Tag Archives: kes bunuh sosilawati dan rakan rakan

Seluar Dalam,Darah dan Tulang Ditemui: Saksi Kes Sosilawati


 Serpihan tulang,darah dan cebisan seluar dalam ditemui diladang: Saksi kes Sosilawati dan Rakan Rakan

SHAH ALAM: Seorang pegawai kanan forensik memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa sejumlah barangan termasuk serpihan tulang, kesan darah dan cebisan seluar dalam ditemui di sebuah ladang di Tanjung Sepat, Banting, yang didakwa menjadi lokasi pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Supt Soo Me Tong, 55, Ketua Bahagian Kimia, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, berkata semua barangan itu dijumpai semasa pasukannya menjalankan siasatan di sebuah bangunan setingkat dan sebuah tapak pembakaran pada 12 dan 14 September 2010.
“Pegawai penyiasat kes (ASP Ishak Yaakob) maklumkan kepada kami bahawa bangunan setingkat yang terletak di sebelah kanan ladang itu adalah tempat mangsa diangkat, diikat, dipukul dan diserang.
“Satu lagi tempat (tapak pembakaran) berhampiran sebuah kolam kira-kira 50 meter dari bangunan setingkat itu ditutupi kayu-kayan dan atap zink dan pegawai penyiasat maklumkan bahawa ia adalah tempat mangsa dibunuh dan dibakar,” katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani.

Soo, saksi ke-48 pendakwaan, memberi keterangan pada perbicaraan kes bekas peguam, N Pathmanabhan, 42 dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyalagan, 20, R Matan, 21 dan R Khatavarayan, 31, yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai CIMB, Noorhisham Mohamad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Pembunuhan itu didakwa berlaku di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Soo berkata, siasatan pasukannya pada 12 September 2010 di bangunan setingkat yang mempunyai lima bilik itu, menemui kesan darah di dinding bilik pertama, di luar dinding bilik kedua, ketiga dan kelima, pada sarung sofa dan kusyen yang terletak di depan bilik kedua serta pada televisyen di depan bilik ketiga.

Beliau berkata, siasatan di bangunan itu juga menemui dua puntung rokok dan beg kertas di dalam bilik ketiga, sebuah tong plastik berisi dua pertiga penuh cecair dipercayai bahan bakar dan beberapa keratan wayar berwarna hijau di dalam bilik kelima serta enam kesan cap jari di almari, laci almari dan sebuah botol minuman Coca-Cola yang terletak di dalam bilik ketiga.

“Selepas kumpul semua barang kes, pasukan saya beralih pada tapak pembakaran untuk buat proses galian bagi mencari sisa-sisa tulang atau barang kes yang berkaitan dengan kes pembunuhan ini. Tempat ini dilitupi dengan atap zink, kayu-kayan dan atas permukaan tanah juga dilitupi dengan najis kambing.

“Saya buat empat zon pada tapak pembakaran supaya saya boleh berikan tugasan kepada anggota saya untuk mencari dengan lebih rapi. Saya teliti di kawasan sekitar mendapati daun kelapa sawit berhampiran ada kesan layu kena haba kebakaran dari tapak pembakaran itu,” katanya.

Soo berkata, pemeriksaan di zon A dan zon B tapak pembakaran itu menemui beberapa serpihan tulang dan dua sampel tanah turut diambil selepas pasukannya terhidu bau bahan bakar pada tanah.

Beliau berkata, pada 14 September 2010, pasukannya sekali lagi menjalankan galian di tapak pembakaran itu dengan bantuan enam patologi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan Hospital Melaka bagi mengesahkan sisa tulang yang ditemui.

“Hasil pemeriksaan di zon A menjumpai satu kepingan logam, di zon B menjumpai satu tulang rahang, sebatang kayu bakau dan serpihan kayu terbakar manakala pemeriksaan di zon C menemui satu wayar warna hijau, seluar dalam jenama Hush Puppies saiz M, satu cebisan stoking, satu seluar panjang jenama Snail Classic saiz M, satu cebisan kain guni, sisa kebakaran warna biru, beberapa cebisan tulang dan wayar hijau.

“Pemeriksaan di zon D menemui berbelas-belas serpihan tulang, sebatang gigi dan kod bar. Kami juga ada ambil lima sampel tanah di zon A, B dan C serta ambil sampel tanah kawalan di kawasan sekeliling luar tapak pembakaran untuk rujukan,” katanya.

Soo berkata, semua barang bukti itu dibungkus dengan baik, dilabel, ditandatangani serta dicatatkan tarikh penemuan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat dan beliau turut menyediakan laporan berhubung semua penemuan pada dua tarikh berkenaan.

Perbicaraan hari ke-35 di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir disambung esok.

Bernama

Kes Bunuh Sosilawati: 618 foto Dikemuka, 76 Saksi akan Dipanggil


Kes bunuh menggemparkan negara bermula

SHAH ALAM, 4 Julai – Pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan bagi membuktikan bekas peguam N.Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya telah melakukan pembunuhan ke atas jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain berdasarkan penemuan DNA milik mangsa pada barang-barang kes.

Bukti itu akan dikemukakan melalui keterangan saksi yang menemui DNA milik seorang daripada mangsa iaitu pegawai bank Noorhisham Mohamad pada kayu kriket dan DNA peguam Ahmad Kamil Abdul Karim dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin pada zink-zink yang digunakan sebagai alas untuk membakar mayat-mayat mangsa.

Menurut laporan Bernama Online, Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff berkata demikian dalam ucapan pembukaannya pada permulaan perbicaraan kes bunuh itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir di sini hari ini.

Saksi juga akan memberikan keterangan mengenai penemuan sebilah pisau berkarat hulu besi, gelung dawai, serpihan tulang dipercayai tulang manusia, dua buah telefon bimbit jenama Blackberry, seutas jam tangan dan sebatang anak kunci tertulis BMW, katanya.

Selain itu, Ishak berkata dua pekerja ladang, U. Suresh dan T.Sarawanan akan dipanggil memberi keterangan bagi membuktikan bagaimana perancangan oleh Pathmanabhan dan tertuduh keempat, R. Kathavarayan bersama yang lain untuk melakukan pembunuhan ke atas keempat-empat mangsa serta peranan yang dimainkan oleh setiap tertuduh dan bagaimana tertuduh kedua, T. Thilaiyagan membunuh setiap mangsa.

Suresh dan Sarawanan sebelum ini telah dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana melupuskan mayat Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin.

“Saksi-saksi juga akan mengesahkan bahawa Sosilawati ada urusan jual beli tanah di Pulau Pinang dengan tertuduh pertama (Pathmanabhan), urusan jual beli tanah di Pulau Pinang yang diuruskan oleh tertuduh pertama dan tertuduh pertama yang uruskan pembelian tanah dari Southern Symphony kepada Ample Quality di mana sebanyak RM2.9 juta telah dibayar sebagai 10 peratus harga belian tanah tersebut iaitu RM29 juta,” kata Ishak dipetik laporan Bernama Online.

Pathmanabhan, 42; Thilaiyagan, 20; R. Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, Noorhisham, 38, Ahmad Kamil, 32, dan Kamaruddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos, 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Ishak yang mengetuai pihak pendakwaan berkata pihaknya juga akan mengemukakan keterangan saksi-saksi di tempat kejadian yang melihat api marak dari rumah mereka.

Beliau berkata pihak pendakwaan juga akan mengemukakan keterangan saksi-saksi yang mengesahkan jam tangan jenis Bell & Ross dan telefon bimbit Blackberry Bold warna putih milik Ahmad Kamil, jam tangan Seiko milik Kamaruddin serta penerimaan jam tangan ‘Longines’ daripada Suresh.

Ishak berkata keterangan bekas suami Sosilawati, Buhari Mohamed adalah berkisar mengenai urusan jual beli tanah di Pulau Pinang di mana beliau ada menghubungi Pathmanabhan bertanyakan sama ada Sosilawati ada berjumpa dengannya pada 30 Ogos lalu dan Pathmanabhan menjawab bahawa Sosilawati ada menghubunginya pada hari tersebut untuk berjumpa tetapi tertuduh pertama itu tidak kelapangan serta meminta Sosilawati berjumpanya pada 2 September.

Beliau berkata anak perempuan Sosilawati, Erni Erinawati Sofia Buhari membuat laporan polis mengenai kehilangan ibunya di Balai Polis Dang Wangi pada 31 Ogos dan 2 September lalu, Erni sekali lagi membuat laporan polis setelah mengesyaki Sosilawati telah diugut, diculik dan dikurung oleh individu berkaitan.

Ishak berkata pada 3 September lalu, isteri Ahmad Kamil bernama Sabrina Adnan membuat laporan polis mengenai kehilangan suaminya di Balai Polis Brickfields, Kuala Lumpur manakala isteri Noorhisham bernama Suzana Radin Pangit membuat laporan polis mengenai kehilangan suaminya di Balai Polis Dang Wangi pada hari yang sama.

“Kakak kepada Kamaruddin, Zaidah Shamsuddin juga telah membuat laporan polis di balai polis Kuantan, Pahang, mengenai kehilangan adiknya pada 6 September 2010,” katanya.

Seterusnya, Ishak berkata, seorang jurujual akan memberi keterangan untuk mengesahkan bahawa Sosilawati dan seorang lelaki Melayu yang dipanggil Kamal oleh Sosilawati ada datang ke gerainya pada 30 Ogos 2010 untuk membeli kerepek serta kuih raya bernilai lebih RM200 dan mereka dilihat beredar pada pukul 5.20 petang dengan menaiki kereta BMW X5 berwarna hitam.

Mahkamah juga dimaklumkan, pihak pendakwaan akan memanggil kira-kira 76 saksi pada perbicaraan kes ini.

Selain Ishak, pihak pendakwaan turut diwakili dua lagi Timbalan Pendakwa Raya iiatu Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani.

Pathmanabhan diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon dan Pushpa Ratnam, Thilaiyalagan diwakili peguam Gurbachan Singh, Matan diwakili peguam Amer Hamzah Arshad dan Kathavarayan diwakili peguam Ravi Nekoo dan Datuk Ng See Teong.

Sementara itu, seramai empat jurugambar polis memberi keterangan pada perbicaraan hari pertama di mana sebanyak 618 keping gambar yang diambil di beberapa lokasi berbeza termasuk tempat kejadian dan Sungai Panchau di Jalan Morib, Banting, yang dikatakan menjadi tempat melupuskan mayat mangsa dikemukakan di mahkamah sebagai eksibit.

Mereka ialah Detektif Koperal Mokhtar Hussain dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Lans Koperal Abdul Aziz Ahmad dan Detektif Sarjan Mhd Rasdi Mhd Safien kedua-duanya bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dam Detektif Koperal K.Velamal dari Bahagian Bantuan Teknik, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

tmi

%d bloggers like this: