‘Scanning’ PM Najib Ada Simptom Sewel ?


najib

Pemandu akhirnya jawab isu “Najib sewel”

Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dari Jabatan Perdana Menteri menegaskan, semua pelantikan kakitangannya dibuat berdasarkan meritokrasi, pengalaman profesional, etika kerja dan kemampuan untuk menghasilkan kualiti kerja.

Menurut satu kenyataan bertarikh 5 September akan tetapi hanya boleh diakses media semalam, Pemandu juga menjelaskan, kakitangannya yang bertugas sebagai Penganalisa Kanan, Farah Intan Burhanudin hanya mengulang untuk mata pelajaran Bahasa Arab sahaja di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

“Memang dia mengulang untuk mata pelajaran Bahasa Arab yang menjadi mata pelajaran wajib di UIA, tetapi dia tidak pernah mengulang untuk mata pelajaran subjek teras.

“Farah menamatkan pelajarannya di UIA dengan Ijazah Penuh Kepujian Kelas Kedua,” kata Penganalisis Pemandu Ashvin Khaira dalam kenyataan itu.

Pemandu juga menjelaskan, denda yang dikenakan ke atas Farah oleh Majlis Peguam adalah denda pentadbiran sahaja kerana kegagalan beliau memaklumkan pertukaran kerja dari peguam kepada bertugas dengan Pemandu.

Penjelasan ini dibuat Pemandu bagi menjawab segala tuduhan yang dikenakan blogger Umno terhadapnya baru-baru ini sehingga mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai “sewel”.

Syed Akbar Ali melalui blognya, OutSyed The Box, menggunakan nama Datuk “Sewel” Najib Tun Razak merujuk kepada presiden Umno itu.

Menurut kamus Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sewel bermaksud tidak begitu waras atau tidak siuman.

Serangan Syed Akbar dalam tulisannya bertajuk “The PM’s Screwup Team – Senarai Pegawai Pemandu, Bersih Supporters Etc” itu disiarkan juga di blog Rocky Bru, milik Datuk Ahirudin Atan, blogger yang rapat dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kedua-dua mereka sepakat pembentukan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), badan yang ditubuhkan kerajaan untuk memantau pelaksanaan polisi kerajaan, adalah membazirkan wang negara.

Mereka memaparkan bagaimana staf-staf Pemandu diberikan gaji tinggi berbanding dengan pegawai kerajaan lain yang jauh lebih lama bertugas dari mereka.

Mereka turut mempertikaikan bagaimana Farah boleh dilantik sebagai pegawai kanan Pemandu sedangkan sikapnya yang suka joli, mabuk dan pernah dikenakan denda oleh Majlis Peguam.

tmi

Anwar Bebas Umno Pecah


Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad apabila ditanya mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim, secara sinikal beliau menjawab..

“Walaupun saya hairan jugalah pasal dia (Anwar) tak bersalah. Tapi ini bukti bahawa tidak ada konspirasi dari dulu sampai sekarang.

“Apabila pihak mahkamah berpendapat dia (Anwar) tidak bersalah, mereka (mahkamah) berkata dia tidak bersalah. Mungkin ada pihak yang nak appeal, saya tak tahulah.”

Mahathir memang terkenal dengan komen-komen sinikalnya. Anwar Ibrahim adalah bekas anak didik yang ditatang beliau dengan penuh kasih sayang satu ketika dahulu.

Namun akhirnya Anwar menjadi musuh politik nombor satu Mahathir yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun itu. Anwar juga merupakan satu-satunya ahli politik yang masih belum dapat “dibunuh” karier politiknya olehnya.

Ahli-ahli politik lain seperti Tengku Razaleigh, Tun Abdullah Badawi, Tun Musa Hitam dan ramai lagi terpelanting dengan mudah apabila bertembung dengan Mahathir.

Sudah pasti Mahathir adalah orang yang paling tidak gembira dengan keputusan mahkamah tersebut. Jika Anwar didapati bersalah Isnin lalu, Mahathir sudah boleh berehat dengan tenang bersama keluarganya menghabiskan sisa-sisa hayatnya yang masih ada.

NONEApabila Mahathir berkata, “Mungkin ada pihak nak appeal, saya tak tahulah” – ini merupakan satu isyarat bahawa kes liwat II ini masih belum selesai dan sudah pasti bapa kepada Datuk Mukhriz itu mahu rayuan dilakukan terhadap keputusan mahkamah supaya perang liwat II berterusan.

Peperangan politik antara Mahathir-Anwar masih belum selesai walaupun ia telah memakan hampir 12 tahun. Suka tak suka pertembungan antara kedua-dua ahli politik ini telah mengheret seluruh negara bersama.

Golongan pro transformasi

Walaupun kecil dalam Umno, golongan ini sedikit sebanyak membantu memulihkan sokongan orang muda terhadap Barisan Nasional (BN). Kebanyakkannya, golongan ini adalah bekas penyokong Anwar sewaktu dalam Umno dahulu.

Golongan ini gembira dengan keputusan mahkamah dan selepas selesai kes liwat II ini, mereka mahu perlawanan antara BN dan Pakatan Rakyat naik ke tahap yang lebih matang iaitu ke tahap polisi.

student handing memo to saifuddin abdullah on academic freedomTimbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah adalah di antara yang tergolong dalam golongan ini. Keberanian beliau untuk berhadapan dengan politikus Pakatan dalam majlis-majlis debat sedikit sebanyak telah memenangi hati anak-anak muda dan pengundi atas pagar.

Akan tetapi di dalam parti Umno, golongan pro transformasi terlalu lemah dan jika  transformasi politik itu bukan program Datuk Seri Najib Razak selaku presiden dan perdana menteri, sudah pasti golongan ini telah lama dikuburkan.

Sebab itu kita boleh lihat kurangnya komen-komen dari golongan pro transformasi mengenai keputusan mahkamah Isnin lalu.

Mungkin golongan ini mengambil sikap berhati-hati oleh kerana kini, umum tahu golongan “garis keras” dalam Umno yang dipayungi oleh Mahathir sedang marah.

Sokong parti kuat

Politik Melayu itu mudah. Sokongan diberikan kepada parti yang kuat. Arwah atuk penulis sendiri pernah berpesan, jika mahu menyertai politik, ikutlah parti yang kuat.

Keputusan mahkamah Isnin lalu telah memberikan satu kekuatan baru kepada Anwar Ibrahim dalam usaha untuk memenangi hati majoriti pengundi Melayu terutamanya di kawasan luar bandar sekaligus menawan Putrajaya.

Bekas menteri Umno yang masih ahli parti tersebut, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir secara terang-terangan telah menunjukkan sokongannya terhadap Anwar.

Beliau hadir ke rumah Anwar dan menemani mantan timbalan perdana menteri itu ke mahkamah pada hari keputusan diumumkan.

Tindakan Kadir ini juga boleh dilihat sebagai isyarat jelas beliau tidak bersama Najib. Jika Datuk Zaid Ibrahim pada satu ketika dahulu dipecat dari Umno kerana hadir di kongres PKR, apa pula tindakan yang bakal dikenakan terhadap Kadir yang juga merupakan Timbalan Presiden Amanah – di bawah pimpinan Ku Li.

Setidak-tidaknya, penyokong Kadir akan mengikut jejak langkah beliau untuk memberikan sokongan kepada Anwar Ibrahim. Ini merupakan satu kerugian politik kepada Najib Razak.

Apa yang bakal terjadi?

Kita lihat nanti apabila pendakwaraya membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah Isnin lalu. Apabila itu berlaku, lebih jelas lagi perpecahan dalam Umno kelihatan.

Najib akan berusaha keras untuk pastikan keputusan mahkamah Isnin lalu kekal di mahakamah rayuan. Jika keputusan mahkamah rayuan berbeza, hilang terus kepercayaan golongan atas pagar terhadap program transformasi politik beliau.
Sementara golongan “garis keras” yang berdiri dibelakang timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahukan Anwar disimpan dalam penjara agar ketua pembangkang itu mengalami nasib seperti mantan pengerusi Putera-AMCJA, Dr Burhanuddin Helmy – menghabiskan masa lama dalam penjara sepanjang perjuangan politiknya.

Jika gagal menjinakkan golongan garis keras dalam Umno,Najib akan berada dalam keadaan, “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”. Apatah lagi pada ketika ini Umno mengalami masalah besar di basis sokongan mereka – Melayu kawasan pendalaman apabila Skandal NFC diketahui umum.


ULASAN ini adalah pandangan peribadi penyumbang/penulis dan tidak semestinya mencermin pendirian sidang pengarang Malaysiakini.

Amin Iskandar menerima anugerah zamalah Intelektual Awam Asia 

%d bloggers like this: