Category Archives: permotoran

Convert Volkswagen Beetle jadi Porsche 356


Volkswagen beetle boleh jadi porsche

SALISBURY – Seorang pegawai kejuruteraan Tentera Laut Diraja Britain, Megan Ashton, 26, mengambil masa selama enam tahun untuk mengubahsuai sebuah kereta Volkswagen Beetle untuk kelihatan seperti Porsche 356, lapor sebuah akhbar semalam.

Kereta Porsche 356 itu dicipta oleh Ferdinand Porsche yang merupakan anak lelaki pengasas syarikat Porsche yang telah mereka bentuk Volkswagen Beetle.

Kereta Volkswagen Beetle berkongsi banyak peralatan dengan Porsche 356 menyebabkan mudah buat Ashton untuk melakukan kerja-kerja pengubahsuaian.

MEGAN ASHTON berdiri dekat kereta Volkswagen Beetle yang diubahsuai menjadi Porsche 356.

Ashton membelanjakan £200 (RM978) untuk membeli kereta Volkswagen yang berusia 40 tahun itu dan menanggalkan kepingan badannya.

Dia turut menggunakan enjin kereta 1776cc untuk menggantikan enjin lama yang berkuasa 1285cc.

Ashton membeli kereta itu ketika dia menjadi pelajar.

Kos untuk menyiapkan keseluruhan kenderaan itu ialah £4,000 (RM19,548).

Kereta itu mempunyai tempat duduk kulit dan ia boleh bergerak lebih 160 kilometer sejam dan kini bernilai £25,000 (RM122,276).

Agensi

Myvi 1.5 Launching Pada 15 September ini


MyVi 1.5 mula dipasarkan pada 15 september 2011

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) menjangkakan MyVi edisi baru dengan enjin berkuasa 1.5 liter yang akan berada di pasaran minggu depan, akan menyumbang kira-kira separuh daripada 8,000 unit jualan sebulan bagi model kenderaan itu ketika ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata model baru MyVi dengan reka bentuk dan perincian lebih bergaya dan sporty itu akan berada di seluruh 178 pusat pameran PERODUA bermula 15 September ini.

Katanya, tempahan bagi varian premium dan sporty model itu boleh dibuat mulai Isnin ini manakala harga jualan akan hanya diumumkan pada hari pelancarannya.

“Kami menerima permintaan menggalakkan daripada pelanggan berpotensi dan sedia ada yang mahukan MyVi dengan kapasiti enjin yang lebih besar. Buat masa ini, MyVi 1.5 ‘Lagi Power, Lagi Best’ ini dipasarkan secara eksklusif bagi pasaran Malaysia,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan di Kuala Lumpur, semalam.

Sebanyak empat varian akan diperkenalkan kali ini termasuk varian Multimedia, yang boleh didapati bagi transmisi manual dan automatik. Model MyVi 1.5 ini juga boleh diperoleh menerusi lima pilihan warna menarik termasuk warna baru yang dikenali ‘Majestic Yellow’.

Beliau berkata, MyVi 1.5 itu disasarkan jualannya kepada generasi muda dan eksekutif yang mahukan model lebih sporty dan nampak lebih premium.

“Kami jangkakan model baru ini akan menyumbang kira-kira separuh daripada jualan bulanan MyVi yang mencatatkan 8,000 unit ketika ini,” katanya.
Aminar berkata, semua pusat pameran PERODUA akan beroperasi sehingga lewat malam bagi memenuhi jangkaan kehadiran pengunjung yang ramai bagi beberapa hari pertama pelancarannya.

Dalam pada itu, katanya model MyVi 1.3 ‘Lagi Best’ terus menerima tempatan dan jualan memberangsangkan sejak Jun lalu. Setakat ini, syarikat sudah menerima 34,000 unit tempahan dan 18,000 sudah diserahkan kepada pembelinya dalam tempoh itu.

zuraidah mohamad

Jom Test Drive SAGA CVT Baru..Katanya efisien dan OK!


CVT lebih jimat dan lancar

TAMPIL dengan lebih bergaya menerusi rekaan lampu hadapan nipis dan bampar hadapan yang baharu.

UNTUK kekal relevan, sesebuah entiti mesti bersikap dinamik. Berubah mengikut zaman dan keperluan semasa. Jika tidak, kita akan ketinggalan dan tidak akan mampu lagi mengejar pesaing yang bertambah maju.

Contohnya, ketika orang lain sudah ada aplikasi iPad dan laman web kita masih dikemaskini secara sambil lewa, jadi memang layaklah kalau kita dianggap sebagai kelas kedua dalam industri.

Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Berhad (Proton) sejak sekian lama cuba untuk menjadi dinamik. Namun, bersaing dalam industri automotif yang teknologinya berubah pantas, nyata itu bukan satu kerja mudah.

Apabila sesebuah model keluar, pelbagai penambahbaikan dibuat. Semuanya demi meletakkan dirinya sebaris dengan pengeluar kereta yang lain. Dalam kes Proton, Saga sering dilihat sebagai model yang kerap menjadi tikus makmal.

Jangan salah sangka, semua ‘ujikaji’ itu dibuat bagi menjadikan Saga sebuah kereta rakyat yang terbaik dalam segala segi.

Kenapa CVT?

Tidak percaya? Sebagai sebuah sedan entry level, Saga dalam proses penyempurnaan. Kalau sebelum ini ia dipasang dengan enjin lebih berkuasa (1.6 liter Campro), sekarang Saga dilengkapi dengan transmisi CVT (Continuously Variable Transmission) pula!

RUANG dalaman dipertingkatkan menerusi penggunaan warna kelabu pada konsol tengah dan grafik pada paparan meter yang baharu.

Tindakan itu sememangnya satu anjakan yang besar buat Proton. Iyalah, sampai bila mahu bergantung kepada transmisi lama milik Mitsubishi itu, sedangkan orang lain sudah bertahun-tahun menggunakan teknologi transmisi lebih cekap seperti CVT atau dual clutch.

Mungkin ramai yang bertanya, kenapa CVT dan bukannya dua clutch atau transmisi automatik konvensional dengan lima atau enam kelajuan? Transmisi CVT pun tidaklah semurah mana dan Proton perlu mendapatkannya daripada pihak ketiga.

Saya yakin Proton mempunyai alasan tersendiri kenapa CVT dipilih. Antaranya, CVT memiliki kelebihan dari aspek penjimatan minyak dan kurang emisi. Di samping menjanjikan penukaran gear yang lancar.

Lebih ringan

Untuk makluman, transmisi CVT itu dihasilkan oleh pihak Punch Powertrain dari Belgium. Sementara transmisi lima kelajuan manual pula adalah daripada pihak Getrag. Sebagai permulaan, transmisi CVT atau manual tersebut ditawarkan untuk varian Standard dan Executive.

“Disebabkan oleh transmisi CVT yang 25 peratus lebih ringan dan tiada senggukan ketika transisi gear, penggunaan minyak oleh Saga FLX turun sebanyak empat peratus jika dipandu di bandar dan sepuluh peratus ketika di lebuh raya.

“CVT juga membolehkan enjin beroperasi pada tahap optimum. Hasilnya, enjin kurang terbeban dan meningkatkan jangka hayatnya,” jelas Pengarah Urusan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir,

Minggu terakhir sebelum puasa, saya berpeluang memandu uji Saga yang dilengkapi transmisi CVT di litar ujian Proton di kilangnya di Shah Alam, Selangor.

Dikenali sebagai Saga FLX, unit yang diuji itu hadir dengan warna baru, coklat cerah atau nama popularnya Elegant Brown. Bagi merasai perbezaan yang ditawarkan, Saga FL bertransmisi automatik empat kelajuan juga disediakan.

Integrasi CVT dan Campro

ENJIN Campro 1.3 liter mampu beroperasi secara optimum apabila digandingkan dengan transmisi CVT.

Unit yang dipandu uji ialah model Saga berenjin 1.3 liter. Tipikal transmisi CVT, anda akan melihat jarum rpm bermain di sekitar 5,000 rpm dengan bunyi enjin melahu kedengaran agak jelas di dalam kabin. Dalam tempoh itu, kuasa enjin seakan-akan sedang mencari ‘gear’ untuk dilekatkan (engage).

Integrasi antara enjin Campro dan CVT agak bagus. Tanpa rasa senggukan gear ditukar, sedar-sedar sahaja kelajuan yang dicapai sudah melepasi takat 120 kilometer sejam (km/j). Di sebelah tuil gear, ada butang SAT atau Stepped Automatic Transmission. Ia berfungsi untuk memberikan pemandu merasai pertukaran gear seperti transmisi automatik enam kelajuan konvensional dengan lebih ketara.

Saya menekan punat kecil itu. Tetapi, saya boleh katakan bahawa perubahan karakter enjin dan transmisi itu tidak jauh bezanya ketika butang SAT tidak ditekan. Dalam erti kata lain, pertukaran gear tidak terasa sebagaimana yang boleh dirasai jika dilakukan secara manual menerusi ciri Tiptronic atau paddle shifter.

Bagi memanfaatkan sepenuhnya kelebihan transmisi CVT, pandulah secara santai. Biarkan gear ditukar secara natural tanpa dipaksa dan pedal minyak tidak ditekan keras. Anda bukan sahaja akan merasai pemanduan yang lancar, malah penjimatan minyak juga lebih mudah direalisasi.

Mengenali sebuah Proton, anda boleh mengharapkan kualiti pengendalian yang memuaskan hati. Pengendalian oleh Lotus itu bukan sekadar gimik pengiklanan. Saga sememangnya stabil ketika memandu laju di atas trek.

Talaan gabungan suspensi topang MacPherson (roda hadapan) dan suspensi jenis torsion beam memang mampu menyerap ketidaksempurnaan permukaan jalan dengan baik. Tidak melantun-lantun atau bergegar jika terlanggar lubang atau sebagainya. Stereng hidraulik itu juga berasa sedikit berat, sekali gus membuatkan pemandu yakin untuk menguji Saga menuju ke tahap maksimanya.

Ruang dalaman Saga FLX mendapat sedikit penambahbaikan. Paling ketara ialah konsol tengah yang menerima warna perak. Saya sebenarnya kurang gemar dengan rekaan papan pemukanya yang nampak terlalu asas. Bagaimanapun, paparan meternya mendapat rekaan grafik baru berbanding model sebelumnya.

Rim 13 inci

BUTANG SAT yang ada di sebelah tuil gear ini akan memberikan anda lebih ‘rasa’ setiap kali gear ditukar.

Dari segi penampilan pula, Saga FLX meneruskan rupa Saga FL yang menerima perubahan ketara terutama pada bahagian bampar hadapan. Selain lampu utama yang lebih nipis dan perumahnya dihitamkan (smoked). Lampu belakang dengan butiran LED itu juga menyerlahkan elemen moden kepada Saga.

Cuma, saya rasa penggunaan rim besi bersaiz 13 inci (varian standard) membuatkan rupa Saga FLX nampak cacat. Rim itu kelihatan terlalu kecil, biapun untuk sebuah sedan kompak. Saya tahu, alasannya mungkin kerana kos dan ia merupakan antara saiz terbaik untuk penjimatan. Masalahnya pembelian juga banyak dipengaruhi oleh faktor kecantikan atau estetiknya.

Bukan sekadar transmisi CVT, Saga FLX kini juga semakin selamat. Varian Executive memiliki ciri tambahan iaitu dua beg udara, selain Anti-lock Braking System (ABS) dan Electronic Brake-force Distribution (EBD). Agak impresif untuk sebuah sedan yang berharga kurang RM45,000 seunit.

Saga FLX ditawarkan pada harga sekitar RM38,598 hingga RM44,998 seunit bergantung kepada varian. Jika anda tidak suka Elegant Brown, warna-warna lain seperti hitam, putih, biru dan perak boleh dijadikan sebagai alternatif. Saga FLX kini sudah boleh diteliti dan ditempah di semua bilik pameran Proton di seluruh negara.

Ahmad Syukran

Kerana Meluat, Porsche 911 Jadi Bahan Tembakan


KERETRA Porsche 911 dipenuhi dengan kesan tembakan di Jamaica Plain, Massachusetts baru-baru ini.

Porsche 911 jadi sasaran latihan menembak

JAMAICA PLAIN, Massachusetts – Seorang pemilik kereta mewah Porsche 911 mengambil keputusan membiarkan keretanya yang berharga AS$80,615 (RM244,300) menjadi sasaran latihan menembak.

Beliau bertindak demikian kerana bosan dengan kerosakan enjin kereta tersebut yang kerap berlaku.

Kereta itu diberikan kepada sebuah persatuan yang dikenali sebagai Comm2A yang terletak di Jamaica Plain, Massachusetts, Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.

Hasilnya, kereta yang berwarna perak itu menerima 10,000 tembakan peluru dari 140 pucuk senjata api.

Ia diletakkan di kawasan latihan menembak dan menjadi sasaran latihan oleh ahli persatuan terbabit.

Tembakan yang datang dari beberapa mesingan dan senjata automatik menyebabkan rupa sebenar bentuk Porsche tersebut sukar dikenali.

Sebelum ini, pemilik yang tidak mahu dikenali itu dikatakan telah membelanjakan beribu-ribu dolar untuk membaiki masalah enjin dan sistem penyejukan kereta tersebut.

Agensi

Modenas Lancar Motosikal Elektrik


RM4,888 seunit termasuk cukai jalan, insurans

MOTOSIKAL dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) menyasar menjual sehingga 500 unit sebulan motosikal elektrik pertama negara berasaskan teknologi hijau yang dikenali sebagai ‘MODENAS CTric’ di pasaran tempatan.

Model yang dilancarkan semalam itu didatangkan dengan dua warna iaitu hijau dan jingga itu dipasarkan pada harga RM4,888 seunit termasuk cukai jalan dan insurans.

Ia turut menarik perhatian pelanggan antarabangsa apabila syarikat berkenaan sudah menerima tempahan 100 unit pertama dari Iran.

Ketua Eksekutifnya, Abd Halim Ismail, berkata penghantaran akan dibuat pada akhir bulan ini dan Iran juga bercadang menempah 200 unit MODENAS CTric pada setiap bulan.

“Selain Iran, negara lain yang turut berminat adalah Korea, Greece serta negara Eropah seperti Poland selain negara Asia seperti Vietnam,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran MODENAS CTric oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha di Shah Alam, semalam.

Abd Halim berkata, MODENAS CTric turut mencipta sejarah apabila dihasilkan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia dengan penggunaan 80 peratus komponen tempatan, manakala 20 peratus lagi komponen diimport dari China.
Sementara itu, Cho Ha berkata, MODENAS CTric adalah motosikal elektrik pertama berjaya mendapat kelulusan piawaian SIRIM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Motosikal MODENAS CTric yang berkuasa elektrik sepenuhnya turut dilengkapi lima unit ‘lead acid’ bateri 12V/20AH berasaskan teknologi Gel Nano serta boleh dikitar semula seratus peratus selepas tamat tempoh hayatnya.

Bateri yang berkemampuan sehingga 500 kitaran itu juga mempunyai nilai beli-semula dan penggunaan kuasa elektrik sebanyak 1.0 sen bagi setiap kilometer amat berpatutan. MODENAS CTrix turut menggunakan Motor Arus Terus Tanpa Sesentuh yang kalis air dan mempunyai kuasa 3.60kW atau 80 kilometer sejam serta mempunyai ciri istimewa seperti Gandar Galas Berkelajuan Tinggi, Penderia ‘Honeywell Hall’ dan Pemutar Tanpa Brek.

Unit Kawalan Motor ini juga dilengkapi Penyegerak Kilas Terprogram, Sistem Perlindungan Sarat dan ‘Smooth Digitised Power Switching’ serta Pengecas Pintar yang memerlukan hanya 3.5 jam bagi cas pantas dan lapan jam bagi cas biasa.

Dengan kelajuan purata 30 kilometer sejam, Modenas CTric berupaya mencapai jarak 60km pada setiap cas penuh dan berkemampuan untuk mencapai halaju 70 kilometer sejam serta sesuai diguna mereka yang bergerak dalam radius 30 ke 50 kilometer sehari.

Bernama

Nota: 80% komponen dari hasil tempatan dan 20% diimpot dari China.

Perodua Lancar Model Baru Myvi


Model sudah terima tempahan 10,000 unit sejak 4 Jun lalu

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) melancarkan model baru Perodua Myvi dengan sasaran jualan 8,500 unit sebulan bagi menggantikan model generasi pertama jenama kenderaan terlaris yang diperkenalkan pada Mei 2005.

Model baru yang dipertingkatkan dari segi reka bentuk dan fungsi itu, dijual pada harga atas jalan bermula dari RM43,900 bagi transmisi manual standard hingga RM57,400 bagi transmisi automatik.

Sejak diperkenalkan enam tahun lalu, PERODUA sudah menjual 487,400 unit model Myvi pada purata 81,20 unit setahun atau 6,800 unit sebulan.

Pengerusinya, Tan Sri Asmat Kamaluddin, berkata menjejaki langkah model sebelumnya, Perodua Myvi baru itu boleh disifatkan sebagai kenderaan rakyat sebenar.

“Model baru itu direka bentuk secara kreatif, kejuruteraan yang rapi dan dibina dengan bahan bermutu tinggi oleh tenaga kerja terlatih serta mampu dimiliki dengan tawaran nilai hebat untuk wang,” katanya berucap pada pelancaran model baru Perodua Myvi di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Pelancarannya disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Turut hadir Pengerusi PERODUA, Tan Sri Asmat Kamaludin; Presiden Daihatsu Jepun, Koichi Ina; Duta Jepun ke Malaysia, Shigeru Nakamura dan Pengarah Urusan PERODUA, Datuk Aminar Rashid Salleh.
Asmat berkata, model itu sudah menerima tempahan 10,000 unit sejak tempahannya dibuka kepada awam 4 Jun lalu.

Sementara itu, Muhyiddin ketika berucap pada majlis itu menyarankan supaya PERODUA merangka perancangan lebih berdaya saing dan memberi tumpuan untuk melangkah ke arena lebih mencabar di peringkat antarabangsa.

“Hasil kerjasama rakan kongsi teknologinya, Daihatsu Motor Company of Japan (DMC) dan semua pihak yang berkepentingan, saya yakin PERODUA dapat meneroka pasaran rantau ini dan peringkat global.

“Saya dimaklumkan, PERODUA dan DMC akan melabur sehingga RM250 juta untuk membina kilang Transmisi Automatik Elektronik yang pertama di sini, sekali gus mewujudkan peluang kerja selain membawa kemahiran dan teknologi ke negara ini,” katanya.

Katanya, industri automotif adalah komponen penting ekonomi dan ia berkembang pesat dengan menyokong industri seperti pembuat komponen, jaringan pembekal, perbankan, insuran dan petroleum.

Timbalan Perdana Menteri juga memberi jaminan pandangan semua pihak akan diambil kira dalam mengkaji semula Dasar Automotif Negara khusus untuk pertumbuhan industri automotif negara ini.

Sementara itu, mengulas mengenai model MyVi baru itu, Aminar Rashid berkata, ia lebih daripada sekadar estetika kerana ruang dan alunan rupa bentuk badan kenderaan itu meningkatkan tahap aerodinamik, justeru membolehkan tahap penggunaan bahan bakar lebih cekap.

Beliau menjelaskan, transmisi manual standard bagi model baru Perodua Myvi itu mempunyai tahap pemanduan lebih jauh iaitu 17.5 kilometer bagi setiap liter petrol berbanding model sebelumnya 17.1 kilometer.

Bagi transmisi automatik pula, ia mampu bergerak 14.6 kilometer bagi setiap liter bahan bakar berbanding 13.5 kilometer bagi model sebelumnya.

Ia didatangkan dengan enam warna, termasuk warna baru Ungu Mystical yang akan diperkenalkan bermula Ogos ini. Pilihan warna lain ialah Hitam Ebony, Kelabu Medallion, Kelabu Glittering, Putih Pearl dan Putih Ivory.

Norfatimah & Shahrizan

%d bloggers like this: