Tag Archives: Kemaman

Setiausaha Politik MB Kata PM Bodoh


Setiausaha-Politik-MB-kata-PM-bodoh

Seorang Setiausaha Politik tidak sepatutnya bercakap begitu kepada Perdana Menteri.

KEMAMAN: Seorang perwakilan Umno Bahagian Kemaman kesal dengan ucapan Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid (gambar dari kiri) yang mengatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bodoh.

Menurut mereka, seorang Setiausaha Politik tidak sepatutnya bercakap begitu kepada Perdana Menteri.

“Apatah lagi ucapannya dibuat secara terbuka kepada 300 perwakilan DUN Kijal pada 8hb Oktober lalu ketika beliau berkempen kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Kemaman,” kata seorang perwakilan kepada FMT yang enggan namanya disebut.

Ahmad Said akan ditentang seorang bekas penghulu, Mat Dalam Awang dalam pertandingan dua penjuru pada 19 Oktober depan.

Menurut perwakilan itu lagi, bukannya Najib menentang Ahmad Said.

“Kenapa Wan Ahmad Nizam perlu bodohkan Najib?” soal beliau.

Dalam ucapannya, Wan Ahmad Nizam yang dicabar jawatan Naib Ketua Bahagian oleh ADUN Air Puteh, Wan Hakim Wan Mokhtar berkata betapa susahnya Ahmad Said nak jadi Menteri Besar buat penggal kedua selepas pilihanraya umum Mei lalu.

Katanya, Ahmad Said telah pergi menemui Perdana Menteri di pejabatnya untuk ambil watikah perlantikan Menteri Besar tetapi beliau diberitahu Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri bahawa Najib amat sibuk buat persiapan untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Wan Ahmad Nizam mendakwa Ahmad Said dan beliau pergi ke rumah Najib dan menunggu Najib di rumahnya. Bila Najib sampai di rumah, Najib benarkan Ahmad Said menemuinya tetapi Najib suruh Ahmad Said balik terlebih dahulu kerana Najib tidak puas hati kerana BN menang 17 kerusi sahaja di Terengganu.

“Bodoh betul Najib. Ahmad Said nak pergi ambil watikah, dia suruh balik dulu,” kata Wan Ahmad Nizam dalam ucapannya itu yang mengejutkan semua hadirin.

Menurut perwakilan itu, dalam pertandingan Ketua Bahagian, jangan babitkan Perdana Menteri kerana bukannya beliau menaja Mat Dalam Awang menentang Ahmad Said.

“Oleh itu saya amat kesal dengan sikap Setiausaha Politik Menteri Besar yang celupar itu,” katanya lagi.

fmt

Banjir Teruk di Terengganu 1638 kena Pindah


SITUASI banjir di Kampung Nyatoh, Setiu, Terengganu di mana mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Surau Kampung Permaisuri, hari ini. – Foto Nojie Nadzirah

Bah makin buruk di Terengganu 1638 orang dipindahkan

KUALA TERENGGANU: Keadaan banjir yang melanda Terengganu sejak dua hari lalu bertambah buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 1,638 orang, berbanding 692 petang semalam.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara negeri berkata, sehingga 9 pagi ini, 935 orang daripada 283 keluarga di Hulu Terengganu dipindahkan berbanding 414 petang semalam manakala di Setiu, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 403 orang berbanding 259 petang semalam.

Daerah Kemaman yang mula dilanda banjir petang semalam, semakin teruk apabila jumlah mangsa meningkat kepada 265 orang berbanding 19 petang semalam. Di Dungun orang orang daripada dua keluarga dari Kampung Telaga Mas, Paka, dipindah ke Bangunan Umno Kuala Paka manakala di Marang, dua orang dipindahkan ke dewan orang ramai Kampung Temala semalam.

Jurucakap itu berkata semua jalan utama yang menghubungkan Kuala Terengganu-Kelantan dan Pahang tidak terjejas dan masih boleh dilalui pagi ini.

Beliau berkata hampir semua sungai utama di Terengganu pagi ini mencatatkan paras air di tahap bahaya.

Sungai Besut di Jambatan Kruak kini setinggi 35 meter berbanding tahap bahaya 33 meter, di Kampung La setinggi 19.20 meter (bahaya 17.20 meter) dan Jambatan Jertih 8.90 meter (bahaya 7.30 meter).
Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja 37.50 meter (bahaya 35 meter), Kuala Jengai 19.80 meter (bahaya 18.30 meter), Jambatan Jerangau 12.50 meter (bahaya 10.90 meter).

Sungai Kemaman di Jambatan Tebak 21 meter (bahaya 19 meter), di Jambatan Ban Ho 19 meter (bahaya 17 meter), Jambatan Air Putih 15 meter (bahaya 13 meter).

Sungai Terengganu di Kampung Menerong 26 meter (bahaya 24.50 meter) dan di Kampung Dura 16.80 meter (bahaya 15.30 meter) dan Sungai Setiu di Kampung Besut 18.40 meter (bahaya 16.40 meter), Jambatan Chalok 10 meter (9 meter) dan Ibu Bekalan 8.10 meter (bahaya 7.30 meter).

BERNAMA

%d bloggers like this: