Tag Archives: Nizar Jamaluddin

Masyaallah: Orang Ramai Bertali Arus Menziarahi Arwah Baharuddin


Al Fatihah

KUALA LUMPUR, 10 Julai: Orang ramai mula bertali arus ke Kelompok Camar, Ampang Ulu Klang bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Baharudin Ahmad, 56, yang meninggal di perhimpunan Bersih semalam.

Yang awal tiba di sini menjelang solat jenazah dan pengkebumian adalah pemimpin Bersih, Datuk S Ambiga di samping AJK PAS Pusat Khalid Samad, timbalan presiden PKR, Azmin Ali dan juga Nurul Izzah Anwar.

Turut tiba adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terpaksa berbalut lehernya selepas cedera semalam.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi tidak dapat hadir kerana sudah terpaksa berlepas ke Langkawi pagi tadi untuk persidangan anggota Parlimen Islam Antarabangsa di mana PAS adalah tuan rumahnya.

Haji Mohamad Sabu yang jatuh selepas motor yang diboncengnya dilanggar kereta peronda polis sebelum ditangkap juga tiba namun terpaksa duduk di atas kerusi kerana kecederaan pada kakinya.

Selain mereka, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan bekas MB Perak, Datuk Seri Nizar Jamaludin juga hadir. Nizar masih memakai baju Bersih bagi menyatakan sokongannya kepada perhimpunaan semalam.

Malam tadi Datuk Husam Musa bersama beberapa pemimpin kanan PAS yang tidak ditangkap menziarahi jenazah Allahyarham.

Turut bersama beliau adalah Datuk Kamarudin Jaffar dan Dr Siti Mariah Mahmud.

Baharudin meninggal selepas pengsan di perkarangan KLCC dan disahkan meninggal di HKL.

Beberapa maklumat diterima sehingga kini sebagai punca kematian selepas post mortem dibuat namun ianya masih belum dapat disahkan lagi oleh Harakahdaily.

Berikut adalah gambar-gambar pagi ini.

Hd

Calon favourite: Nizar Sah Bertanding Naib Presiden Pas


YB Datuk Seri Nizar Jamaluddin sah Bertanding jawatan Naib Presiden Pas

Bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin menamatkan teka-teki dengan menjadi orang terakhir mengesahkan bertanding merebut jawatan naib presiden dalam pemilihan PAS kali ini.

Pihaknya telah menghantar surat pengesahan ke Pejabat Agung PAS sebentar tadi, lapor Harakahdaily.

Dianggap sebagai ‘selebriti’ PAS, Mohamad Nizar dijangka mampu memberikan tentangan hebat kepada dua calon pilihan iaitu Salahudin dan Husam.

Beliau akan menghadapi pertembungan enam penjuru dengan dua penyandang sekarang, Salahudin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar; dua exco Kelantan Datuk Husam Musa dan Mohd Amar Nik Abdullah; dan Idris Ahmad.

Manakala Bendahari Agung PAS Dr Hatta Ramli yang sebelum ini mahu bertanding membuat ‘pusingan u’ beberapa jam sebelum tutup waktu akhir pengesahan pada jam 5 petang ini.

Husam Dicadang Bertanding Presiden PAS


Ini bukanlah kali pertama perwakilan Pas kawasan mencadangkan jawatan tertinggi dipegang oleh individu bukan ulama’.

Dizaman Pas mula mendapat tempat dihati rakyat Malaya dulu nama seperti doktor Zulkifli Mohamad adalah pemimpin politik yang dilahirkan oleh Pas bukan dari golongan ulama’ yang memegang jawatan Yang Dipertua Pas seperti jawatan Presiden sekarang ini.

Zulkifli Mohamad menjadi icon masyarakat ,disegani oleh kawan dan lawan politik kepada Pas pada waktu itu sehinggalah Tunku Abdul Rahman pernah berkata sekiranya Pas mempunyai Zulkifli Mohamad pada setiap zaman,nescaya Umno akan tinggal dalam muzium .

Adakah Husam akan membawa Pas kepada zaman seperti gemilangnya Zulkifli Mohamad? Pemidato dan Negarawan termasyhur dari Malaysia suatu ketika dulu.

Mungkin inilah maksudnya kata kata dari Tok Guru Nik Aziz..Pas Kelantan buat Husam bukan untuk Kelantan sahaja tetapi untuk Malaysia sebenarnya.

Kejutan pertama dari PAS Kawasan Bukit Bintang untuk jawatan Presiden Parti Islam Semalaysia

Dalam satu keputusan yang mengejutkan, PAS Kawasan Bukit Bintang telah mencalonkan exco kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa untuk bertanding jawatan presiden PAS dalam muktamar Jun ini.

Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat agungnya Jumaat lalu bertempat di Markas PAS kawasan Batu.

Mesyuarat itu juga mencalonkan bekas naib presiden, Mohamad Sabu untuk bergandingan dengan Husam bagi jawatan timbalan presiden.

Bagi tiga jawatan naib presiden pula, kawasan tersebut sebulat suara mencalonkan untuk mengekalkan penyandangnya, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.

Seorang lagi calon naib presiden ialah bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, kata yang dipertua PAS Bukit Bintang, Mohd Radzi Hashim.

Manakala calon bagi jawatankuasa PAS pusat pula, diserahkan untuk diputuskan oleh jawatankuasa kawasan itu.

Pada 2009, PAS Bukit Bintang pernah mencalonkan Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk bertanding presiden. Bagaimanapun mursyidul am PAS itu menolak pencalonan tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Mohd Radzi berkata pencalonan itu dibuat kerana Bukit Bintang percaya pemimpin berkenaan “boleh memimpin dalam suasana politik sekarang”.

“Akar umbi mahukan pemimpin yang boleh membawa perubahan dengan kehendak semasa tanpa memperlekehkan peranan (presiden sekarang) Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Beliau (boleh) lebih (berperanan dengan) diletakkan di Majlis Syura. (Oleh itu) Majlis Syura dapat diperkasakan dengan mengawasi dan memandu jawatan eksekutif,” katanya.

Menurutnya lagi, jika Abdul Hadi menganggotai Majlis Syura, maka beliau boleh membantu Nik Aziz antaranya menasihati ahli supaya tidak melanggar disiplin parti.

Mohd Radzi berkata, pencalonan bagi kepimpinan baru itu dilihat mampu untuk menarik golongan muda yang mahu perubahan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Gabungan antara ulama dan profesional dapat memperkasakan bagi menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata beliau dan barisan kepimpinan kawasan itu dikekalkan dalam pemilihan kali ini.

Abdul Rahim Sabri


%d bloggers like this: