Konsep kepimpinan ulama dalam Pas bukan berasal dari Mesir atau Turki
Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Nakhaie Ahmad mengesahkan Majlis Syura Ulama berasal dari Iran dengan mengatakan beliau bertanggungjawab merangka pindaan perlembagaan parti Islam itu.
Menurut Nakhaie, Majlis Syura Ulama bukan satu kesilapan dan menegaskan ia adalah perkara yang wajar diambil demi memastikan PAS dipimpin mereka yang tahu mengenai ajaran Islam.
“Saya sebagai Naib Presiden PAS ketika itu ditugaskan membuat beberapa pindaan Perlembagaan PAS, memasukkan kehendak dalam perlembagaan yang dinamakan Majlis Syura Ulama, yang dipimpin oleh Mursyidul Am.
“Saya yang rangka draf dan ia diluluskan Jawatankuasa Agung PAS yang kemudiannya diterima muktamar,” katanya dipetik daripada akhbar Sinar Harian.
Bagaimanapun menurut Nakhaie, ajaran dari ulama Syiah Iran tidak boleh diterima.
“Kita hanya ambil strukturnya sahaja, tetapi pengisiannya hendaklah berasaskan kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.
The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengatakan kepimpinan Ulama dan Unit Amal berasal dari Iran.
Mohamad berkata, beliau dan rakan-rakannya dari Pemuda PAS yang membawa konsep kepimpinan ulama, Unit Amal bahkan lagu Unit Amal dari Iran ke dalam PAS kerana tertarik dengan konsep “Wilayatul Faqih” yang digagaskan oleh Ayatollah Ruhullah Khomeini selepas berlakunya revolusi di negara tersebut.
“Apabila dunia dikejutkan dengan revolusi Iran pada 1978, saya yang berada dalam Pemuda PAS ketika itu dipimpin Mustafa Ali (sekarang Datuk) dan Haji Subky Latif selaku setiausaha, kami pergi ke sana,” katanya.
“Kami bawa usul kepimpinan ulama ini dalam Muktamar Pemuda 1982 di Bukit Mertajam. Selepas diluluskan kami bawa ke Muktamar Pusat dan diluluskan dalam Muktamar di Dewan Bahasa dan Pustaka tahun itu. Pada 1983, usul ini dibawa ke dalam Perlembagaan PAS, maka terbentuklah Majlis Syura Ulama, badan tertinggi dalam PAS sekarang,” katanya.
Menurut Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu, konsep kepimpinan ulama ini bukan datangnya dari Mesir atau Turki, tetapi datangnya dari Iran.
DIYANA IBRAHIM tmi