Tag Archives: Tok Guru Nik Aziz

Jom ‘Fight’ Dengan Tongkat Tok Guru Nik Aziz


tongkat nik aziz

Fight harga saja untuk membantu mangsa kebakaran

Muhd Bajili menunjukkan tongkat Nik Aziz yang akan dilelong hari ini (Jumaat).

KOTA BHARU – Cakna nasib dialami mangsa kebakaran rumah di Kampung Sireh Bawah Lembah awal bulan ini, bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berbesar hati melelong tongkatnya untuk membantu keluarga terbabit.

Hasrat itu dinyatakan Nik Abdul Aziz menerusi Dewan Pemuda Pas Kawasan Kota Bharu dalam usaha mengurangkan bebanan ditanggung keluarga terbabit yang hilang tempat tinggal berikutan kejadian tersebut.

Setiausaha Pemuda Pas Kota Bharu, Muhd Bajili Bakri berkata, salah satu tongkat kegunaan Mursyidul Am itu akan dilelong pada jualan amal dengan harga permulaan bidaan RM500.

“Tongkat tersebut akan dilelong hari ini (Jumaat) selama 30 minit bermula jam 5.30 petang di tapak Car Boot Sale Lembah Sireh dan orang ramai yang ingin bersama-sama membantu mangsa kebakaran bolehlah mengunjungi jualan amal ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Selain itu, Muhd Bajili berkata, pada hari sama juga bermula jam 3 petang hingga 10 malam, pihaknya turut melelong pelbagai barangan baru dan terpakai dengan harga serendah RM1.

Pada 6 September lalu, tujuh rumah melibatkan 15 keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila harta benda mereka musnah dalam kebakaran kira-kira jam 12 tengah hari.

SH

Tempoh Untuk PAS Berpecah Sudah Tiba


utus meloyo

Ingat tempoh untuk PAS berpecah sudah pun tiba

Ketua Dewan Urusan Ulama PAS Datuk Harun Taib membuat cadangan supaya PAS mengkaji semula kerjasama (tahalus syiasi) dengan PKR.

Beliau dilaporkan mengemukakan cadangan itu semasa merasmi Mutlaqa Ulamak se-Malaysia yang berlangsung sehari suntuk di Kedah hari ini.

Alasan itu katanya kerana banyak perkara menerusi tahalus syiasi itu boleh melemahkan PAS.

Beliau tidak menyebut apakah bentuk kelemahan-kelemahan secara specifik dan ilmiah, hanya menyebut salah satu kelemahannya menyebabkan sokongan Melayu terhadap PPAS berkurangan berdasarkan kepada pilihan raya lepas.

Tentunya andai ini silap sebab tahalus syiasi itu bukan bersifat macam ayam mengawan tetapi bersifat angin berjimak (lama).

Pandangan Harun ini adalah subjek yang akan menggemakan muktamar PAS yang akan berlangsung di Shah Alam pada November depan.

Sudah tentu muktamar akan datang akan memberi fokus kepada cadangan itu dan ia akan menjadi agenda utama muktamar. Apabila Harun melontarkan isu itu, ia menjadi isyarat kepada ahli-ahli PAS terutamanya golongan merasakan diri mereka ‘ustaz, hafiz atau mendapat pendidikan Timur Tengah dan lebih bangsa ‘Melayu’ akan membahas perkara berkenaan.

Apa yang dapat dibayangkan di sini, sekiranya agenda itu dibahas dan diterima sudah tentu PAS akan mempamerkan satu langkah baru yang lama dan sekaligus PAS akan menunjukkan ia dikuasai oleh ‘pedagang-pedagangan’ politik Islam.

Kemungkinan yang boleh disuluh di sini PAS akan mencari rakan politik baru dalam projek ‘tahalul syiasinya’ untuk masa depan bagi meletakkan PAS sebagai sebuah parti dominan seperti diharap Harun.

Bolehkah PAS menjadi dominan dengan pendekatannya tanpa menuruti sungai peralihan kerana politik itu sendiri bersifat pragmatik?

Mungkin di sini PAS akan berpaling tadah bekerjasama dengan Umno atas alasan untuk memperkuatkan Melayu dan Islam. Tetapi selalu yang disoalkan, apakah Umno akan bersikap jujur dan ikhlas dengan PAS? Dan sejauh manakah PAS menyakin Umno memperjuangkan Islam dan Melayu sedangkan dasar-dasarnya yang jelas bertentangan dengan kehendak dasar perlembagaan PAS.

Cadangan untuk mendekati Umno ini tidak menghairankan kerana agenda Unity Government masih berjalan tetapi dengan sedikit perubahan dan bertukar pemainnya. Kalau dahulu ia dimainkan oleh bekas timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan beberapa yang lain, tetapi kini ada watak lain yang mengambil alih baton kerajaan perpaduan itu dengan melarikannya dalam kabus.

Sekiranya muktamar menerima cadangan itu; PAS memutuskan kerjasama dengan PKR khasnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sedikit sebanyak ia akan menjejaskan PAS dari segi kepercayaan umum.

Orang akan melihat PAS tidak konsisten didalam akidah politiknya (kerjasama) atau berbuat sesuatu tanpa berfikir. Golongan muda profesional tentu akan tergencat menyebabkan mereka menarik diri dari PAS.

Pemansuhan kerjasama itu juga boleh menyebabkan orang Cina konfius dengan PAS dan hilang kepercayaan. Kerusi-kerusi bandar yang dimenangi PAS atas sokongan pengundi Cina akan hilang. Implikasi ini kena diterima, sumbangan orang Cina juga dalam hubungan kerjasama ini tidak banyak sikit menguntungkan PAS.

Secara umumnya cadangan Harun agar dikaji semula kerjasama itu tidak boleh dikesampingkan begitu saja dengan syarat ia dibuat secara menyeluruh. Kajian itu bukan saja melihat kelemahan atau pun kenegatifan PAS dengan kerjasama itu sahaja, sebaliknya kaji juga mengenai kesan positifnya seperti salah satu dinyatakan di atas tadi.

Kalau hendak buat kajian jangan melihat cemarnya PKR sahaja, tetapi kena juga lihat kelemahan PAS itu sendiri serta kesalahan-kesalahan dilakukan PAS disepanjang tahalul syiasi itu sendiri.

Sebab PAS juga parti yang tidak sesuci namanya dari segi amlinya. Bila ditengok memang PAS menjadi terlalu toleransi dan anjal dalam aspek-aspek yang perlu dipetegakkan, misalnya mengenai soal agama dan bangsa, tetapi siapa yang salah. Apakah PKR yang menekan PAS agar bersikap begitu atau siapa?

Misalnya dalam layanan liberalisasi keagamaan PAS menjadi tersangat baik dan terbuka sampai Presiden dan Mursyidul Am sendiri sanggup masuk ke gereja demi menarik perhatian dan simpatis politik? Apakah pemergian presiden dan mursyidul am itu atas paksaan PKR atau Anwar? Jawabnya tidak. Ia adalah kehendak dan ijtihad mereka sendiri. Jadi dalam hal ini PKR atau DAP tidak boleh disalahkan atas toleransi keterlaluan itu sehingga menyebabkan Pas rugi melainkan kesalahan kepada PAS juga.

Bagaimana pun, cadangan Harun itu juga dilihat bakal menjadi polemik baru didalam PAS. Cadangan itu sudah tentu akan bertentangan dengan pandangan (pola fikir politik) Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang melihat tahalus syiasi dengan PKR itu memberi ruang baru kepada PAS sendiri untuk memperkenalkan Islam kepada orang bukan Islam. Perwujudan Dewan Himpunan Penyokong (DHPP) PAS sedikit sebanyak ia bertolak dari roh tahalu syiasi. Sebelum mengkaji kebehasilan tahalus syiasi itu kaji dulu apakah untung dan rugi DHPP PAS itu.

Boleh jadi juga isu itu akan digunakan untuk muktamar November nanti untuk menyingkir mereka yang tidak sebulu dan sepasukan dengan mereka, iaini golong merasakan mereka alim ulamak. Golongan profesional yang selama ini membawa anjakan baru dalam politik PAS; mempolitikan ulama dan mengulamakan politik, telah membawa perubahan besar kepada pentadbiran dan sistem politik PAS serta memecahkan ‘bongol-bongol’ pejal dalam rangka kepelbagaian citarasa politik berversiasi negara ini.

Seharus dikaji dengan mendalam dan panjang lebar. Penolakan kerjasama dengan PKR itu sudah tentu ia akan membawa kepada penolakan kerjasama dengan DAP juga dan menolak kerjasama dengan mereka yang benci kepada UBN. Penerimaan itu nanti menyebabkan orang ramai khasnya generasi baru merasakan PAS mundur ke belakang semula. Pandangan itulah yang dimahui Umno bagi melihat Pakatan Rakyat yang kini menguasai suara majoriti menjadi lemah ‘kumbali’. Umno sedang berdoa siang dan malam dengan mendupakan asap kemeyen Islam dan bangsa bagi mempengaruhi PAS.

Apakah langkah dewan ulamak yang ingin membawa PAS kembali ke belakang dalam tribulasi ini kerana mereka sudah termakan cacing dalam mee Umno? Nauzubaliah. Paling menakut dan membimbangkan gara-gara cadangan Harun Taib dan begitu ghairahnya golongan merasakan mereka alim itu menyebabkan PAS akan berpecah dua.

Peristiwa yang berlaku penghujung 1982 menyebabkan Mohd Asri Muda dan rakan-rakan meninggalkan PAS kemudian menubuh Hamim tahun 1986 disebabkan diperlakukan demikian rupa dan kejinya, perlulah disedari dan diambil iktibar. Tempoh untuk PAS berpecah juga sebenarnya sudah sampai selepas, iaini PAS tenang selama 30 tahun. Perhatilah PAS sudah tidak berpecah dan kalut sudah 30 tahun setelah kekalutan terakhirnya 1982.

Mohd Sayuti Omar

Apa Pasal Lagenda Bolasepak Negara Abdullah Ali Sertai PAS


Abdullah Ali sertai PAS

Lagenda bola sepak negara, Abdullah Ali, 57, hari ini menyerahkan borang permohonan keahlian PAS kepada Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada majlis ringkas di sini sebentar tadi.

Anak kelahiran Bukit Payong, Kuala Terengganu itu hari ini mengisytiharkan secara rasmi untuk menyertai PAS memandangkan parti itu satu-satunya yang memperjuangkan Islam.

Hadir pada majlis itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Timbalan Setiausaha Agung PAS Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan di JKR 10. Pemimpin PAS Terengganu yang turut hadir meraikan penyertaan Abdullah itu ialah timbalan-timbalan pesuruhjaya, Muhyiddin Abdul Rashid dan Dr Alias Razak, bendahari dan ketua penerangan, M Shukrimun Shamsudin dan Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Selain Abdullah, turut menyerahkan borang keahlian lagenda bola sepak Kelantan yang juga pemain Olimpik 1972, Salleh Ibrahim dan Kamarudin Abdullah yang juga pemain kebangsaan.

Abdullah yang juga bekas Pewngurus Petronas (Dagangan), berkata dengan rasuah, ketidakdilan yang berlaku dan kerajaan yang dipimpin Umno dan BN tidak ada sebab untuknya menyertai parti itu.

“Saya yakin dengan perjuangan PAS yang memperjuangkan Islam, dengan dasar perjuangannya, dengan model yang ditonjolkan oleh pemimpinnya membuatkan saya yakin inilah parti yang wajar diberi sokongan,” ujarnya.

Abdullah juga turut berhasrat untuk turun berkempen pada pilihanraya umum nanti di seluruh negara sekiranya beliau diperlukan oleh parti.

“Insyaallah saya bersedia turun membantu untuk berkempen,” ujarnya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, melahirkan rasa syukur dengan penyertaan lagenda bola sepak negara itu untuk menyertai PAS.

Tuan Guru berharap, semoga dengan penyertaan Abdullah Ali akan lebih ramai lagi yang akan menyertai PAS memandangkan tidak ada sebab rakyat di negara ini menolak perjuangan yang berlandaskan Islam itu.

“Saya benar-benar berbangga dan bersyukur,” ujarnya sambil tersenyum.

Abdullah menyertai ahli PAS seumur hidup dan borang keahliannya diserahkan terus kepada Takiyuddin untuk diurus segera di peringkat PAS Pusat.

“Insya Allah bulan hadapan permohonan ini akan selesai,” ujarnya ketika ditemui pada majlis itu.

HD

TG Nik Aziz Nasihat Apex Kahwin Cepat !


Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihati penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat cepat mendirikan rumah tangga supaya kehidupannya lebih sempurna.

Nik Abdul Aziz berkata, Islam menggalakkan orang yang mampu supaya cepat berkahwin.

“Ini penting untuk mengawal kita daripada melakukan dosa dan apabila berkahwin, ia lebih selamat untuk menjaga masuah.

“Khairul Fahmi merupakan penjaga gol terbaik Asia menjadi idola rakyat Kelantan, saya juga berbangga dengannya apatah lagi dia berada dalam kawasan pilihan raya saya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kepada Khairul Fahmi di Taman Kurnia Jaya, Kemumin, Pengkalan Chepa dekat sini, semalam.

Kerajaan negeri Kelantan kata beliau, memberi hadiah kepada rakyat yang cemerlang dalam apa jua bidang sebagai rangsangan.

“Mereka yang berbakat dan cemerlang ini perlu menunjukkan contoh baik, bebas salah laku sosial dan pengaruh dadah kerana dadah boleh memusnahkan kehidupan,” katanya.

Khairul Fahmi yang mesra dikenali sebagai Apex berkata, beliau menyerahkan soal jodoh kepada Allah SWT dan tidak mahu terlalu memikirkannya.

“Soal jodoh ni kena tengok ‘rezeki’ la, kalau tahun ni (kahwin) maka tahun ni la, kalau tahun depan atau tiga tahun lagi pun saya terima,” katanya.

Sementara itu, bapa Apex, Che Mat Hussin, 59, ketika ditemui berkata, dia menyerahkan soal perkahwinan sepenuhnya kepada penjaga gol Kelantan itu.

Katanya, Apex mungkin mahu menumpukan perhatian kepada karier terlebih dauhulu.

“Saya sedia menerima siapa saja wanita pilihan dia, yang penting ialah matlamatnya dalam bidang sukan tidak terganggu kerana dia masih muda,” katanya.

Apex yang menerima anugerah Pemain Muda Terbaik dan Penjaga Gol Terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-FAM 2011 November lalu tersenarai bersama Fadhli Shas dan Safee Sali dalam kesebelasan terbaik Asia pilihan laman web terkenal dunia, Goal.Com.

oleh Norhasram Mohamad

Gambar Banglo Apek Khairul Hadiah Dari Kerajaan Kelantan


SIAP…banglo baru bakal diserahkan kepada Apek tidak lama lagi.

Banglo Apek (Khairul fahmi)

KOTA BHARU: Banglo hadiah kerajaan Kelantan kepada Khairul Fahmi Che Mat sebagai penghargaan kerana membantu Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki tahun lalu sudah siap, namun ia belum diserahkan kepada penjaga gol skuad bola sepak kebangsaan itu kerana belum menemui masa sesuai.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan Belia, Sukan Dan NGO Negeri, Abdul Latiff Ab Rahman berkata, mengikut perancangan banglo itu akan diserahkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Khairul Fahmi atau lebih mesra dengan panggilan Apek.

Menurutnya, sehingga kini majlis penyerahan rasmi banglo itu masih tertangguh berikutan Menteri Besar masih mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan manakala Khairul Fahmi pula sibuk menjalani latihan.

“Kita (kerajaan negeri) akan menyerahkan rumah banglo itu kepada Khairul Fahmi seperti yang dijanjikan kerana rumah terbabit sudah siap sepenuhnya, malah majlis ringkas akan diadakan sempena penyerahan itu.

“Bagaimanapun, disebabkan kedua-dua pihak masih sibuk dengan urusan masing-masing, kita tangguhkan penyerahan rumah berkenaan sehingga tiba waktu sesuai. Namun kita akan berusaha mempercepatkan proses penyerahan banglo itu,” katanya.

mymetro

Nota: Hebat jugak kerajaan negeri Kelantan. tahniah kepada Tok Guru Nik Aziz selaku menteri besar Kelantan yang menghargai jasa anak negeri menjulang Piala AFF Suzuki.

‘i Know Who You Are’…Umno Melopong


Umno i know who you are’ kata Tok Guru Nik Aziz

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz berkata, PAS tidak mahu ‘terjerumus dua kali’ untuk menjalinkan hubungan politik dengan Umno BN.

Menurutnya yang juga Menteri Besar Kelantan, PAS sudah serik dengan pengkhianatan Umno sewaktu PAS menyertai kerajaan campuran bersama parti itu pada tahun 1973 yang menyaksikan PAS ditendang keluar pada tahun 1977.

“Kita pernah bersama Umno dulu, saya sendiri sokong PAS bersama Umno sehingga PAS waktu itu pecah empat, kemudian PAS ditendang keluar.

“Sekarang (Umno) ajak kami balik, saya kata I know, who you are,” katanya pada sidang media di sini.

Bulan Bintang lambang Pas asal diharamkan

Mengimbau sejarah perjuangan PAS lalu, Tuan Guru Nik Aziz berkata, Umno melakukan jenayah besar kerana mengharamkan lambang bulan dan bintang pada bendera PAS.

Ditanya apa alasan Umno untuk mengharamkan lambang itu, beliau berkata kerana parti nasionalis itu tidak mahu PAS membawa perjuangan agama.

“Ni kena tanya Umno la. Cuma Umno ni tak mahu ugama, bukan stakat hudud, Islam pun dia tak mahu,” katanya.

Ditanya lagi adakah pintu hubungan politik dengan Umno ditutup selama-lamanya, beliau berkata PAS bersama Umno jika parti itu menerima Islam dan meninggalkan perjuangan nasionalis.

“(Nak tutup pintu) Selama-lamanya tak boleh lah. Kita berdoa agar Umno berubah dari nasionalis kepada Islam.

“Sekarang, orang bukan Islam pun terima perjuangan Islam PAS sehingga kita ada Dewan Himpunan Penyokong PAS,” ujarnya lagi.

Menurutnya lagi, tidak mustahil PAS akan datang bukan sahaja menjadi Parti Islam Se-Malaysia, malah akan berkembang menjadi Parti Islam Se-Dunia.

“Sikit lagi Parti Islam Se-Dunia sebab Islam bukan untuk orang Islam sahaja tapi untuk semua, rahmatan lil ‘alamin,” ujarnya.

Hd

%d bloggers like this: