Tag Archives: Negeri Sembilan

15 Restoran Guna Sos Ada DNA Babi di Negeri Sembilan


Sos Hp danTabasco pepper disahkan mengandungi DNA Babi

Sebanyak 15 premis makanan termasuk restoran makanan segera popular dan berstatus halal di negeri ini serta beberapa negeri lain dikesan menggunakan sos serta beberapa bahan yang disahkan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi.

Perkara tersebut terbongkar selepas pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melakukan pemeriksaan mengejut di premis berkenaan pada bulan lalu.

Hasil pemeriksaan tersebut mendapati, premis terbabit masih menggunakan produk HP Sauce dan Tabasco Pepper Sauce yang disahkan mengandungi DNA babi oleh Jakim.

Seorang jurucakap JHEAINS berkata, susulan itu semua premis makanan tersebut termasuk semua peralatan yang digunakan premis berkenaan terpaksa menjalani proses samak.

Katanya, premis berkenaan yang termasuk beberapa buah restoran, kedai kek dan restoran makanan segera telah disamak sebagai syarat untuk mereka memperoleh sijil halal.

“Kita melakukan pemeriksaan di premis-premis berkenaan selepas pihak Jakim mengesahkan bahawa dua sos berkenaan dan satu serbuk penaik jenama Puratos mengandungi DNA babi,” katanya di sini semalam.

Menurut jurucakap itu, ketika pemeriksaan, pemilik premis berkenaan mendakwa mereka tidak tahu bahawa produk yang digunakan oleh mereka mengandungi DNA babi.

Oleh SYED AHMAD ZULKARNAIN SYED ALI

Siapa Anak Datuk? Jual Orang


Penuntut IPTA, empat lelaki seludup 15 pendatang haram guna 4 kereta

KOTA TINGGI: Seorang anak Datuk yang masih menuntut di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA), bersama dua lelaki ditahan polis Ahad lalu, kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan pendatang haram di Sungai Rengit dekat Teluk Ramunia, di sini.

Bagaimanapun dua lagi rakan mereka dapat meloloskan diri di kawasan semak ketika konvoi empat kenderaan itu ditahan berhampiran sebuah bengkel, kira-kira jam 8 malam.

Penuntut IPTA berusia 21 tahun yang sedang bercuti itu menggunakan Perodua Myvi miliknya yang ditampal pelekat VIP (orang kenamaan) manakala tiga rakannya memandu tiga kenderaan berasingan dan seorang lagi menjadi penumpang, dipercayai mahu menyeludup keluar 15 pendatang Indonesia ke negara asal mereka.

Ketika ditahan anak Datuk itu membawa empat pendatang haram di dalam keretanya manakala selebihnya dimuatkan di dalam tiga kenderaan lain.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin, berkata pihaknya mendapat maklumat mengenai kegiatan mereka yang dipercayai menjadi tekong darat daripada orang ramai.

Katanya, polis menahan konvoi empat kenderaan berkenaan, tetapi dua lelaki yang menaiki sebuah kereta sempat melarikan diri di kawasan semak manakala tiga lagi termasuk anak Datuk berusia lingkungan 20-an ditahan untuk siasatan lanjut.
“Seramai 15 warga Indonesia termasuk dua wanita tidak sempat melarikan diri dan ditahan untuk siasatan lanjut. Kumpulan terbabit dipercayai menggunakan kenderaan peribadi bagi menghantar pendatang asing terbabit dari rumah transit ke jeti sebelum perjalanan pulang pendatang asing itu diambil alih pengusaha bot sekitar Pengerang dan Sungai Rengit,” katanya.

Beliau berkata, pendatang itu dikenakan kira-kira RM300 untuk sekali perjalanan, tidak termasuk tambang bot.

“Kebiasaannya, kumpulan tekong darat ini menggunakan kenderaan seperti van yang boleh membawa lebih ramai penumpang,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Muhammad berkata, polis kini mahu menghubungi dua lelaki iaitu Erey Azlan Abd Ghani, 30, dari Felda Palong 5, Gemas, Negeri Sembilan dan Muhammad Redhuan Mat Sheh, 21, dari Taman Bukit Tiram di sini, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Katanya, tiga tekong darat yang ditahan, disiasat mengikut Seksyen 55(e) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi pendatang asing.

azidan nahar

Jurulatih Bola Sepak Negeri Sembilan Dituduh Rasuah


Jurulatih pasukan bola sepak Piala Presiden Negeri Sembilan, Yusarman Yusof, 35, didakwa atas 21 pertuduhan mengatur perlawanan di Mahkamah Seksyen di sini, Isnin. Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah memberi rasuah berjumlah RM24,900 kepada 11 pemain bola sepak pasukan Piala Presiden Negeri Sembilan di antara 19 hingga 22 April lepas. Yusarman di bawa oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan.-Foto BERNAMA

Yusarman Yusuf didakwa 21 pertuduhan

SEREMBAN: Jurulatih pasukan bola sepak Piala Presiden Negeri Sembilan, Yusarman Yusof, 35, didakwa atas 21 pertuduhan mengatur perlawanan di Mahkamah Sesyen di sini, Isnin.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah memberi rasuah berjumlah RM24,900 kepada 11 pemain bola sepak pasukan Piala Presiden Negeri Sembilan antara 19 hingga 22 April lepas.

Sebelas pemain terbabit ialah D. Adrian, Mohamad Zulfadhlie Mohamad, Muhammad Zaidi Othman, Mohamad Yatim Abdullah, Muhammad Haikal Mohamad Nazri, Norhairi Abd Rahman, Muhammad Rizqi Azman, Anwarul Hafiz Ahmad, Suhairy Johari, Hamirul Fahamie Abu Yazid dan Mohd Hafiz Mohd Nor.

Yusarman dituduh memberi suapan antara RM200 hingga RM2,000 kepada pemain pasukan itu.

Ia sebagai dorongan supaya mereka membantu menjaringkan gol dan memberi peluang kepada pemain pasukan bola sepak Piala Presiden Pulau Pinang SDM Navy menjaringkan gol apabila mendapat isyarat daripada seseorang bagi perlawanan di Stadium Bertam, Pulau Pinang pada 21 April lepas.

Sebelas daripada pertuduhan itu dilakukan di Pusat Komersial Cempaka, Taman Cempaka, Senawang dekat sini pada 5 petang 22 April lepas, manakala sembilan pertuduhan dilakukan di tempat yang sama pada 9 malam 19 April lepas dan satu pertuduhan dilakukan di sekitar Seremban pada 10 malam hari yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Mohd Asri Abdul Rahman Sidik dan dibantu Jasmi Buang manakala Yusarman diwakili peguam Mohd Nor Hisham Hussain.

Hakim Datin Nursinah Adzmi membenarkan Yusarman diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Julai ini untuk sebutan kes.

Bernama

Pembunuh Ustazah dan Anak Kena Hukum Gantung


Ali Tan Abdullah didapati bersalah

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Seremban Khamis menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap seorang bekas pemasang paip kerana membunuh seorang ustazah dan anak lelakinya berusia 10 tahun pada tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Seremban Datuk Ahmad Nasfy Yasin mendapati Ali Tan Abdullah, 35 tahun bersalah kerana membunuh jiran sebelah rumahnya ustazah Norliza Ishak, 35 dan anak lelakinya Amirul Ayman Mohd Yusoff di B5-1-09B, Flat Win Min, Pasar Baru Port Dickson, Negeri Sembilan pada 2 Sept tahun lepas.

Dalam keputusannya, hakim itu berkata Ali Tan memberi keterangan bahawa dia hanya memasuki rumah mangsa untuk mengambil barang kemas, telefon bimbit, komputer riba dan alat permainan Playstation tetapi tidak membunuh mangsa dan anaknya.

Dia kemudian telah menggadai barang kemas itu dan menghantar komputer riba tersebut ke sebuah kedai untuk diformatkan. Selepas kejadian itu, Ali Tan tidak pulang ke rumah sebaliknya bermalam di sebuah hotel, katanya.

“Selepas kejadian, rumah mangsa dikunci dengan baik dan tidak ada kesan pecah masuk. Ini menunjukkan bahawa tertuduh adalah orang terakhir yang bertemu mangsa. Semua keterangan tertuduh adalah satu bentuk penafian semata-mata tanpa sokongan daripada sesiapa,” kata beliau.

Menurut suami mangsa, Mohd Yusoff Awang Besar, Allahyarham isterinya selalu memakai barang-barang kemas dan pada kejadian itu tertuduh telah bergelut dengan mangsa untuk merampas barang kemas tersebut.

“Pergelutan di dalam rumah menunjukkan tertuduh cuba merampas barang kemas itu. Mangsa juga mengalami beberapa kecederaan ketika dalam usahanya untuk mempertahankan diri. Muka dan leher mangsa lebam akibat dipukul dengan benda tumpul,” katanya.

Ketika kejadian itu, suami mangsa tiada di rumah kerana bekerja di Mesir.

Ali Tan yang dihukum gantung sampai mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, diwakili peguam Philip Yeow Boon dan S Gobind dan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa raya Mahmud Abdullah.

Bernama

Gempar Minyak Mentah Bocor di Port Dickson


Penduduk Port Dickson digempar kebocoran minyak mentah

Penduduk sekitar bandar peranginan ini telah dikejutkan dengan kejadian kebocoran minyak mentah yang belum diproses dipercayai berpunca dari loji penapis minyak dekat sini.

Adalah difahamkan loji berkenaan telah ditutup pada hujung minggu untuk kerja-kerja pembaikan. Bagaimanapun kebocoran itu dikesan sejak petang Sabtu lalu.

Proses membersihkannya kini sedang dijalankan.

Ramai yang melihat para pekerja yang mengenakan pakaian perlindungan khas berwarna putih melakukan kerja-kerja pembersihan di sebuah saliran dekat sini sepanjang hari minggu untuk membersihkan minyak yang bocor keluar itu.

Jentera berat termasuk jentolak turut kelihatan di kawasan yang tercemar untuk kerja-kerja pembersihan itu.

Beberapa penduduk di Kampung Paya dan Kampung Air Meleleh, yang terletak berhampiran dengan loji berkenaan telah memaklumkan tentang kebocoran itu kepada pihak pengurusan loji apabila melihat tompokan minyak hitam mengalir keluar menerusi salah satu saliran monson berhampiran kampung mereka.

Bau minyak yang kuat juga segera menyelubungi kawasan berkenaan.

Sementara itu dalam reaksi segera, Pengurus Komunikasi dan Perhubungan Korporat Shell Refining Company, Amri Mohd Sham, telah mengesahkan kebocoran itu yang bermula Sabtu lalu.

Katanya, langkah segera oleh kakitangan Shell dari loji berkenaan dengan bantuan Kumpulan Petroleum Industry Malaysia Mutual Aid telah berjaya membendung minyak yang mengalir keluar itu daripada memasuki Selat Melaka.

Amri menambah, mendapan minyak yang telah dikutip dari saliran monson tersebut akan dibawa semula ke loji berkenaan.

Katanya, Shell juga telah membuat laporan terperinci kepada Jabatan Alam Sekitar berkenaan insiden tersebut dan juga kepada Jabatan Parit dan Saliran.

“Kami telah bekerja bertungkus lumus sepanjang hujung minggu untuk membersihkan kawasan yang telah tercemar dan situasi sekarang adalah terkawal,” kata Amri sambil menambah, punca kejadian masih lagi dalam siasatan pihaknya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri, Charanpal Singh turut mengesahkan bahawa para pegawainya kini sedang memantau dan menyiasat kejadian itu.

mStar

HOT: ADUN BN Mencarut Titah Ucapan Diraja


Bolehkah mencarut dengan alat sulit dalam bahasa Tamil dalam Dewan Negeri

Sesi Perbahasan Titah  Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan pada sesi Dewan Undangan Negeri semalam, dicemari dengan tindakan Adun BN bergelar datuk yang bangun dan mencarut dengan perkataan lucah.

Menurut Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM),  Badrul Hisham Shaharin, kejadian itu berlaku ketika  Adun Bahau, Teo Kok Seong membahaskan titah Diraja, semalam.

Disebabkan gagal berhujah, Adun Sungai Lui, Datuk Zainal Abidin Ahmad bangun mencelah dan menjerit perkataan lucah dalam bahasa tamil, yang bermaksud alat sulit wanita.

“Apabila diminta diambil tindakan oleh speaker yang juga seorang Adun BN, dengan selamba mengatakan yang dia tidak dengar apa-apa perkataan lucah yang dijeritkan Adun Sungai Lui sedangkan satu dewan mendengar jeritan carutan itu termasuk wartawan dan semua yang hadir dalam mengikuti persidangan pagi tadi (semalam),” ujarnya.

Badrul berkata ia bukan pertama kali Zainal menimbulkan kekecohan dalam dewan kerana mencarut.

Tahun lalu, Zainal juga melakukan perkara yang sama dengan bangkit dan mencarut menggunakan bahasa Tamil kepada salah seorang Adun berketurunan India.

Justeru, kata Badrul, perkara itu membuktikan Adun BN Negeri Sembilan itu, derhaka terhadap Yang Di Pertuan Besar N.Sembilan kerana  mempermainkan dan menghina perbahasan titah Diraja dalam dewan yang mulia.

Ia juga katanya, membuktikan Adun BN itu gagal berhujah dengan baik sebaliknya membazirkan masa dan wang rakyat melalui persidangan dewan dengan mencarut, sehingga speaker dewan juga tidak mampu mengendalikan sidang berkenaan dengan berkesan.

Malah kata Badrul, Adun BN berkenaan bukan sahaja mencarut dengan menyebut alat sulit wanita dalam bahasa India, tetapi juga tidak sensitif dengan menghina wanita dan kaum India.

“Selaku anak muda dan warga Negeri Sembilan saya merasa amat sedih dan kali ini merasakan benar – benar Adun BN sudah melampau dan mempermainkan rakyat.

“Saya juga melalui Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) merafak sembah agar DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dapat mengambil tindakan tegas terhadap penghinaan dewan khususnya ketika membahaskan titah Diraja,” ujar beliau.

Tambah Badrul, kejadian itu juga membuktikan kemunafikan Umno, media dan organisasi kononnya pembela raja dan Melayu.

“Jika kejadian seperti ini berlaku di negeri bukan diterajui BN sudah tentu heboh dan kecoh, tetapi oleh kerana ia negeri di bawah cengkaman BN maka ia ditutup sahaja.

“Makin jelasnya sebenarnya mereka hanya bertegas berdasarkan kepentingan politik semata,” tegasnya.

Keadilandaily

Nota: kalu dah ADUN BN tadak hujah baik duduk diam lagi baguih.

bahasa jiwa bangsa…

%d bloggers like this: