Tag Archives: Proton

Pasang Kereta PROTON di Indonesia


Syarikat dijangka suntik RM700j bina kilang CKD menjelang 2016

SELEPAS hampir lima tahun meneroka pasaran Indonesia dan model kereta nasional semakin mendapat sambutan pengguna di republik itu, PROTON Holdings Bhd (PROTON) mengorak selangkah lagi apabila bercadang membina kilang pemasangan tempatan (CKD) di negara itu menjelang 2016.

Sumber berkata, rancangan pembinaan kilang itu adalah satu daripada strategi jangka panjang pengeluar kereta nasional itu di Indonesia susulan jualan kenderaan keluaran PROTON di negara itu yang semakin meningkat.

Bagi tujuan itu, beliau berkata, pengeluar kereta nasional itu menerusi anak syarikat milik penuhnya di Indonesia, PT Proton Edar Indonesia (PT PEI) bersedia menyuntik pelaburan yang berkemungkinan dianggarkan mencecah RM700 juta bagi merealisasikan rancangan pembinaan kilang CKD di negara itu.

“Sejak PROTON memasuki pasaran Indonesia pada 2007, syarikat mencatatkan prestasi jualan yang amat memberangsangkan setiap tahun dan ini (jualan) jelas menunjukkan model PROTON di Indonesia amat kompetitif dan berdaya saing dengan model keluaran syarikat automotif lain.

“Justeru, bersandarkan kepada faktor itu, syarikat menyusun strategi baru bagi meningkatkan lagi penguasaan pasaran di negara itu dengan membina kilang CKD PROTON menjelang 2016 dan ia akan dilaksanakan sekiranya syarikat berupaya mencapai jumlah jualan sehingga 10,000 unit setahun,” katanya kepada Berita Harian baru-baru ini.

Sumber itu turut berkata, buat permulaan, kilang CKD Proton di Indonesia itu apabila siap kelak mampu mengeluarkan sehingga 10,000 unit setahun.

Sejak April lalu, PROTON mencatatkan jualan sebanyak 2,500 unit di Indonesia berbanding sekitar 2,200 unit (2010), 2,155 unit (2009) dan 1,059 unit (2008).
“Bersandarkan kepada peningkatan jualan tahunan kenderaan PROTON di Indonesia itu, adalah sesuatu yang tidak mustahil jika sasaran jualan 10,000 unit menjelang 2016 dapat dicapai di negara yang memiliki bilangan penduduk lebih daripada 200 juta itu,” kata sumber itu.

Penganalisis automotif ketika dihubungi berkata, rancangan pembinaan kilang CKD itu dilihat tidak ada masalah dan mampu direalisasikan jika dirancang dengan betul berikutan ia mampu memberikan penjimatan dari segi kos.

“Selain memberi penjimatan kos pengeksportan, khususnya dari segi logistik, PROTON juga akan beroleh manfaat daripada kadar insentif percukaian automotif menarik bagi program CKD yang ditawarkan Indonesia kepada beberapa syarikat automotif dari Jepun ketika ini,” katanya.

Beliau berkata, berikutan Indonesia kini dilihat mampu muncul sebagai pasaran pertumbuhan automotif utama selepas China dan India, ramai pengeluar kereta global, termasuk PROTON kini mula merangka strategi pengembangan di negara itu bagi mengukuhkan kehadiran masing-masing.

Buat masa ini, PROTON mengeksport model ke Indonesia dalam bentuk siap pasang (CBU) tanpa duti import susulan mendapat manfaat percukaian di bawah pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas Asean (Afta).

Antara model yang dieksport ke Indonesia adalah Savvy, Gen.2, Persona, Waja, Neo, Saga, Exora, Persona Elegance dan Neo CPS.

AHMAD FARIJAL  Bh

Jom Test Drive SAGA CVT Baru..Katanya efisien dan OK!


CVT lebih jimat dan lancar

TAMPIL dengan lebih bergaya menerusi rekaan lampu hadapan nipis dan bampar hadapan yang baharu.

UNTUK kekal relevan, sesebuah entiti mesti bersikap dinamik. Berubah mengikut zaman dan keperluan semasa. Jika tidak, kita akan ketinggalan dan tidak akan mampu lagi mengejar pesaing yang bertambah maju.

Contohnya, ketika orang lain sudah ada aplikasi iPad dan laman web kita masih dikemaskini secara sambil lewa, jadi memang layaklah kalau kita dianggap sebagai kelas kedua dalam industri.

Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Berhad (Proton) sejak sekian lama cuba untuk menjadi dinamik. Namun, bersaing dalam industri automotif yang teknologinya berubah pantas, nyata itu bukan satu kerja mudah.

Apabila sesebuah model keluar, pelbagai penambahbaikan dibuat. Semuanya demi meletakkan dirinya sebaris dengan pengeluar kereta yang lain. Dalam kes Proton, Saga sering dilihat sebagai model yang kerap menjadi tikus makmal.

Jangan salah sangka, semua ‘ujikaji’ itu dibuat bagi menjadikan Saga sebuah kereta rakyat yang terbaik dalam segala segi.

Kenapa CVT?

Tidak percaya? Sebagai sebuah sedan entry level, Saga dalam proses penyempurnaan. Kalau sebelum ini ia dipasang dengan enjin lebih berkuasa (1.6 liter Campro), sekarang Saga dilengkapi dengan transmisi CVT (Continuously Variable Transmission) pula!

RUANG dalaman dipertingkatkan menerusi penggunaan warna kelabu pada konsol tengah dan grafik pada paparan meter yang baharu.

Tindakan itu sememangnya satu anjakan yang besar buat Proton. Iyalah, sampai bila mahu bergantung kepada transmisi lama milik Mitsubishi itu, sedangkan orang lain sudah bertahun-tahun menggunakan teknologi transmisi lebih cekap seperti CVT atau dual clutch.

Mungkin ramai yang bertanya, kenapa CVT dan bukannya dua clutch atau transmisi automatik konvensional dengan lima atau enam kelajuan? Transmisi CVT pun tidaklah semurah mana dan Proton perlu mendapatkannya daripada pihak ketiga.

Saya yakin Proton mempunyai alasan tersendiri kenapa CVT dipilih. Antaranya, CVT memiliki kelebihan dari aspek penjimatan minyak dan kurang emisi. Di samping menjanjikan penukaran gear yang lancar.

Lebih ringan

Untuk makluman, transmisi CVT itu dihasilkan oleh pihak Punch Powertrain dari Belgium. Sementara transmisi lima kelajuan manual pula adalah daripada pihak Getrag. Sebagai permulaan, transmisi CVT atau manual tersebut ditawarkan untuk varian Standard dan Executive.

“Disebabkan oleh transmisi CVT yang 25 peratus lebih ringan dan tiada senggukan ketika transisi gear, penggunaan minyak oleh Saga FLX turun sebanyak empat peratus jika dipandu di bandar dan sepuluh peratus ketika di lebuh raya.

“CVT juga membolehkan enjin beroperasi pada tahap optimum. Hasilnya, enjin kurang terbeban dan meningkatkan jangka hayatnya,” jelas Pengarah Urusan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir,

Minggu terakhir sebelum puasa, saya berpeluang memandu uji Saga yang dilengkapi transmisi CVT di litar ujian Proton di kilangnya di Shah Alam, Selangor.

Dikenali sebagai Saga FLX, unit yang diuji itu hadir dengan warna baru, coklat cerah atau nama popularnya Elegant Brown. Bagi merasai perbezaan yang ditawarkan, Saga FL bertransmisi automatik empat kelajuan juga disediakan.

Integrasi CVT dan Campro

ENJIN Campro 1.3 liter mampu beroperasi secara optimum apabila digandingkan dengan transmisi CVT.

Unit yang dipandu uji ialah model Saga berenjin 1.3 liter. Tipikal transmisi CVT, anda akan melihat jarum rpm bermain di sekitar 5,000 rpm dengan bunyi enjin melahu kedengaran agak jelas di dalam kabin. Dalam tempoh itu, kuasa enjin seakan-akan sedang mencari ‘gear’ untuk dilekatkan (engage).

Integrasi antara enjin Campro dan CVT agak bagus. Tanpa rasa senggukan gear ditukar, sedar-sedar sahaja kelajuan yang dicapai sudah melepasi takat 120 kilometer sejam (km/j). Di sebelah tuil gear, ada butang SAT atau Stepped Automatic Transmission. Ia berfungsi untuk memberikan pemandu merasai pertukaran gear seperti transmisi automatik enam kelajuan konvensional dengan lebih ketara.

Saya menekan punat kecil itu. Tetapi, saya boleh katakan bahawa perubahan karakter enjin dan transmisi itu tidak jauh bezanya ketika butang SAT tidak ditekan. Dalam erti kata lain, pertukaran gear tidak terasa sebagaimana yang boleh dirasai jika dilakukan secara manual menerusi ciri Tiptronic atau paddle shifter.

Bagi memanfaatkan sepenuhnya kelebihan transmisi CVT, pandulah secara santai. Biarkan gear ditukar secara natural tanpa dipaksa dan pedal minyak tidak ditekan keras. Anda bukan sahaja akan merasai pemanduan yang lancar, malah penjimatan minyak juga lebih mudah direalisasi.

Mengenali sebuah Proton, anda boleh mengharapkan kualiti pengendalian yang memuaskan hati. Pengendalian oleh Lotus itu bukan sekadar gimik pengiklanan. Saga sememangnya stabil ketika memandu laju di atas trek.

Talaan gabungan suspensi topang MacPherson (roda hadapan) dan suspensi jenis torsion beam memang mampu menyerap ketidaksempurnaan permukaan jalan dengan baik. Tidak melantun-lantun atau bergegar jika terlanggar lubang atau sebagainya. Stereng hidraulik itu juga berasa sedikit berat, sekali gus membuatkan pemandu yakin untuk menguji Saga menuju ke tahap maksimanya.

Ruang dalaman Saga FLX mendapat sedikit penambahbaikan. Paling ketara ialah konsol tengah yang menerima warna perak. Saya sebenarnya kurang gemar dengan rekaan papan pemukanya yang nampak terlalu asas. Bagaimanapun, paparan meternya mendapat rekaan grafik baru berbanding model sebelumnya.

Rim 13 inci

BUTANG SAT yang ada di sebelah tuil gear ini akan memberikan anda lebih ‘rasa’ setiap kali gear ditukar.

Dari segi penampilan pula, Saga FLX meneruskan rupa Saga FL yang menerima perubahan ketara terutama pada bahagian bampar hadapan. Selain lampu utama yang lebih nipis dan perumahnya dihitamkan (smoked). Lampu belakang dengan butiran LED itu juga menyerlahkan elemen moden kepada Saga.

Cuma, saya rasa penggunaan rim besi bersaiz 13 inci (varian standard) membuatkan rupa Saga FLX nampak cacat. Rim itu kelihatan terlalu kecil, biapun untuk sebuah sedan kompak. Saya tahu, alasannya mungkin kerana kos dan ia merupakan antara saiz terbaik untuk penjimatan. Masalahnya pembelian juga banyak dipengaruhi oleh faktor kecantikan atau estetiknya.

Bukan sekadar transmisi CVT, Saga FLX kini juga semakin selamat. Varian Executive memiliki ciri tambahan iaitu dua beg udara, selain Anti-lock Braking System (ABS) dan Electronic Brake-force Distribution (EBD). Agak impresif untuk sebuah sedan yang berharga kurang RM45,000 seunit.

Saga FLX ditawarkan pada harga sekitar RM38,598 hingga RM44,998 seunit bergantung kepada varian. Jika anda tidak suka Elegant Brown, warna-warna lain seperti hitam, putih, biru dan perak boleh dijadikan sebagai alternatif. Saga FLX kini sudah boleh diteliti dan ditempah di semua bilik pameran Proton di seluruh negara.

Ahmad Syukran

Model Baru Proton Perdana


NISSAN Fuga bersaing dalam pasaran kereta mewah eksekutif di pasaran Jepun.NISSAN Fuga bersaing dalam pasaran kereta mewah eksekutif di pasaran Jepun.

Penggunaan enjin 2.5 liter naik taraf versi eksekutif, premium PROTON

PROTON Holdings Bhd akan melancarkan model gantian Proton Perdana, sama ada pada Mac atau April ini yang akan menggunakan platform Nissan Fuga dengan kapasiti enjin 2.5 liter.

Sumber industri berkata, bagaimanapun buat permulaan model yang akan diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun itu hanya dipasarkan khusus untuk kegunaan kereta rasmi pegawai tinggi kerajaan.

“Sebagai permulaan, sebanyak 150 unit akan diimport dari Jepun dan ia dibawa masuk khusus untuk kereta rasmi pegawai tinggi kerajaan, tetapi jika mendapat maklum balas memberangsangkan daripada pasaran, PROTON akan menimbangkan untuk memasarkannya secara komersial,” katanya pada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Fuga adalah kereta mewah Nissan yang menggunakan platform Nissan FM. Ia mula diperkenalkan di Jepun pada Oktober 2004.

Nissan Skyline, kereta sport mewah Nissan yang menjadi ‘kegilaan’ generasi muda Jepun turut menggunakan platform Nissan FM.

Fuga bersaing dalam pasaran kereta mewah eksekutif seperti Toyota Crown, Honda Legend, Mercedes-Benz E-class, Audi A6, BMW 5 series dan Jaguar XF.
Ia adalah kereta pertama dunia yang memperkenalkan teknologi sistem kawalan pedal bijak yang membantu pemandunya mengawal jarak selamat dengan kenderaan lain ketika pemanduan sama ada di kawasan bandar serta di lebuh raya.

Sumber itu berkata, penggunaan enjin lebih berkuasa untuk model gantian Perdana itu bertujuan menaik taraf kereta versi eksekutif dan premium PROTON ke tahap baru dan berupaya bersaing dengan model seperti Toyota Camry, Honda Accord, Hyundai Sonata atau Kia Optima di pasaran tempatan.

Katanya, selain untuk bersaing dalam kelasnya, penggunaan enjin yang lebih berkuasa itu juga bertujuan membezakan penggunaan enjin Proton Perdana dengan Proton Inspira yang turut menggunakan enjin 2.0 liter.

Sumber itu berkata, penggunaan Nissan Fuga itu menandakan permulaan kerjasama antara PROTON dengan Nissan Motor Company Ltd, iaitu firma automotif yang berpangkalan di Nishi-ku, Yokohama, Jepun.

“Ia (kerjasama dengan Nissan) susulan pengambilalihan kepentingan dalam Renault F1 Team yang dibuat PROTON menerusi anak syarikatnya, Group Lotus plc daripada Nissan yang dimuktamadkan awal Disember lalu.

“Menerusi pengambilalihan itu, selain membuka laluan buat PROTON terbabit dalam perlumbaan Formula Satu, ia turut membantu mengetengahkan beberapa program kerjasama baru lain antara PROTON dan Nissan, dan model penggantian Perdana adalah permulaan kerjasama antara kedua-dua pengeluar kereta berkenaan,” katanya.

Katanya, permulaan itu juga dijangka menjurus kepada kerjasama lebih serius di mana Nissan akan menggunakan kemudahan pengeluaran Proton di Tanjong Malim untuk mengeluarkan beberapa versi model lain tidak lama lagi, sekali gus membantu Proton memaksimumkan kapasiti pengeluaran kilang berkenaan.

bh.com

Proton Akan Keluarkan Kereta Sport


model Lotus elise terbaru

Kemungkinan besar model Lotus terbaru akan dikeluarkan

PROTON Holdings Bhd bercadang mengeluarkan kereta sport mirip Lotus dengan dua tempat duduk dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pengurus Besar Perancangan Korporatnya, Dr Badrulhisham Mohd Ghazali, berkata kereta sport keluaran syarikat automotif nasional itu bukanlah jenis hatchback seperti keluaran PROTON Satria Neo.

Ia dalam perancangan ketika ini. Kita tengok dalam tempoh setahun atau setahun setengah, katanya kepada media selepas memberikan bantuan beg sekolah kepada 47 anak yatim dari rumah Balqis pada Karnival PROTON di Kota Bharu, Kelantan semalam. Badrulhisham berkata, sebagai langkah meningkatkan jualan dan prestasi PROTON, pihaknya akan memperkenalkan model kereta baru setiap lima tahun.

Beliau berkata, contoh terdekat adalah keluaran PROTON Saga yang mana PROTON akan memperkenalkan platform terbaru untuk kereta itu dalam tempoh lima tahun.

Sekarang ini, PROTON Saga menggunakan platform atau chasis PROTON Savvy dan ia digunakan sejak lapan tahun lalu.

Komitmen PROTON seterusnya adalah meningkatkan mutu kereta keluaran kami, kami akan menukarkan kereta baru bagi PROTON Saga bagi tempoh setiap lima tahun.
Beliau berkata PROTON Saga FL adalah versi yang ditingkatkan untuk pengguna hasil daripada maklum balas pelanggan yang inginkan kelainan dan pihaknya menerima tempahan 1,000 unit untuk kenderaan itu.

PROTON Saga FL adalah model kereta sub-compact yang mempunyai 1.3 silinder enjin Campro berharga RM37,548 hingga RM44,998.

Bagi PROTON Inspira pula, katanya pihaknya akan memperkenalkan model dipertingkatkan melalui edisi terhad PROTON Inspira.

Katanya, kenderaan itu akan melalui beberapa tambahan aksesori termasuk skirting, sport rim lebih besar serta ruang dalaman yang lebih kemas.

Malah, katanya, hasil maklum balas, pengguna menyukai PROTON Inspira yang berkapasiti 2.0 silinder berbanding model 1.8 silinder dan perkara itu adalah diluar jangkaan pihaknya.

PROTON Inspira adalah pertukaran teknologi dengan Mitsubishi bagi model Lancer dan PROTON memperkenalkan model itu yang berkapasiti silinder 1.8 dan 2.0, berharga antara RM78,999 dan RM 91,999 seunit .

Bernama

Proton Keluar Campro Turbo


Menambahkan kuasa kuda pada kereta keluaran Proton

SHAH ALAM: PROTON Holdings Bhd bercadang mengeluarkan pelbagai variasi kereta menggunakan enjin Campro turbo tahun depan.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata enjin Campro turbo akan memberi kuasa kuda yang lebih berbanding enjin Campro yang sedia ada. “Kita yakin banyak pengguna inginkan lebih kuasa dalam kereta mereka. Ini adalah satu aktiviti yang kita telah mulakan dua tahun lalu dan persiapan sudah dibuat dan kereta yang menggunakan engin Campro turbo akan dikeluarkan tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pameran bergerak yang mempamerkan kereta Proton terdahulu dan masa kini di sini hari ini. Festival PROTON 1Malaysia itu akan mengadakan pameran di 11 lokasi di seluruh Semenanjung Malaysia, yang bermula di Stadium Indera Mulia di Ipoh hari ini dan akan termasuk sejumlah 180 peserta dan konvoy 60 kereta PROTON yang termasuk 25 kereta pelbagai kereta rasmi kelab kereta PROTON.

Dalam usaha membuat persiapan untuk menembusi pasaran luar negara, Syed Zainal Abidin berkata PROTON akan memberikan penekanan dari segi teknologi dan penjenamaan.

Beliau berkata, ia adalah penting untuk memastikan kereta PROTON sentiasa kompetitif dan relevan kepada pengguna.

Ditanya mengenai pengeluaran kereta hibrid, katanya PROTON sedang berkerjasama dengan kerajaan untuk menghasilkan kereta hibrid.
“Kami akan membina kereta hibrid bagi kegunaan kerajaan dan sebagai permulaan ia akan digunakan di Putrajaya dan Cyberjaya. Matlamat kita akan mengeluarkan (kereta hibrid) di dalam pasaran dan ini mungkin akan mengambil sedikit masa.

“Satu-satunya cara mengurangkan pengeluaran karbon ialah dengan mengeluarkan kereta mesra alam sekitar dan kami ingin memastikan kualitinya baik.

“Seperti yang kami nyatakan sebelum ini, kami telah melakukan banyak ujian dan pengesahan ke atas kereta hibrid. apa yang jelas ialah apabila kami mengambil bahagian di dalam Perlumbaan ke London di Brighton. Ia menunjukkan dengan jelas sistem itu berdaya saing dan relevan.

“Kami perlu mewujudkan banyak kesedaran dan mendidik orang ramai mengenai pentingnya kereta hibrit,” katanya.

Bernama

%d bloggers like this: