Tag Archives: Universiti Teknologi Mara

Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera Oleh PM Najib


najibpm

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pelbagai langkah untuk memperkasakan ekonomi bumiputera, termasuk mengkehendaki syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menetapkan sasaran penyertaan bumiputera.

“Saya mahukan semua ketua pegawai eksekutif di GLC menetapkan sasaran ke atas penyertaan Bumiputera termasuk perolehan yang
dianugerahkan kepada vendor,” katanya ketika berucap kepada lebih 2,000 orang di Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di dewan Universiti Teknologi Mara (UiTM), di Shah Alam hari ini.

Sambil mengumumkan institusi tersebut sebagai simbol pendidikan bumiputera, perdana menteri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu dan bumiputera yang telah menunjang, mandat serta kepercayaan kepada BN dalam pilihanraya umum Ke-13 untuk terus menerajui kepimpinan negara.

“Atas sokongan dan dokongan yang diberikan oleh orang-orang Melayu dan Bumiputera, pada pilihanraya umum ke-13 baru-baru ini…, maka, …. pada hari ini…, kerajaan memutuskan untuk membuat satu anjakan besar bagi melaksanakan strategi-strategi serta pendekatan-pendekatan yang konkrit lagi tuntas.

“Kita namakan sebagai Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera. Segalanya ini, kita perbuat, demi membela untung nasib orang-orang Melayu dan masyarakat bumiputera, dari dulu, kini dan selama-lamanya,” katanya. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan perdana Menteri mengumumkan langkah dan strategi baru memperkasakan ekonomi bumiputera, serta penubuhan Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang dipengerusikannya sendiri bagi menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera, sebagai peneraju utama strategi tersebut.

Langkah-langkah yang diumumkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan itu termasuk :

* Kerajaan akan memperbanyak program peningkatan kemahiran bagi menyediakan peluang kedua kepada golongan remaja yang rendah pencapaian akademik dan tahap kemahiran.

* Program latihan semula dipergiat menerusi peruntukan tambahan kepada GiatMARA bagi memperoleh peralatan berteknologi terkini untuk mengendalikan program latihan.

* Bilangan program latihan yang dikendalikan oleh Institut Kemahiran Belia Negara akan ditambah menerusi pendekatan latihan dua syif.

* Program seperti Skim Latihan 1Malaysia, Graduate Employability Management Scheme dan Program Peneraju Skil akan diperluas untuk menambah bilangan penerima manfaat bagi mengatasi masalah kebolehpasaran.

* Agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Awam dan MARA akan memperluas Program Pendidikan Lepasan Ijazah terutama dalam bidang-bidang kritikal dan berteknologi tinggi.

* Program Peneraju Profesional diperluas bagi melahirkan lebih ramai golongan profesional Bumiputera yang mendapat pengiktirafan sebagai tenaga kerja profesional dan bertauliah terutama dalam bidang kritikal seperti akauntan, doktor pakar, arkitek, jurutera dan ahli sains aktuari.

* Skim Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) akan dilancarkan oleh Permodalan Nasional Berhad dengan suntikan 10 bilion unit saham.

* Ekuinas mengambil alih peranan sebagai peneraju program Skim Jejak Jaya Bumiputera bagi membimbing syarikat Bumiputera di senarai di Bursa Malaysia.

* Yayasan Wakaf Malaysia akan diperkemas untuk ditukar taraf menjadi entiti Wakaf korporat bagi mengoptimumkan nilai aset bukan kewangan seperti hartanah.

* Pelaburan Hartanah Bhd, Majlis Amanah Rakyat dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad akan diperkukuh bagi membangun atau memperoleh hartanah komersil dan industri, terutama di lokasi strategik di seluruh negara.

* Kerajaan melalui Syarikat Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) serta Syarikat Perumahan Negara Bhd dengan kerjasama Kerajaan Negeri akan memperbanyak pembinaan rumah mampu milik kepada Bumiputera di seluruh negara.

* UDA Corporation akan diperkukuh untuk membantu membangun hartanah termasuk rumah kediaman, kompleks dan ruang perniagaan, bangunan industri dan perdagangan di kawasan bandar.

* GLC dan GLIC terlibat dalam perniagaan hartanah diarahkan untuk memberi penekanan kepada pembangunan hartanah Bumiputera terutama perumahan, rumah kedai dan premis komersial.

* Peranan agensi pembangunan usahawan Bumiputera seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN Nasional, MARA dan PUNB akan diperkukuh.

* Tambahan pembiayaan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia sebanyak RM300 juta untuk tempoh lima tahun.

* Bilangan sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia disasarkan meningkat kepada 500,00 daripada 350,000 orang pada 2015.

* Dana tambahan sejumlah RM700 juta diberi kepada TEKUN Nasional.

* Bilangan usahawan TEKUN Nasional disasarkan meningkat kepada 370,000 tahun 2015 daripada 270,000 sekarang.

* Semua Kementerian dan GLC diarahkan untuk mengukuhkan sistem pembangunan vendor Bumiputera. Pemilihan vendor juga berasaskan meritokrasi dalam kalangan
Bumiputera supaya mereka berdaya maju dan mampan.

* Jangka masa kontrak dan konsesi vendor disesuaikan dengan tempoh bayaran balik pinjaman bank.

* Lonjakkan program Pembangunan Vendor (VDP) oleh Petronas bagi mengukuh rantaian bekalan sektor minyak dan gas, Tenaga Nasional dalam sektor tenaga, Telekom Malaysia dan AXIATA dalam sektor komunikasi, UEM dalam sektor pembinaan serta Sime Darby dan Felda Global Ventures untuk sektor perladangan.

* Ketua Pegawai Eksekutif di GLC akan menetapkan sasaran ke atas penyertaan Bumiputera termasuk perolehan yang diluluskan kepada vendor. Ini wajib dimasukkan sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada Ketua Pegawai Eksekutif syarikat.

* Bagi menangani isu rantaian perbekalan, kerajaan melalui GLC dan GLIC akan membangunkan sekumpulan usahawan Bumiputera yang melibatkan diri dalam aktiviti berkaitan pembuatan dan perindustrian. GLC dan GLIC akan mewujudkan beberapa konsortium syarikat Bumiputera dalam sektor-sektor yang terlibat.

* Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) akan mengenal pasti perkhidmatan Kerajaan yang berdaya maju untuk diswastakan kepada Bumiputera.

* Dasar ‘Carve-out’ akan diperluaskan kepada projek-projek besar lain dalam kementerian serta GLC dan GLIC. Empat projek yang dikenal pasti untuk menyertai program ini ialah Projek Menara Warisan Merdeka, Bukit Bintang City Centre, MATRADE Exhibition Centre dan Program Pembangunan Institut Penyelidikan Getah Sungai Buloh.

* Skim Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera (SUPERB) diperkenal untuk membantu syarikat permulaan dengan peruntukan dana sebanyak RM100 juta dalam tempoh tiga tahun. SUPERB akan menyediakan kemudahan geran sehingga RM500,000 ribu ringgit kepada entrepreneur baharu yang kreatif dan inovatif dalam bidang-bidang strategik yang mempunyai potensi masa hadapan yang besar.

* Unit Pembangunan Bumiputera (UPB) akan diwujudkan di semua kementerian dan bertanggungjawab merangka cadangan dan melaksana inisiatif Agenda Bumiputera.

* Peningkatan pengambilan pelajar Universiti Teknologi MARA ini kepada 250,000 menjelang tahun 2020 termasuk penubuhan beberapa lagi kampus baharu di seluruh negara.

* Penubuhan Dana Pendidikan MARA yang berjumlah RM1 bilion ringgit bagi membiayai keperluan program latihan, pendidikan, keusahawanan, penyelidikan dan pembangunan serta inovasi. Dana ini berbentuk ‘Matching Fund’ nisbah satu kepada satu antara MARA dan Kerajaan disalurkan secara berperingkat.

* TERAJU diletakkan langsung di bawah Perdana Menteri, dengan diketuai Menteri atau Pegawai Eksekutif bertaraf Menteri

* Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Skim Permulaan Entrepreneur Baharu Bumiputera (SUPERB) akan diletakkan di bawah seliaan TERAJU.

mKini

Selebriti Akademi Fantasia 3 Pulak Bertudung


Syukurlah selebriti Malaysia semakin sedar kewajipan menutup aurat

KETAWA dan ramahnya masih sama. Hadir ke studio dalam persalinan kasual yang cukup ringkas dan bergaya dengan kasut ala penari balet. Cuma yang membezakan, Akma, 26, kini sudah bertudung litup.

Jika dia tidak menanggalkan cermin mata hitamnya itu pasti orang sekeliling akan tertanya-tanya, siapakah gadis tinggi lampai yang anggun dalam lilitan tudung persis Hana Tajima iaitu pereka dan ikon fesyen dari United Kingdom.

Akma atau nama asalnya Asiahtunakma Abdullah, merupakan penyanyi tempatan kelahiran program realiti Akademi Fantasia, musim ketiga (AF3).

Kemunculan Akma yang bertudung bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan sejak kebelakangan ini satu-persatu selebriti yang sedang mencipta nama di persada seni tanah air tampil dengan imej yang sama.

Persoalannya, adakah bertudung sudah dikategori sebagai salah satu trend fesyen atau dari sudut positif ia merupakan penghijrahan dan pengorbanan ikhlas seseorang itu untuk berubah?

“Tidak dinafikan, sesetengah individu memandang serong kepada kelompok selebriti yang mengambil keputusan untuk bertudung. Lebih menyedihkan mereka sanggup bertaruh untuk melihat pendirian seseorang artis itu bertudung.

“Bukankah lebih baik sekiranya masyarakat sekeliling berdoa dan terus memberi sokongan supaya kami mengekalkan imej sopan dan muslimah ini,” jelas Akma ketika menggayakan jubah nuansa biru lembut koleksi Hurul Ain.

Pasang niat

Bicara wanita yang dilahirkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) itu, sejak tahun lalu dia sudah memasang niat untuk bertudung, namun hasrat murni berkenaan tercapai jua pada 13 Syawal lalu.

Tambah anak keempat daripada enam adik-beradik itu, pada mulanya dia gusar sekiranya undangan nyanyian berkurangan gara-gara keputusannya memakai tudung. Tetapi, semakin dia mendekatkan diri kepada Tuhan semakin melimpah ruah rezekinya.

Acap kali menyentuh mengenai imej terbaharunya itu, Akma yang popular menerusi lagu Percaya Pada Cinta, sentiasa tersenyum. Bicara peminat sepatu itu lagi, paling mengujakan pantang mempunyai masa terluang dia tidak melepaskan pe luang mengunjungi Jalan Tuanku Abdul Rahman Kuala Lumpur untuk membeli-belah tudung dan selendang.

“Saya tak cerewet dalam aspek jenama mahupun harga. Biasanya saya suka membeli selendang jenis likra atau satin kerana ia mudah dibentuk. Dari segi warna pula saya gemarkan warna-warna terang dan ceria kerana ia sesuai dengan usia remaja,” jelas Akma yang suka mencuba pelbagai teknik lilitan tudung untuk disesuaikan dengan lokasi dan acara yang dihadiri.

Sementara itu, pembaca berita TV9, Norazura Abu Samah, 28, atau lebih mesra disapa Zura menyifatkan dia mengambil keputusan untuk memakai tudung selepas berhadapan dengan dua kejadian yang menakutkan.

Biarpun menyedari perubahan imejnya itu boleh menyebabkan dia kehilangan kerja tetapi wanita bersuara serak-serak basah itu reda dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.

“Saya akui majikan sebelum ini kurang selesa jika staf memakai pakaian yang bertudung litup. Pada masa tersebut sukar untuk mencari kerja baharu tetapi saya nekad memakai tudung dan sanggup berhenti kerja.

“Bersyukur, selepas berhijab saya diberi peluang menyertai Pesona Nona kendalian TV3 iaitu sebuah program yang mencari bakat-bakat baharu dalam dunia pengacaraan,” kata Zura yang murah dengan senyuman.

Detik menginsafkan

Bertitik tolak daripada episod itu dia semakin yakin bertudung kerana menyifatkan sehelai selendang yang menutup kepalanya itu bukan penghalang untuk dia mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.

Malah, bekas pelajar Sekolah Menengah Puteri Wilayah, Kuala Lumpur itu berasa gembira kerana diterima pula berkhidmat sebagai pembaca berita di stesen TV9, meskipun bertudung.

Bercerita tentang detik yang menginsafkan sehingga mendorongnya memakai tudung, Zura yang masih bujang menyatakan dia pernah berhadapan dengan dua kejadian yang mencemaskan.

Empat tahun lalu, sewaktu menghadiri majlis kenduri-kendara di kampung halamannya di Pontian, Johor Bahru, Johor dia jatuh pengsan.

“Bayangkan, saya tiba-tiba rebah dan badan menggigil. Anak mata pula naik ke atas. Saudara-mara mula resah dan berusaha memulihkan saya dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran.

“Selang beberapa bulan ketika sibuk dengan aktiviti merewang untuk sebuah majlis perkahwinan sepupu di Kuala Lumpur, beberapa buah khemah dan pelamin roboh serta musnah akibat ribut. Ibu saya juga terjatuh dan kami hampir dipanah kilat,” luah Zura yang menyifatkan sekiranya maut menjemputnya akibat terkena panahan petir itu, apakah amalan dan persediaan diri yang dibawa.

Rentetan dua insiden berkenaan membuka seribu hikmah buat graduan Diploma Pengajian Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), itu.

Tambah pencinta aksesori ini; “Usah teragak-agak untuk melakukan pengorbanan buat diri sendiri dan agama. Lagipun bertudung sememangnya dituntut agama.

“Siapa kata dengan bertudung kita tak boleh bergaya, padahal trend fesyen tudung terkini semakin banyak dan mengikut peredaran zaman.

Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF

%d bloggers like this: