Tag Archives: Shahidan Kassim

Shahidan: Perbincangan Pakatan-BN Perlu Dengan Niat “baik sangka”


shahidankassim

Perbincangan perpaduan antara pembangkang Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) perlu dimulakan dengan sangka baik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim (gambar).

Shahidan yang juga menteri bertanggungjawab terhadap Parlimen berkata PR boleh membawa usul berkenaan ke Parlimen sekiranya mereka ikhlas dengan perkara itu.

“Ini masa terbaik pembangkang bawa ke Parlimen, kita kerajaan yang tekanan perpaduan.

“Perpaduan mesti diasaskan dengan baik sangka, kita mesti baik sangka sebelum kita bercakap baik, kalau buruk sangka macam mana kita nak wujudkan perpaduan,” katanya, dan menambah “seburuk-buruk manusia ada kebaikannya, sebaik-baik manusia ada keburukannya.”

Jelas ahli Parlimen Arau itu lagi, pemimpin politik kedua-dua parti bagaimanapun sering mengadakan perbincangan tidak rasmi sesama mereka ketika berada di Parlimen.

“Yang rasmi kita akan bawa ke Parlimen, mereka boleh bawa usul, tetapi di Parlimen ini PR dan BN boleh duduk berbincang secara tak rasmi.

“Dan kita boleh hasilkan sesuatu yang baik,” katanya.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Umno termasuk berdialog bagi membincangkan pelbagai isu jika parti itu dipelawa.

PAS katanya boleh berbincang mengenai apa sahaja isu dan sejarah membuktikan pemimpin-pemimpin PAS dan Umno boleh bersama di atas satu pentas.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Presiden PAS Allahyarham Datuk Fadzil Noor pernah bersama dalam satu forum suatu ketika dahulu.

“Dasar kita boleh berbincang apa sahaja isu seperti jenayah, rasuah dan ekonomi. Kalau kita diajak kita boleh pergi, kita boleh bincang,” katanya. – 23 September, 2013.

MOHD FARHAN DARWIS tmi

Shahidan Masih Gedebe Perlis


Saya terpaksa berkeras tegak kebenaran: Shahidan Kassim

GUA MUSANG, 10 Jan — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjanji akan menyelesaikan kemelut yang melanda kepimpinan Umno Perlis yang diterajui Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata perkara itu diberitahu sendiri Perdana Menteri semasa beliau menemuinya beberapa hari lepas bagi menyatakan pendiriannya berhubung kemelut yang berlaku itu.

Katanya, bagi beliau tetap berkeras tidak boleh bekerjasama dengan Md Isa walaupun beliau dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkenaan sejak akhir Disember lepas.

“Soal pelantikan saya sebagai timbalan, Md Isa tidak timbul, tetapi yang saya pertikaikan masalah dalaman Umno negeri berkenaan berlarutan sejak selepas pilihan raya umum 2008 lagi sampai sekarang tidak boleh diselesaikan,”

katanya.

Beliau, yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada 50 keluarga mangsa kebakaran dua hari lalu, di Pusat Sivik Gua Musang semalam.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas kedudukannya selepas mengeluarkan kenyataan baru-baru ini yang mempertikaikan Md Isa dikekalkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis.

Dalam kenyataan itu, beliau berpendapat keputusan mengekalkan Md Isa mengetuai Umno negeri itu mempunyai kaitan dengan campur tangan pihak tertentu yang perlu diperbetulkan semula.

Shahidan berkata beliau menemui Perdana Menteri bersama Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor dan mereka menyuarakan persetujuan untuk meneliti balik perkara berkenaan bagi menegakkan kebenaran.

“Saya sudah lama bertolak ansur dan mengalah dalam banyak perkara, kali ini saya terpaksa berkeras bagi menegakkan kebenaran. Tegasan saya ini juga bukan keras kepala kerana mahu lihat ada perubahan.

“Nampaknya saya selama ini berada di pihak yang kalah sepanjang masa dan saya rasa sudah sampai masanya menuntut kepastian ke arah ‘menang-menang’ sebagai pemimpin Umno di Perlis,” katanya.

Katanya, beliau sedia bekerjasama jika kemelut itu dapat diselesaikan berdasarkan persetujuan perdana menteri nanti.

Bernama

Shahidan Kasim Anggap Md Isa “Penyamun”


pix_gal0

Shahidan anggap Md Isa ‘perampas ‘ jawatan beliau

KANGAR: Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang dilantik Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, semalam berpendapat keputusan mengekalkan Datuk Seri Dr Md Isa Sabu mengetuai UMNO negeri itu mempunyai kaitan dengan campur tangan pihak tertentu.

Beliau yang mengisi jawatan menggantikan Ketua UMNO Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin turut mempersoalkan sejauh mana Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dijadikan penanda aras oleh pucuk kepimpinan UMNO terhadap pencapaian seseorang pemimpin, terutama di negeri itu.

Shahidan juga menyatakan sukar baginya untuk bekerjasama dengan Md Isa yang dianggap sebagai ‘perampas’ jawatannya sebelum ini.

“Pada saya, Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis kini tidak menepati KPI berkenaan. Mungkin keputusan mengekalkannya itu dibuat atas dasar campur tangan baik oleh ahli parti atau mereka dari luar atau mungkin juga campur tangan veteran UMNO.

“Jika tanya pasal gandingan, bagi saya itu suatu yang mustahil terutama untuk bekerjasama dengan individu yang saya lihat sebagai ‘menyamun’ jawatan saya sebelum ini,” katanya ketika diminta mengulas rombakan kepemimpinan UMNO negeri yang mengekalkan Md Isa sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis.

Sebelum ini timbul desas-desus mengatakan ada wakil rakyat di Perlis tampil melobi Perdana Menteri untuk jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri.
Bagaimanapun, Setiausaha UMNO negeri, Datuk Mat Rawi Kassim menafikannya, sekali gus menganggapnya sebagai khabar angin semata-mata yang diwujudkan pihak tertentu berasaskan kepentingan peribadi.

Sementara itu, Md Isa yang juga Menteri Besar Perlis, mengalu-alukan keputusan berkenaan yang disifatkannya sebagai gandingan terbaik UMNO Perlis dalam usaha menjana kemenangan parti dalam pilihan raya umum akan datang.

“Gandingan itu pada saya amat elok sekali. Mungkin akan ada perbezaan pendapat antara kami, tetapi keputusan itu dianggap tepat untuk mengelakkan perpecahan dalam parti.

“Justeru, saya harap semua pemimpin baik di peringkat cawangan, bahagian dan sayap dapat bekerjasama dengan mantap selepas ini demi mengukuhkan perpaduan sesama ahli, sekali gus memastikan kemenangan parti,” katanya.

brm

%d bloggers like this: