Tag Archives: Mohd Firdaus Ramlan

Majistret Siku Jurugambar Sampai Hampir Jatuh Bangunan


Majistret malu siku jurugambar

KOTA BHARU: Akibat berang wajahnya dirakam, seorang majistret yang sebelum ini didapati bersalah menerima rasuah bertindak agresif apabila menyiku seorang jurugambar hingga nyaris terjatuh dari tingkat satu Kompleks Mahkamah Kota Bharu di sini, semalam.

Kejadian itu dirakam jurukamera Radio Televisyen Malaysia (RTM) jam 12 tengah hari ketika jurugambar The New Straits Times Press (NSTP), Zaman Huri Isa, 45, merakam wajah tertuduh sejurus selesai membayar wang jaminan dikenakan terhadapnya.
Dalam keadaan tergesa-gesa dan memakai sut hitam, tertuduh dilihat sempat menutup mulut dengan sehelai kain selain menyiku jurugambar berkenaan menggunakan tangan kanan.

Mangsa bagaimanapun bernasib baik kerana sempat berpaut pada sebatang tiang dan jika gagal berkemungkinan mengalami kecederaan parah berikutan terjatuh setinggi lima meter.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini, semalam, mengekalkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM40,000 terhadap Majistret Mahkamah Kuala Krai dan Machang, Mohd Firdaus Ramlan, 29, selepas didapati bersalah terhadap dua tuduhan rasuah pada 2009.
Hakim Azman Abdullah dalam keputusannya mengekalkan hukuman dijatuhkan Hakim Sabariah Othman pada 3 Oktober tahun lalu dan menyifatkan hukuman berkenaan tepat selain tidak terkhilaf dalam menghakimi kes berkenaan.

“Ini rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, Sabariah Othman. Selepas meneliti rekod rayuan dan hujahan, mahkamah mendapati keputusan itu tepat dan tidak terkhilaf. Dengan ini, mahkamah mengekalkan sabitan hukuman,” katanya.

HM

%d bloggers like this: