Tag Archives: Barisan Nasional

Yang Menang dan Yang Kalah di Sungai Limau


SUNGAI_LIMAU_BY-ELECTION_041113_TMINAJJUA_05_540_360_100

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Limau yang baru, Mohd Azam Abdul Samat ketika membuang undi semalam

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar adalah orang yang paling gembira ekoran kemenangan PAS di Sungai Limau manakala Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir pula adalah pihak paling terasa kesan kegagalan Barisan Nasional mengalahkan PAS semalam.

Sementara itu, badan penyelidik bebas Ilham Centre antara pihak yang sangat gembira dengan kemenangan ini ekoran jangkaan mereka menjelang pemilihan adalah tepat manakala Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin pula meleset apabila jangkaan beliau BN akan menang tersasar.

Berikut adalah pihak yang menang dan kalah dalam pilihan raya kecil Sungai Limau.

Yang menang

1) PAS

Sudah pasti pemimpin dan penyokong PAS di seluruh negara paling gembira dengan kemenangan ini. Sudah tentu mereka akan membuat pelbagai kenduri-kendara bagi meraikan kemenangan ini. Pilihan raya kecil ini juga berjaya meredakan ketegangan antara pucuk pimpinan mereka ekoran pemilihan pucuk kepimpinan parti yang akan berlaku 22 hingga 24 November ini.

2) Mahfuz Omar

Beliau menjadi individu yang paling gembira dengan kemenangan PAS kali ini. Beliau baru saja mengambil alih jawatannya ini daripada allahyarham Tan Sri Azizan Razak selepas pilihan raya umum lalu ketika Azizan mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang. Kemenangan ini bakal menjadi modal besar kepadanya yang akan berdepan dengan pemilihan parti kerana beliau akan mempertahankan jawatan naib presiden. Kalau sebelum ini beliau antara penyandang yang paling risau, kini beliau mempunyai harapan yang sangat cerah untuk menang.

3) Ustaz Azam

Mohd Azam Abdul Samat, 37 tahun, adalah Penolong Pengetua Sekelah Menengah Agama Bantuan Kerajaan An-Nahzah, Bukit Besar sebelum dipilih sebagai calon. Beliau tidak dikenali sebelum ini. Selepas menjadi wakil rakyat sudah tentu beliau mempunyai rutin yang berlainan selepas ini.

4) Ilham Centre

Ramalan yang dibuat oleh penyelidik bebas Ilham Centre bahawa PAS akan menang sekitar 53 – 55 peratus dalam pilihan raya ini menjadi kenyataan. Ilham mengulangi ketepatan ramalan menjelang pilihan rayanya yang dibuat sejak pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada 2008 lalu. Kerisauan jelas terbayang kepada Pengerusi Eksekutifnya, Mohamad Hisomuddin Bakar apabila berita awal menunjukkan BN menang. Namun selepas terbukti ia hanya perang saraf BN, Hisom antara yang menang dalam pilihan raya kecil ini.

5) Penduduk Sungai Limau

Mereka menang kerana berjaya mendapat wakil rakyat yang mereka mahukan di samping mendapat segala macam daripada kerajaan negeri Kedah dan kerajaan pusat menjelang pilihan raya lalu. Gula dijual dengan harga RM1 sekilo, beras 5kg hanya RM5 dan lain-lain lagi bantuan termasuk anak pokok mempelam, cermin mata, baja padi dan sebagainya.

Pihak yang kalah

1) Mukhriz Mahathir

Pihak yang paling terasa apabila BN kalah dalam pilhan raya kecil ini sudah tentulah Mukhriz. Ini kerana, ia kekalahan kedua selepas beliau gagal memenangi naib presiden Umno dalam pemilihannya baru-baru ini. Mukhriz adalah orang yang paling kuat bekerja untuk mempastikan kemenangan calon BN kali ini. Beliau berada di Sungai Limau siang dan malam untuk memastikan jentera BN berjalan lancar. Di saat-saat akhir beliau membawa turun ayahandanya Tun Dr Mahathir Mohamad, namun pengundi Sungai Limau tetap menolak BN.

2) Umno

Umno sudah tentu paling terasa apabila calonnya tewas dalam pilihan raya kecil ini. Ini kerana pertembungan di Sungai Limau adalah antara Umno dan musuh tradisinya PAS bukan antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Kekalahan ini bererti kegagalan untuk Umno memecahkan kubu PAS di Sungai Limau padahal dalam pilihan raya umum lalu Umno berjaya menang di Parlimen Jerai dan dua lagi DUN di bawah Parlimen Jerai.

3) Dr Ahmad Sohaimi

Sudah tentu pihak yang terasa kecewa dengan kekalahan ini adalah calon BN sendiri Dr Ahmad Sohaimi Lazim. Sohaimi terpaksa melepaskan jawatannya sebagai pensyarah kanan di UPSI untuk menyertai pertandingan ini. Walaupun mungkin boleh masuk balik kerana semua boleh dibuat oleh Umno tetapi sudah tentu air muka beliau yang hilang.

4) Muhyidin

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tentu pihak yang kalah dalam pilihan raya ini. Selaku pengarah utama pilihan raya bagi BN, Muhyiddin banyak menghabiskan masa dan tenaga beliau untuk memastikan calon BN menang. Namun apakan daya pengundi Sungai Limau menolak beliau. Sudahlah terpaksa meminta maaf daripada keluarga allahyarham Azizan kerana tersalah cakap, pilihan raya kalah pula.

5) Kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Kedah

Ini kerana, berapa banyak wang daripada kedua-dua kerajaan ini digunakan untuk “membeli” undi pengundi di sini. Namun ia tetap ditolak. Bagaimana pemimpin kerajaan hendak jawab apabila gula dijual RM1 sekilo saja sedangkan ketika harganya dinaikkan alasan yang diberikan adalah untuk mengelakkan kencing manis. Apakah kerajaan mahu penduduk Sungai Limau diserang kencing manis apabila gula dijual dengan harga murah di sini. Kerajaan yang kena tanggung. Duit rakyat juga yang hilang. – 5 November, 2013.

Oleh Zulkifli Sulong, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA tmi

Setiausaha Politik MB Kata PM Bodoh


Setiausaha-Politik-MB-kata-PM-bodoh

Seorang Setiausaha Politik tidak sepatutnya bercakap begitu kepada Perdana Menteri.

KEMAMAN: Seorang perwakilan Umno Bahagian Kemaman kesal dengan ucapan Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid (gambar dari kiri) yang mengatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bodoh.

Menurut mereka, seorang Setiausaha Politik tidak sepatutnya bercakap begitu kepada Perdana Menteri.

“Apatah lagi ucapannya dibuat secara terbuka kepada 300 perwakilan DUN Kijal pada 8hb Oktober lalu ketika beliau berkempen kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Kemaman,” kata seorang perwakilan kepada FMT yang enggan namanya disebut.

Ahmad Said akan ditentang seorang bekas penghulu, Mat Dalam Awang dalam pertandingan dua penjuru pada 19 Oktober depan.

Menurut perwakilan itu lagi, bukannya Najib menentang Ahmad Said.

“Kenapa Wan Ahmad Nizam perlu bodohkan Najib?” soal beliau.

Dalam ucapannya, Wan Ahmad Nizam yang dicabar jawatan Naib Ketua Bahagian oleh ADUN Air Puteh, Wan Hakim Wan Mokhtar berkata betapa susahnya Ahmad Said nak jadi Menteri Besar buat penggal kedua selepas pilihanraya umum Mei lalu.

Katanya, Ahmad Said telah pergi menemui Perdana Menteri di pejabatnya untuk ambil watikah perlantikan Menteri Besar tetapi beliau diberitahu Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri bahawa Najib amat sibuk buat persiapan untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Wan Ahmad Nizam mendakwa Ahmad Said dan beliau pergi ke rumah Najib dan menunggu Najib di rumahnya. Bila Najib sampai di rumah, Najib benarkan Ahmad Said menemuinya tetapi Najib suruh Ahmad Said balik terlebih dahulu kerana Najib tidak puas hati kerana BN menang 17 kerusi sahaja di Terengganu.

“Bodoh betul Najib. Ahmad Said nak pergi ambil watikah, dia suruh balik dulu,” kata Wan Ahmad Nizam dalam ucapannya itu yang mengejutkan semua hadirin.

Menurut perwakilan itu, dalam pertandingan Ketua Bahagian, jangan babitkan Perdana Menteri kerana bukannya beliau menaja Mat Dalam Awang menentang Ahmad Said.

“Oleh itu saya amat kesal dengan sikap Setiausaha Politik Menteri Besar yang celupar itu,” katanya lagi.

fmt

PAS Bermasalah Pilih Calon Sungai Limau ?


PRK-Sungai-Limau

Tiga kumpulan mahu mencari pengaruh untuk meletakkan calon pilihan mereka.

Kerusi DUN Sungai Limau di Kedah diketahui umum kubu kuat PAS atau lebih tepat lagi kubu Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Bekas Menteri Besar Kedah yang meninggal dunia dua minggu lalu menang lima kali sejak tahun 1995 ketika itu atas nama Sala.

Tetapi PAS kini berdepan masalah baru menjelang hari mengundi 4 November depan kerana didakwa berlaku perpecahan di kalangan pemimpin utama parti.

Satu kumpulan pro Azizan, satu lagi kumpulan Datuk Phahrolrazi Zawawi yang satu waktu lalu pernah `menentang’ bekas Menteri Besar Kedah itu.

Datuk Mahfuz Omar yang dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS negeri menggantikan Azizan pula didakwa mengetepikan pemimpin yang tidak sehaluan dengannya.

“Mereka bergaduh sesama sendiri untuk mencari calon yang boleh diterima oleh kumpulan-kumpulan ini.

“Dijangka ada protes terhadap calon baru PAS nanti,” kata Abdullah Hashim, bekas penyokong kuat Azizan.

Saingan sengit Umno-PAS

Daripada 27,222 pengundi, 93% adalah Melayu, Cina (6.75% ) dan India cuma empat orang. Daripada bilangan pengundi Melayu itu pula, 30.27 peratus adalah ahli Umno, PAS (32.58%) dan selebihnya dikatakan pengundi atas pagar.

Pada PRU-13, beliau menewaskan sepupunya, Fazillah Mohd. Ali yang mewakili BN, dengan meraih majoriti 2,774 undi.

Pada 5 Mei lalu, PAS menang 13 daripada 19 pusat daerah mengundi iaitu Matang Buloh, Sungai Dedap, Gelam Tiga, Bukit Choras, Bukit Besar, Simpang Tiga Luar, Sungai Limau, Kabu Sepuloh, Sedaka, Ulu Sedaka, Padang Lumat, Batu Enam Belas dan Kampung Titi Batu.

Di Bukit Choras dan Bukit Besar misalnya, PAS jauh meninggalkan BN, dengan kedudukan 458-81 undi dan 459-115 undi.

BN juga bermasalah kerana pertandingan jawatan Ketua Bahagian Jerai antara Datuk Seri Jamil Khir Baharom dengan Datuk Suhaimi Abdullah.

BN akan mengumumkan calonnya pada 21 Oktober ini.
http://www.freemalaysiatoday.com

Shahidan: Perbincangan Pakatan-BN Perlu Dengan Niat “baik sangka”


shahidankassim

Perbincangan perpaduan antara pembangkang Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) perlu dimulakan dengan sangka baik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim (gambar).

Shahidan yang juga menteri bertanggungjawab terhadap Parlimen berkata PR boleh membawa usul berkenaan ke Parlimen sekiranya mereka ikhlas dengan perkara itu.

“Ini masa terbaik pembangkang bawa ke Parlimen, kita kerajaan yang tekanan perpaduan.

“Perpaduan mesti diasaskan dengan baik sangka, kita mesti baik sangka sebelum kita bercakap baik, kalau buruk sangka macam mana kita nak wujudkan perpaduan,” katanya, dan menambah “seburuk-buruk manusia ada kebaikannya, sebaik-baik manusia ada keburukannya.”

Jelas ahli Parlimen Arau itu lagi, pemimpin politik kedua-dua parti bagaimanapun sering mengadakan perbincangan tidak rasmi sesama mereka ketika berada di Parlimen.

“Yang rasmi kita akan bawa ke Parlimen, mereka boleh bawa usul, tetapi di Parlimen ini PR dan BN boleh duduk berbincang secara tak rasmi.

“Dan kita boleh hasilkan sesuatu yang baik,” katanya.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Umno termasuk berdialog bagi membincangkan pelbagai isu jika parti itu dipelawa.

PAS katanya boleh berbincang mengenai apa sahaja isu dan sejarah membuktikan pemimpin-pemimpin PAS dan Umno boleh bersama di atas satu pentas.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Presiden PAS Allahyarham Datuk Fadzil Noor pernah bersama dalam satu forum suatu ketika dahulu.

“Dasar kita boleh berbincang apa sahaja isu seperti jenayah, rasuah dan ekonomi. Kalau kita diajak kita boleh pergi, kita boleh bincang,” katanya. – 23 September, 2013.

MOHD FARHAN DARWIS tmi

Apa Lagi Harun Taib Mahu ?


nasihat-fadhil-noor

Multaqa Ulama tidak menepati aspirasi rakyat

Sungguh mengecewakan!!! Begitulah tanggapan ramai berkaitan Multaqa Ulama Se-Malaysia yang diadakan di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut pada beberapa hari yang lalu.

Reaksi spontan ini timbul rentetan daripada resolusi yang diputuskan pada Multaqa itu, antaranya

Multaqa Ulama Se-Malaysia turut mencadangkan supaya Tahaaluf Siyaasi bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat khususnya PKR disemak semula oleh Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat melalui kuasa yang ada bagi tujuan menjaga maslahah dan membendung serta menghalang mafsadah Syar’iyyah.

Tanpa menafikan tahap keilmuan yang ada pada ulama – ulama dan para ustaz ustazah – yang ber“multaqa” tetapi cubaan dalam mengeluarkan resolusi di atas seperti menekan “gear gostan” ketika kenderaan sudah digerak dalam kelajuan 110 km/j. Dalam hal rakyat Malaysia mengimpikan Putrajaya bertukar tampuk pemerintahan, Multaqa seperti ini memperlihatkan “kita dapat memerintah Terengganu jadilah”.

Semua sedia maklum bahawa dengan penipuan yang dilakukan secara terang-terangan oleh Suruhanjaya Pilihanraya dan Barisan Nasional serta limpahan wang yang banyak di kawasan Felda, ia menyebabkan hasrat rakyat mendapatkan Malaysia Baru tidak kecapaian. Dalam hal ini mempersoalkan aspek “tahaluf siyasi” sebagai penyebab kurangnya orang Melayu kurang mengundi PAS sangat tidak tepat atau mengarut.

Seharusnya Multaqa Ulama Se-Malaysia berfikiran ke hadapan dalam mengemukakan resolusi yang lebih bersifat “looks forward” berbanding hanya sekadar berfikiran kuno dan senteng. Dalam mendepani isu semasa, Multaqa Ulama ini seharusnya berfikir bagaimana menangani isu TPPA yang mana merupakan bentuk penjajahan alaf baru oleh negara maju ke atas negeri membangun seperti Malaysia.

Multaqa juga sepatutnya berfikir secara kritis dalam menangani kekeliruan dalam isu Sunni-Syiah yang kini sudah bertukar kepada isu politik, dan lagi bukan isu pertembungan mazhab. Di samping itu, Multaqa ini sepatutnya mengemukakan resolusi bagaimana untuk menghadapi kebejatan kerajaan yang sewenang-wenangnya “merasionalisasikan” subsidi minyak seraya memberi kesan buruk kepada poket rakyat marhaen.

Dan yang paling mengecewakan rakyat Malaysia, dikala mereka dihimpit beban ekonomi yang melampau, Multaqa Ulama hanya sibuk memikirkan hanya ulama sahaja layak diangkat menjadi Timbalan Presiden berbanding memikirkan ‘kedaulatan Malaysia’ yang bakal tergadai apabila Presiden Amerika Barack Obama menjengah kaki di Malaysia pada Oktober nanti.

Akhir kalam benarlah kata orang lama, bangsa melayu hanya sibuk bercakaran tentang kerusi politik tapi mengabaikan kerusi ekonomi yang menjadi nadi nafas rakyat marhaen. Dikhuatiri ulama hanya dianggap sekadar pandai mengajar di meja-meja kuliah tapi sebenarnya “kosong” dalam memahami jerit perit semasa.

Mohd Ikhmal Mohd Iskandar

Anwar Bebas Umno Pecah


Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad apabila ditanya mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim, secara sinikal beliau menjawab..

“Walaupun saya hairan jugalah pasal dia (Anwar) tak bersalah. Tapi ini bukti bahawa tidak ada konspirasi dari dulu sampai sekarang.

“Apabila pihak mahkamah berpendapat dia (Anwar) tidak bersalah, mereka (mahkamah) berkata dia tidak bersalah. Mungkin ada pihak yang nak appeal, saya tak tahulah.”

Mahathir memang terkenal dengan komen-komen sinikalnya. Anwar Ibrahim adalah bekas anak didik yang ditatang beliau dengan penuh kasih sayang satu ketika dahulu.

Namun akhirnya Anwar menjadi musuh politik nombor satu Mahathir yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun itu. Anwar juga merupakan satu-satunya ahli politik yang masih belum dapat “dibunuh” karier politiknya olehnya.

Ahli-ahli politik lain seperti Tengku Razaleigh, Tun Abdullah Badawi, Tun Musa Hitam dan ramai lagi terpelanting dengan mudah apabila bertembung dengan Mahathir.

Sudah pasti Mahathir adalah orang yang paling tidak gembira dengan keputusan mahkamah tersebut. Jika Anwar didapati bersalah Isnin lalu, Mahathir sudah boleh berehat dengan tenang bersama keluarganya menghabiskan sisa-sisa hayatnya yang masih ada.

NONEApabila Mahathir berkata, “Mungkin ada pihak nak appeal, saya tak tahulah” – ini merupakan satu isyarat bahawa kes liwat II ini masih belum selesai dan sudah pasti bapa kepada Datuk Mukhriz itu mahu rayuan dilakukan terhadap keputusan mahkamah supaya perang liwat II berterusan.

Peperangan politik antara Mahathir-Anwar masih belum selesai walaupun ia telah memakan hampir 12 tahun. Suka tak suka pertembungan antara kedua-dua ahli politik ini telah mengheret seluruh negara bersama.

Golongan pro transformasi

Walaupun kecil dalam Umno, golongan ini sedikit sebanyak membantu memulihkan sokongan orang muda terhadap Barisan Nasional (BN). Kebanyakkannya, golongan ini adalah bekas penyokong Anwar sewaktu dalam Umno dahulu.

Golongan ini gembira dengan keputusan mahkamah dan selepas selesai kes liwat II ini, mereka mahu perlawanan antara BN dan Pakatan Rakyat naik ke tahap yang lebih matang iaitu ke tahap polisi.

student handing memo to saifuddin abdullah on academic freedomTimbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah adalah di antara yang tergolong dalam golongan ini. Keberanian beliau untuk berhadapan dengan politikus Pakatan dalam majlis-majlis debat sedikit sebanyak telah memenangi hati anak-anak muda dan pengundi atas pagar.

Akan tetapi di dalam parti Umno, golongan pro transformasi terlalu lemah dan jika  transformasi politik itu bukan program Datuk Seri Najib Razak selaku presiden dan perdana menteri, sudah pasti golongan ini telah lama dikuburkan.

Sebab itu kita boleh lihat kurangnya komen-komen dari golongan pro transformasi mengenai keputusan mahkamah Isnin lalu.

Mungkin golongan ini mengambil sikap berhati-hati oleh kerana kini, umum tahu golongan “garis keras” dalam Umno yang dipayungi oleh Mahathir sedang marah.

Sokong parti kuat

Politik Melayu itu mudah. Sokongan diberikan kepada parti yang kuat. Arwah atuk penulis sendiri pernah berpesan, jika mahu menyertai politik, ikutlah parti yang kuat.

Keputusan mahkamah Isnin lalu telah memberikan satu kekuatan baru kepada Anwar Ibrahim dalam usaha untuk memenangi hati majoriti pengundi Melayu terutamanya di kawasan luar bandar sekaligus menawan Putrajaya.

Bekas menteri Umno yang masih ahli parti tersebut, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir secara terang-terangan telah menunjukkan sokongannya terhadap Anwar.

Beliau hadir ke rumah Anwar dan menemani mantan timbalan perdana menteri itu ke mahkamah pada hari keputusan diumumkan.

Tindakan Kadir ini juga boleh dilihat sebagai isyarat jelas beliau tidak bersama Najib. Jika Datuk Zaid Ibrahim pada satu ketika dahulu dipecat dari Umno kerana hadir di kongres PKR, apa pula tindakan yang bakal dikenakan terhadap Kadir yang juga merupakan Timbalan Presiden Amanah – di bawah pimpinan Ku Li.

Setidak-tidaknya, penyokong Kadir akan mengikut jejak langkah beliau untuk memberikan sokongan kepada Anwar Ibrahim. Ini merupakan satu kerugian politik kepada Najib Razak.

Apa yang bakal terjadi?

Kita lihat nanti apabila pendakwaraya membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah Isnin lalu. Apabila itu berlaku, lebih jelas lagi perpecahan dalam Umno kelihatan.

Najib akan berusaha keras untuk pastikan keputusan mahkamah Isnin lalu kekal di mahakamah rayuan. Jika keputusan mahkamah rayuan berbeza, hilang terus kepercayaan golongan atas pagar terhadap program transformasi politik beliau.
Sementara golongan “garis keras” yang berdiri dibelakang timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahukan Anwar disimpan dalam penjara agar ketua pembangkang itu mengalami nasib seperti mantan pengerusi Putera-AMCJA, Dr Burhanuddin Helmy – menghabiskan masa lama dalam penjara sepanjang perjuangan politiknya.

Jika gagal menjinakkan golongan garis keras dalam Umno,Najib akan berada dalam keadaan, “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”. Apatah lagi pada ketika ini Umno mengalami masalah besar di basis sokongan mereka – Melayu kawasan pendalaman apabila Skandal NFC diketahui umum.


ULASAN ini adalah pandangan peribadi penyumbang/penulis dan tidak semestinya mencermin pendirian sidang pengarang Malaysiakini.

Amin Iskandar menerima anugerah zamalah Intelektual Awam Asia 

%d bloggers like this: