Tag Archives: Pasir Puteh

Fizo Omar Diburu Bank kerana Hutang $2 Juta ?


Hutang RM2 Juta ,fizo omar diburu bank

Pelakon kacak yang sedang mencipta nama Fizo Omar kini dalam ketakutan kerana mungkin diisytiharkan muflis berikutan kegagalan membayar balik pinjaman bank berjumlah RM2 juta, lapor akhbar-akhbar tempatan hari ini.

Itulah masalah berat pelakon popular, Wan Hafizol Wan Omar atau terkenal dengan nama glamornya, Fizo Omar apabila sebuah bank kini memburunya kerana dikatakan gagal melunaskan RM2 juta.

Namun yang lebih mendukacitakan pelakon berusia 26 tahun itu adalah apabila dia mendakwa namanya telah disalahgunakan sebagai penjamin bagi pinjaman tersebut tanpa pengetahuannya.

“Saya telah mendapat panggilan daripada pihak bank tahun lalu bahawa surat peringatan untuk menjelaskan pinjaman telah diserahkan kepada syarikat.

“Saya benar-benar tertekan kerana ia boleh menjejaskan kerjaya sekiranya saya diisytiharkan muflis jika gagal membuat pembayaran,” katanya di Kosmo hari ini.

Menceritakan lebih lanjut tentang masalah tersebut, pelakon filem Kongsi yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan itu berkata, dia telah diajak menjadi rakan kongsi sebuah syarikat percetakan di ibu negara oleh seorang kenalan pada tahun 2008.

Berikutan itu, katanya, dia dilantik sebagai pengarah urusan dan salah seorang ahli lembaga pengarah syarikat tersebut.

Bagaimanapun penglibatan Fizo bersama syarikat tersebut yang beroperasi di Damansara di sini tidak kekal lama apabila dia menarik diri beberapa bulan kemudian.

“Hidup siapa tenteram kalau tiba-tiba terpaksa menjadi penjamin hutang lebih RM2.5 juta sedangkan saya tidak tahu apa-apa,” katanya dipetik Harian Metro.

Menurut Fizo, dia mengetahui mengenai pinjaman itu selepas dihubungi pihak bank yang memaklumkan tunggakan bayaran oleh peminjamnya.

“Semuanya bermula pada 2008 sebelum saya menceburi bidang lakonan. Saya dilantik menjadi ahli lembaga pengarah sebuah syarikat yang dikendalikan seorang kenalan.

“Saya keluar daripada syarikat itu pada hujung tahun sama kerana mahu menumpukan karier sebagai pelakon sehingga saya mengetahui bank menghantar notis tahun lalu kerana kegagalan menjelaskan pinjaman,” katanya.

tmi

Kesian Najib Kena Tipu Dengan Umno Kelantan


Berhentilah guna modal ‘atas angin‘: Husam

“Saya yakin, jika Perdana Menteri sanggup menggunakan maklumat atas angin seperti itu, tentulah dalam isu yang lain juga beliau mudah membeli maklumat bakul sampah,” kata Husam Musa.

Seorang exco kanan kerajaan negeri Kelantan menyifatkan dakwaan Perdana Menteri bahawa tapak stesyen teksi Pasir Puteh yang beroperasi sekarang telah dijual oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sebagai modal atas angin semata-mata.

Dalam satu kenyataan media semalam, Dato’ Husam Musa berkata, selain itu, Datuk Seri Najib Tun Razak juga menyebut tapak itu telah dirampas oleh Kerajaan Negeri melalui PKINK.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Najib bahawa beliau (Najib) berjanji akan menyediakan pejabat baru kepada Persatuan Pemandu Teksi Jajahan Pasir Puteh setelah kononnya kerajaan PAS Kelantan merampas tapak perhentian teksi di bandar Pasir Puteh itu dan menjualnya kepada sebuah syarikat swasta.

Ucapan Perdana Menteri semalam dipetik oleh Bernama di bawah tajuk “PM Janji Beri Pejabat Baru Untuk Persatuan Kereta Sewa Pasir Puteh”.

Menurut Husam, yang juga Naib Presiden PAS, kenyataan Najib tersebut tidak berasas sama sekali kerana PKINK pada sebarang masa tidak pernah menjual tapak berkenaan, bahkan disediakan percuma untuk perkhidmatan teksi di Pasir Puteh.

“Walaupun sebelum ini, PKINK mengenakan sedikit bayaran ke atas persatuan pemandu teksi Pasir Puteh, tetapi kini, bagi tujuan kebajikan ahli persatuan tersebut, PKINK tidak mengenakan sebarang bayaran,” jelas beliau.

Katanya, apa yang berlaku ialah ada pihak tertentu pernah memohon untuk membeli tapak berkenaan bagi kemudiannya diserahkan kepada pihak lain untuk dimajukan tetapi permohonan tersebut telah ditolak oleh PKINK bagi mengekalkan kedudukan tapak teksi tersebut.

Husam berkata, Najib atau sesiapa sahaja boleh menunjukkan bukti atas dakwaan mereka. Sudah tentu Najib tidak mampu berbuat demikian kerana isu ini adalah modal atas angin semata-mata.

“Selaku rakyat Malaysia, saya merasa malu atas salah maklumat yang disampaikan kepada pemimpin terpenting negara ini sehingga Perdana Menteri menyebut sesuatu yang tidak berasas dalam ucapan beliau.

“Saya menggesa agar Perdana Menteri menyemak pihak yang telah memberikan maklumat tidak bertapis seperti itu bagi mengelak kenyataan yang sama berulang, yang boleh menjejaskan kredibiliti beliau,” ujar beliau.

Tiada isu besar di Kelantan

Selain itu katanya, ia juga menunjukkan Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai isu besar di Kelantan yang boleh dibangkitkan sehingga maklumat tidak berasas pun terpaksa dijadikan modal.

“Saya yakin, jika Perdana Menteri sanggup menggunakan maklumat  atas angin seperti itu, tentulah dalam isu yang lain juga beliau mudah membeli maklumat bakul sampah, termasuk dalam isu himpunan menuntut pilihan raya yang bersih dan adil pada 9 Julai ini,” tegas beliau.

Ujarnya, “isu yang lebih besar seperti rampasan wang royalti minyak Kelantan tidak pula disebut. Isu-isu janji pilihan raya Pengkalan Pasir, Manek Urai dan Galas yang belum selesai juga tidak disebutkan.

“Saya yakin kerajaan negeri bersedia memberikan tapak berkenaan untuk dimajukan dengan kemudahan yang lebih baik jika kerajaan pusat serius untuk memajukannya.

Mengenai kononnya majlis Perdana Menteri di Pasir Puteh dihadiri oleh puluhan ribu rakyat jelata, amat malang kerana lawatan yang penting seperti itu hanya dimeriahkan oleh kerahan paksa pelajar sekolah dan kakitangan kerajaan.

“Buktinya, semuanya ‘dipakaikan’ baju merah yang dibekalkan terlebih dahulu. Tidak ada tanda kedatangan sukarela atas pilihan sendiri tetapi datang ‘berjemput’ siap ‘beruniform’.

“Lebih menggelikan hati bila bangunan rasmi pejabat kerajaan persekutuan di Wisma Persekutuan telah ‘ditawan’ oleh BN dengan dipenuhi oleh bendera parti itu,” tambah beliau.

Husam berkata, ternyata, kedatangan Perdana Menteri telah mencemarkan lagi konsep pemisahan antara parti dan kerajaan.

“Jika inilah sikap BN yang terus menggunakan premis, harta dan  kerajaan untuk kepentingan parti mereka tanpa segan silu, ia perlu terus ditolak oleh rakyat yang cintakan amalan politik yang telus, bersih, amanah dan amalan politik kepartian yang melampau,” katanya.

fmt

Kelantan Bina Stadium Baru Untuk Kapasiti 40k Peminat Bolasepak


Stadium baru dianggarkan bernilai rm160 juta

KOTA BHARU, 18 Mei: Kerajaan negeri Kelantan akan membina sebuah stadium yang memuatkan 40,000 orang di samping ruang masjid di merata-rata bahagiannya di Bukit Merbau, Pasir Puteh.

Perkara ini diumumkan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Mat dalam satu kenyataan media yang dibacakan selepas Mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini.

“Saya ingin membuat pengumuman pada hari ini satu berita gembira buat rakyat Kelantan khususnya peminat-peminat sukan tanahair di mana Kerajaan Kelantan telah bersetuju untuk membina sebuah kompleks sukan bersekali dengan Bandar baru untuk kegunaan aktiviti sukan di negeri ini.

“Kompleks tersebut yang antaranya akan menempatkan sebuah stadium utama dengan kapasiti 40,000 tempat duduk bertempat di atas tanah milik kerajaan di Bukit Merbau, Pasir Puteh,” kata beliau.

Katanya, kerajaan berhasrat agar stadium yang akan dibina ini turut memuatkan ruang masjid di merata-rata bahagian yang akan membolehkan penonton-penonton solat berjemaah dengan mudah di dalam stadium.

Ini bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri yang mahukan aktiviti sukan di negeri ini tidak berpisah dari roh Membangun Bersama Islam yang menjadi dasar pentadbiran kerajaan negeri.

Bagaimanapun rekabentuk secara terperinci terpulang kepada arkitek yang akan diberikan tanggungjawab ini nanti, katanya.

Menurut Nik Aziz, cadangan pembangunan stadium dan kompleks sukan ini terbuka kepada mana-mana pemaju menghantarkan cadangan atas dasar BOT iaitu bina, operasi dan pindah.

“Saya berharap dengan pembinaan kompleks sukan ini nanti, aktiviti sukan di negeri ini dapat berdaya maju dengan lebih baik ke arah membentuk masyarakat yang sihat jasmani dan rohani insya-Allah,” katanya.

H.daily

%d bloggers like this: