Tag Archives: Paul Tan

Umno Kelantan ‘Pening’ Kerana Najib


Najib menyukarkan keadaan Umno Kelantan

Kenyataan Perdana Menteri yang menolak hudud daripada dilaksanakan, akan lebih menyukarkan pemimpin Umno Kelantan untuk menyaingi Pas memenangi hati rakyat negeri itu.

Penganalisis Politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata, Pas sudah melakukan apa yang mereka perlu lakukan mengenai hudud.

“Mereka memerlukan laluan dan kuncinya berada di tangan Umno (sebagai Kerajaan Pusat). Apabila pemimpin Umno sendiri (Datuk Seri Najib Tun Razak) mengatakan hudud tak akan dilaksanakan, Pas sudah boleh lepas tangan. Rakyat tidak akan salahkan mereka,” katanya.

Dalam keadaan ini, kata Abdul Aziz, pemimpin Umno Kelantan berada dalam kedudukan paling sukar kerana mereka dilihat sebagai penghalang hudud dilaksanakan.

“Kita harus ingat, permintaan hudud di Kelantan disal:urkan melalui proses demokrasi. Pas terus diberi mandat untuk memerintah Kelantan sejak 1990. Ini sudah cukup bagi rakyat Kelantan untuk menunjukkan kehendak mereka,” katanya.

Bagi Abdul Aziz, Umno dilihatnya tidak bersedia untuk melaksanakan hudud walaupun mereka mengaku menerimanya.

Ini kerana, Kerajaan Pusat yang diterajui parti itu tidak pernah memberi laluan kepada hudud untuk dilaksanakan.

“Saya melihat Umno menentang dan mensabotaj pe-laksanaan hudud. Ini akan menyebabkan parti itu menghadapi masalah dalam kalangan orang Islam,” katanya.

Mengenai orang bukan Islam, Abdul Aziz berkata, bukan semua mereka menolak hudud.

“Presiden Majlis Ketua-ketua Gereja Katolik Malaysia, Dr Paul Tan Chee Ing pun berkata, tidak betul bagi kerajaan menghalang Kelantan melaksanakan hudud. Biarlah mereka laksanakan apa yang mereka mahu kerana undang-undang itu hanya untuk orang Islam saja, tidak melibatkan orang bukan Islam,” katanya.

Abdul Aziz berkata, kenyataan Najib secara terang-terangan menolak pelaksanaan hudud menyebabkan Umno di negeri ini sudah boleh dianggap ‘gulung tikar’.

Ahli akademik yang dianggap pakar perlembagaan itu berkata, Umno seharusnya membantu Pas, bukan menghalang parti itu.

“Jika tidak, parti itu akan terus kehilangan undi orang Islam kerana dianggap sebagai penghalang satu pelaksanaan undang-undang tuhan. Ini kerana, pelaksanaan hudud tak dapat tidak perlu dengan kerjasama Umno,” katanya.

Abdul Aziz berkata, selain Umno, semua kumpulan yang memperjuangkan kepentingan Melayu/Islam yang lain seperti Pertubuhan Kebangsaan Pribumi Perkasa (Perkasa) juga harus menyokong hudud.

Hs

Alhamdulillah: Orang Kristian Pun Support Hudud


Masyarakat Kristian: Hukum Hudud tiada salahnya selagi orang bukan islam dilindungi

Walaupun MCA dan Gerakan telah mengutuk PAS kerana menyatakan semula keinginan untuk memperkenalkan hukum hudud di Kelantan, pemimpin-pemimpin Kristian berpendapat bahawa tidak ada silapnya dengan rancangan tersebut. Ini adalah kerana semua pengikut bagi mana-mana agama sepatutnya digalakkan berusaha untuk menguatkan lagi pegangan mereka, selagi mereka tidak mengganggu hak orang lain.

“Perkara yang paling penting adalah untuk memastikan bahawa hak mereka yang berbeza agama dilindungi sepenuhnya. Oleh itu apa salahnya dengan perlaksanaan hudud di Kelantan atau negeri lain pun?” Ramon Navaratnam, bekas presiden ‘Transparency International’ dan pemimpin Kristian, Malaysia Chronicle melaporkan.

“Kita tidak patut mempolitikkan semua perkara terutamanya agama. Adalah perkara biasa bagi seorang Islam dan Kristian mahupun seorang penganut Buddha dan juga Hindu untuk berusaha mengukuhkan pegangan mereka seboleh mungkin dan ini sepatutnya digalakkan. Ia hanyalah salah apabila mereka tidak mengendahkan orang lain dan mula bertindak melampau di dalam perlakuan dan amalan. Selagi rakyat bukan Islam di Malaysia dilindungi sepenuhnya, penganut Kristian dan rakyat Malaysia amnya tidak seharusnya berfikiran cetek dan bimbang tanpa sebab yang munasabah.”

Kenyataan Ramon disokong oleh Dr Paul Tan Chee Ing, presiden ‘Catholic Bishops’ Conference of Malaysia’.

“Saya berpendapat telah tiba masanya untuk membenarkan rakyat Islam di Kelantan, untuk melaksanakan hukum shariah asalkan rakyat bukan Islam dikecualikan daripada perlaksanaannya,” kata Paul, yang juga merupakan ketua ‘titular’ Katholik di diocese Melaka-Johor.

MCA dan Gerakan katakan TIDAK!

Kenyataan pemimpin-pemimpin Kristian bercanggah dengan kenyataan presiden MCA dan Gerakan iaitu Chua Soi Lek dan Koh Tsu Koon, kedua-duanya membangkang keras, walaupun sebab-sebab mereka berbuat demikian tidak jelas.

“Pegangan MCA sangat jelas. Kami bantah sekeras-kerasnya terhadap perlaksanaan hudud. Jika Umno mahu melaksanakan hudud, MCA akan menarik diri dari Barisan Nasional – mudah sahaja.  Pendirian kami amat jelas. Umno ingin melaksanakan hudud, MCA tidak akan bekerjasama, kami tidak akan terlibat,” beritahu Soi Lek kepada wartawan pada hari Jumaat.

“Malaysia adalah Negara yang majoriti penduduknya beragama Islam tetapi dengan minoriti penduduk bukan beragama Islam yang ketara. Asas perlembagaan Negara kita memulihara hak-hak masyarakat majmuk, dan kerana itulah undang-undang punitif adalah sekular dan melibatkan semua pihak. Kami tidak boleh mempunyai undang-undang berlainan untuk setiap lapisan masyarakat,” kata Chang Ko Youn, timbalan presiden Gerakan di dalam kenyataannya.

Bagaimana dengan hak-hak orang Islam?

Walaubagaimanapun, seperti yang telah diutarakan oleh masyarakat Islam, kedua-dua ahli politik MCA dan Gerakan tersebut berkemungkinan melakukan apa yang mereka menuduh PAS lakukan – iaitu menghadkan hak-hak masyarakat lain.

“Pernahkah MCA dan Gerakan mengambil kira perasaan masyarakat Islam? Hudud hanyalah untuk orang Islam. Kami mahu dihakimi dibawah hukum hudud kerana ingin menjadi pengikut yang taat. Mengapa MCA dan Gerakan mahu melarang? Undang-undang Syariah telah dipraktikkan di Negara kita dan ia tidak langsung melibatkan masyarakat bukan Islam, jadi mengapa takutkan hukum hudud?” beritahu Khalid Samad, ahli parlimen PAS Shah Alam kepada Malaysia Chronicle.

Khalid juga mengecam Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin kerana mengatakan Umno menyokong hudud tetapi Negara tidak bersedia untuk melaksanakannya.

“Sebagai satu bangsa, kita  masih belum bersedia untuk hukum hudud, itu benar. Ini adalah kerana kerjasama Umno dengan MCA dan Gerakan dan parti-parti komponen untuk memburukkan hudud, agar masyarakat bukan Islam dan juga segelintir umat Islam takutkannya. Jika Umno dan BN tidak mempolitikkan hukum hudud, mendidik masyarakat awam mengenainya adalah lebih mudah. Pemimpin-pemimpin agama tidak mempunyai masalah kerana mereka celik agama. Ahli-ahli politik yang memporak-perandakan keadaan,” kata Khalid.

Kelantan

Hukum hudud merupakan salah satu cabang daripada undang-undang Islam yang melibatkan 6 kesalahan jenayah, dan ia amat digeruni kerana melibatkan hukuman seperti rejam sehingga mati, pemotongan anggota badan dan sebatan. 6 jenayah hudud adalah mencuri, merompak, berzina, fitnah zina, minum arak dan murtad.

Dalam Pakatan, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang juga merupakan ketua umum PKR, menyokong hukum hudud dan Kelantan patut melaksanakannya selagi hak-hak masyarakat bukan Islam dilindungi sepenuhnya. DAP bagaimanapun tidak bersetuju dangan pendapat beliau.

Keadaan dalam Pakatan bukanlah suatu yang baru dan ketiga-tiga parti telah menyatakannya berulang kali. Jika PAS ingin melaksanakan hukum hudud atau negeri Islam, ia perlu mempunyai majoriti yang mencukupi di peringkat negeri mahupun kerajaan persekutuan. PKR mahupun DAP tidak terikat untuk menyokong cadangan tersebut. Di Kelantan, PAS mempunyai majoriti yang mencukupi kerana hanya 10 peratus daripada penduduknya adalah bukan Islam.

Akan tetapi, Nik Aziz Nik Mat , Menteri Besar Kelantan tidak berupaya berbuat demikian kerana kerajaan persekutuan di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad telah mengeluarkan surat melarang perlaksanaan hukum hudud di Kelantan. Nik Aziz telah mencabar Perdana Menteri, Najib Razak untuk membatalkan surat tersebut, namun, tidak mendapat sebarang maklumbalas.

%d bloggers like this: