Tag Archives: Rozita Che Wan

Kecoh Gambar Rozita Che Wan Pakai ‘Skirt Pendek’ Pulak ?


‘Cuma ikut tema’

KUALA LUMPUR: “Saya mohon maaf jika ada yang tersinggung dengan cara pemakaian saya. Saya hanya mengikut tema pada majlis berkenaan dan tidak berniat ‘mengganggu’ sesiapa,” kata aktres jelita, Rozita Che Wan mengulas tindakannya memakai skirt pendek paras lutut ketika menghadiri majlis hari jadi seorang pelakon di restoran The Ship, Bukit Bintang, baru-baru ini.

Pemakaian skirt yang dikatakan seksi hingga menampakkan paha pelakon ini turut diperdebatkan di beberapa ruangan hiburan media cetak dan laman blog hiburan.
Malah, beberapa keping gambar yang dipaparkan di laman blog itu turut mencetuskan reaksi kurang senang peminatnya.

Sebelum ini, beberapa keping gambarnya berpakaian seksi yang turut menampakkan paha pernah tersebar di Internet. Antaranya, ketika menyaksikan Konsert Akhir Akademi Fantasia Kelapan (AF8).

.
Menurut Rozita, bukan dia seorang berpakaian ‘seksi’ pada malam itu. Katanya, dia hanya mengikut tema K-Pop diberikan penganjur majlis, malah semua tetamu dan beberapa pelakon lain, sama ada lelaki dan wanita, turut hadir dengan tema sama.
“Saya hanya mengikut trend dan tema diberikan. Janggal pula jika saya hadir di majlis itu dengan berpakaian berbaju kurung. Lagipun, ia majlis hari jadi, bukan kenduri kahwin.

“Yang peliknya, kenapa mesti saya yang menjadi sasaran pada hal ramai lagi yang berpakaian sama?” katanya.
“Memang sukar mahu puaskan hati semua orang. Lagipun, ia hak masing-masing. Saya juga tidak kisah dengan komen dan penerimaan mereka yang tidak puas hati dengan saya,” katanya.

Rozita berkata, dia “tidak pernah bermusuh dengan sesiapa tetapi kenapa ada yang mahu bermusuh dan tidak boleh melihatnya senang.
“Saya terima dengan hati terbuka jika mereka mahu memberi nasihat. Namun bila menggelar saya tidak sedar diri, tidak takut tuhan, perasan remaja, ia bukan lagi nasihat.

.
“Tidak ada yang sempurna di muka bumi ini. Lebih baik jaga hal sendiri dan cermin diri dulu sebelum mahu menghukum orang lain. Cukup-cukuplah mengaibkan orang lain. Lagipun, pakaian saya itu bukan untuk disebarkan di Internet,” katanya.
Ibu kepada dua anak, Ammar Effendy, 14, dan Aniq Ezzra, 12, ini turut berharap perkara itu tidak diperbesarkan atau disensasikan.

oleh FIRDAUS SAHAT

Buat Apa Rozita Che Wan Ajak Zain ke Genting ?


Makan angin ke kat genting tu ?

JIKA dulu Rozita Che Wan lebih bersikap terbuka dan mengaku mempunyai hubungan cinta dengan penyanyi Akademi Fantasi (AF8), Shahir, dan akhirnya hubungan tersebut terputus begitu sahaja, kini pelakon Kiah Pekasam itu mengambil jalan selamat untuk tidak terlalu berkongsi mengenai kisah peribadinya. Terkini, ramai yang sudah menghidu mengenai bibit percintaan di antara Rozita bersama adik kepada Shasha Elite iaitu Zain Saidin sehinggakan Zain sanggup menemani Rozita dan anak-anaknya iaitu Ammar Effendy, 15, dan Aniq Ezzra, 12, ke Genting Highlands, Pahang pada hari Selasa lalu sempena musim cuti persekolahan anak-anak Rozita.

Malah, khabar yang sampai ke telinga Kosmo! mengatakan Zain sanggup mengenepikan semua urusan pada hari itu semata-mata untuk menunaikan kehendak Rozita yang ingin pelakon drama Gemersik Kalbu itu mengikutinya bersama anak-anak bercuti ke Genting Highlands.

Zain berkongsi cerita mengenai percutian bersama Rozita dan anak-anaknya Genting Highlands baru-baru ini.

Kosmo!: Dengar cerita awak bercuti bersama Rozita Che Wan ke Genting Highlands baru-baru ini?

Zain: Ya. Saya ada pergi bercuti dengan dia dan anak-anaknya ke Genting Highlands. Dia minta saya untuk temankan dia dan anak-anaknya ke sana. Dia juga minta saya memandu kenderaan miliknya, dan saya menerima pelawaan dia.

Kenapa dia minta anda menemani dan memandu ke Genting Highlands? Bercuti bersama anak-anak dia pula. Sememangnya kelihatan anda begitu istimewa di hati Rozita. Komen anda?

Saya dan dia memang berkawan rapat. Semuanya bermula selepas kami berlakon bersama dalam drama Kiah Pekasam. Saya juga rapat dengan anak-anak dia dan boleh bergurau senda dengan mereka. Tapi, hubungan kami sekadar teman rapat sahaja.

Berapa lama anda berdua bercuti ke Genting? Dan adakah destinasi percutian lain yang anda berdua pergi?

Kami pergi ke Genting sehari sahaja. Balik hari. Kami hanya pergi ke Genting sahaja dan kami tidak ada pergi ke tempat percutian lain.

Adakah anda memang menyukai wanita yang lebih berusia?

Saya berkawan dengan sesiapa sahaja. Tak kira muda atau tua. Sememangnya saya senang berkawan dengan sesiapa sahaja termasuk Rozita.

Kalau sudah ditakdirkan jodoh anda bersama Rozita bagaimana?

Kalau sudah jodoh saya dengan dia, secara automatik saya terima.

Beralih cerita mengenai diri anda. Apa yang sedang anda lakukan sekarang?

Saya sekarang tengah sibuk penggambaran drama 13 episod untuk RTM iaitu Bermulanya Di Sini. Dalam drama itu saya digandingkan bersama Miera Liana. Selain itu, ada juga tawaran lain tetapi masih belum ada perjanjian hitam dan putih. Drama lakonan saya Gemersik Kalbu juga kini sedang ditayangkan di slot Akasia TV3 pukul 7 petang setiap hari Isnin hingga Khamis.

Selain berlakon apa lagi perkara yang anda lakukan? Menyanyi atau mengacara?

Selain fokus berlakon saya juga sekarang sedang sibuk menghasilkan tiga single lagu rap yang bakal dikeluarkan tak lama lagi. Lagu rap yang dihasilkan sendiri oleh saya ini akan dikeluarkan serentak. Tiga tajuk lagu single itu adalah Transformasi, Cerita Cinta dan Niat Khalifah.

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

Zain Saidin Jatuh Hati Pada Rozita Che Wan


Kalau ada jodoh, apa salahnya

“SIAPA yang tidak mahu memiliki wanita secantik Rozita Che Wan. Sekalipun orang itu gila, mereka mesti jatuh hati padanya. Saya sendiri tidak menolak Rozita punyai ciri wanita yang lengkap. Cantik, sopan santun, pandai memasak dan pandai menjahit,” Luah Zain Saidin, 27, artis lelaki yang dikatakan kemaruk cinta wanita jelita yang menjadi siulan jejaka Malaya.

Bertemu Zain di satu majlis meraikan anak yatim di Subang Jaya, baru-baru ini Zain tidak langsung menyangkal dia suka melihat kecantikan dan sikap Rozita yang mudah mesra serta tidak sombong namun menafikan sedang hangat bercinta dengan ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu.

“Saya akui dia cantik dan berbakat. Perkenalan kami bermula ketika saya membintangi drama Kiah Pekasam Musim Pertama. Sebelum ini saya langsung tidak mengenali dirinya dan sehinggalah mula berlakon dalam drama itu.

“Saya juga diberitahu rakan seperti Azza Elite bahawa Rozita wanita jelita dan satu nama besar dalam dunia lakonan. Bohonglah jika saya kata dia tidak cantik dan dia memang ada ciri-ciri yang lelaki mahukan,” katanya.

Tutur kata anak muda ini dalam memperkatakan mengenai Rozita memang dirasakan jujur. Dia tidak berlapik atau berkias untuk membuat pengakuan bahawa dirinya juga memang terpikat dengan apa yang dimiliki oleh pelakon kelahiran Kedah itu.

Zain berkata, hubungan antara dia dan Rozita adalah hubungan sahabat yang akrab kerana dia begitu selesa dengan sikap yang ada pada pelakon berstatus ibu tunggal yang mempunyai dua anak itu.

“Saya tidak menganggap dia sebagai kakak dan menganggapnya seperti rakan artis lain juga. Apabila saya menganggapnya kakak, hubungan itu nampak kekok dan saya amat menghormati dirinya.

“Bagi saya, Rozita adalah wanita yang punyai ciri wanita moden tetapi masih menyelitkan ciri wanita desa,” kata adik kepada Shasha Saidin.

Dia juga juga memberitahu, Rozita disifatkan sebagai wanita yang suka mencabar diri dan bersemangat tinggi dalam melalui kehidupan sebagai pelakon.

“Dia mempunyai sikap suka mencabar diri dan melakukan perkara yang mencabar. Dia sanggup berlakon menjadi wanita berpenyakit dan sanggup berada dalam keadaan tidak cantik semata-mata mahu menjayakan watak yang diberikan,” katanya yang tidak menolak jika dijodohkan bersama wanita pujaan ramai itu.

Jika ada jodoh saya dengan dirinya, saya tidak menolaknya dan menerima. Soal penerimaan ibu dan ayah saya, semua itu boleh dibincangkan bersama.

“Saya juga kenal anak-anak Rozita kerana kadang kala dia ada membawa mereka bersama ketika menjalani penggambaran. Namun saya hanya keluar dengan Rozita ketika ada waktu rehat di set penggambaran. Itupun untuk minum-minum bersama dan kami tidak pernah keluar berdua di luar set,” katanya yang mengakui ada berkawan rapat dengan wanita lain tetapi masih mengenali hati budi masing-masing.

Beri tempoh tiga tahun

Ditanya sejauh mana kebenaran dakwaan kononnya dia mahu berhijrah ke Indonesia kerana kecewa disebabkan pelakon berdarah campuran sepertinya kurang diberi perhatian, Zain menjelaskan, dia bukan merajuk tetapi sekadar ingin mencuba peluang baru.

“Saya memberi tempoh pada diri sendiri untuk berjaya dalam bidang seni dalam masa tiga tahun. Kini saya sudah dua tahun membabitikan diri sebagai pelakon.

“Jadi bila masuk tahun ke tiga nanti tetapi saya masih di takuk ini, saya ingin mencuba nasib dan berhijrah ke Indonesia pula bagi mencari peluang di sana sekiranya industri seni di negara ini tidak menerima saya kerana watak yang ada untuk wajah seperti saya agak terhad,” jelasnya yang turut mahu menjejaki langkah rakan seperjuangannya, Asharf Sinclair.

Jejaka ini tidak menafikan walaupun wajahnya dilihat lebih layak menghiasi bidang peragawan, masih ada produser dan pengarah yang mahu memilihnya sebagai watak utama dalam drama mereka.

“Saya masih ditawarkan berlakon dan ada yang menawarkan watak utama. Saya tahu kebanyakan produser memilih jalan selamat dan tidak mahu mengambil risiko menawarkan watak utama kepada saya disebabkan wajah saya yang bukan kemelayuan.

“Tetapi saya mempunyai komunikasi yang baik dalam Bahasa Melayu kerana dibesarkan dan bersekolah dalam suasana Melayu,” katanya yang mahu peminat dan sesiapa sahaja menegurnya supaya berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia kerana dia lebih mencintai bahasa itu daripada berbahasa Inggeris.

Kata jejaka kacak ini, walaupun dia berdarah campur iaitu Melayu dan Inggeris tetapi dia bersekolah dan dibesarkan dalam kehidupan yang dikelilingi orang Melayu.

Zain yang pada mulanya langsung tidak meminati bidang lakonan berkata, bagi mempersiapkan diri menjadi artis yang serba boleh, dia berhasrat menghasilkan album mini tidak lama lagi yang menampilkan enam lagu ciptaannya sendiri.

Hip

p.s: kalu dah ‘tersangkut’ jangan tunggu lama sangat.

Pengakuan Terbaru Rozita Che Wan Bertemu Dengan Shahir


Rozita Che Wan mengakui bertemu dan berbincang dengan Shahir susulan keputusan penyanyi itu untuk bersara. – Foto oleh FAIHAN GHANI

Rozita akui pertemuan terbaru dengan Shahir

Pelakon Rozita Che Wan mengakui ada bertemu dengan penyanyi Ahmad Shahir Zawawi (Shahir AF8) beberapa kali susulan pengakuan mengejut penyanyi itu untuk berehat dan mengundurkan diri daripada bidang seni baru-baru ini.

Rozita berkata, sebagai teman apa yang dapat dilakukannya adalah dengan berbincang dan memberikan nasihat sekadar termampu. Bagaimanapun, dia menghormati keputusan juara Akademi Fantasia musim kelapan itu untuk bersara.

“Saya ada menemuinya dan berbincang tentang keputusannya itu. Siapalah saya untuk memberikan nasihat secara berlebih-lebih pula.

“Sebagai kawan, saya hanya boleh memberikan pandangan dan nasihat apa yang termampu saja,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran program Raya Astro di Saloma Bistro, baru-baru ini.

Ditanya adakah Shahir berkongsi dengannya akan sebab dan alasan sebenar di sebalik keputusan drastik itu, Rozita berkata, apa juga keputusan yang dilakukan oleh penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu adalah hak peribadinya yang tidak wajar dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

“Mungkin dia masih muda dan baru dan tidak kuat untuk menghadapi liku-liku dunia seni ini. Apa pun, sebagai orang luar kita harus menghormati keputusan tersebut.

“Dia hendak berehat ke, bercuti panjang ke atau bersara sekali pun, itu adalah haknya dan siapa kita untuk mempertikaikan?,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rozita yang baru pulang ke tanah air pada dua hari lalu selepas 12 hari mengerjakan umrah di Mekah kini kembali sibuk di lokasi penggambaran drama Biarlah Rahsia.

“Ibadat umrah kali ini sangat istimewa kerana saya mengerjakannya bersama ibu, kakak dan abang ipar. Suasananya lebih meraih kerana saya dapat pergi bersama ahli keluarga yang lebih ramai berbanding sebelum ini.

“Kini saya kembali ke lokasi penggambaran drama Biarlah Rahsia sehingga 26 Ogos sebelum bercuti selama seminggu untuk sambutan Hari Raya nanti,” katanya yang tampil menawan dengan imej bertudung.

Sekadar diusik apakah dia akan memakai tudung selepas ini, Rozita berkata, hatinya memang teringin untuk bertudung sepenuhnya tetapi bukan dalam masa terdekat memandangkan imej sebegitu akan membataskan watak yang dilakonkannya buat masa ini.

“Memang saya teringin untuk bertudung. Cuma memandangkan saya sudah terikat dengan beberapa komitmen lakonan, imej bertudung ini akan membataskan karakter dan watak yang saya lakonkan pula.

“Insya-Allah saya akan bertudung selepas berkahwin nanti. Masalahnya, masih tiada calon suami,” katanya yang sudah sembilan tahun menggalas status ibu tunggal.

mStar

Gempar: Rozita Che Wan Kena Sihir?


Rozita minta orang ramai dan peminatnya jangan buat andaian

“Saya tak pernah terfikir sampai ke situ,” kata pelakon terkenal, Rozita Che Wan, 37, yang menyangkal dakwaan dia terkena sihir atau penyakit misteri sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital dua kali sepanjang bulan lalu.

Sehubungan itu, ibu tunggal kepada dua anak itu meminta orang ramai terutama peminatnya tidak membuat sebarang andaian buruk terhadap status kesihatannya dan menjelaskan dia kini sudah pulih. Menurutnya, pada awal Jun lalu, dia dimasukkan ke Pusat Perubatan Sime Darby Subang Jaya, Selangor kerana mengalami kecederaan pada kaki kanan akibat terjatuh dari tangga rumahnya sehingga menyebabkan ligamen kakinya terkoyak.
Rozita berkata, ketika kejadian kira-kira jam 9 malam itu, dia baru saja pulang daripada penggambaran episod terakhir drama bersiri Anissa yang kini bersiaran menerusi slot Samarinda di TV3.

“Pada awalnya saya sangka hanya sakit biasa, tetapi ketika hendak tidur kaki saya semakin sakit dan segera menghubungi abang saya meminta dia menghantar ke hospital.
“Ketika hendak mendapatkan rawatan, kaki saya terlalu sakit dan tidak boleh berjalan. Saya terpaksa didukung abang untuk ke kereta sebelum dibawa ke hospital,” katanya ketika ditemui pada Pertunjukan Peragaan Fesyen Garden Of Bliss oleh butik Klasique dan My Couture di sebuah hotel di sini, kelmarin.
Menurutnya, selepas pemeriksaan x-ray dilakukan, doktor mendapati ligamen kakinya terkoyak dan dia diberi rehat seminggu serta terpaksa bercuti daripada sebarang penggambaran.

“Doktor kata ia tidak teruk, tapi saya perlu kurangkan berjalan dan tidak boleh bekerja sehinggalah saya betul-betul sembuh,” katanya.
Rozita berkata, selepas kecederaan kakinya pulih, pada pertengahan Jun lalu dia sekali lagi terpaksa dirawat ke hospital. “Saya berasa sakit kepala dan sekali lagi mendapatkan rawatan di hospital sama. Selepas pemeriksaan, doktor memberitahu saya menghidap demam kuning dan terpaksa dimasukkan ke wad selama lima hari,” katanya. Ketika ditanya mengapa dia tidak mahu menerima pelawat sepanjang dirawat di hospital, Rozita berkata, dia hanya mengikut nasihat doktor yang mahukannya berehat sepenuhnya. “Bukan semua orang tak boleh melawat saya di hospital kerana ahli keluarga terdekat dibenarkan berbuat demikian. Hakikatnya, saya sakit biasa saja dan menerima rawatan seperti orang lain di hospital, selain mengikut nasihat doktor supaya tidak melakukan sebarang kerja.

“Jika doktor tidak tahu punca penyakit saya memang saya takut juga kerana mungkin ada sebab lain, namun apabila doktor beritahu saya menghidap demam kuning, saya yakin tiada apa yang perlu dibimbangkan. Malah, kini saya sudah sihat dan boleh kembali bekerja,” katanya.
Rozita yang menerajui butik My Couture bersama rakan kongsinya, Hanim Sahrom kini meluaskan empayar perniagaannya apabila membekalkan busana untuk wanita sopan rekaan mereka kepada butik Klasique di bandar raya ini.
Pelakon jelita itu turut menafikan andaian sesetengah pihak kononnya dia menceburi bidang perniagaan sebagai persediaan untuk bersara daripada arena seni.
“Saya memang minat berniaga sejak dulu lagi, malah saya juga merancang membuka sebuah butik tahun depan. Pada masa sama, saya masih aktif berlakon,” katanya.
Rozita berkata, rezekinya dalam lakonan tidak putus-putus apabila baru saja selesai membintangi telefilem, Kiah Raya Solo di Perlis dan kini memulakan penggambaran drama bersiri 13 episod, Biarlah Rahsia.

mmtr

Rozita Che Wan Jatuh Tangga


Abangnya terpaksa dukung kerana tidak boleh bergerak

Pelakon jelita Rozita Che Wan mengalami kecederaan pada kaki kanan akibat terjatuh dari tangga rumahnya malam Rabu lalu.

Menurut Rozita, disebabkan kejadian tersebut ligamen kakinya itu koyak menyebabkan dia tidak boleh bergerak.

“Saya baru sahaja pulang daripda penggambaran terakhir drama Annissa dalam pukul 9 malam pada Rabu lepas. Masa menaiki tangga, saya tergelincir menyebabkan saya terjatuh.

“Pada awalnya saya fikir hanya jatuh biasa tapi ketika hendak tidur kaki mula sakit yang teramat sangat,” katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.

Tambahnya, dia segera menghubungi abang kandungnya untuk ke Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya dekat sini, bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut.

“Semasa hendak mendapatkan rawatan itu, kaki saya terlalu sakit dan saya tak boleh berjalan. Saya terpaksa didukung oleh abang saya untuk ke kereta sebelum dibawa ke hospital.

“Semasa doktor buat pemeriksaan x-ray dia hanya mendapati ligamen kaki saya hanya terkoyak. Nasib baik ia tak patah,” katanya yang memberitahu kakinya masih lagi dibalut pada ketika ini.

Katanya, disebabkan kecederaan tersebut dia diberi rehat selama seminggu dan terpaksa bercuti daripada sebarang penggambaran drama.

“Doktor kata ia tidak teruk tapi saya perlu kurangkan berjalan dan tidak boleh bekerja sehinggalah saya betul-betul sembuh.

“Saya terpaksa membatalkan beberapa sesi fotografi dengan beberapa majalah dan tangguhkan beberapa penggambaran drama dalam masa seminggu ini,” katanya.

kemalia othman

%d bloggers like this: