Tag Archives: religion

Syiah Lebih Bahaya Dari Komunis, Mufti Gesa Putus Hubungan Dengan Iran


pak lah matnejad

Gesaan Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Ajaran Syiah lebih berbahaya berbanding fahaman Komunis, kata Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Wan Zahidi Wan Teh serta menggesa kerajaan memutuskan hubungan diplomatik dengan negara yang mempunyai majoriti penganut mazhab itu.

Wan Zahidi berkata, meskipun Malaysia mempunyai hubungan diplomatik dengan China sejak sekian lama, negara berkenaan tidak pernah menyebarkan fahaman komunis melalui hubungan diplomatik, dan perkara itu jelasnya berbeza dengan pegangan penganut Syiah.

Malah, katanya, kajian beliau sejak 1980-an mendapati, ajaran Syiah juga lebih berbahaya berbanding Yahudi dan Nasrani.

“Dua puak ini tidak pernah mencerca sahabat Nabi Musa dan Nabi Isa sebaliknya mereka menyanjung sahabat mereka. Ini berbeza dengan Syiah, mereka mencerca sahabat Rasullullah,” katanya dipetik akhbar Utusan Malaysia ketika bercakap dalam satu forum bertajuk Mendepani Virus Syiah di Dewan Muktamar, Pusat Islam.

“Walaupun kita ada hubungan dengan China sejak zaman Tun Abdul Razak, kerajaan itu tidak pernah menyebarkan fahaman mereka melalui hubungan diplomatik,” katanya.

Wan Zahidi berkata, tindakan memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran akan dapat mengekang penularan fahaman berkenaan daripada tersebar secara meluas.

Kenyataan mufti itu bercanggah dengan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang berkata, penganut ajaran Syiah di negara ini tidak mempunyai halangan mengamalkan mazhab itu cuma dihalang untuk menyebarkannya kepada orang ramai.

Awal bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mewakili Malaysia pada majlis pelantikan presiden baharu Iran, Hassan Rouhani sebagai Presiden Iran yang ketujuh di Bangunan Parlimen di Tehran.

Rouhani menggantikan Mahmoud Ahmadinejad yang ditakuti negara Barat kerana kelantangannya menyuarakan bantahan terhadap tindakan Amerika Syarikat dan Israel “membuli” negara lain.

Mohd Farhan Darwis tmi

Tu Dia: Anak Taib Mahmud Ada RM2 Billion Dalam Pelbagai Akaun, Kata Bekas Isteri


Shahnaz-Majid-syariah-divorce-mahmud-taib

Shahnaz A.Majid memberitahu Mahkamah

Anak Ketua Menteri Sarawak Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib mempunyai kira-kira AS$700 juta (lebih RM2 billion) di bank akaun serata dunia termasuk Switzerland dan Luxembourg, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

Bekas isterinya, Shahnaz A. Majid (gambar) memberitahu mahkamah, beliau tidak ingat di mana akaun berkenaan secara spesifik namun memberitahu jumlahnya AS$700 juta dalam akaun Abu Bekir. Shahnaz sebelum ini memaklumkan jumlah itu hanya RM700 juta.

“RM100 juta jumlah kecil baginya. Dia pasti mampu membayarnya,” katanya.

Shahnaz memberi keterangan di mahkamah berhubung permohonan pampasannya RM300 juta dan RM100 juta mutaah dalam permohonan penceraian itu.

Shahnaz, 50, turut mendakwa 50 peratus aset mereka kepunyaan bekas suaminya. Ini termasuk kereta mewah, rumah, tanah dan pegangan saham.

Kes perbicaraan itu mendedahkan kemewahan keluarga ketua menteri Sarawak.

Dalam penghakiman itu, Shahnaz meminta aset bekas suaminya itu seperti tujuh buah kereta mewah, ribuan hektar tanah di Sarawak dan pegangan saham dalam 15 syarikat.

“Dia memiliki 150 buah syarikat dan pemegang saham dalam 21 syarikat tersebut dan memiliki RM1 bilion pegangan saham.

“Dia memperoleh secara bersih RM2 juta setahun untuk peruntukan hiburan, pelancongan dan kereta yang ditanggung oleh syarikat tersebut,” katanya.

Sewaktu ditanya oleh peguamnya, Dr Rafie Mohd Shafie, Shahnaz berkata beliau bekerja dengan Sarawak Securities pada 1993 sebagai pengurus besar dan Abu Bekir sebagai pengarah.

“Syarikat mencatatkan keuntungan RM60 juta setahun dengan pulangan lebih dari RM200 juta,” katanya semasa perbicaraan itu.

Suri rumah 50 tahun itu menafikan beliau memeterai perjanjian bersama Abu Bekir bagi membayar sejumlah wang bagi penyelesaian di luar mahkamah.

Semasa ditanya oleh peguam lain, Akbardin Abdul Kader, Shahnaz berkata beliau tidak akan menerima perbuatan Abu Bekir kepada dirinya.

Shahnaz sebelum ini mendedahkan Abu Bekir mempunyai seorang anak dengan perempuan warga Australia dan kemudian berkahwin dengan wanita Rusia. – 2 September, 2013.

tmi

Dunia Kutuk Kudeta Mesir


jenazah berhampiran rabaah adawiyah

WANITA tempatan menunjukkan mayat yang belum diangkat selepas polis memulakan keganasan menyuraikan penunjuk perasaan berhampiran Masjid Rabaa al-Adawiya.

Kaherah: Ketika angka korban keganasan pasukan keselamatan Mesir terus meningkat komuniti antarabangsa menggesa pihak yang bertelagah segera menamatkan pertumpahan darah.

Turki yang selama ini tidak mengiktiraf kerajaan sementara Mesir mengutuk Kaherah kerana menggunakan keganasan bagi membersihkan kubu penyokong Mohamed Mursi dan Ikhwanul Muslimin.

Pejabat Perdana Menteri Turki berkata, komuniti antarabangsa mesti bertindak serta-merta selepas polis mengganasi penunjuk perasaan yang menuntut Mohamed Mursi dibebas dan dikembalikan ke jawatan Presiden Mesir.

“Komuniti antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB dan Liga Arab mesti menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini,” katanya.

Presiden Turki Abdullah Gul mengingatkan Mesir mungkin terjebak dalam huru-hara dan membandingkan situasi itu dengan tindakan  Syria menekan kebangkitan rakyat mereka sehingga memerangkap negara itu dalam perang saudara.

Jurucakap Ketua Hal Ehwal Luar Kesatuan Eropah (EU), Peter Stano berkata perkembangan di Mesir diikuti dengan “kebimbangan mendalam.”

“Konfrontasi dan keganasan bukan jalan untuk maju dan laporan mengenai kematian serta kecederaan sangat membimbangkan,” katanya.

Sehingga awal malam tadi sekurang-kurangnya 124 orang terbunuh selepas pasukan keselamatan menyuraikan penunjuk perasaan yang berkubu di dua tempat utama di Kaherah.

Seorang daripada mangsa yang terbunuh ialah seorang remaja perempuan, Asmaa, 17, yang juga anak pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin, Mohamed el-Beltagy.

keganasan polis dan tentera MesirSEORANG pemuda menangis melihat mayat yang disusun di sebuah rumah mayat sementara berhampiran Masjid Rabaa al-Adawiya semalam. Ada laporan menyatakan jumlah kematian meningkat kepada 874 orang (sehingga malam tadi waktu Malaysia).

Stesen al-Jazeera pula melaporkan seorang jurugambar Sky News Michael Douglas terbunuh ketika membuat laporan di Rabaa al-Adaweya.

Ketua Parlimen Eropah, Martin Schulz berkata kematian yang berlaku “tidak dapat diterima.”

Kementerian Luar Iran pula mengutuk pembunuhan beramai-ramai itu dan menggesa semua pihak menahan diri daripada terus menumpahkan darah.

“Pendekatan ini mungkin mencetuskan perang saudara di Mesir,” katanya.

Turut mengutuk keras keganasan pasukan keselamatan Mesir ialah Qatar dan Britain.

AFP

%d bloggers like this: