Tag Archives: noraniza idris

Noraniza Idris Akui Rezeki Bertambah Selepas Berkahwin


Rezeki Noraniza bertambah selepas berkahwin

Penyanyi lagu berentak etnik kreatif, Noraniza Idris, 43, mengakui rezekinya semakin bertambah sejak berkahwin dengan Jeffri Hudi, 52, seorang bilal sebuah masjid di Singapura pada September lalu.

Noraniza berkata, suaminya banyak membantu menguruskan kerjaya seninya selain sentiasa memberi nasihat dan dorongan kepadanya.

“Alhamdulilah rezeki selepas berkahwin semakin murah dan jelas. Suami juga banyak membantu dalam mengaturkan kerjaya seni supaya lebih teratur,” ujarnya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Dikir Puteri itu ditemui pada sidang media program Santai Primadona Noraniza Idris 2012 di Restoran Seri Melayu disini pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, Noraniza memberitahu dia bakal melancarkan single terbarunya bersama peminat pada 25 Disember depan di Hotel MSuite Johor Bahru.

Noraniza berkata, lagu Dekatlah Padaku nyanyian asal Datuk Sharifah Aini itu akan dimuatkan dalam album penuhnya berjudul Primadona dan akan dipasarkan pada Mei tahun hadapan.

“Single itu nanti akan dilancarkan bersama peminat-peminat Kak Ani yang datang ke Hotel MSuite iaitu menerusi program Santai Primadona Noraniza Idris.

“Jelajah ini juga adalah untuk mempopularkan kembali lagu-lagu dari era 70-an selain menghargai jasa dan pengorbanan biduanita negara yang pernah mengharumkan industri muzik,” ujarya.

Ujarnya, selain lagu daripada Sharifah Aini, dia bakal merakamkan lagu-lagu popular daripada Allahyarham Rafeah Buang dan Sanisah Huri untuk album terbaru itu nanti.

Tambah Noraniza, suaminya banyak membantu dalam pemilihan enam buah lagu yang bakal dimuatkan dalam album tersebut seperti Pengorbanan, Perpisahan dan Sejak Ku Bertemu Pada Mu dan lain-lain.

Sementara itu, bercakap mengenai program Santai Primadona Di Hotel MSuite, Noraniza berkata, ia adalah kerjasama syarikatnya iaitu Noraniza Idris Production Ventures Sdn. Bhd. (NIPV), A&A World Vacation Sdn. Bhd. dan Fontana Cafe & Catering.

Ujarnya, acara itu telah lama dirancang iaitu sejak tahun 2008 tetapi hanya pada Disember depan ia dapat dilaksanakan.

“Ia bukan sekadar untuk melancarkan single terbaru saya tetapi juga untuk mempromosikan pelancongan Malaysia melalui seni dan budaya terutamanya kepada pelancong di Singapura.

“Disini pihak A&A World Vacation akan memainkan peranan yang akan menyediakan pakej percutian istimewa dengan aktiviti terancang pada program itu nanti.

“Manakala Fontana Cafe & catering akan menyediakan makanan istimewa kepada semua pengunjung dengan pelbagai aktiviti disediakan,” katanya.

Noraniza berkata, pakej percutian itu menawarkan harga serendah RM200 (dewasa)dan RM99 (kanak-kanak dibawah 12 tahun) dengan tempat terhad untuk 350 orang sahaja.

Tambahnya, sesiapa yang ingin menyertai program atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi 03- 5621 2648 (Kuala Lumpur) atau 07 – 5569 276.

mStar

Gambar Perkahwinan Noraniza Idris Dengan ‘Tok Bilal’


Selamat pengantin baru, semoga jodoh berkekalan pada kali ini…

Bestnya nikah pada petang khamis…hahaha

Noraniza akhirnya bergelar isteri kepada Jeffri

Dengan sekali lafaz, Penyanyi etnik kreatif, Noraniza Idris, 43, sah bergelar isteri kepada bilal sebuah masjid di Singapura, Jeffri Hudi, 52.

Majlis pernikahan mereka diadakan di Sanggar Utama, Padang A, Plaza Angsana, Johor Baru, Johor, kira-kira pukul 2 petang, Khamis.

Menurut pembantu peribadi Noraniza iaitu Yus Sulaiman, pasangan tersebut dinikahkan oleh jurunikah, Abu Bakar Watak berwalikan abang penyanyi itu, Mohd Arshad Idris dengan mas kahwin berupa senaskhah Al-Quran.

Noraniza juga turut menerima wang hantaran sebanyak RM15,000.

Turut menyaksikan majlis tersebut adalah ibu dan keluarga kedua-dua pasangan pengantin.

Pihak perempuan menerima enam dulang hantaran seperti set minyak wangi, tasbih, telekung, sirih junjung, sebentuk cincin serta sejadah dan dibalas lima dulang hantaran iaitu songkok dan kain pelekat, senaskhah Al-Quran, sirih junjung, sejadah dan set minyak wangi.

Noraniza anggun mengayakan busana kurung moden rekaan Eilla Faiz Shah (Busana Cinta), sementara pelamin ditaja oleh Juwein Bridal Gallery.

Sementara itu, majlis resepsi persandingan mereka akan diadakan pada Sabtu ini di Dataran Plaza Angsana, Johor Baru.

Ia diadakan seiring dengan sambutan Festival Kahwin-Kahwin Masyhur 1Malaysia Negeri Johor 2011.

Selain perkahwinan berkenaan, terdapat majlis perkahwinan melibatkan lima pasangan pelbagai kaum yang diadakan selama empat hari berturut-turut di tempat yang sama.

Majlis ini dianjurkan oleh Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd bersama Gerakan Belia 4B (M) Negeri Johor.

Ini merupakan perkahwinan ketiga Noraniza Idris dan perkahwinan kedua Jeffri.

Noraniza mempunyai dua orang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu manakala Jeffri yang menduda sejak 13 tahun mempunyai empat anak berusia antara 15 hingga 26 tahun.

mStar

Noraniza Idris Kahwin 29 September dengan Bilal Masjid Singapura


Noraniza Idris dan tunangnya, Jeffri akan melangsungkan majlis pernikahan mereka pada 29 September 2011 ini di Plaza Angsana, Johor Bahru. – Foto MOHD FAIHAN

Perkahwinan Noraniza dan Jeffri secara terbuka

Penyanyi etnik kreatif, Noraniza Idris, 43, bakal melangsungkan perkahwinannya dengan Jeffri Hudi, 52, bilal sebuah masjid di Singapura secara besar-besaran pada 29 September ini dan boleh disaksikan oleh orang ramai.

Majlis pernikahan akan berlangsung pada pukul 12 tengah hari di Sanggar Utama, Padang A, Plaza Angsana, Johor Bahru.

Ia diadakan seiring dengan sambutan ‘Festival Kahwin-Kahwin Masyhur 1Malaysia Negeri Johor 2011’.

“Pada mulanya keluarga saya menetapkan tarikh untuk kami bernikah pada 1 Oktober 2011 tetapi akkhirnya kami membuat keputusan lebih baik majlis ini diadakan serentak dengan sambutan festival itu. Lagipun jaraknya tidak jauh.

“Walaupun ia besar-besaran, tetapi saya rasa tidak salah kerana ia bertujuan untuk meraikan perkahwinan kami,” katanya ketika sidang media mengumumkan tarikh pernikahan mereka di Menara Yayasan Tun Razak, di sini, Selasa.

Noraniza hadir dengan tunangnya dengan mengenakan pakaian warna sedondon iaitu hijau pucuk pisang.

Berkongsi tentang cinta pasangan ini, biarpun pernah serik dengan dua perkahwinan lalu, namun Noraniza mula terbuka hati untuk berkahwin dengan bilal berkenaan setelah benar-benar mengenali hati budinya.

“Saya yakin dia merupakan jodoh saya kerana dia seorang yang berterus-terang dan menyokong setiap perkara yang saya lakukan.

“Hubungan kami terjalin sejak kami bertemu untuk urusan jualan amal anak yatim di Bazar Ramadan pada tahun lalu.

“Kemudian pada 22 April tahun ini, kami bertunang dan seterusnya menetapkan majlis pernikahan ini,” kata Noraniza.

Sementara tunangnya pula tertarik dengan Noraniza yang memiliki sifat wanita berwibawa.

“Saya juga menyenangi sikap Noraniza yang berterus-terang dan yang paling buat saya tidak dapat melupakannya apabila makan biskut tat nenas.

“Yang penting semua pihak merestui dan gembira dengan perkahwinan ini,” ujarnya.Majlis pernikahan yang akan berlangsung secara terbuka dijangka tamat pukul pukul 5 petang.

Selain perkahwinan kedua mempelai berkenaan, terdapat majlis perkahwinan melibatkan lima pasangan pelbagai kaum yang diadakan selama empat hari berturut-turut di tempat yang sama.

Majlis ini dianjurkan oleh Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd bersama Gerakan Belia 4B (M) Negeri Johor.

Ini merupakan perkahwinan ketiga Noraniza Idris dan perkahwinan kedua Jeffri.

Noraniza mempunyai dua orang anak lelaki manakala Jeffri yang menduda sejak 13 tahun lalu mempunyai empat anak berusia antara 15 hingga 26 tahun.

siti azira

%d bloggers like this: