Tag Archives: salim parlan

Salim Parlan dan Diayana Kena Denda $3,000.00


Khalwat: Salim,Diayana didenda RM3,000

GEORGE TOWN – Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan dan bekas pembantu peribadinya, Nur Diayana Norslan dikenakan denda RM3,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam setelah mengaku bersalah berkhalwat di sebuah hotel di Batu Feringghi di sini April tahun lalu.

Hakim Syarie, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahaya menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh dan pasangannya yang berusia 30 tahun selepas mengambil kira pelbagai faktor.

Dalam penghakimannya, Nik Bukhari berkata, mahkamah berpuas hati dengan pengakuan secara sukarela yang dibuat kedua-dua tertuduh, namun perlu juga menitikberatkan masa dan kos yang dibazirkan sepanjang tempoh pertuduhan dijalankan.

“Kedua-dua tertuduh merupakan penjawat awam. Salim yang memegang jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam perlu menunjukkan teladan yang baik dan bukannya mencemar imej jabatan masing-masing.

“Sehubungan itu, mahkamah memutuskan untuk memberi hukuman setimpal yang boleh memberi pengajaran kepada masyarakat luar agar tidak melakukan perkara yang sama dengan masing-masing dikenakan hukuman denda RM3,000 atau lima bulan penjara sekiranya gagal membayar denda,” katanya.

oleh nurhasliza nusi

Salim Parlan Mengaku Berkhalwat


Salim Parlan dan Nur Diayana Norslan mengaku bersalah

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan dan bekas pembantu peribadinya, Nur Diayana Norslan semalam mengaku bersalah kerana berkhalwat di sebuah hotel di Batu Feringghi di sini, April lalu.

Pengakuan itu dibuat Salim, 51, dan Nur Diayana, 30, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah negeri, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahaya sebaik sahaja pertuduhan dibacakan semula terhadap mereka.

Ketika dihadapkan ke mahkamah sama pada 19 April lalu, kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Salim yang memakai kemeja putih dan berseluar hitam dilihat gelisah manakala Nur Diayana yang memakai jubah hijau menangis teresak-esak selepas membuat pengakuan tersebut di kandang tertuduh.

Nik Bukhari Hashimy bagaimanapun menetapkan 19 Disember depan untuk menjatuhkan hukuman terhadap mereka berdua yang tidak diwakili peguam.

Salim dan Nur Diayana yang bukan mahram didakwa berada bersama-sama dalam keadaan yang menimbulkan syak kira-kira pukul 5 pagi pada 16 April lalu di bilik bernombor 224 sebuah hotel di Batu Feringghi.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu didakwa mengikut Seksyen 27(a) Enakmen Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 manakala Nur Diayana pula di bawah Seksyen 27(b) enakmen sama.

Jika sabit kesalahan, setiap tertuduh boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

kosmo

Khalwat KSU Belia &Sukan (prosiding)


Mahkamah gantung prosiding kes khalwat

GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang menggantung prosiding Mahkamah Rendah Syariah yang sepatutnya bermula semalam, bagi perbicaraan kes khalwat Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan, dengan seorang wanita di sebuah hotel di Batu Feringgi, April lalu.

Hakim Syarie Mohammad Zamri Roslan membuat keputusan itu bagi membolehkan menunggu keputusan semakan yang difailkan oleh peguam Salim, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, pada 21 Jun lalu.

“Saya berpendapat mahkamah ini perlu memberi peluang kepada kedua-dua pihak termasuk Ketua Pendakwa Syarie, Mohd Zulkhairi Aziz untuk memperdengarkan hujah masing-masing sebelum keputusan dibuat sama ada membenarkan semakan ini atau tidak.

“Demi keadilan semua pihak, saya menggantung sementara semua prosiding di Mahkamah Rendah Syariah bagi menunggu keputusan semakan di mahkamah ini,” katanya.

Mohammad Zamri dalam keputusannya itu menetapkan 15 September depan untuk membolehkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan untuk menentukan sama ada keputusan yang dibuat mahkamah rendah itu betul atau tidak mengikut undang-undang.

Terdahulu semakan itu difailkan oleh Salim yang tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahaya yang membenarkan perbicaraan kes itu diteruskan walaupun beliau mempunyai satu lagi kes di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Salim mempunyai kes membabitkan kebenaran berpoligami dan pengesahan perkahwinannya yang dilakukan di selatan Thailand yang akan didengar pada 2 Ogos ini.
Dalam prosiding semalam, Salim yang berkemeja kelabu ditemani isterinya manakala Nur Diayana Norslan, 29, memakai baju kurung gelap yang juga bekas pembantu peribadi kepada Salim dilihat hanya mendiamkan diri.

Bernama

%d bloggers like this: