Monthly Archives: September 2013

Jom ‘Fight’ Dengan Tongkat Tok Guru Nik Aziz


tongkat nik aziz

Fight harga saja untuk membantu mangsa kebakaran

Muhd Bajili menunjukkan tongkat Nik Aziz yang akan dilelong hari ini (Jumaat).

KOTA BHARU – Cakna nasib dialami mangsa kebakaran rumah di Kampung Sireh Bawah Lembah awal bulan ini, bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berbesar hati melelong tongkatnya untuk membantu keluarga terbabit.

Hasrat itu dinyatakan Nik Abdul Aziz menerusi Dewan Pemuda Pas Kawasan Kota Bharu dalam usaha mengurangkan bebanan ditanggung keluarga terbabit yang hilang tempat tinggal berikutan kejadian tersebut.

Setiausaha Pemuda Pas Kota Bharu, Muhd Bajili Bakri berkata, salah satu tongkat kegunaan Mursyidul Am itu akan dilelong pada jualan amal dengan harga permulaan bidaan RM500.

“Tongkat tersebut akan dilelong hari ini (Jumaat) selama 30 minit bermula jam 5.30 petang di tapak Car Boot Sale Lembah Sireh dan orang ramai yang ingin bersama-sama membantu mangsa kebakaran bolehlah mengunjungi jualan amal ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Selain itu, Muhd Bajili berkata, pada hari sama juga bermula jam 3 petang hingga 10 malam, pihaknya turut melelong pelbagai barangan baru dan terpakai dengan harga serendah RM1.

Pada 6 September lalu, tujuh rumah melibatkan 15 keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila harta benda mereka musnah dalam kebakaran kira-kira jam 12 tengah hari.

SH

Ku Li Teruskan Sengketa Dengan Dr Mahathir


ECONOMICROUNDTABLE_260913_TMIAFIF

Dr Mahathir tiada pengaruh lagi untuk bantu Mukhriz, kata Ku Li

Tengku Razaleigh Hamzah meneruskan sengketanya dengan bekas lawannya, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila menyifatkan beliau tidak lagi berpengaruh untuk membantu anaknya dalam pemilihan Umno kali ini.

Anak bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu, Datuk Mukhriz Mahathir mengesahkan untuk masuk bertanding dalam jawatan Naib Presiden Umno baru-baru ini.

“Semoga berjaya kepada beliau (Mukhriz).

“Saya tidak lihat bapanya (Dr Mahathir) mempunyai pengaruh lagi, kita boleh lihat semasa cubaannya untuk kembali ke arena politik gagal selepas tewas dalam pemilihan bahagian di Kubang Pasu,” kata Tengku Razaleigh semasa ditemui wartawan di sidang meja bulat ekonomi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS).

Beliau turut mengulangi pendirian mendesak pemimpin kerajaan supaya mengisytiharkan aset mereka kepada umum sebagai langkah memastikan ketelusan dalam pentadbiran.

Pemimpin veteran Umno itu berkata, kesan rasuah adalah lebih buruk kerana ia memberi impak kepada semua kumpulan khususnya rakyat Malaysia keseluruhan.

“Menteri, bekas menteri termasuk saya, ayuh isytiharkan harta masing-masing,” katanya.

“Sepatutnya mereka yang rasuah perlu ditangani dahulu. Rasuah adalah perkara utama yang kita hadapi,” katanya. – 26 September, 2013.

Md izwan tmi

Ketua Polis Penang Diugut Bunuh


kp penang

Ketua Polis P.Pinang diugut bunuh

GEORGETOWN – Bimbang keselamatan dirinya, keluarga dan anggota lain, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi membuat laporan selepas menerima ugutan bunuh dua hari lalu.

Abdul Rahim dilaporkan menerima ugutan itu menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar melalui telefon bimbitnya ketika berada di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang kira-kira jam 9 pagi Isnin lalu.

Difahamkan, kiriman SMS oleh individu yang tidak dikenali itu mengandungi ayat ugutan kerana tidak berpuas hati apabila lima rakannya ditembak polis bulan lalu.

Kandungan SMS yang diterima Abdul Rahim adalah ‘Hello kepala penang, mau kasi ingat, u sudah ambil saya punya kawan lima orang, u jangan ingat u the best, u jaga u punya body, tak dapat u, u punya kawan saya ambil. Jaga-jaga’.

Abdul Rahim membuat laporan sehari selepas menerima ugutan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, kira-kira jam 8.50 malam semalam.

SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI SH

Antara Pasukan Wawasan Dengan Pasukan Trio


geng 3

Apakah ‘projek’ pembangunan yang telah dibuat oleh Mukhriz untuk dibanggakan oleh rakyat Kedah sepanjang 100 hari pertama beliau dilantik menjadi Menteri Besar Kedah ?

Hanya itu soalan sempena slogan ‘BN Menang , Kedah Senang’..

Pasukan Trio itu menang pada tahun 2009 mengalahkan lima calon lain.

PETALING JAYA: Semalam calon Naib Presiden Umno, Datuk Mukhriz Mahathir membidas Pasukan Trio yang dilihat berpakat mahu mengekalkan kedudukan masing-masing semasa pemilihan parti Oktober depan.

Pasukan Trio yang dimaksudkan oleh Menteri Besar Kedah itu ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi- (1,592 undi)
Datuk Seri Hishamuddin Hussein (1,515 undi) -Datuk Seri Shafie Apdal (1,445 undi).

Pasukan Trio itu menang pada tahun 2009 mengalahkan lima calon lain, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (1,397 undi),

Tan Sri Dr Rais Yatim (491 undi), Tan Sri Isa Samad (432 undi), Tan Sri Syed Hamid Albar (410 undi) dan Tan Sri Rahim Tamby Chik (192 undi).

Kali ini Pasukan Trio itu berhadapan dengan tiga calon lain iaitu Mukhriz, Isa Samad dan Datuk Seri Ali Rustam.
Kesepakatan

Menurut Mukhriz, kesepakatan itu jelas tidak mempamerkan amalan demokrasi yang dikehendaki parti.
Katanya, beri peluang kepada perwakilan untuk menentukan siapa yang layak jadi Naib Presiden Umno.

Mampukah Pasukan Trio ini menang? Kebetulan mereka bertiga adalah menteri pusat (Menteri Dalam negeri, Menteri Pertahanan dan Menteri Pembangunan Luar Bandar). Maka kelebihan ini ada pada mereka untuk menjelajah seluruh negara dengan mengadakan program kementerian masing-masing sedangkan Mukhriz adalah Menteri Besar Kedah manakala Isa dan Ali bukannya menteri.

Tetapi sebagai Pengerusi FELDA, Isa ada kelebihan untuk melawat bahagian-bahagian yang ada kawasan FELDA. Begitu juga Ali yang dilantik Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bebas bergerak ke seluruh Malaysia walaupun beliau bukan menteri.

Pergerakan Mukhriz agak terhad kerana dia kena jaga Kedah tetapi kita harus ingat jika beliau dapat sokongan Kelab Menteri Besar maka peluang Mukhriz untuk menang adalah cerah, Tentu kita masih ingat Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad menang jawatan Naib Presiden Umno pada tahun 1984 kerana mewakili Kelab Menteri Besar.

Menaja

Bercakap tentang Pasukan Trio ini, kita teringat kepada Pasukan Wawasan yang dibentuk pada pemilihan 1993. Ketika itu calon Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Anwar Ibrahim menaja Pasukan Wawasan untuk jawatan Naib Presiden Umno iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Arus Pasukan Wawasan begitu kuat menyebabkan dua penyandang jawatan, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Tan Sri Sanusi Junid kalah pada pertandingan Naib Presiden tahun 1993 itu.

Adakah Pasukan Trio sekuat Pasukan Wawasan? Mampukah Pasukan Trio ini mempertahankan jawatan? Kita tentu masih ingat sekuat-kuat Pasukan Wawasan akhirnya pasukan itu pecah pada tahun 1996 apabila Muhyiddin tewas. Dua orang ahli Pasukan Wawasan sahaja yang berjaya iaitu Najib dan Muhammad apabila Pak Lah yang bukan dari pasukan tersebut berjaya mengalahkan Muhyiddin.

Mampukah Mukhriz mengalahkan salah seorang dari Pasukan Trio ini? Siapa yang terpelanting di antara Zahid-Hishamuddin-Shafie jika Mukhriz menang? Kalau perwakilan mahu Naib Presiden yang muda, mungkin Zahid yang sudah berumur 60 tahun itu akan tersingkir (Hishamuddin-Shafie-Mukhriz).

Tetapi kalau perwakilan beri satu tempat untuk seorang dari Sabah, maka yang tersingkir sudah pasti Hishamuddin. (Zahid-Shafie-Mukhriz) tetapi kalau berdasarkan prestasi, mungkin yang tersingkir adalah Shafie (Zahid-Hishamudin-Mukhriz).
Tembok

Jika Mukhriz berjaya menembusi tembok Pasukan Trio ini, tidak mustahil Ali yang popular itu mendapat tempat juga sebagai Naib Presiden Umno. Jika kombinasi ini berlaku, yang menang adalah Zahid-Mukhriz-Ali manakala dua calon Pasukan Trio yang kalah ialah Hishamuddin dan Shafie.

Benarkah Najib mahu Pasukan Trio dikekalkan? Jika benar, kita akan lihat pertembungan di antara pengaruh Najib dengan pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu melihat Mukhriz menang. Terpulang kepada 146,000 orang perwakilan untuk membuat keputusan.

Zabidi Saidi

Buku Teks Ada Unsur Syiah ?


buku teks x syiah

Buku teks ada unsur Syiah tidak benar

SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan menafikan dakwaan kononnya terdapat buku teks berunsurkan Syiah digunakan di sekolah rendah dan menengah seperti yang didakwa Gabungan Institusi Pondok, Tahfiz dan Ilmuwan Sunni (Giptis), Julai lalu.

Merujuk kepada laporan muka hadapan akhbar Sinar Harian bertarikh 30 Julai itu, KPM berkata, pihaknya sudah membuat semakan dan mendapati dakwaan tersebut tidak benar di samping ia bukanlah buku teks terbitannya.

“KPM telah meneliti dakwaan berkenaan dan mendapati buku teks yang dimaksudkan tersebut bukan buku teks KPM.

“Ia adalah terbitan pihak swasta bagi rujukan murid Tingkatan Enam yang mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM),” jelas KPM dalam kenyataan itu.

Giptis sebelum ini menggesa kerajaan supaya mengkaji semula sejarah Islam yang terdapat dalam buku teks Pendidikan Islam rendah dan menengah yang didakwa mempunyai kecenderungan ke arah fahaman Syiah.

Pengerusinya, Prof Madya Dr Abd Aziz Hanafi berkata, perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana ada silibus pengajian yang menggambarkan seolah-olah para sahabat nabi terlibat dalam pembunuhan Saidina Uthman.

“Saya khuatir perkara ini boleh merosakkan akidah pelajar. Sebabnya, sahabat nabi tidak seorang pun yang terlibat dalam pembunuhan Saidina Uthman. Malah, mereka murka terhadap pembunuhan yang dilakukan itu,” katanya.

Namun KPM menegaskan, setelah meneliti beberapa halaman buku teks Pendidikan Islam Tingkatan Lima, didapati tiada sebarang unsur yang cenderung mempromosikan fahaman Syiah.

“Kandungan buku teks tersebut ialah fakta-fakta mengenai penyelewengan Syiah dan bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Di samping itu, dalam Bahagian Aqidah buku teks ini memperjelaskan pegangan-pegangan lain yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti Qadiani, Bahai dan Taslim, yang dikategorikan sebagai ajaran sesat.

“Berdasarkan dapatan tersebut, KPM menolak dakwaan yang dikemukakan oleh Giptis kerana buku teks yang dimaksudkan itu diterbikan oleh swasta sebagai rujukan murid Tingkatan Enam yang mengambil peperiksaan STPM,” tegas kenyataan itu.

Pihak KPM juga menegaskan buku teks Pendidikan Islam Tingkatan Lima KPM juga telah disemak dan dikenal pasti bebas daripada kecenderungan atau mempromosikan fahaman Syiah.

SH

Shahidan: Perbincangan Pakatan-BN Perlu Dengan Niat “baik sangka”


shahidankassim

Perbincangan perpaduan antara pembangkang Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) perlu dimulakan dengan sangka baik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim (gambar).

Shahidan yang juga menteri bertanggungjawab terhadap Parlimen berkata PR boleh membawa usul berkenaan ke Parlimen sekiranya mereka ikhlas dengan perkara itu.

“Ini masa terbaik pembangkang bawa ke Parlimen, kita kerajaan yang tekanan perpaduan.

“Perpaduan mesti diasaskan dengan baik sangka, kita mesti baik sangka sebelum kita bercakap baik, kalau buruk sangka macam mana kita nak wujudkan perpaduan,” katanya, dan menambah “seburuk-buruk manusia ada kebaikannya, sebaik-baik manusia ada keburukannya.”

Jelas ahli Parlimen Arau itu lagi, pemimpin politik kedua-dua parti bagaimanapun sering mengadakan perbincangan tidak rasmi sesama mereka ketika berada di Parlimen.

“Yang rasmi kita akan bawa ke Parlimen, mereka boleh bawa usul, tetapi di Parlimen ini PR dan BN boleh duduk berbincang secara tak rasmi.

“Dan kita boleh hasilkan sesuatu yang baik,” katanya.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Umno termasuk berdialog bagi membincangkan pelbagai isu jika parti itu dipelawa.

PAS katanya boleh berbincang mengenai apa sahaja isu dan sejarah membuktikan pemimpin-pemimpin PAS dan Umno boleh bersama di atas satu pentas.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Presiden PAS Allahyarham Datuk Fadzil Noor pernah bersama dalam satu forum suatu ketika dahulu.

“Dasar kita boleh berbincang apa sahaja isu seperti jenayah, rasuah dan ekonomi. Kalau kita diajak kita boleh pergi, kita boleh bincang,” katanya. – 23 September, 2013.

MOHD FARHAN DARWIS tmi

%d bloggers like this: