Tag Archives: Khairul Fahmi Che Mat

TG Nik Aziz Nasihat Apex Kahwin Cepat !


Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihati penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat cepat mendirikan rumah tangga supaya kehidupannya lebih sempurna.

Nik Abdul Aziz berkata, Islam menggalakkan orang yang mampu supaya cepat berkahwin.

“Ini penting untuk mengawal kita daripada melakukan dosa dan apabila berkahwin, ia lebih selamat untuk menjaga masuah.

“Khairul Fahmi merupakan penjaga gol terbaik Asia menjadi idola rakyat Kelantan, saya juga berbangga dengannya apatah lagi dia berada dalam kawasan pilihan raya saya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kepada Khairul Fahmi di Taman Kurnia Jaya, Kemumin, Pengkalan Chepa dekat sini, semalam.

Kerajaan negeri Kelantan kata beliau, memberi hadiah kepada rakyat yang cemerlang dalam apa jua bidang sebagai rangsangan.

“Mereka yang berbakat dan cemerlang ini perlu menunjukkan contoh baik, bebas salah laku sosial dan pengaruh dadah kerana dadah boleh memusnahkan kehidupan,” katanya.

Khairul Fahmi yang mesra dikenali sebagai Apex berkata, beliau menyerahkan soal jodoh kepada Allah SWT dan tidak mahu terlalu memikirkannya.

“Soal jodoh ni kena tengok ‘rezeki’ la, kalau tahun ni (kahwin) maka tahun ni la, kalau tahun depan atau tiga tahun lagi pun saya terima,” katanya.

Sementara itu, bapa Apex, Che Mat Hussin, 59, ketika ditemui berkata, dia menyerahkan soal perkahwinan sepenuhnya kepada penjaga gol Kelantan itu.

Katanya, Apex mungkin mahu menumpukan perhatian kepada karier terlebih dauhulu.

“Saya sedia menerima siapa saja wanita pilihan dia, yang penting ialah matlamatnya dalam bidang sukan tidak terganggu kerana dia masih muda,” katanya.

Apex yang menerima anugerah Pemain Muda Terbaik dan Penjaga Gol Terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-FAM 2011 November lalu tersenarai bersama Fadhli Shas dan Safee Sali dalam kesebelasan terbaik Asia pilihan laman web terkenal dunia, Goal.Com.

oleh Norhasram Mohamad

Gambar Banglo Apek Khairul Hadiah Dari Kerajaan Kelantan


SIAP…banglo baru bakal diserahkan kepada Apek tidak lama lagi.

Banglo Apek (Khairul fahmi)

KOTA BHARU: Banglo hadiah kerajaan Kelantan kepada Khairul Fahmi Che Mat sebagai penghargaan kerana membantu Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki tahun lalu sudah siap, namun ia belum diserahkan kepada penjaga gol skuad bola sepak kebangsaan itu kerana belum menemui masa sesuai.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan Belia, Sukan Dan NGO Negeri, Abdul Latiff Ab Rahman berkata, mengikut perancangan banglo itu akan diserahkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Khairul Fahmi atau lebih mesra dengan panggilan Apek.

Menurutnya, sehingga kini majlis penyerahan rasmi banglo itu masih tertangguh berikutan Menteri Besar masih mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan manakala Khairul Fahmi pula sibuk menjalani latihan.

“Kita (kerajaan negeri) akan menyerahkan rumah banglo itu kepada Khairul Fahmi seperti yang dijanjikan kerana rumah terbabit sudah siap sepenuhnya, malah majlis ringkas akan diadakan sempena penyerahan itu.

“Bagaimanapun, disebabkan kedua-dua pihak masih sibuk dengan urusan masing-masing, kita tangguhkan penyerahan rumah berkenaan sehingga tiba waktu sesuai. Namun kita akan berusaha mempercepatkan proses penyerahan banglo itu,” katanya.

mymetro

Nota: Hebat jugak kerajaan negeri Kelantan. tahniah kepada Tok Guru Nik Aziz selaku menteri besar Kelantan yang menghargai jasa anak negeri menjulang Piala AFF Suzuki.

Kontroversi Skandal Khairul Apek dengan Shida Harmi Pulak


‘Tunjukkan kalau ada bukti’ ,Khairul Fahmi respon isu skandal Shida Harmi

Selepas nama Dahlia Teck menjadi sebutan ramai, hari ini, peminat bola tempatan sekali lagi digegarkan dengan cerita panas mengenai penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat berkenaan skandal seorang wanita yang dikenali sebagai Shida Harmi.

.

Identiti wanita ini yang merupakan watak baru dalam kehidupan peribadi Khairul Fahmi atau nama samaran Apek ini diertikan sebagai salah satu cubaan pihak di luar sana yang ingin menjatuhkan reputasi serta fokusnya di atas padang kelak. Ini turut diperakui oleh Khairul Fahmi ketika ditemubual oleh OHBULAN!, lewat tengah hari tadi.

.

“Saya memang mengenali Shida Harmi. Dia bukannya skandal seperti yang diperkatakan oleh orang lain, sebaliknya dia hanya kawan biasa. Saya mengenali Shida sekitar awal tahun ini, kalau tak silap bulan March. Ketika itu, saya masih belum bertunang lagi. Gambar itu pula diambil semasa kami karaoke,” jelas Khairul Fahmi memulakan wawancara.

.

“Saya tak pasti macam mana gambar ini boleh sampai ke pihak media. Tapi, saya tak rasa Shida sengaja buat macam ni, nak syak sesiapa pun tak boleh. Saya perlu hubungi dia terlebih dahulu sebab nak siasat dengan lebih jelas. Berkenaan nama-nama yang disebut dalam Blackberry Messenger (BBM), jujurnya saya tak kenal akan nama Nadzim. Bagaimanapun, Erin adalah nama kakak kepada Elia, bekas tunang saya dulu,” ujar pemain pasukan Harimau Muda ini yang berjaya mengalahkan Indonesia di Sukan Sea, Isnin lepas.

Khairul Fahmi juga mencabar pihak yang menyebarkan kandungan mesej berbaur ugutan (screenshot di atas) ini agar tampil ke hadapan dan tunjukkan bukti kukuh.

“Andai kata dakwaan tersebut adalah betul, sila tampil ke hadapan dan tunjukkan bukti kukuh,” tegas Khairul Fahmi.

Pemain muda ini turut kesal dengan sikap sesetengah orang yang cuba menjatuhkan nama serta reputasinya yang kini sedang memuncak. Bagaimanapun, dia menjanjikan persembahan yang terbaik agar semangat Harimau Muda sentiasa tersemat di kalangan peminat bola sepak tanah air.

“Saya kesal apabila diri ini kerap dikaitkan dengan pelbagai kontroversi yang tidak henti-henti. Sesetengah orang di luar sana tidak henti-henti mencari kesalahan saya. Kalau cerita seperti ini keluar, memang tak menang tangan saya nak jawab panggilan telefon. Apa pun, saya perlu fokus kepada perlawanan akan datang. Game makin dekat ni!” kata Khairul Fahmi yang ingin menumpukan perhatian di atas padang demi maruah negara.

petikan dari Ohbulan.com

Fahmi Apek Usung Awek dan Minum Arak ?


Blog, portal hiburan siar gambar bersama beberapa wanita seksi

Penjaga gol pasukan bola sepak negara, Khairul Fahmi Che Mat atau lebih dikenali sebagai Apek yang sebelum ini dikatakan memutuskan pertunangan dengan teman wanitanya akibat kehadiran orang ketiga, sekali lagi terbabit dalam kontroversi apabila gambarnya bersama beberapa wanita seksi di restoran eksklusif disiarkan dalam blog dan portal hiburan.

Khairul Fahmi berkata, gambarnya bersama kenalan, Dahlia Teck dan beberapa rakan wanita itu dirakam ketika beliau menghadiri majlis hari jadi di sebuah restoran makanan Itali di Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini, tetapi menafikan mengambil minuman keras walaupun minuman itu ada dihidangkan seperti dalam gambar berkenaan.

“Saya tidak sentuh (arak) dan muka saya ketika itu merah kerana suasana dalam itu (parti) panas dan sesak, menyebabkan muka saya jadi begitu. Dalam parti itu, saya duduk dengan orang yang saya kenal dan ada juga saya tidak kenal langsung. Jadi, saya tidak tahu siapa yang mengambil gambar itu atau siapakah empunya sebenar gambar itu.

“Bila saya tengok gambar itu pagi tadi (semalam), selepas dimaklumkan seorang rakan, saya agak terkejut. Tetapi, saya ingin menegaskan yang saya tidak ada kaitan dengan benda itu (arak) seperti dilihat dalam gambar,” katanya ketika dihubungi ketika membuat pemeriksaan kesihatan di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Beliau mengulas mengenai gambarnya bersama Dahlia serta dua wanita lain, manakala foto kedua menunjukkan enam wanita termasuk Dahlia bergambar di tempat yang sama.

Mengulas lanjut, Apek berkata dia sentiasa menjadi perhatian umum, selain ramai yang mahu bergambar bersamanya.
“Ke mana saya pergi, sudah pasti akan bertemu peminat dan mereka mahu merakam gambar. Pada parti hari jadi berkenaan, saya tidak terkecuali menjadi perhatian dan ada yang mengambil gambar,” katanya.

Bagaimanapun, Khairul Fahmi enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana bimbang menjejaskan prestasi permainan dan persiapannya menjelang Sukan Sea 2011, di Indonesia, namun berjanji akan menjelaskannya lebih lanjut selepas kejohanan itu.

“Memang pada saat ini, saya mahu memberi tumpuan kepada Sukan Sea. Saya tidak mahu terlalu memikirkannya kerana sudah dekat (perlawanan). Selepas perlawanan selesai, saya akan memberikan penjelasan kepada media dan buat apa yang patut.
Kalau boleh memang saya tidak mahu beban fikiran dengan benda seperti ini (kontroversi),” katanya.

Sebelum ini, Apek memutuskan pertunangan dengan Aimie Harmelia Mohd Hashumi atau Elia, 22, tetapi menafikan ia berpunca daripada orang ketiga yang dikenali sebagai Dahlia.

anwar hussin

Khairul Fahmi (Apek) Keeper Harimau Malaya Putus Tunang


Apek jelaskan kedudukan terkini

Kegagalan skuad Harimau Malaya meneruskan kemaraan pada kempen bola sepak kelayakan Piala Dunia merupakan satu tamparan hebat kepada penjaga gol negara Khairul Fahmi Che Mat walaupun beraksi cemerlang ketika mengikat Singapura 1-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis lalu.

Namun di sebalik kecemerlangannya di gawang gol, Khairul Fahmi yang lebih dikenali sebagai “Apek” rupa-rupanya memendam rasa berikutan badai yang melanda pertunangannya dengan Aimie Harmelia Mohd Hashumi atau Elia, 22.

Selepas dikaitkan dengan orang ketiga dalam hubungan dengan Elia, Khairul Fahmi, 22, nekad menceritakan perkara sebenar bagi menjelaskan kemelut yang melanda dirinya.

Mengikut laporan Metro Ahad, anak kelahiran Kelantan ini menjelaskan, fitnah yang dilemparkan kononnya dia mempunyai hubungan dengan wanita lain di laman web dan blog adalah tidak benar sama sekali.

Kata Khairul Fahmi, disebabkan fitnah itu hubungannya dengan Elia semakin renggang.

“Sebenarnya saya tampil membuat kenyataan ini kerana tidak mahu perkara membabitkan saya dan Elia berpanjangan, selepas berfikir panjang dan berbincang bersama keluarga saya perlu memberitahu peminat mengenai perkara sebenar.

“Saya tahu cerita mengenai saya bersama wanita lain tersebar luas dalam pelbagai laman web dan blog. Begitupun saya ingin menjelaskan semua itu tidak benar. Saya bukan kaki perempuan atau ‘playboy’. Semua itu adalah tuduhan yang tidak berasas,” katanya.

Khairul Fahmi telah memutuskan pertunangannya dengan Elia pada Khamis lalu.

“Kerana isu berkenaan hubungan saya dengan Elia semakin renggang. Malah sejak ia menjadi lebih teruk, Elia memberitahu saya dia mendengar cerita kononnya saya berjumpa seorang wanita lain di luar dan berpimpin tangan.

“Selain itu beberapa gambar wanita lain turut tersebar di Internet dan ia dikaitkan dengan saya. Dalam banyak-banyak gambar, hanya beberapa gambar yang saya kenal. Antaranya ialah Dahlia,” kata Khairul Fahmi.

Jelasnya, hubungan dengan Dahlia tidak lebih dari seorang kawan selain mengakui turut mengenali keluarga gadis itu.

“Namun Dahlia bukan kekasih saya seperti didakwa ramai pihak. Dia sekadar kawan dan kami juga tinggal sekampung (di Kelantan) malah saya juga rapat dengan keluarganya.

“Hubungan saya dengan Dahlia tidak lebih sebagai seorang abang dengan adik, lebih-lebih lagi dia masih berusia belasan tahun.

“Selain itu ada yang mengatakan wanita yang berdua-duaan dengan saya dalam gambar adalah Dahlia. Sebenarnya, gambar itu diambil ketika sesi temubual saya bersama wartawan dan wanita yang bergambar dengan saya adalah rakan kepada seorang wartawan. Jadi tidak timbul isu saya bergambar mesra dengan Dahlia atau wanita lain,” jelas Khairul Fahmi.

Menceritakan lebih lanjut mengenai hubungannya dengan Elia, Khairul Fahmi yang pernah menerima Anugerah Penjaga Gol Terbaik Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-FAM 2010 berkata dia sebenarnya masih menyayangi bekas tunangnya itu.

Katanya, keputusan untuk memputuskan pertunangan dengan Elia adalah pilihan yang tepat untuk menyelesaikan semua masalah yang dikaitkan dengan dirinya.

“Terus terang, saya masih menyayanginya. Malah perkenalan yang dibina selama dua tahun membawa kami melalui pelbagai perkara bersama. Cuma bila keadaan bertambah kerus dan berpanjangan, saya perlu membuat keputusan muktamad.

“Kini selepas berfikir panjang dan berbincang dengan keluarga, saya mengambil keputusan yang saya rasakan sesuai bagi menjaga hati semua pihak iaitu memutuskan tali pertunangan kami. Saya yakin ini keputusan tepat dan saya sudah berbincang dengan Elia. Namun dia tidak pasti mahu menerimanya atau tidak,” katanya.

Tegas Khairul Fahmi, keputusan yang dibuat itu tiada kaitan dengan orang ketiga tapi dibuat atas dasar mahu menjaga hati semua pihak terutamanya keluarga Elia.

“Saya ingin tegaskan, keputusan ini tiada kaitan dengan orang ketiga. Saya tahu pasti akan ada cerita yang tidak enak apabila kenyataan ini dibaca oleh masyarakat. Suka atau tidak, saya perlu berdepan semua kritikan demi membela semua orang yang saya sayang.

“Lagipun masalah antara kami sudah lama berpanjangan. Cuma ia tidak diperbesarkan, lebih-lebih lagi ia cuma membabitkan kami berdua. Namun bila ia merebak dan melampaui batas saya perlu segera menyelesaikannya,” katanya.

Tambah Khairul Fahmi, dia akan memberikan fokus sepenuhnya kepada bola sepak selain berharap tiada lagi kontroversi tentang dirinya.

“Untuk setahun dua ini, saya bertekad mahu fokus sepenuhnya kepada bola sepak. Saya tidak mahu sebarang kontroversi merencatkan perjalanan kerjaya saya dan ia antara sebab kenapa saya buat keputusan,” katanya.

Pada perlawanan timbal balik menentang Singapura, skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal gagal bangkit menebuskan kekalahan pada perlawanan pertama yang menyaksikan Malaysia tewas dengan agreget 4-6.

tmi

Goal Keeper Malaysia Dapat Hadiah Rumah


MENTERI Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyampaikan sumbangan kepada penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, 21, sambil dibantu EXCO Kerajaan Negeri Kelantan bagi Pembangunan Sumber Manusia, Belia, Sukan dan NGO, Datuk Abdul Fattah Mahmood, pada Majlis Sambutan Kepulangan Wira Negara di Kampung Cherang di sini, hari ini. – Foto Zaman Huri Isa

Khairul Fahmi dapat hadiah rumah dari Kerajaan Kelantan

KOTA BHARU: Penjaga gol pasukan bola sepak negara, Khairul Fahmi Che Mat, 21, yang membantu Malaysia muncul juara Piala AFF Suzuki 2010 baru-baru ini dianugerahkan sebuah rumah oleh kerajaan Kelantan bagi mengenang jasa dan pengorbanan penjaga gol itu.

Pemberian rumah itu diumumkan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, selepas majlis meraikan Khairul Fahmi oleh penduduk Kampung Cherang Ruku di sini, hari ini.

“Sebagai mengenang budi dan menghargai jasa anak muda kita yang berbakti melalui sukan bola sepak membantu negara menjulang piala, maka pihak kerajaan negeri memutuskan menghadiahkan sebuah rumah kepada Khairul Fahmi. “Kita akan tetap beri hadiah. Itu kenyataan saya (pemberian sebuah rumah) dan segala butiran mengenai pemberian hadiah tersebut akan dilaksanakan oleh Exco bertanggungjawab,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Badan Bukan kerajaan (NGO) Negeri Kelantan, Abdul Fattah Mahmood.

Nik Aziz berkata, kerajaan Kelantan begitu berbangga dengan kecemerlangan Khairul Fahmi dan berharap pemain itu akan terus meningkatkan prestasinya pada masa akan datang.

“Dia masih muda dan perlu menjaga diri dengan baik. Dengan bakat yang ada, dia boleh menonjol sampai bila-bila. Kita menghargai bakat dia serta keluarga dia, sebab itu kita berjanji nak beri hadiah rumah kepada dia,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Nik Aziz berkata bersukan adalah satu riadah yang sangat dituntut dalam agama Islam.

“Kita perlu seimbangkan antara tuntutan dunia dan akhirat. Bersukan boleh tetapi kita jangan lupa solat. Solat membentuk keperibadian akhlak yang mulia. Kita jangan terbabit dalam gejala najis dadah.

“Nabi Muhammad SAW dahulu pun bersukan juga. Masa saya berumur 11 tahun ketika zaman perang Jepun saya menunggang kuda dengan beberapa adik-beradik saya. Saya menang ketika itu, kerana terlampau gembira saya angkat kedua-dua tangan dan bila biawak lalu kuda pun terkejut dan saya pun jatuh. Sampai sekarang kesakitan itu masih terasa,” katanya.

Bernama

%d bloggers like this: