Tag Archives: Polis

Ketua Polis Penang Diugut Bunuh


kp penang

Ketua Polis P.Pinang diugut bunuh

GEORGETOWN – Bimbang keselamatan dirinya, keluarga dan anggota lain, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi membuat laporan selepas menerima ugutan bunuh dua hari lalu.

Abdul Rahim dilaporkan menerima ugutan itu menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar melalui telefon bimbitnya ketika berada di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang kira-kira jam 9 pagi Isnin lalu.

Difahamkan, kiriman SMS oleh individu yang tidak dikenali itu mengandungi ayat ugutan kerana tidak berpuas hati apabila lima rakannya ditembak polis bulan lalu.

Kandungan SMS yang diterima Abdul Rahim adalah ‘Hello kepala penang, mau kasi ingat, u sudah ambil saya punya kawan lima orang, u jangan ingat u the best, u jaga u punya body, tak dapat u, u punya kawan saya ambil. Jaga-jaga’.

Abdul Rahim membuat laporan sehari selepas menerima ugutan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, kira-kira jam 8.50 malam semalam.

SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI SH

Dunia Kutuk Kudeta Mesir


jenazah berhampiran rabaah adawiyah

WANITA tempatan menunjukkan mayat yang belum diangkat selepas polis memulakan keganasan menyuraikan penunjuk perasaan berhampiran Masjid Rabaa al-Adawiya.

Kaherah: Ketika angka korban keganasan pasukan keselamatan Mesir terus meningkat komuniti antarabangsa menggesa pihak yang bertelagah segera menamatkan pertumpahan darah.

Turki yang selama ini tidak mengiktiraf kerajaan sementara Mesir mengutuk Kaherah kerana menggunakan keganasan bagi membersihkan kubu penyokong Mohamed Mursi dan Ikhwanul Muslimin.

Pejabat Perdana Menteri Turki berkata, komuniti antarabangsa mesti bertindak serta-merta selepas polis mengganasi penunjuk perasaan yang menuntut Mohamed Mursi dibebas dan dikembalikan ke jawatan Presiden Mesir.

“Komuniti antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB dan Liga Arab mesti menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini,” katanya.

Presiden Turki Abdullah Gul mengingatkan Mesir mungkin terjebak dalam huru-hara dan membandingkan situasi itu dengan tindakan  Syria menekan kebangkitan rakyat mereka sehingga memerangkap negara itu dalam perang saudara.

Jurucakap Ketua Hal Ehwal Luar Kesatuan Eropah (EU), Peter Stano berkata perkembangan di Mesir diikuti dengan “kebimbangan mendalam.”

“Konfrontasi dan keganasan bukan jalan untuk maju dan laporan mengenai kematian serta kecederaan sangat membimbangkan,” katanya.

Sehingga awal malam tadi sekurang-kurangnya 124 orang terbunuh selepas pasukan keselamatan menyuraikan penunjuk perasaan yang berkubu di dua tempat utama di Kaherah.

Seorang daripada mangsa yang terbunuh ialah seorang remaja perempuan, Asmaa, 17, yang juga anak pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin, Mohamed el-Beltagy.

keganasan polis dan tentera MesirSEORANG pemuda menangis melihat mayat yang disusun di sebuah rumah mayat sementara berhampiran Masjid Rabaa al-Adawiya semalam. Ada laporan menyatakan jumlah kematian meningkat kepada 874 orang (sehingga malam tadi waktu Malaysia).

Stesen al-Jazeera pula melaporkan seorang jurugambar Sky News Michael Douglas terbunuh ketika membuat laporan di Rabaa al-Adaweya.

Ketua Parlimen Eropah, Martin Schulz berkata kematian yang berlaku “tidak dapat diterima.”

Kementerian Luar Iran pula mengutuk pembunuhan beramai-ramai itu dan menggesa semua pihak menahan diri daripada terus menumpahkan darah.

“Pendekatan ini mungkin mencetuskan perang saudara di Mesir,” katanya.

Turut mengutuk keras keganasan pasukan keselamatan Mesir ialah Qatar dan Britain.

AFP

Polis Pun Kena Samun Jugak


gun-shooting

Polis disamun hilang senjata api

Shah Alam: Seorang anggota polis yang berhenti rehat dalam kenderaannya kerana keletihan di satu kawasan di bandar raya ini menjadi mangsa samun membabitkan kerugian sejumlah wang tunai selain kehilangan beberapa dokumen penting dalam kejadian jam 1.30 pagi semalam.

Lebih merisaukan, anggota dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor itu bukan saja kerugian wang tunai malah senjata api dipercayai dibawa bersama turut dilarikan penjenayah bermotosikal yang menyamunnya.

Setakat ini, polis percaya hanya seorang suspek terbabit dalam kejadian itu namun siasatan lanjut bagi mengetahui gambaran sebenar kejadian sedang dilakukan dengan pengumpulan bukti dan saksi untuk membantu proses siasatan.

Sumber berkata, mangsa berusia 47 tahun itu baru selesai menguruskan pengebumian seorang ahli keluarganya dan berhenti di satu kawasan di Seksyen 7, dekat sini, untuk tidur seketika sebelum menurunkan sedikit cermin kenderaannya.

Bagaimanapun katanya, mangsa terkejut apabila menyedari badannya disentuh sebelum melihat seorang lelaki menarik dengan kuat senjata apinya menyebabkan tali yang diikat bersama senjata berkenaan terputus.

“Mangsa cuba mengejar penjenayah itu namun suspek yang menaiki motosikal dengan nombor pendaftaran disyaki palsu itu sempat melarikan diri sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Difahamkan, laporan dibuat di Balai Polis Seksyen 6, dekat sini, dan kes berkenaan kini dikendalikan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan kes disiasat mengikut seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 35 Akta Senjata 1960

Karaoke Haram di ‘Serambi Mekah’


ANTARA pengunjung yang ditahan dalam serbuan sebuah karaoke haram di Bachok kelmarin.

BACHOK – Tidak kenal erti serik.Biarpun pernah diserbu sebelum ini, sebuah pusat karaoke haram yang berselindung di sebalik nama sebuah resort di Kampung Kubang Golok, di sini masih meneruskan operasinya.

Terbaru, sepasukan anggota polis Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dibantu anggota dan pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok membuat serbuan ke atas pusat karaoke terbabit malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Supritendan Ab. Rahim Che Ghani berkata, pada serbuan kira-kira pukul 2 pagi itu, pihaknya menahan seramai 29 pengunjung pusat karaoke itu termasuk dua pekerjanya.

Katanya, pihaknya melakukan serbuan di lokasi sama lebih setahun lalu dan difahamkan selepas serbuan pertama, pusat karaoke tersebut menghentikan sementara operasinya.

Bagaimanapun, jelasnya, baru-baru ini pihaknya menerima aduan daripada penduduk mengatakan pusat karaoke itu beroperasi semula, tetapi selepas pemiliknya mengetahui mengenai aduan tersebut, dia bertindak menutupnya.

“Risikan yang dibuat polis beberapa hari lalu mengesahkan ia beroperasi semula, sebab itulah kita melakukan serbuan ini,” ujarnya.

kosmo

Video Mahasiswa Menjawab Polis ‘Tidak Ganas’ di UPSI


Anak muda mahasiswa sambut tahun baru 2012 dengan suara lantang.

Seperti kisah Mat Sabu berdemo berulang lagi untuk menggegarkan kezaliman AUKU..

Anak muda bukan anjing..

Anak muda bukan hamba abdi..

Anak muda bukan kucing kurap..

Anak muda bangun menentang kezaliman AUKU..

Tahniah kepada anak muda era baru Malaysia !

Belasah Mahasiswa ,perlakuan FRU diluar batasan kemanusiaan

Fariz Musa, koordinator sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Jingga 13, mengecam tindakan ganas polis yang di luar kewarasan kemanusian dan menuntut Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara bertanggungjawab atas tragedi membelasah mahasiswa di luar perkarangan Universiti  Perguruan Idris Shah (UPSI).

“Jingga 13 mengecam sekeras-kerasnya brutaliti dan tindakan kejam, tidak berperikemanusiaan FRU yang menangkap, membelasah dan mencederakan kumpulan aktivis dan mahasiswa.

“Tindakan biadap di luar kewarasan manusia ini langsung tidak dapat diterima mana-mana manusia yang berakal. Ia jelas sekali melampaui batas.

“Polis yang sepatutnya menjadi tempat mahasiswa bergantung harap, meminta pertolongan dan perlindungan, tergamak jadi alat penguasa.

“Datuk Seri Hishamuddin Hussin dan  Tan Sri Ismail Omar wajib bertangungjawab atas insiden itu,” kata Fariz pada kenyataan media, awal pagi ini.

Beliau mendesak semua 17 aktivis dan mahasiswa termasuk Setiausaha Jingga 13, Saifuddin shafi Muhammad yang turut ditahan, dibebas segera tanpa syarat manakala pampasan diberi kepada mereka yang cedera.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=24941

Siapa ‘Datuk’ Kena Tahan Skandal NFC ?


‘Datuk’ ini ada hubungan dengan sesiapa ke?

Seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ ditahan reman selepas cuba menyogok beberapa pegawai polis yang sedang menjalankan siasatan kes jenayah komersial dipercayai ada kaitan dengan skandal Pusat  Fidlot Kebangsaan (NFC).

Ahli pernigaan berumur 45 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Perdana kira-kira jam 4.06 petang kelmarin.

Pengarah JSJK, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, ahli perniagaan yang menjalankan perniagaan Agensi Pekerja Asing dan syarikat pengangkutan teksi ini ditahan reman selama dua hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

“Suspek kini diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan awal dapati suspek ditahan di Cheras tiga minggu lalu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu serta bersabit satu laporan kes sama di Bercham, Ipoh, Perak,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis JSJK, semalam.

Ketika ditanya berhubung nilai sogokan yang cuba diberikan serta adakah suspek mempunyai kaitan dengan kes skandal NFC, Syed Ismail bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Kita tak boleh komen tentang nilai sogokan itu dan kes ini kita serah kepada SPRM untuk siasatan,” katanya.

Difahamkan, suspek dipercayai ada pertalian keluarga dengan orang kenamaan.

Dalam perkembangan lain, Syed Ismail berkata, setakat ini, seramai 27 individu sudah memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung isu skandal NFC dan mengesahkan tiada sebarang tangkapan dibuat.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali dalam satu kenyataan semalam, mengesahkan berhubung siasatan yang dijalankan pihaknya terhadap seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ yang ditahan kerana menawarkan rasuah kepada beberapa pegawai kanan polis yang dipercayai ada kaitan dengan kes NFC.

“Kita sudah terima kes dan sentiasa bekerjasama dengan polis dalam menjalankan siasatan membabitkan kes rasuah dan penyelewengan mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang,” katanya.

oleh NORAIZURA AHMAD

Nota: image dari malaysiaKini.com

%d bloggers like this: