Tag Archives: Kuala Kangsar

Mubaligh Kristian Berjubah Solat Zuhur: Hasan Ali


Dakwaaan terbaru Hasan Ali pada Himpun..

Hassan Ali dedahkan gerakan murtad cuba pengaruhi Muslim lemah iman, kaki hutang

KUALA KANGSAR: Usaha untuk memurtadkan umat Islam di negara ini semakin licik apabila ada kalangan mubaligh Kristian yang turut memakai jubah dan menunaikan solat Zuhur berjemaah dengan penduduk Islam bagi mendekati mereka yang dipercayai berpotensi untuk digugat akidahnya.

EXCO Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hassan Ali, ketika mendedahkan perkara itu berkata sasaran utama mubaligh itu ialah orang Islam yang miskin, kurang pengetahuan agama, akidah lemah, orang yang berhutang, mereka yang rumahtangganya kucar-kacir, mereka yang menghadapi masalah selepas bercerai, golongan berfikiran liberal dan terbuka serta mereka yang tidak mengamalkan cara hidup Islam.

“Ancaman terhadap akidah umat Islam ini adalah benar kerana di Selangor saja sudah ada satu organisasi khusus untuk memesongkan akidah umat Islam dengan membawa mubaligh yang dilatih secara profesional, berdaya juang tinggi dan mempunyai kekuatan mental dari Barat serta negara jiran untuk masuk ke dalam masyarakat Islam.

“Malah, sejak penubuhan Unit Selamatkan Akidah (USA) di pejabat saya beberapa bulan lalu, ada 51 orang Islam yang sudah menjalani proses pembaptisan dan minum ‘air suci’ sedang dibantu untuk mengembalikan semula akidah mereka,” katanya berucap pada program Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) di Dewan Jubli Perak di sini, semalam.

Hassan percaya gerakan untuk memesongkan akidah umat Islam bukan saja sedang giat dijalankan di Sabah, Sarawak dan Selangor, malah sudah menular ke negeri lain di negara ini.

Sementara itu, Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim, berkata ada 43 permohonan untuk murtad dikemukakan di Mahkamah Syariah di Perak untuk tempoh 11 bulan pertama tahun ini dengan sebahagian besarnya golongan mualaf yang mahu kembali ke agama masing-masing serta mereka yang mempunyai nama Melayu dan anak kepada orang Melayu tetapi dibesarkan oleh keluarga bukan Islam.

Pada masa sama, katanya, ada 52 orang sedang menjalani proses pemulihan akidah di Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) bagi tempoh sama tahun ini.

“Bilangan itu adalah berdasarkan data rasmi tetapi bagaimana pula yang berlaku (murtad) secara senyap-senyap? Mungkin lebih ramai lagi. Isu murtad ini bukan masalah individu tetapi ummah kerana apabila seseorang itu murtad, dia akan menunjukkan seolah-olah Islam itu tidak cantik dan tidak baik.

“Kita tiada masa untuk bertelagah sesama sendiri seperti firman Allah bermaksud mari kita bersama-sama melakukan takwa dan jangan bekerjasama melakukan kebatilan manakala pepatah Arab ada menyatakan api yang besar itu bermula daripada sumber yang kecil dan jika ia tidak ditangani, maka sumber kecil itu akan merebak menjadi besar,” katanya berucap pada majlis sama.

oleh shamsul kamal amaruddin bh.

Unik: Masjid Ihsaniah Iskandariah Dibuat Dari Buloh


Masjid Ihsaniah Iskandariah dirasmikan oleh Sultan Perak pada 6 Mei lalu

Keunikan masjid Ihsaniah Iskandariah

Sekali pandang, pengunjung pasti boleh melihat kelainan seni bina Masjid Ihsaniah Iskandariah di Kampung Kuala Dal di sini berbanding masjid-masjid lain di negara ini.

Paling nyata adalah bumbung limas bungkus yang biasanya direka untuk pembinaan sebuah surau atau madrasah.

Bentuk bumbung masjid beratap zink yang agak landai itu sebenarnya diilhamkan daripada reka bentuk Istana Kenangan, walaupun bentuk asalnya agak tinggi dan curam.

Keistimewaan lain masjid dua tingkat ini boleh dilihat daripada reka bentuknya berupa segi empat bujur atau turut dikenali bujur sangkar burung.

Ia mempunyai 20 buah tingkap, dengan tingkap di bawah dibina tinggi. Setiap tingkap dihiasi dengan ukiran motif insang ikan yu dan pucuk kacang pada kepala tingkap diserikan dengan ukiran bulan sabit serta bintang pecah lima.

Setiap sendi kayu dinding tepas daripada anyaman buluh dihiasi dengan ukiran sekuntum bunga tikam seladang sebagai daya penyeri pada hiasan dinding.

Keseluruhan dinding Masjid Ihsaniah Iskandariah diperbuat daripada anyaman buluh yang dikenali sebagai ‘Kelarai Bunga Potong Belian’. Ia merupakan salah satu seni bina bagi rumah tradisional Melayu Perak.

Buluh jenis buluh minyak merupakan buluh tebal yang boleh dijadikan anyaman untuk membuat dinding.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila dinding tepas masjid tersebut berada dalam keadaan baik walaupun sudah berusia lebih 70 tahun dan 30 tahun terbiar usang.

Selain buluh, masjid itu dihiasi dengan motif pucuk kacang, bulan sabit dan bintang pada ukiran kerawang kayu pada ambang atau kepala tingkap labuh di tingkat atas dan tingkat bawah.

Mengikut sejarahnya, Masjid Ihsaniah Iskandariah telah dibina setelah Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak ke-30 (1918-1938) bernazar untuk membina sebuah masjid jika anakanda baginda sembuh daripada gering.

Kampung Kuala Dal dipilih selepas baginda melihat penduduk kampung berkenaan bersolat di sebuah madrasah yang usang ketika dalam perjalanan pulang dari berkelah di Lata Bubu yang terletak tidak jauh dari situ.

Sultan Iskandar Shah telah membayar nazar dengan memberi sumbangan 8,000 pound sterling dan masjid itu dibina di atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh seorang bangsawan bernama Juragan Abdul Shukur Mohammmad Ali.

Baginda Sultan telah merasmikan masjid itu pada Jumaat 10 Zulhijjah tahun 1356 Hijrah bersamaan 11 Februari 1938.

Bagaimanapun, setelah lebih tiga dekad terbiar, Jabatan Warisan Negara melakukan kerja-kerja pemuliharaan untuk membaiki semula kerosakan struktur bangunan tersebut.

Menurut Pesuruhjaya Warisan Negara, Profesor Emeritus Datuk Siti Zuraina Abdul Majid, Jabatan Warisan Negara menjalankan kerja-kerja pemuliharaan membabitkan peruntukan hampir RM900,000 daripada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Katanya, pihaknya mendapatkan bantuan anyaman buluh dari Perlis untuk menggantikan dinding asal masjid yang telah terbiar dan uzur lebih 30 tahun.

“Kerja pemuliharaan telah disiapkan pada Julai 2009 dan masjid ini telah diwartakan sebagai warisan kebangsaan.

“Masjid ini kini diuruskan oleh kariah Masjid Al-Wahidiah,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian semula masjid itu di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas dekat Kuala Kangsar, baru-baru ini.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Ketua Kampung Dal, Abd. Moin Lamat, 67, berkata, pembinaan semula masjid lama itu menjadi lambang kepada keunikan sejarah asal masjid tersebut yang pernah menjadi tempat beribadat masyarakat Islam di situ.

Katanya, keunikan seni bina Melayu banyak terdapat di masjid itu. Paling nyata adalah dinding dikenali sebagai tepas yang dibuat daripada anyaman buluh.

“Bangunan masjid dua tingkat itu berbentuk empat segi dan tidak mempunyai kubah serta berbentuk seperti sangkar burung,” katanya.

Abd. Moin berkata, struktur bangunan termasuk anyaman buluh dibina dan diukir oleh tukang kayu tempatan yang terdiri daripada Panjang Noh, Ngah Gadoh, Wan Ibrahim dan Kulup Ngah.

Katanya, tingkat atas masjid itu menempatkan dewan solat yang boleh memuatkan 200 orang jemaah manakala tingkat bawah dijadikan dewan untuk perjumpaan dan melakukan aktiviti kemasyarakatan.

“Kegemilangan Masjid Ihsaniah Iskandariah pernah terjejas apabila sebahagian struktur bangunannya rosak akibat dihempap dahan pokok durian pada tahun 1976.

“Ini menyebabkan sebuah masjid baru telah dibina bersebelahan masjid berkenaan,” katanya.

ani awang

%d bloggers like this: