Tag Archives: Tenaga Nasional

Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera Oleh PM Najib


najibpm

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pelbagai langkah untuk memperkasakan ekonomi bumiputera, termasuk mengkehendaki syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menetapkan sasaran penyertaan bumiputera.

“Saya mahukan semua ketua pegawai eksekutif di GLC menetapkan sasaran ke atas penyertaan Bumiputera termasuk perolehan yang
dianugerahkan kepada vendor,” katanya ketika berucap kepada lebih 2,000 orang di Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di dewan Universiti Teknologi Mara (UiTM), di Shah Alam hari ini.

Sambil mengumumkan institusi tersebut sebagai simbol pendidikan bumiputera, perdana menteri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu dan bumiputera yang telah menunjang, mandat serta kepercayaan kepada BN dalam pilihanraya umum Ke-13 untuk terus menerajui kepimpinan negara.

“Atas sokongan dan dokongan yang diberikan oleh orang-orang Melayu dan Bumiputera, pada pilihanraya umum ke-13 baru-baru ini…, maka, …. pada hari ini…, kerajaan memutuskan untuk membuat satu anjakan besar bagi melaksanakan strategi-strategi serta pendekatan-pendekatan yang konkrit lagi tuntas.

“Kita namakan sebagai Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera. Segalanya ini, kita perbuat, demi membela untung nasib orang-orang Melayu dan masyarakat bumiputera, dari dulu, kini dan selama-lamanya,” katanya. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan perdana Menteri mengumumkan langkah dan strategi baru memperkasakan ekonomi bumiputera, serta penubuhan Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang dipengerusikannya sendiri bagi menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera, sebagai peneraju utama strategi tersebut.

Langkah-langkah yang diumumkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan itu termasuk :

* Kerajaan akan memperbanyak program peningkatan kemahiran bagi menyediakan peluang kedua kepada golongan remaja yang rendah pencapaian akademik dan tahap kemahiran.

* Program latihan semula dipergiat menerusi peruntukan tambahan kepada GiatMARA bagi memperoleh peralatan berteknologi terkini untuk mengendalikan program latihan.

* Bilangan program latihan yang dikendalikan oleh Institut Kemahiran Belia Negara akan ditambah menerusi pendekatan latihan dua syif.

* Program seperti Skim Latihan 1Malaysia, Graduate Employability Management Scheme dan Program Peneraju Skil akan diperluas untuk menambah bilangan penerima manfaat bagi mengatasi masalah kebolehpasaran.

* Agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Awam dan MARA akan memperluas Program Pendidikan Lepasan Ijazah terutama dalam bidang-bidang kritikal dan berteknologi tinggi.

* Program Peneraju Profesional diperluas bagi melahirkan lebih ramai golongan profesional Bumiputera yang mendapat pengiktirafan sebagai tenaga kerja profesional dan bertauliah terutama dalam bidang kritikal seperti akauntan, doktor pakar, arkitek, jurutera dan ahli sains aktuari.

* Skim Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) akan dilancarkan oleh Permodalan Nasional Berhad dengan suntikan 10 bilion unit saham.

* Ekuinas mengambil alih peranan sebagai peneraju program Skim Jejak Jaya Bumiputera bagi membimbing syarikat Bumiputera di senarai di Bursa Malaysia.

* Yayasan Wakaf Malaysia akan diperkemas untuk ditukar taraf menjadi entiti Wakaf korporat bagi mengoptimumkan nilai aset bukan kewangan seperti hartanah.

* Pelaburan Hartanah Bhd, Majlis Amanah Rakyat dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad akan diperkukuh bagi membangun atau memperoleh hartanah komersil dan industri, terutama di lokasi strategik di seluruh negara.

* Kerajaan melalui Syarikat Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) serta Syarikat Perumahan Negara Bhd dengan kerjasama Kerajaan Negeri akan memperbanyak pembinaan rumah mampu milik kepada Bumiputera di seluruh negara.

* UDA Corporation akan diperkukuh untuk membantu membangun hartanah termasuk rumah kediaman, kompleks dan ruang perniagaan, bangunan industri dan perdagangan di kawasan bandar.

* GLC dan GLIC terlibat dalam perniagaan hartanah diarahkan untuk memberi penekanan kepada pembangunan hartanah Bumiputera terutama perumahan, rumah kedai dan premis komersial.

* Peranan agensi pembangunan usahawan Bumiputera seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN Nasional, MARA dan PUNB akan diperkukuh.

* Tambahan pembiayaan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia sebanyak RM300 juta untuk tempoh lima tahun.

* Bilangan sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia disasarkan meningkat kepada 500,00 daripada 350,000 orang pada 2015.

* Dana tambahan sejumlah RM700 juta diberi kepada TEKUN Nasional.

* Bilangan usahawan TEKUN Nasional disasarkan meningkat kepada 370,000 tahun 2015 daripada 270,000 sekarang.

* Semua Kementerian dan GLC diarahkan untuk mengukuhkan sistem pembangunan vendor Bumiputera. Pemilihan vendor juga berasaskan meritokrasi dalam kalangan
Bumiputera supaya mereka berdaya maju dan mampan.

* Jangka masa kontrak dan konsesi vendor disesuaikan dengan tempoh bayaran balik pinjaman bank.

* Lonjakkan program Pembangunan Vendor (VDP) oleh Petronas bagi mengukuh rantaian bekalan sektor minyak dan gas, Tenaga Nasional dalam sektor tenaga, Telekom Malaysia dan AXIATA dalam sektor komunikasi, UEM dalam sektor pembinaan serta Sime Darby dan Felda Global Ventures untuk sektor perladangan.

* Ketua Pegawai Eksekutif di GLC akan menetapkan sasaran ke atas penyertaan Bumiputera termasuk perolehan yang diluluskan kepada vendor. Ini wajib dimasukkan sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada Ketua Pegawai Eksekutif syarikat.

* Bagi menangani isu rantaian perbekalan, kerajaan melalui GLC dan GLIC akan membangunkan sekumpulan usahawan Bumiputera yang melibatkan diri dalam aktiviti berkaitan pembuatan dan perindustrian. GLC dan GLIC akan mewujudkan beberapa konsortium syarikat Bumiputera dalam sektor-sektor yang terlibat.

* Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) akan mengenal pasti perkhidmatan Kerajaan yang berdaya maju untuk diswastakan kepada Bumiputera.

* Dasar ‘Carve-out’ akan diperluaskan kepada projek-projek besar lain dalam kementerian serta GLC dan GLIC. Empat projek yang dikenal pasti untuk menyertai program ini ialah Projek Menara Warisan Merdeka, Bukit Bintang City Centre, MATRADE Exhibition Centre dan Program Pembangunan Institut Penyelidikan Getah Sungai Buloh.

* Skim Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera (SUPERB) diperkenal untuk membantu syarikat permulaan dengan peruntukan dana sebanyak RM100 juta dalam tempoh tiga tahun. SUPERB akan menyediakan kemudahan geran sehingga RM500,000 ribu ringgit kepada entrepreneur baharu yang kreatif dan inovatif dalam bidang-bidang strategik yang mempunyai potensi masa hadapan yang besar.

* Unit Pembangunan Bumiputera (UPB) akan diwujudkan di semua kementerian dan bertanggungjawab merangka cadangan dan melaksana inisiatif Agenda Bumiputera.

* Peningkatan pengambilan pelajar Universiti Teknologi MARA ini kepada 250,000 menjelang tahun 2020 termasuk penubuhan beberapa lagi kampus baharu di seluruh negara.

* Penubuhan Dana Pendidikan MARA yang berjumlah RM1 bilion ringgit bagi membiayai keperluan program latihan, pendidikan, keusahawanan, penyelidikan dan pembangunan serta inovasi. Dana ini berbentuk ‘Matching Fund’ nisbah satu kepada satu antara MARA dan Kerajaan disalurkan secara berperingkat.

* TERAJU diletakkan langsung di bawah Perdana Menteri, dengan diketuai Menteri atau Pegawai Eksekutif bertaraf Menteri

* Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Skim Permulaan Entrepreneur Baharu Bumiputera (SUPERB) akan diletakkan di bawah seliaan TERAJU.

mKini

Najib Silalah Jawab Dengan Tenang Jangan Gabra!


Najib mesti jawab mengenai pendedahan Tan Sri Ani Arope

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak harus menjawab pendedahan yang dibuat oleh mantan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Ani Arope bahawa Unit Perancangan Ekonomi (EPU) bertanggungjawab terhadap skandal subsidi minyak yang menyebabkan rakyat Malaysia menanggung kos berjumlah RM131.3 bilion pada tahun 2010.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Ani yang memilih untuk melepaskan jawatan beliau daripada menandatangani perjanjian berat sebelah, yang melihat penciptaan generasi pertama IPP, seperti YTL Power Services, Powertek dan Malakoff semasa pentadbiran Mahathir.

Katanya, EPU telah memaksa Tenaga untuk membeli kuasa daripada pengeluar bebas elektrik (independent power producer –IPP), yakni Genting Sanyen, sebanyak 14sen/kWh walaupun terdapat penawaran sebanyak 12sen/kWh; dan IPP mengenakan bayaran sebanyak 16 sen/kWh.

Tambahnya, Ani dalam pada itu, turut menggelar EPU sebagai ‘Economic Plundering Unit’ dengan menaikkan tarif elektrik sewenangnya, menyatakan bahawa agensi janakuasa tersebut telah memaksa syarikat janakuasa nasional untuk menandatangani perjanjian pembelian berat sebelah hampir 20 tahun yang lalu di mana Tenaga mesti membeli tenaga yang tidak diperlukan.

“Hal ini menyebabkan Malaysia mengalami margin simpanan elektrik yang tertinggi di dunia iaitu 52.6% pada tahun 2010,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, sehingga akhir tahun 2010, Petronas telah menjengkalkan subsidi gas asli terhadap sektor janakuasa dan sektor bukan janakuasa sebanyak RM131.3 bilion.

Beliau berkata, sekiranya harga gas asli tidak berubah (dalam sektor janakuasa pada RM10.70/MMBTU; sektor bukan janakuasa pada RM15.35/MMBTU), sejumlah RM27 billion terpaksa ditanggung pada 2011.

Tambahnya lagi, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah dibenarkan untuk menaikkan 7% kenaikan kerana Tenaga perlu membayar lebih untuk harga gas asli yang naik sebanyak RM3 se MMBTU, di mana ianya akan mengurangkan kos subsidi kepada RM25.64 bilion daripada RM27.22 bilion.

“Jelas sekali, tiada justifikasi untuk Putrajaya menaikkan tarif elektrik sebanyak 7% apabila kajian semula syarat asal IPP adalah memadai daripada pemotongan nilai subsidi tersebut,” katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Katanya lagi, ‘Federation of Malaysian Manufacturers’ (FMM) telah menyatakan bahawa harga dalam sektor janakuasa Malaysia belum menjadi lebih kompetitif, walaupun bayaran untuk gas asli adalah lebih murah (RM13.70/mmBtu) berbanding Thailand (RM18.23), Singapura (RM43.32) dan Indonesia (RM21.04). Kos elektrik di Malaysia berikutan kenaikan kadar adalah menghampiri kadar di Thailand.

“Sekiranya kita membandingkan kadar tenaga elektrik di Thailand yang berkategori tenaga bervoltan rendah, sederhana dan tinggi, kadar tarif Malaysia antara kategori tersebut adalah lebih tinggi,” katanya.

Justeru, ujarnya Perdana Menteri harus menjawab kepada rakyat Malaysia kenapa rakyat harus ‘membayar’ bagi kesilapan atau perjanjian yang tidak seimbang oleh EPU yang bertentangan dengan kepentingan nasional kerana ia hanya menguntungkan beberapa IPP dengan mengorbankan kepentingan 27 juta rakyat Malaysia.

Hd

Tarif Elektrik Pulak Naik


Selepas beberapa harga barang keperluan rakyat naik

Kenaikan tarif mungkin tidak memberi manfaat sepenuhnya kepada Tenaga Nasional Bhd memandangkan kemungkinan peningkatan harga gas asli, yang kini ditetapkan pada RM10.70/mmbtu atau harga arang batu, yang akan mengimbanginya.

“Kami menganggarkan bahawa kenaikan satu peratus mata dalam tarif, akan menaikkan pendapatan 2012 Tenaga sebanyak lapan peratus. Namun ia boleh diimbangi sepenuhnya oleh peningkatan enam peratus harga gas asli tetap,” kata sebuah firma penyelidikan.

Ia berkata satu lagi faktor ialah kemungkinan peningkatan kos arang batu, yang menyumbang 48 peratus daripada perbelanjaan bahan api dalam tahun kewangan 2010.

Ia berkata demikian dalam laporan syarikat sebagai respons kepada berita bahawa Kabinet sudah bersrtuju secara dasarnya untuk menyemak semula tarif elektrik.

Harga arang batu Newcastle meningkat kepada US$109 satu tan pada masa ini daripada US$85 tan (US$=RM3.61) yang digabungkan dalam struktur tarif Tenaga yang sedia ada.

“Kami menganggarkan bahawa peningkatan lima peratus harga arang batu melepasi andaian unjuran tahun kewangan 2012 sebanyak US$100 satu tan, akan mengimbangi peningkatan satu mata peratus dalam tarif elektrik,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata menerusi loji regasifikasi gas asli cecair Melaka dibangunkan pada kadar segera menjelang pertengahan 2012, rejim baharu tarif gas elektrik diperlukan.

“Pada pandangan kami, halangan utama terhadap pelaksanaan semakan tarif itu kini mendapat perhatian politik memandangkan kerajaan dilihat sedang menyiapkan diri untuk pilihan raya tahun depan,” katanya.

Mengenai surat persefahaman antara Tenaga dan National Trading Company (NATCO) untuk bekerjasama dalam aktiviti khusus dalam industri tenaga di Yemen, firma penyelidikan itu berkata: “Jika perkara itu menjadi kenyataan, Tenaga dijangka memulakan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan di Yemen.

“Kami neutral dalam projek ini, yang tidak mungkin menjana sumbangan ketara terhadap kumpulan dalam tempoh sederhana.”

Firma penyelidikan itu mengulangi saranan “simpan” ke atas saham Tenaga dengan nilai adil RM9.00.

B0lehkah percaya cakap Najib?

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebarang kenaikan kadar tarif elektrik akan mengambil kira kos dan beban yang terpaksa ditanggung oleh pengguna.

Perdana Menteri berkata, walaupun secara prinsipnya kerajaan bersetuju supaya kadar tarif elektrik itu disemak, ia tidak semestinya dibuat dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengkaji daripada pelbagai sudut sebelum kabinet membuat sebarang keputusan berhubung perkara tersebut.

“Tidak boleh…kerajaan (apabila) kita kata (secara) prinsip (kaji tarif elektrik), kita akan kuatkuasa serta-merta…tidak,” katanya.

Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani ikrar memerangi rasuah oleh masyarakat peniaga di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui hari ini berkata, bahawa semakan tarif kadar elektrik ditangguhkan pada masa ini.

Bagaimanapun kerajaan akan mengkaji semula kadar itu apabila keadaan lebih kondusif.

Peter Chin berkata, kerajaan pada prinsipnya, bersetuju bahawa semakan tarif adalah perlu kerana kosnya telah meningkat dan harga bahan api telah meningkat.

bernama

%d bloggers like this: