Tag Archives: Kerajaan Negeri Kelantan

TG Nik Aziz Nasihat Apex Kahwin Cepat !


Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihati penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat cepat mendirikan rumah tangga supaya kehidupannya lebih sempurna.

Nik Abdul Aziz berkata, Islam menggalakkan orang yang mampu supaya cepat berkahwin.

“Ini penting untuk mengawal kita daripada melakukan dosa dan apabila berkahwin, ia lebih selamat untuk menjaga masuah.

“Khairul Fahmi merupakan penjaga gol terbaik Asia menjadi idola rakyat Kelantan, saya juga berbangga dengannya apatah lagi dia berada dalam kawasan pilihan raya saya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kepada Khairul Fahmi di Taman Kurnia Jaya, Kemumin, Pengkalan Chepa dekat sini, semalam.

Kerajaan negeri Kelantan kata beliau, memberi hadiah kepada rakyat yang cemerlang dalam apa jua bidang sebagai rangsangan.

“Mereka yang berbakat dan cemerlang ini perlu menunjukkan contoh baik, bebas salah laku sosial dan pengaruh dadah kerana dadah boleh memusnahkan kehidupan,” katanya.

Khairul Fahmi yang mesra dikenali sebagai Apex berkata, beliau menyerahkan soal jodoh kepada Allah SWT dan tidak mahu terlalu memikirkannya.

“Soal jodoh ni kena tengok ‘rezeki’ la, kalau tahun ni (kahwin) maka tahun ni la, kalau tahun depan atau tiga tahun lagi pun saya terima,” katanya.

Sementara itu, bapa Apex, Che Mat Hussin, 59, ketika ditemui berkata, dia menyerahkan soal perkahwinan sepenuhnya kepada penjaga gol Kelantan itu.

Katanya, Apex mungkin mahu menumpukan perhatian kepada karier terlebih dauhulu.

“Saya sedia menerima siapa saja wanita pilihan dia, yang penting ialah matlamatnya dalam bidang sukan tidak terganggu kerana dia masih muda,” katanya.

Apex yang menerima anugerah Pemain Muda Terbaik dan Penjaga Gol Terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-FAM 2011 November lalu tersenarai bersama Fadhli Shas dan Safee Sali dalam kesebelasan terbaik Asia pilihan laman web terkenal dunia, Goal.Com.

oleh Norhasram Mohamad

Gambar Banglo Apek Khairul Hadiah Dari Kerajaan Kelantan


SIAP…banglo baru bakal diserahkan kepada Apek tidak lama lagi.

Banglo Apek (Khairul fahmi)

KOTA BHARU: Banglo hadiah kerajaan Kelantan kepada Khairul Fahmi Che Mat sebagai penghargaan kerana membantu Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki tahun lalu sudah siap, namun ia belum diserahkan kepada penjaga gol skuad bola sepak kebangsaan itu kerana belum menemui masa sesuai.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan Belia, Sukan Dan NGO Negeri, Abdul Latiff Ab Rahman berkata, mengikut perancangan banglo itu akan diserahkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Khairul Fahmi atau lebih mesra dengan panggilan Apek.

Menurutnya, sehingga kini majlis penyerahan rasmi banglo itu masih tertangguh berikutan Menteri Besar masih mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan manakala Khairul Fahmi pula sibuk menjalani latihan.

“Kita (kerajaan negeri) akan menyerahkan rumah banglo itu kepada Khairul Fahmi seperti yang dijanjikan kerana rumah terbabit sudah siap sepenuhnya, malah majlis ringkas akan diadakan sempena penyerahan itu.

“Bagaimanapun, disebabkan kedua-dua pihak masih sibuk dengan urusan masing-masing, kita tangguhkan penyerahan rumah berkenaan sehingga tiba waktu sesuai. Namun kita akan berusaha mempercepatkan proses penyerahan banglo itu,” katanya.

mymetro

Nota: Hebat jugak kerajaan negeri Kelantan. tahniah kepada Tok Guru Nik Aziz selaku menteri besar Kelantan yang menghargai jasa anak negeri menjulang Piala AFF Suzuki.

%d bloggers like this: