Tag Archives: Petronas

Husam Dedah Petronas Curi Minyak Kelantan Lagi?


Husam: Kelantan dipinggir isu gas Malay Basin

Kerajaan Kelantan menyelar tindakan Petronas mahu menyalurkan pengeluaran gas di Utara Malay Basin – yang keseluruhannya bernilai RM15 bilion – ke Terengganu tanpa berunding dengannya terlebih dahulu.

Exco kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa (kiri) berkata, Utara Malay Basin, telaga Bergading dan blok berkaitan – PM301, PM302 – sepenuhnya dalam perairan Kelantan.

Tambahnya, ia juga tidak bertindih dengan mana-mana negeri atau negara lain, malah 50km lebih dekat dari Terengganu.

“Adalah tidak wajar Kelantan tidak dirundingi dalam hal ini. Juga adalah tidak wajar sekali lagi Kelantan dipinggirkan dari mendapat faedah secara langsung daripada pembangunan hasil mahsul yang dianugerahkan Allah tersimpan di perut buminya,” kata Husam.

Pada 23 Ogos lalu, Petronas dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa projek pembangunan pengeluaran gas di Utara Malay Basin akan disalurkan dengan paip lautan yang baru sejauh 200km ke Kerteh, Terengganu.

Husam yang juga pengerusi jawatankuasa tuntutan royalti Petroleum Kelantan menggesa Petronas meneliti semula dokumen cadangan kerajaan negeri supaya gas itu didaratkan di Bachok, Kelantan.

“Kerajaan negeri bersedia memberikan segala kemudahan bagi tujuan itu termasuk teknologi terkini yang mampu memproses gas dengan kandungan karbon yang tinggi dengan kos lebih murah dan dengan itu loji pemprosesan dapat ditempatkan di sini,” kata Husam.

Katanya, kerajaan negeri akan berbuat apa sahaja supaya hasil mahsul Kelantan tidak sekali lagi diangkut keluar tanpa memberikan apa-apa faedah kepada rakyat dan negeri Kelantan.

mKini

Petronas Untung RM97.8 Bilion Jangan Lupa Royalti Kelantan


Elok Petronas jelaskan royalti Kelantan yang sudah lama tertunggak

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) berharap Kerajaan Persekutuan tidak melupakan hak Kerajaan Kelantan dan Terengganu untuk menerima royalti ekoran keuntungan besar yang diperolehi.

Sehubungan itu, ketuanya, Nasrudin Hassan at-Tantawi mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan dan kakitangan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang berjaya melonjakkan hasil pendapatan syarikat itu sebanyak 14.4 peratus iaitu kenaikan dari RM210.8 bilion tahun sebelumnya kepada  RM241.2 bilion bagi tahun lepas yang berakhir 31 Mac baru-baru ini.

Petronas berjaya mencatatkan keuntungan kasar sebanyak RM97.8 bilion dan keuntungan bersihnya meningkat kepada RM63.01 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 38.5 peratus berbanding RM45.49 bilion yang diraih pada tahun 2009.

“DPPP yakin, hasil ini diperolehi dengan kerja kuat dan keberanian pengurusan Petronas meneroka sumber-sumber baru didalam dan luar negara di samping pengurusannya yang lebih efisien berbanding GLC kerajaan lainnya yang kebanyakkannya gagal memberikan pulangan kepada negara,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, antara kelainan Petronas yang dapat dilihat berbanding GLC lain adalah penglibatan lebih ramai anak-anak muda yang diberikan peluang menyertai syarikat ini dan kesungguhan mereka untuk belajar lebih cepat di dalam industri petroleum.

Menurutnya, Petronas berjaya membuktikan bahawa anak-anak Melayu mampu ke depan sebagai kumpulan profesional dan berdaya saing.

Beliau turut mengucap tahniah kepada anak-anak muda Petronas bermula dari mereka yang bekerja di pelantar hinggalah ke menara KLCC yang telah membawa banyak perubahan kepada syarikat gergasi negara ini.

Petronas turut mengumumkan pemberian dividen sebanyak RM30 bilion kepada kerajaan sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

Walaubagaimanapun, ujarnya DPPP berharap agar Petronas tidak terikat dengan jumlah itu kerana sepatutnya kadar dividen yang disalurkan itu dikira berdasarkan nisbah peratus keuntungan bukan secara tetap RM30 bilion setahun.

Katanya, kerajaan harus menerima hakikat bahawa graf keuntungan Petronas ada masa turun naiknya, jadi perlulah pengkadaran nisbah peratus keuntungan dibuat bagi setiap dividen tahunan yang ingin disalurkan kepada kerajaan bagi memastikan syarikat berkenaan dapat beroperasi dengan dana yang mencukupi.

Tambahnya, DPPP juga berharap agar Kerajaan Persekutuan tidak melupakan hak Kerajaan Kelantan dan Terengganu untuk menerima royalti.

“Setiap tahun Kerajaan Persekutuan menerima RM30 bilion sedangkan rakyat kedua-dua negeri ini hanya mampu membaca dan mendengar data-data keuntungan ini diungkapkan tanpa merasai sesen pun hasil dari perut bumi mereka.

“Adalah tidak adil jika RM30 bilion dibolot semuanya oleh Kerajaan BN sedangkan sumber hasil itu adalah dari Kelantan dan Terengganu juga,” ujarnya.

Beliau berkata, DPPP juga yakin jumlah keuntungan Petronas ini dapat ditingkatkan melebihi RM100 bilion jika pendaratan minyak Kelantan dibuat dinegeri itu dan bukannya melalui negara Thailand yang menyebabkan Petronas terpaksa membayar sejumlah royalti kepada negara berkenaan.

Katanya, begitulah nasib Kelantan dan Petronas akibat dari hasad dengki pemimpin politik dalam BN yang kecewa kerana masih gagal merampas negeri berkenaan kerana dendam politik, wang negara dibazirkan.

“DPPP berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat mempergunakan hasil dividen itu untuk kepentingan rakyat dan menstabilkan harga minyak di pasaran bagi mengelakkan kenaikan harga barang-barang pengguna yang lain,” ujarnya.

Tambahnya, tiada sebab harga minyak perlu dinaikkan lagi kerana keuntungan yang diperolehi terus meningkat.

Ini, katanya menandakan bahawa tiadanya bebanan kos di luar kemampuan dan pihak Kerajaan masih mampu menstabilkan harga minyak.

Malah, ujarnya jumlah dividen RM30 bilion Petronas itu belum dicampur lagi dengan cukai yang dikenakan kerajaan kepada syarikat ini dan syarikat minyak lain seperti Shell, Caltex, BP dan Exxon Mobil.

“Kepada pihak pengurusan Petronas DPPP mendesak agar bonus yang berpatutan diberikan kepada kakitangan mereka yang telah bertungkus lumus khususnya di pelantar dan di loji-loji,” katanya.

Di samping itu, DPPP juga berharap agar Petronas turut mempeluaskan penajaan mereka bagi aktiviti sukan dan kemasyarakatan dalam negara.

“Jika mereka boleh melabur dan menaja jutaan ringgit bagi pasukan Formula 1, maka bukanlah perkara yang sukar untuk mereka melabur dan menyumbang lebih banyak bagi aktiviti masyarakat dalam negara.

“Semoga Petronas dapat terus mengekalkan prestasi dan budaya kerja mereka agar dapat menjadi model kepada syarikat-syarikat tempatan lainnya,” ujarnya lagi.

Hd

Bongkar: IPP Projek Khas Kroni Mahathir


Siapa yang buat untung dengan IPP?

Mungkin ramai masih ingat kejadian gangguan bekalan elektrik berlaku di seluruh negara pada 1996. Ada dakwaan ia sengaja dilakukan bagi mengizinkan kelahiran syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP).

Pengerusi Tenaga Nasional Bhd (TNB) ketika itu, Tan Sri Ani Arope menjadi mangsa apabila dihentam secara terbuka Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Dan akhirnya membawa perletakan jawatan Ani.

TNB juga menjadi mangsa apabila dipaksa membeli tenaga daripada IPP dengan harga mahal.

Petronas juga diarah menjual gas dengan harga lebih murah kepada IPP biar pun membeli mahal daripada Indonesia dan kawasan JDA Malaysia-Thailand.

Bekas akauntan Petronas, Rafizi Ramli mendakwa Petronas membeli satu barrel dengan harga RM40 dan dijual pula kepada IPP dengan harga RM10.

Katanya, TNB juga dipaksa membeli kuasa dibekalkan penjana bebas milik kroni Dr Mahathir dengan harga mahal.

“Berdasar kepada perjanjian yang berat sebelah tersebut menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung subsidi sehingga RM21 bilion untuk IPP milik bukan Melayu yang rapat dengan Dr Mahathir.

“IPP diwujudkan sebagai usaha menjaga kroni pemimpin Umno dengan berselindung di sebalik gangguan bekalan elektrik pada 1996,” katanya pada ceramah isu semasa di Kampung Kubur Kuda dekat sini malam tadi.

Hadir sama pada ceramah itu bekas Ketua Pemuda Umno Ketereh, Sobri Safii, pegawai penerangan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Ustaz Abdul Hamid Derani, Ketua Cabang PRK Kota Bharu, Abdul Halim Harun dan Ketua Pemuda PAS kawasan, Wan Azimin Wan Adnan.

Rafizi yang juga Pengarah Strategik PKR berkata, belum pun kerajaan mengumumkan kenaikan tarif elektrik secara rasmi, bil terbaru yang diterima pengguna sudah tercatat kadar tarif baru.

Katanya, ramai terkejut menerima bil bulanan terbaru mereka apabila tercatat kenaikan tarif elektrik biar pun kerajaan belum mengumumkan secara rasmi.

Menurutnya juga mengikut perancangan awal kerajaan BN, harga Petrol RON95 akan dinaik kepada RM2.25 sen seliter menjelang hujung tahun hadapan.

Bagaimanapun katanya kerajaan tidak berani melakukan sekarang kerana dibantah orang ramai.

Namun sepanjang 18 bulan lalu kerajaan menaikkan harga gula lebih 58 peratus dan petrol RON97 sekarang melonjak kepada RM2.90 seliter.

”Harga petrol boleh dikurangkan sehingga 60 sen seliter apabila rakyat memberi mandat kepada Pakatan memerintah Putrajaya nanti.

“Ia boleh dilakukan dengan menghapuskan subsidi untuk IPP di mana sekarang sebanyak RM21 bilion diperuntuk kerajaan setiap tahun,” ujarnya.

Abdul Hamid pula berkata sepatutnya Pemuda Umno meminta kerajaan pusat menyediakan kertas putih mengenai banyak berlaku penyelewengan dalam Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).

Katanya, projek pemasangan longkang fiber yang dibuat Kada suatu ketika dahulu bagi menyalur air ke sawah hanya mampu bertahan semusim tanaman padi sahaja.

”Banyak duit dibazirkan untuk projek tersebut. Begitu juga kewujudan Dataran Kada tidak banyak memberi manfaat kepada petani,” ujarnya.

Sobri pula berkata, kerajaan negeri berjaya memintas rancangan Ketua Umno Ketereh, Tan Sri Annuar Musa bagi membodek Perdana Menteri untuk mendapatkan peruntukan membina stadium di Kelantan.

Katanya, projek stadium tersebut dimohon dengan harapan BN dapat merampas semula Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.

”Tiba-tiba projek yang sedang dilobi pemimpin Umno sudah diumumkan lebih awal kerajaan negeri,” ujarnya.

HD

Ku Li ‘Balun’ Putrajaya Pulak


Ku Li gesa kembalikan hak royalti Kelantan

Bekas Menteri Kewangan Tengku Razeligh Hamzah menggesa Putrajaya menghentikan sebarang amalan menganak-tirikan kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat dan merujuk kepada isu royalti minyak Kelantan sebagai contoh hak rakyat negeri dinafikan .

“Saya rasa tak ada perkara yang patut menghalang pemberian wang tunai ini daripada dilanjutkan ke negeri berkenaan (Kelantan). Ada minyak bayarlah, ” kata Tengku Razaleigh dalam wawancaranya dengan TV Selangor.

“Tak ada (wang ehsan) dalam Akta Kemajuan Petroleum. Wang ehsan ini sedekah. Rakyat (Kelantan) bukan nak minta sedekah, Ini (royalti) hak dia,” kata beliau.

Tokoh veteran Umno itu menegaskan Kerajaan Pusat tidak harus menganaktirikan kerajaan negeri walaupun dokongan politik masing-masing berbeza kerana ia hanya menyusahkan rakyat.

“Tak kira siapa kerajaan pun, Sama ada di Kelantan, Kedah, Pahang, Selangor dan Johor sama sahaja. Jadi kalaulah hendak menganaktirikan negeri sebab berlainan politik, tak patut (kerana) yang menanggungnya adalah rakyat, bukan kerajaan yang berkuasa.

“Tak ada keadilan dari segi itu,” katanya.

Kerajaan negeri dibelakangkan

Menurut Razaleigh konsep federalisme di Malaysia tidak akan bermakna jika hak-hak kerajaan negeri dibelakangkan.

“Kalau kita dengar ada negeri yang tak dapat layanan sewajarnya, saya rasa itu tak patut. Ia bertentangan dengan semangat persekutuan itu sendiri. Jadi tak ada makna adanya (konsep) persekutuan kalau semangat kerjasama dan tolong menolong tidak diteruskan,”katanya.

Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan adalah di bawah pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Pemimpin negeri berkenaan sering merungut dipinggirkan dalam pelbagai program kerajaan pusat.

Pengagihan peruntukan untuk negeri-negeri berkenaan didakwa tidak setimpal berbanding negeri di bawah pemerintahan Umno-BN.

Razaleigh berkata tuduhan bahawa kerajaan persekutuan menganak-tirikan kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Rakyat tidak boleh ditolak begitu sahaja.

“Saya dengar ada pihak pusat nak cuba sabotaj pentadbiran negeri. Saya dengar di Pulau Pinang, bukan dari pihak yang berkuasa di negeri itu, tetapi dari rakyat yang memberitahu saya ada (yang) dihasut pegawai supaya jangan beri kerjasama dan sebagainya. Saya rasa tak patut.

“Seharusnya wajib diberi kerjasama kepada siapapun yang memerintah sebaik mungkin untuk sampaikan khidmat dan apa yang perlu kepada rakyat,” katanya.

NONEMengimbau isu royalti minyak Kelantan, Razaleigh berkata Kelatan tidak harus dilayan berbeza daripada Sabah dan Sarawak semata-mata kerana negeri pantai timur itu dibawah penguasaan PAS.

“Kalau negeri nak terima lima peratus, syaratnya minyak kena ada berhampiran dengan negeri. Sabah dan Sarawak terus dapat (royalti). Kalau ikut (prosedur itu), Sarawak pun tak boleh dibayar. Maknanya kerajaan boleh arahkan Petronas jangan bayar Sarawak,” katanya.

Saman Petronas

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mendakwa Kelantan tidak layak menerima royalti untuk minyak yang digali di kawasan persisirannya namun akan diberikan wang ehsan RM20 juta sebagai ganti.

Tawaran itu ditolak oleh kerajaan negeri yang mengemukakan pelbagai bukti untuk menyokong hujah bahawa rakyat Kelantan berhak mendapatkan royalti sehingga RM2 bilion.

NONESehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengambil keputusan untuk mengemukakan saman terhadap Petronas berhubung tuntutan royalti minyak yang diperoleh dari perairan negeri itu – di sempadan Thailand-Kelantan.

Razaleigh yang juga bekas Pengerusi Petronas juga membayangkan kepimpinan kerajaan Umno-BN tidak melaksanakan Akta Kemajuan Petroleum secara betul sehingga mengakibatkan pelbagai kemelut.

“Sebenarnya perdana menteri adalah menteri bertanggungjawab mengenai minyak di negara ini mengikut Akta Kemajuan Petroleum. Tapi pelaksanaan akta ini tidak betul. Sepatutnya Majlis Petroleum Kebangsaan menasihati perdana menteri mengenai perkara-perkara seperti cari gali dan penyimpanan rizab.

“Sepatutnya Majlis Petroleum Kebangsaan dianggotai pegawai kanan kerajaan persekutuan dan negeri pengeluar minyak. Mereka sepatutnya menasihati perdana menteri, namun majlis ini tak wujud sekarang, “ katanya.

mKini

Ku Li Tuntut Kembali Royalti Minyak Kelantan


Ku Li berkata perselisihan antara beliau dan istana tidak menghalang untuk beliau meneruskan isu tuntutan royalti minyak Kelantan.

Ini adalah isu rakyat Kelantan yang sepatutnya mendapat layanan sama rata seperti negeri negeri lain yang mendapat royalti minyak.

malaysiaKini melaporkan…

Ku Li timbulkan semula isu Royalti minyak Kelantan

Ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang berdepan masalah dengan istana Kelantan kini kembali menyuarakan tuntutan negeri itu ke atas royalti minyak.

Katanya, rakyat negeri itu berhak ke atas sumber berkenaan yang didapati daripada bumi mereka sendiri.

Putera raja Kelantan itu juga berkata, perkara berkenaan merupakan isu yang perlu diselesaikannya demi kepentingan rakyat Kelantan.

Jelasnya, ia akan diteruskan walaupun beliau kini menghadapi masalah dengan Istana Kelantan.

Sultan Muhammad V pada akhir tahun lalu bertindak menarik balik darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Tengku Razaleigh sebelum ini.

Tengku Razaleigh menjelaskan, isu royalti minyak dan isu pengurniaan darjah kebesaran itu merupakan dua perkara berbeza.Beliau memberi alasan, isu royalti minyak melibatkan konsep federalisme.

Jelasnya, penubuhan Petronas juga bertujuan memajukan negeri-negeri di pantai timur semenanjung.

Langkah oleh Petronas itu berbeza dengan perjanjian oleh British yang tidak memberikan hak kepada negeri sekiranya minyak ditemui di luar pantai, katanya lagi.

Katanya lagi, atas dasar itu lah menteri besar dan ketua negeri menandatangani perjanjian dengan Petronas di bawah konsep federalisme untuk menyerahkan hak negeri kepada syarikat tersebut.

Tambahnya, perkara itu amat mudah untuk difahami.

Sekiranya minyak ditemui di negeri Terengganu, Pahang, Johor, Kelantan atau di Sabah dan Sarawak, negeri-negeri ini perlu dibayar royalti, katanya.

Loji Minyak PETRONAS Terbakar



ASAP masih kelihatan pada sebahagian loji penapis minyak Petronas yang terbakar di Kerteh, Kemaman malam kelmarin.

Loji minyak Petronas terbakar

KEMAMAN – Sebatang paip bocor mencetuskan kebakaran kecil di kawasan loji penapisan minyak milik syarikat Petronas Penapisan Terengganu Sdn. Bhd. (PPTSB) yang terletak di Kawasan Perindustrian Kerteh, Kemaman di sini malam kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh, Khairulhasni Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pengurusan loji tersebut pada pukul 11.54 malam.

Menurutnya, seramai 30 anggota bomba bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Kerteh, Balai Paka dan Balai Kompleks Petronas Kerteh dikejarkan ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.

Tambah beliau, sepasukan 30 pekerja dari syarikat loji penapisan minyak dikenali sebagai Emergency Response Team (ERT) turut membantu usaha memadamkan kebakaran itu.

“Kami berjaya memadamkan api kira-kira setengah jam kemudian dan menunggu sehingga pukul 3 pagi untuk menjalankan pemeriksaan rapi bagi memastikan api telah padam sepenuhnya,” kata di sini semalam.

“Tiada sebarang kecederaan dalam kejadian kebakaran itu dan sebagai langkah keselamatan, operasi di loji itu dihentikan sementara,” menurut kenyataan itu.

Selain daripada loji aromatik, operasi di kemudahan-kemudahan lain di dalam kompleks itu tidak terjejas.

Menurut kenyataan itu, semua pihak berkuasa relevan telah dimaklumkan dan siasatan sedang dijalankan bagi menentukan punca kebakaran dan menilai tahap kerosakan dalam kejadian itu.

Bernama

%d bloggers like this: