Category Archives: Siasatan Jenayah

Ada Lagi Pak Guard Samun Kedai Emas Pulak


jewellery2

Pengawal Keselamatan Bersenjata Rompak Kedai Emas di Setapak

PETALING JAYA: Seorang pengawal keselamatan yang memiliki senjata api merompak sebuah kedai emas di KL Festival City Mall, dekat Setapak pada Khamis.

Rompakan berkenaan berlaku pada pukul 9 pagi dan sumber polis mengesahkan suspek merupakan rakyat Sabah yang menggunakan kad pengenalan palsu.

Pengawal keselamatan berkenaan telah bekerja kurang dua daripada dua bulan, mengacukan pistol kepada pemilik kedai emas berkenaan dan melarikan diri dengan satu dulang barang kemas pada pagi Khamis.

Timbalan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Asisten Supritendan, Khairi Ahrasa berkata ketika kejadian pemilik kedai dan tiga pekerjanya sedang bersiap sedia untuk membuka kedai.

“Mereka telah membaca mengenai apa yang berlaku di sebuah bank dan segera menyerahkan dulang berisi barang kemas kerana berasa takut kejadian sama akan berulang kembali,” katanya.

Pengawal keselamatan tersebut, yang ketika kejadian memakai pakaian seragam segera mengambil dulang berisi barang kemas itu dan dengan selamba keluar daripada pusat membeli belah berkenaan.

“Ia berlaku sangat pantas, dan tiada siapa menyangka ia akan berlaku kepada kami,” kaanya sambil menambah pihak polis masih menyiasat nilai barang kemas yang dicuri.

Polis juga sedang menyiasat sama ada pistol yang digunakan dalam rompakan tersebut dikeluarkan kepada suspek oleh syarikat kawalan keselamatan tempatnya bekerja atau milik peribadi.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ada kemungkinan pengawal keselamatan tersebut merupakan perompak yang meniru aksi rompakan yang berlaku di sebuah bank baru-baru ini.

“Ada kemungkinan pengawal keselamatan itu mendapat idea daripada pengawal keselamatan yang merompak Ambank.

“Saya juga tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa kes melibatkan pengawal keselamatan merompak majikan mereka,” katanya.

Justeru, beliau menggesa syarikat kawalan keselamatan menyemak dengan teliti latar belakang kakitangan mereka terlebih dahulu.

“Sekiranya mereka ada rasa ragu-ragu mengenainya, tolong hubungi pihak polis dan kami akan membantu anda,” katanya.

Khalid berkata pihak polis sedang memberi perhatian serius kepada pengawal keselamatan dan semakan secara rawak turut dijalankan di seluruh negara.

Ketika dihubungi, syarikat kawalan keselamatan yang mengambil pengawal keselamatan itu berkata suspek dikenalpasti sebaai warga Sabah melalui kad pengenalannya.

Namun pihaknya enggan mengulas sama ada pihaknya ada melakukan pemeriksaan terhadap latar belakang suspek atau dia mempunyai lesen untuk membawa senjata api.

Pada 23 Oktober lalu, seorang pengawal keselamatan menembak mati pegawai bank Norazita Abu Talib selepas dia membuka pintu bilik kebal sebuah bank di Subang Jaya.

Suspek berjaya melarikan diri dengan wang rompakan berjumlah RM450,000 daripada bilik kebal bank berkenaan.

Bagaimanapun, polis berjaya menemui semula wang bernilai RM20,000 selepas menahan tiga ahli keluarga suspek dan usaha mengesan pengawal keselamatan berkenaan masih giat dijalankan.

Suspek juga dilaporkan menggunakan kad pengenalan palsu dengan menggunakan alamat terakhir di Tawau, Sabah.

mStar

 

Suspek Pembunuhan Pengasas Ambank Ditahan


suspekkesbunuh513_450_263

Polis menahan Kong Swee Kuan, 44, atau Sei Ngan Chai atau Ah Chian, sebagai suspek utama kes pembunuhan pengasas Ambank, Hussain Ahmad Najadi pada Julai lalu.

Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam itu, Kong yang wajahnya dirakam CCTV sebelum kejadian ditahan polis di Taman Larut Tin Taiping, Perak malam tadi.

Turut ditahan ialah sepasang individu yang melindungi lelaki tersebut.

Sebelum ini, kes tersebut mengemparkan negara selepas polis percaya tokoh perniagaan itu dilakukan oleh pembunuh upahan yang diupah individu yang tidak berpuas hati dengan mangsa berhubung satu urusan jual beli hartanah.

Kejadian itu yang berlaku pada akhir Julai lalu menyebabkan polis menubuhkan satu pasukan khas untuk menjejaki suspek.

Polis turut memanggil saksi terlibat termasuk beberapa individu yang ditemui mangsa dan isterinya di Tokong Ceylon Kuan Yin, sebelum kejadian tembak terbabit berlaku.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, polis yakin dapat menyelesaikan kes itu selepas imej suspek yang melepaskan tembakan ke arah mangsa berjaya dikenal pasti melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tokong berkenaan.

Foto CCTV suspek kemudiannya disebarkan kepada orang ramai melalui media.

Dalam kejadian pukul 2 petang itu, Hussain yang berasal dari Iran dan mendapat taraf penduduk tetap (PR) mati ditembak oleh seorang lelaki berpakaian sukan di hadapan tokong terbabit.

Mangsa ditembak dua das di dada dan rusuk kiri manakala isterinya yang turut terkena tembakan cedera parah di pergelangan tangan dan paha serta kini dirawat di Pusat Perubatan Prince Court Kuala Lumpur. – 23 September, 2013.

tmi

Penyeludup Kereta Mewah Ditahan SPRM Dipercayai Berkait “Mr Clean‎”


Shaharuddin-Ibrahim

Sindiket penyeludupan kereta mewah yang dipatahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis dipercayai kes sama membabitkan pegawai kanan kastam ditembak mati pada April.

Timbalan Pengarah Kastam Datuk Shaharuddin Ibrahim (gambar) hanya tinggal setahun perkhidmatan ditembak tiga das di leher dan pipi.

Ketelusan Shaharuddin menyebabkan beliau digelar “Mr Clean”.

Anaknya, Akhtar Shaharuddin memberitahu The Malaysian Insider beliau percaya pembunuhan bapanya berkait dengan sindiket penyeludupan kereta di Langkawi.

Pada Khamis, SPRM menahan seorang pengurus bank, isterinya dan lelaki yang dipercayai terlibat dalam penyeludupan itu. Siasatan juga menjurus kepada penipuan dan penggubahan wang haram.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali mengesahkan penahanan suspek berumur di antara 30 dan 40 tahun.

Suspek wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung pembelian kereta mewah bernilai RM500,000 sementara suaminya, seorang pengarah swasta disiasat kerana bersubahat.

Kereta yang dipercayai didaftarkan di Langkawi dibeli dengan harga RM300,00 dan dijual dengan harga setengah juta ringgit dalam masa tiga bulan.

Siasatan menunjukkan dokumen yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam adalah palsu dan duti eksais kereta tidak dibayar.

Difahamkan sindiket berkenaan telah beroperasi sejak setahun lalu.

tmi

Polis Pun Kena Samun Jugak


gun-shooting

Polis disamun hilang senjata api

Shah Alam: Seorang anggota polis yang berhenti rehat dalam kenderaannya kerana keletihan di satu kawasan di bandar raya ini menjadi mangsa samun membabitkan kerugian sejumlah wang tunai selain kehilangan beberapa dokumen penting dalam kejadian jam 1.30 pagi semalam.

Lebih merisaukan, anggota dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor itu bukan saja kerugian wang tunai malah senjata api dipercayai dibawa bersama turut dilarikan penjenayah bermotosikal yang menyamunnya.

Setakat ini, polis percaya hanya seorang suspek terbabit dalam kejadian itu namun siasatan lanjut bagi mengetahui gambaran sebenar kejadian sedang dilakukan dengan pengumpulan bukti dan saksi untuk membantu proses siasatan.

Sumber berkata, mangsa berusia 47 tahun itu baru selesai menguruskan pengebumian seorang ahli keluarganya dan berhenti di satu kawasan di Seksyen 7, dekat sini, untuk tidur seketika sebelum menurunkan sedikit cermin kenderaannya.

Bagaimanapun katanya, mangsa terkejut apabila menyedari badannya disentuh sebelum melihat seorang lelaki menarik dengan kuat senjata apinya menyebabkan tali yang diikat bersama senjata berkenaan terputus.

“Mangsa cuba mengejar penjenayah itu namun suspek yang menaiki motosikal dengan nombor pendaftaran disyaki palsu itu sempat melarikan diri sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Difahamkan, laporan dibuat di Balai Polis Seksyen 6, dekat sini, dan kes berkenaan kini dikendalikan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan kes disiasat mengikut seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 35 Akta Senjata 1960

Rumah Pelakon Wardina Disamun, Suami Kena Pukul


Pelakon, model dan pengacara televisyen, Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot kerugian RM20,000 apabila rumahnya disamun tiga lelaki bersenjata di Taman Bukit Utama, Bukit Antarabangsa, di Kuala Lumpur hari ini.

Pada kejadian jam 3 pagi itu, tiga penjenayah terbabit memasuki rumah Wardina setelah mengumpil pintu belakang rumah teres tepi dua tingkat milik beliau sebelum mengarahkan semua anggota keluarga Wardina berkumpul.

Wardina, 33, yang masih trauma dengan kejadian itu berkata, ketika kejadian beliau, suaminya, tiga anak mereka dan seorang pembantu rumah berada di dalam rumah itu.

“Ketika itu saya tidur berseorangan di bilik tidur utama kerana saya demam. Disebabkan itu, suami saya, Ikhwan Johari, 36, tidur bersama anak bongsu lelaki saya, Imran Ar-Razi, 3.

“Salah seorang penjenayah telah menarik selimut saya lalu mengarahkan saya bangun dari tidur sementara penjenayah lain membawa kesemua ahli keluarga dan pembantu rumah berkumpul di bilik tidur utama,” katanya.

Katanya, anak sulungnya, Amna Nafeesa, 8, dan Azra Fareera, 5, tidur bersama di bilik mereka di tingkat atas manakala pembantu rumahnya seorang warga Aceh, tidur di tingkat bawah.

“Kesemua mereka dikumpulkan di dalam bilik saya dan hanya Ikhwan diikat dengan wayar telefon. Kami diawasi oleh seorang penjenayah, manakala dua lagi menyelongkar rumah kami,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga penjenayah lelaki itu memakai topeng kain menutup wajah mereka dan mereka memegang pemutar skru, kayu panjang dan pemotong besi.

Beliau berkata suaminya juga turut dipukul oleh penjenayah terbabit di bahagian muka dan kaki sebelum diikat.

Penjenayah mengambil masa 45 minit menyelongkar seluruh rumah sebelum melarikan barang berharga termasuk lima komputer riba, empat telefon bimbit, cincin emas, kunci kereta dan wang tunai RM200.

Katanya, beliau membuat laporan polis di Balai Polis Hulu Kelang pada pukul 4.30 pagi dan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian serta siasatan sedang dijalankan.

Bernama

Siapa ‘Datuk’ Kena Tahan Skandal NFC ?


‘Datuk’ ini ada hubungan dengan sesiapa ke?

Seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ ditahan reman selepas cuba menyogok beberapa pegawai polis yang sedang menjalankan siasatan kes jenayah komersial dipercayai ada kaitan dengan skandal Pusat  Fidlot Kebangsaan (NFC).

Ahli pernigaan berumur 45 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Perdana kira-kira jam 4.06 petang kelmarin.

Pengarah JSJK, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, ahli perniagaan yang menjalankan perniagaan Agensi Pekerja Asing dan syarikat pengangkutan teksi ini ditahan reman selama dua hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

“Suspek kini diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan awal dapati suspek ditahan di Cheras tiga minggu lalu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu serta bersabit satu laporan kes sama di Bercham, Ipoh, Perak,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis JSJK, semalam.

Ketika ditanya berhubung nilai sogokan yang cuba diberikan serta adakah suspek mempunyai kaitan dengan kes skandal NFC, Syed Ismail bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Kita tak boleh komen tentang nilai sogokan itu dan kes ini kita serah kepada SPRM untuk siasatan,” katanya.

Difahamkan, suspek dipercayai ada pertalian keluarga dengan orang kenamaan.

Dalam perkembangan lain, Syed Ismail berkata, setakat ini, seramai 27 individu sudah memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung isu skandal NFC dan mengesahkan tiada sebarang tangkapan dibuat.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali dalam satu kenyataan semalam, mengesahkan berhubung siasatan yang dijalankan pihaknya terhadap seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ yang ditahan kerana menawarkan rasuah kepada beberapa pegawai kanan polis yang dipercayai ada kaitan dengan kes NFC.

“Kita sudah terima kes dan sentiasa bekerjasama dengan polis dalam menjalankan siasatan membabitkan kes rasuah dan penyelewengan mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang,” katanya.

oleh NORAIZURA AHMAD

Nota: image dari malaysiaKini.com

%d bloggers like this: