Tag Archives: puasa

Kisah Benar: 10 Biji Kuih RM1, Murtabak RM1 di Bazar Ramadan Stadium Darulaman


Sila ke bazar ramadhan stadium Darulaman Alor Setar

ALOR SETAR: Kebiasaanya kuih muih dijual pada harga RM1 untuk tiga biji manakala murtabak pula dijual RM2 untuk satu keping di mana-mana bazar Ramadan di negeri ini.

Berbeza dengan bazar Ramadan di perkarangan Stadium Darulaman, orang ramai sekitar bandar raya ini berpeluang menikmati pelbagai jenis kuih muih seperti karipap, masalodeh, keria, buah melaka, cucur jagung dan cucur badak yang dijual pada harga RM1 untuk 10 biji.

Nurhayati Ahmad, 49, yang berniaga di bazar Ramadan itu sejak 10 tahun lalu, berkata dia menjual kuih muih bersaiz mini pada harga RM1 untuk 10 biji seperti mana arwah ayahnya lakukan dulu.

“Arwah ayah selalu berpesan, kalau nak berniaga perlu bagi orang puas hati, buat kuih mesti kena sedap dan jangan terlalu memikirkan keuntungan sahaja,” katanya.

Nurhayati berkata, walaupun sekarang harga bahan mentah sudah naik, tetapi dia tetap mengekalkan harga itu walaupun keuntungan yang dia dapat tidak semewah dulu.

“Saya rasa puas jika semua kuih yang saya jual itu habis dan mereka (pembeli) yang beli kuih saya akan datang lagi pada hari lain dan itu menunjukkan mereka puas hati dengan kuih yang saya jual,” kata Nurhayati yang dibantu oleh anak serta menantu.

Katanya, dia hanya berniaga di bazar Ramadan sahaja dan sesiapa yang mahu merasai kelazatan kuih yang dijualnya perlu menunggu setahun sekali dan dia hanya berniaga di bazar Ramadan Stadium Darulaman.
Sementara itu, peniaga murtabak, Abdullah Salleh, 49, atau lebih dikenali sebagai ‘Bang Lah Murtabak’ yang berniaga murtabak ayam dan daging pada harga RM1 sekeping berkata dia berbuat demikian kerana berniat untuk bersedekah sambil berniaga.

“Sejak sembilan tahun lalu, harga murtabak saya tidak pernah berubah dan saya akan cuba kekalkan harga ini selagi saya mampu.

“Saya mempunyai pekerjaan tetap, jadi keuntungan bukanlah sesuatu yang dicari tetapi kepuasan dalam menderma kepada orang ramai lebih penting,” katanya yang juga hanya berniaga pada bulan Ramadan saja.

Katanya, sebab itulah setiap kali tiba bulan puasa, dia akan cuba mencari masa untuk berniaga murtabak dengan harga RM1 sekeping.

Bernama

Fakta: Kenapa Lambat Berbuka Puasa,imsak di Burj al-Khalifa Building


Waktu terbenam, terbit matahari di tingkat 80 ke atas berbeza

DUBAI: Umat Islam yang menghuni di tingkat 80 dan tingkat lain yang lebih tinggi Burj Khalifa di Dubai dinasihatkan melewatkan waktu berbuka puasa mereka sepanjang Ramadan ini selama dua hingga tiga minit berikutan waktu terbenam matahari yang berbeza, kata Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Dubai.

Waktu imsak mereka juga adalah dua minit lebih awal berbanding mereka yang tinggal di tingkat lebih rendah, kata jabatan yang sama dalam satu fatwa yang dikeluarkan.

“Penghuni di Burj Khalifa mempunyai waktu berbuka puasa, imsak dan solat Subuh yang berbeza bergantung kepada tingkat berapa mereka tinggal,” kata ketua bahagian fatwa jabatan itu, Ahmad Abdul Aziz Al Haddad.

Beliau berkata, penduduk Islam yang tinggal di tingkat 80 hingga 150 menara tertinggi di dunia itu, perlu menangguhkan waktu berbuka puasa mereka selama dua minit manakala mereka yang berada di tingkat 151 hingga 160 perlu berbuka kira-kira tiga minit lebih lewat.

“Penghuni di tingkat 80 hingga 150 perlu menunaikan solat Asar dan isyak dua minit lewat manakala solat subuh dua minit lebih awal.

“Mereka yang menghuni tingkat 150 ke atas perlu melambatkan solat Asar dan Isyak mereka tiga minit tetapi mempercepatkan waktu solat subuh tiga minit lebih awal berbanding waktu yang ditetapkan penduduk di tingkat lebih bawah,” katanya.

Al Haddad berkata, perbezaan waktu ini bagi bangunan setinggi 160 tingkat itu adalah kerana waktu matahari terbenam bagi penduduk di tingkat atas tetapi penduduk terbabit adalah mula-mula dapat melihat matahari terbit pada awal pagi.”

Agensi

%d bloggers like this: