Tag Archives: sihir

Abby Abadi ‘Terkena’ Sihir Pulak ?


Benarkah Abby jadi mangsa perbuatan khianat ?

PETALING JAYA: Pelakon Abby Abadi mendakwa ada pihak cuba menutup periuk nasinya dengan menghantar sihir sehingga menyebabkan badan-badannya menjadi sakit.

Selain itu kata Abby, perutnya juga sakit sehingga tidak mampu berjalan, sukar untuk tidur dan sakit pinggang yang teruk ketika sedang sibuk dengan penggambaran drama dan rakaman single lagu barunya, Aku Tak Mahu.

“Sebelum mendapat tahu terkena buatan orang, saya telah ke hospital sebanyak dua kali pada November lalu untuk mengesan penyakit saya itu tetapi doktor berkata saya tidak mempunyai sebarang masalah.

“Kemudian, barulah saya membuat rawatan secara tradisional pula dengan pelakon Ashraf Muslim. Memang waktu itu keadaan tubuh badan begitu teruk tetapi saya tetap gagahkan diri kerana mempunyai komitmen dengan penggambaran drama Pelangi Kasihdan Mulanya Di Sini,” katanya yang dihubungi mStar Online di sini, Rabu.

Tambah Abby, semasa mendapatkan rawatan secara alternatif itu, dia diberitahu terkena buatan orang oleh pihak-pihak yang iri hati dengannya.

Dia tidak menyangka ada orang yang berniat jahat terhadapnya sedangkan dia tidak pernah pun cuba untuk menyakiti hati orang lain.

Bagaimanapun, ibu tunggal beranak tiga ini berkata, dia bersyukur kerana penyakit misterinya itu beransur pulih dan masih lagi mengamalkan perubatan tradisional itu.

“Alhamdulillah, saya beransur pulih. Bagaimanapun, benda sihir ini akan datang balik jika kita tidak berjaga-jaga.

“Saya pun tak tahu siapa yang sanggup melakukan perkara buruk ini. Biarlah pihak yang mengenakan saya itu mendapat balasan daripada Allah di atas perbuatannya itu,” ujar Abby.

Terkilan dengan Zul

Sementara itu, mengenai hubungannya dengan bekas kekasih, Zul Ariffin, Abby mengakui mereka tidak lagi kerap berhubung seperti dahulu.

Cuma Abby sedikit terkilan apabila pelakon itu telah membuat kenyataan kepada sebuah portal pada Rabu yang dia tidak lagi memikirkan tentang dirinya. Namun Abby tidak pasti adakah Zul benar-benar bermaksud sedemikian ataupun tidak.

Ujar Abby, sukar untuk dia mengulas berkenaan dengan kenyataan pelakon lelaki yang semakin meningkat naik itu apabila terdapat dua komen yang berbeza yang dinyatakan Zul sebelum ini.

“Entahlah, saya pun tak tahu nak cakap apa sebab dia memberikan kenyataan yang berbeza. Pada mulanya, dia cakap, masih lagi sayang dan mengingati saya dan sekarang, lain pula ceritanya.

“Bagaimanapun, saya tak dapat nafikan bahawa perasaan sedikit terkilan itu ada,” tuturnya.

Dalam pada itu, Abby dan Zul masih lagi berhubung kerana terdapat urusan yang masih lagi belum selesai di antara mereka.

“Memang ada beberapa perkara yang saya tidak boleh jelaskan di sini yang masih belum selesai di antara kami.

“Apa-apa pun, hidup mesti diteruskan bukan? Alhamdulillah walaupun dilanda pelbagai masalah, saya masih lagi menerima tawaran lakonan dan mengacara. Malah tahun ini saya buat ‘comeback’ dengan muncul lagu Aku Tak Mahu, ciptaan Edry Abdul Halim,” katanya.

oleh FERIDE HIKMET ATAK mStar

Gempar: Rozita Che Wan Kena Sihir?


Rozita minta orang ramai dan peminatnya jangan buat andaian

“Saya tak pernah terfikir sampai ke situ,” kata pelakon terkenal, Rozita Che Wan, 37, yang menyangkal dakwaan dia terkena sihir atau penyakit misteri sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital dua kali sepanjang bulan lalu.

Sehubungan itu, ibu tunggal kepada dua anak itu meminta orang ramai terutama peminatnya tidak membuat sebarang andaian buruk terhadap status kesihatannya dan menjelaskan dia kini sudah pulih. Menurutnya, pada awal Jun lalu, dia dimasukkan ke Pusat Perubatan Sime Darby Subang Jaya, Selangor kerana mengalami kecederaan pada kaki kanan akibat terjatuh dari tangga rumahnya sehingga menyebabkan ligamen kakinya terkoyak.
Rozita berkata, ketika kejadian kira-kira jam 9 malam itu, dia baru saja pulang daripada penggambaran episod terakhir drama bersiri Anissa yang kini bersiaran menerusi slot Samarinda di TV3.

“Pada awalnya saya sangka hanya sakit biasa, tetapi ketika hendak tidur kaki saya semakin sakit dan segera menghubungi abang saya meminta dia menghantar ke hospital.
“Ketika hendak mendapatkan rawatan, kaki saya terlalu sakit dan tidak boleh berjalan. Saya terpaksa didukung abang untuk ke kereta sebelum dibawa ke hospital,” katanya ketika ditemui pada Pertunjukan Peragaan Fesyen Garden Of Bliss oleh butik Klasique dan My Couture di sebuah hotel di sini, kelmarin.
Menurutnya, selepas pemeriksaan x-ray dilakukan, doktor mendapati ligamen kakinya terkoyak dan dia diberi rehat seminggu serta terpaksa bercuti daripada sebarang penggambaran.

“Doktor kata ia tidak teruk, tapi saya perlu kurangkan berjalan dan tidak boleh bekerja sehinggalah saya betul-betul sembuh,” katanya.
Rozita berkata, selepas kecederaan kakinya pulih, pada pertengahan Jun lalu dia sekali lagi terpaksa dirawat ke hospital. “Saya berasa sakit kepala dan sekali lagi mendapatkan rawatan di hospital sama. Selepas pemeriksaan, doktor memberitahu saya menghidap demam kuning dan terpaksa dimasukkan ke wad selama lima hari,” katanya. Ketika ditanya mengapa dia tidak mahu menerima pelawat sepanjang dirawat di hospital, Rozita berkata, dia hanya mengikut nasihat doktor yang mahukannya berehat sepenuhnya. “Bukan semua orang tak boleh melawat saya di hospital kerana ahli keluarga terdekat dibenarkan berbuat demikian. Hakikatnya, saya sakit biasa saja dan menerima rawatan seperti orang lain di hospital, selain mengikut nasihat doktor supaya tidak melakukan sebarang kerja.

“Jika doktor tidak tahu punca penyakit saya memang saya takut juga kerana mungkin ada sebab lain, namun apabila doktor beritahu saya menghidap demam kuning, saya yakin tiada apa yang perlu dibimbangkan. Malah, kini saya sudah sihat dan boleh kembali bekerja,” katanya.
Rozita yang menerajui butik My Couture bersama rakan kongsinya, Hanim Sahrom kini meluaskan empayar perniagaannya apabila membekalkan busana untuk wanita sopan rekaan mereka kepada butik Klasique di bandar raya ini.
Pelakon jelita itu turut menafikan andaian sesetengah pihak kononnya dia menceburi bidang perniagaan sebagai persediaan untuk bersara daripada arena seni.
“Saya memang minat berniaga sejak dulu lagi, malah saya juga merancang membuka sebuah butik tahun depan. Pada masa sama, saya masih aktif berlakon,” katanya.
Rozita berkata, rezekinya dalam lakonan tidak putus-putus apabila baru saja selesai membintangi telefilem, Kiah Raya Solo di Perlis dan kini memulakan penggambaran drama bersiri 13 episod, Biarlah Rahsia.

mmtr

%d bloggers like this: