Tag Archives: Poligami

HOT: Wanita Malaysia Dibawah Umur 30 Tahun Suka Poligami


Kebanyakan responden dibawah umur 30 tahun membenarkan suami dan bakal suami berpoligami

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan masyarakat “jangan salah guna” perkataan poligami kerana bukan semua wanita bersetuju untuk berpoligami kerana khuatir ia akan membawa isu sosial.

Shahrizat berkata, poligami boleh dipraktikkan dalam Islam tetapi jangan disalah guna.

“Jika poligami disalah guna, ia akan membawa keruntuhan dalam institusi kekeluargaan,” kata beliau pada sidang media selepas pelancaran beg jenama Sporting Ras di sini hari ini.

Beliau juga berkata, bukan semua wanita bersetuju untuk berpoligami dalam rumah tangga.

“Jangan kata semua wanita bawah 30 tahun bersetuju untuk berpoligami.

“Saya sudah tanya wanita lain. Mereka menolak poligami dalam kehidupan berumah tangga. Ini membuktikan hanya segelintir yang menerima poligami, bukan semua,” katanya.

Laporan media hari ini menyebut wanita negara ini terutama berusia di bawah 30 tahun lebih terbuka untuk hidup berkongsi kasih atau bermadu berbanding dengan mereka melepasi usia tersebut.

Kajian rambang ke atas 400 responden sekitar ibu kota mendapati, walaupun jumlah yang menentang poligami melebihi kumpulan yang sanggup menerima, namun terlihat perubahan baru apabila golongan wanita muda tidak lagi kisah dengan status bermadu.

Berdasarkan jumlah responden ditemui, sebanyak 46 peratus atau 182 akan membenarkan bakal suami atau suami mereka berpoligami.

Daripada 182 responden itu pula, hampir 60 peratus atau 108 orang adalah terdiri daripada wanita muda berusia di bawah 30 tahun.

Sementara itu, sebanyak 53 peratus atau 213 responden, kebanyakannya berumur lebih 30 tahun pula lebih rela bercerai jika suami mereka berkahwin lain manakala satu peratus lagi secara berterus-terang mengatakan tidak berminat untuk mengetahui tindakan suami di belakang mereka.

Sharizat menambah, trend poligami yang menggunakan perkataan Islam sangat memperkecilkan isteri dan ia sesuatu yang membebankan.

Katanya, ini merupakan satu salah faham dalam membina institusi kekeluargaan.

“Di Kazakhstan, mereka menerima poligami tetapi undang-undang negara mereka yang tidak membenarkannya,” ujarnya lagi.

Shahrizat berpendapat, suami boleh berpoligami tetapi mesti bersyarat seperti yang ditekankan dalam Islam.

Katanya, apabila berlaku poligami, masyarakat khususnya isteri rela hati menerima dan tidak mempersoalkannya.

“Barulah poligami dibenarkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shahrizat berkata, kementerian tidak menggalakkan poligami kerana mahu memelihara perjuangan wanita.

Katanya, jika perlu poligami dibolehkan tetapi mesti bersyarat.

“Hak poligami memang diberi kepada suami, ia boleh dilakukan dalam situasi tertentu sahaja,” ulasnya lanjut.

tmi

Cerita Salih Yaakob dan 3+1 Isterinya


GAMBAR keluarga Salih Yaacob bersama ketiga-tiga isterinya (dari kiri) Norlizah, Norraha dan Norfara Wahida bersama lapan daripada sebelas anak-anaknya.


‘Meletup’ nama Salih Yaacob minggu ini

ADA yang tersenyum sumbing apabila penyampai radio popular, Salih Yaacob diberitakan bakal mencukupkan kuota empat orang isteri. Ia sekali gus menjadikan perkahwinan yang bakal berlangsung dalam tempoh terdekat sebagai perkahwinan kelima dalam hidup Salih.

Lebih dikenali dengan panggilan SY, Salih kini hidup berpoligami dengan tiga orang isteri iaitu Norlizah, Norraha dan Norfara. Perkahwinan pertama Salih pada 1980 berakhir dengan perceraian pada 1989.

Bisik-bisik tentang perkhabaran perkahwinan terbaru Salih diketahui umum apabila gambar dan artikel Salih bersama calon isteri keempat yang hanya dikenali sebagai Ermi tersiar di dada akhbar beberapa hari lalu.

INILAH EMI, calon baru Salih Yaacob.

Masih berahsia tentang nama penuh bakal isteri barunya, Salih yang hanya mahu memperkenal wanita itu sebagai Ermi menjelaskan, perkahwinan bukanlah satu pelacuran.

“Saya mengambil untuk berkahwin bukan atas dasar nafsu tetapi kerana ketentuan Ilahi. Jadi, ia adalah tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya,” katanya yang berdepan bermacam skeptikal sebaik sahaja berita berkenaan tersebar luas.

Bakal berkahwin lagi dengan wanita muda berusia 24 tahun sedangkan Salih, 50, sudah ada tiga orang isteri yang setia, itu satu situasi yang jarang-jarang berlaku dalam kehidupan seorang selebriti. Sedar perkara itu, Salih sendiri mengakui, selain ucapan tahniah, banyak juga kecaman yang terpaksa dihadapinya.

Salih mengakui kepada Sensasi Bintang bahawa dia juga sudah penat berdepan rutin hidup sebagai selebriti dalam industri.

Kontrak tahunannya bersama Sinar FM juga bakal berakhir Julai 2011 dan sehingga kini Salih masih berkira-kira untuk meneruskan kerjaya celoteh seawal 6 pagi itu.

Jika tawaran kontrak akan datang dirasakan tidak berbaloi dengan penat lelah, dia rela berundur untuk memberi perhatian kepada keperluan hidup sisi lain, mahu fokus kepada bisnes.

KEMESRAAN antara Salih dan Emi jelas kelihatan dalam satu sesi temubual bersama wartawan dan jurugambar.


SALIH YAACOB: Kalau boleh saya tak mahu kecoh-kecoh, ini pun sudah kecoh jadinya. Saya hanya boleh katakan, Ermi seorang wanita terpelajar. Dia lulusan pengajian perniagaan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana. Dia berasal dari Johor, anak bongsu dari lima orang adik-beradik dan berketurunan Syeikh daripada sebelah bapanya. Setakat ini, biarlah namanya saya simpan sebagai kejutan.

Jadi sudah ada tarikh bilakah perkahwinan itu akan berlangsung?

Belum ada, tapi kalau boleh ia akan diadakan apabila saya dapat sempurnakan apa yang wajib dilakukan terlebih dahulu. Lagi cepat lagi baik.

Bagaimana dengan skeptikal orang, misalnya bakal isteri sebaya dengan anak?

Majoritinya masyarakat kita memang begitu, mungkin disebabkan saya ini bukan ahli ulama. Usia bukan penentu, ada orang yang lebih muda tetapi lebih celik akal daripada orang yang berusia. Saya ambil perkahwinan itu sebagai satu ujian, apabila ia diamanahkan kepada saya, maka wajib ke atas saya menunaikan amanah itu.

Ada disebutkan tentang kecaman, kecaman bagaimana yang diterima setakat ini?

Biasalah, dalam masyarakat Islam sendiri ada yang tidak faham tentang agama. Banyak juga tentangan yang harus saya tempuhi, bukan sahaja daripada orang luar, sanak saudara sendiri ada yang tidak setuju.

KETIGA-TIGA isteri Salih telah memberi kata sepakat untuk menerima Emi sebagai madu baru mereka.


Teruja tak, menanti hari perkahwinan nanti? Dengarnya mahu bersanding beramai-ramai termasuk dengan isteri-isteri terdahulu?

Saya biasa sahaja sebab sudah banyak kali melaluinya, mungkin perasaan itu berbeza dengan pihak wanita. Tentang persandingan itu, saya akan tengok bagaimana keadaannya nanti. Kalau perlu saya buat, itu sebagai tanda kemenangan mereka (isteri) bukan untuk saya. Kalau boleh saya hanya mahu bersederhana.

Kalau ada yang kata, hebatlah Salih Yaacob, nak kahwin lagi, dapat pikat anak dara pula, apa komen?

Saya boleh katakan, orang yang terpikat dengan cara saya. Macam dengan Emi, mungkin dia tertarik dengan amalan hidup saya atau mungkin merasakan saya mampu menjadi teman, pemimpin dan guru yang boleh mendidik dan membawanya ke jalan yang benar.

Tentang kontrak dengan Sinar FM, betulkah mahu berundur dari dunia seni?

Saya nak tengok keadaan dulu sebab saya penat dengan kesibukan ini, sekarang sibuk dengan penggambaran program, SY I Follow untuk Astro Ria, kalau boleh nak fokus dengan bisnes saya dan memperkemaskan kehidupan, itu sahaja.

ksm

Poligami: Bayar $3,000 Semua Beres


PALSU...kad nikah yang dikeluarkan sindiket. PALSU…kad nikah yang dikeluarkan sindiket.
Ada VIP  turut terlibat

KUALA LUMPUR: Bagi menutup pernikahan kedua mereka daripada diketahui isteri pertama, segelintir VIP dikesan menggunakan sindiket nikah tidak bertauliah yang menyediakan pakej lengkap dengan sijil nikah kononnya dikeluarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Sindiket berkenaan yang dipercayai bergerak aktif sejak tahun lalu cuma mengenakan bayaran RM3,000 dan ia dikatakan mendapat sambutan hangat di kalangan orang kenamaan yang ingin berpoligami secara diam-diam berikutan sijil nikah palsu yang dikeluarkan itu. Menurut sumber, sindiket itu bijak memancing pasangan supaya menggunakan khidmat mereka dengan meyakinkan pernikahan diuruskan bukan saja sah dari segi Islam, malah turut diperakui Jawi dengan sijil perkahwinan dan kad nikah dikeluarkan sebaik proses ijab kabul selesai.
Sumber itu berkata, majlis ringkas ijab kabul kebiasaannya dilakukan di hotel sekitar ibu negara dan pengantin perempuan selalunya membawa saudara lelaki terdekat mereka sebagai wali.

“Khidmat disediakan sindiket itu mendapat sambutan sebab pengantin lelaki tidak perlu bersusah payah melalui prosedur berpoligami yang agak ketat di pejabat agama atau membelanjakan kos yang tinggi untuk bernikah di negara jiran.
“Bagaimanapun, penipuan sindiket itu terbongkar apabila perkahwinan pasangan yang menggunakan khidmat sindiket itu tidak kekal lama dan terpaksa bercerai,” katanya. Menurutnya, selepas bercerai, isteri kedua yang dijatuhkan talak pergi ke pejabat Jawi untuk mengesahkan perceraian dan ketika itulah masalah mula timbul apabila dimaklumkan perkahwinannya tiada dalam rekod atau tidak pernah didaftarkan di Jawi.
“Bila tiada dalam rekod pendaftaran perkahwinan, macam mana nak diuruskan atau didaftarkan perkahwinan? Pada masa inilah bekas isteri terbabit berdepan masalah masalah besar kerana dia tidak berhak membuat tuntutan nafkah dan sebagainya,” kata sumber itu.

Beliau yang menguruskan pusat aduan rumah tangga dan menyediakan khidmat kaunseling berkata, setakat ini pihaknya menerima aduan daripada lapan wanita yang menjadi mangsa sindiket berkenaan.
“Sekali imbas, memang sijil dan kad nikah dikeluarkan sindiket itu seperti tulen, tapi selepas kami menyelidikinya betul-betul didapati tandatangan yang tertera di atas dokumen berkenaan bukan tandatangan individu yang mempunyai kuasa, sebaliknya tidak diketahui ia tandatangan siapa,” katanya.

Berikutan itu, beliau meminta pihak berkuasa kuasa khususnya Jawi melakukan siasatan kerana ada kemungkinan wujud pembabitan ‘orang dalam’ yang mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan hingga mereka mampu mengeluarkan sijil dan kad akuan nikah yang nampak seperti tulen.
“Tambahan pula, mengikut aduan lapan wanita yang menjadi mangsa sindiket itu mereka berurusan dengan individu yang sama dan lelaki itu turut mendakwa dia bekerja di Jawi,” kata sumber berkenaan. Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jawi, Tuan Asmawi Tuan Umar berkata, orang ramai seharusnya sedar tiada jalan pintas untuk melakukan proses pernikahan, apatah lagi berpoligami, sebaliknya ia perlu melalui prosedur ditetapkan. “Tak ada ‘pintu belakang’ kepada sesiapapun termasuk golongan VIP untuk mempercepatkan proses poligami dan mahu mendapatkan kad serta sijil nikah. “Jika ada pihak mendakwa mampu menyediakan cara mudah tanpa mengikuti prosedur, bermakna ia satu penipuan kerana kad akuan nikah tulen hanya boleh dikeluarkan Jawi dan kad itu mempunyai ciri-ciri keselamatan tertentu,” katanya.
Tuan Asmawi berkata, pihaknya memandang serius masalah itu dan akan menyiasat kes seumpamanya sebelum tindakan diambil.
“Kita tahu dan kenal semua pendaftar nikah yang ada. Malah, ada pendaftar nikah yang kita terpaksa tamatkan perkhidmatan disebabkan faktor disiplin.
“Sebagai contoh, ada pendaftar nikah dibuang disebabkan terlalu lama memerap pernikahan dilangsungkan mereka sehingga mempelai menanggung kelewatan pengeluaran sijil dan kad nikah terlalu lama,” katanya.
Justeru, katanya, pihak yang mahu melangsungkan poligami dinasihatkan mengikut prosedur.

mmtr

%d bloggers like this: