Al- Fatihah Untuk ‘Kala Dewata’ Bapa Azmil Mustapha


‘Bapa gigih ,tak pernah jemu cari ilmu’

SHAH ALAM – “Arwah ayah seorang yang gigih dan tidak pernah jemu mencari ilmu hingga ke akhir hayat,” kata anak sulung penulis novel, Kala Dewata, iaitu Azmil Mustapha me­ngulas tentang arwah ayahnya, selepas menghadiri pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini, pagi semalam.

Kala Dewata yang terkenal de­ngan novel berjudul Atap Genting, Atap Rumbia, atau nama sebenarnya, Datuk Prof Dr Mustapha Kamil Yassin kembali ke rahmatullah kelmarin pada usia 87 tahun, setelah me­ngalami sesak nafas selepas menunaikan solat Zohor di rumahnya.

Arwah, penghidap darah tinggi, kencing manis dan lemah jantung sempat berpesan kepada dua anaknya yang meriba ketika rebah, sebelum menghembuskan nafas terakhir, supaya mempercepatkan urusan pengebu­mian dan tidak membaca talkin di tanah perkuburan.

Beliau meninggalkan isteri, Datin Azizah Musa, 80, bersama tujuh anak serta 40 cucu dan seorang cicit.

Sebelum bersara, beliau bertugas sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan kemudian menyambung kontrak di Universiti Malaya (UM).

Beliau pernah berkhidmat dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai jururunding dan menjadi pensyarah di Royal Metric Collega serta Language Institute, Kuala Lumpur.

Azmil berkata, minggu lalu, dia ada bertemu ketika ayahnya baru pulang dari Terengganu, melawat isteri keduanya dengan menaiki bas dan berkelakuan pelik, apabila bertanyakan tarikh lahir dan umur anak-anak serta cucu-cucu.

Sementara itu, Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menziarah berkata, arwah seorang aktivis kebudayaan dan persuratan Melayu yang banyak memberi sumbangkan kepada anak bangsa.

“Saya mengenali beliau pada sekitar 1970-an. Ketika itu, beliau seorang pensyarah di UM dan saya masih belajar di sana. Beliau seorang yang mesra dan memberi idea yang bernas serta menjalani kehidupan sederhana dalam semua perkara,” katanya.

SH

Post a comment or leave a trackback: Trackback URL.

Leave a comment