
Tahniah kepada skuad bolasepak negara kerana berjaya membawa pulang pingat emas selepas menewaskan pasukan tuan rumah, Indonesia di stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.
Dalam kegembiraan merayakan kemenangan skuad bolasepak negara, sedih apabila mengenangkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim.
Sebelum menonton perlawanan akhir bolasepak Sukan SEA tersebut, saya sempat membuka komputer untuk membaca berita.
Janganlah bersikap seperti budak budak kecil wahai Razali
Terbaca pula sebuah berita yang bertajuk, “Pakatan racuni peminat Indonesia benci Malaysia”. Dalam berita tersebut, Ahli Parlimen Muar itu menyelar pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang didakwa seringkali memburuk-burukkan Malaysia apabila berada di Indonesia.
Kata beliau,”Mengapa mereka pendam kebencian sebegitu terhadap kita? Kenapa tidak Thailand? Mengapa tidak orang lain? Ia bukan kerana persepsi penganiayaan terhadap rakyat Indonesia.
“Pada pendapat saya, ia adalah kerana pemimpin-pemimpin pembangkang yang seringkali ke Indonesia dan memburuk-burukkan negara ini.
“Mereka melabel perkataan buruk terhadap Malaysia, umpamanya ‘Maling’ yang dalam bahasa Indonesia bererti pencuri,” kata Razali di Dewan Rakyat.
Memeranjatkan saya apabila kenyataan ini dikeluarkan oleh seorang Timbalan Menteri yang juga Naib Ketua Pemuda Umno yang satu ketika nanti bermungkinan besar akan menjadi Ketua Pemuda parti Melayu terbesar itu.
Sudahlah sukan pun dipolitikkan oleh Naib Ketua Pemuda Umno tersebut, dakwaan beliau tidak disokong oleh fakta dan kajian yang terperinci.
Nasib baik kenyataan tersebut dikeluarkan dalam Dewan Rakyat, adalah juga kekebalan ahli parlimen. Kalau kenyataan dikeluarkan diluar dewan, silap-silap boleh kena saman!
Hubungan Malaysia-Indonesia
Untuk menuduh pemimpin PR yang menjadi punca kebenciaan penyokong Indonesia terhadap pasukan bolasepak Malaysia adalah tuduhan yang dilihat tidak lain dari kebenciaan terhadap musuh politik semata-mata.
Yang harus dilakukan adalah kajian yang terperinci tentang mengapa perkara ini berlaku.
Atau benarkah rakyat Indonesia membenci Malaysia? Apakah ini hanyalah permainan media?
Dari segi politik memang benar terdapat sesetengah golongan di Indonesia yang seringkali menjadikan Malaysia sebagai “punching bag” untuk mengalihkan pandangan rakyat terhadap isu yang lebih besar.
Ini samalah juga dengan sikap sesetangah ahli politik di Malaysia yang suka menjadikan Singapura sebagai “punching bag” apabila tibanya musim pilihanraya.
Strategi politik sebegini memang sentiasa dan akan terus menerus digunakan. Ini adalah kerana ianya mudah untuk mempengaruhi minda masyarakat.
Tambahan lagi peranan media yang suka memperbesarkan berita-berita sebegini, sudah pasti ada golongan dalam masyarakat yang akan terpengaruh.
Kita tidak boleh menafikan bahawa terdapatnya penganiyaan terhadap pekerja Indonesia yang bekerja di Malaysia. Walaupun golongan yang menindas ini hanya minoriti, sudah pastilah “kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”.
Tidak dinafikan juga, terdapat juga pekerja-pekerja Indonesia di Malaysia yang melakukan perkara-perkara yang tidak senonoh dan menindas majikan mereka. Inipun bukan majoriti, hanya segelintir sahaja.
Kerjasama erat Malaysia-Indonesia
Malaysia dan Indonesia bergantung hebat diantara satu sama lain. Baik dari segi ekonomi, sejarah dan kebudayaan. Jika kedua-dua negara memperbaiki hubungan antara dua negara, lebih banyak faedah yang akan diperolehi bersama.
Kita harus bersikap terbuka untuk mengeratkan lagi hubungan yang sedia ada. Dengan bahasa yang boleh difahami diantara kedua negara, segala urusan menjadi lebih mudah.
Tambahan lagi pada hari ini apabila Asean sudah menjadi semakin penting dimata dunia, kerjasama erat Malaysia-Indonesia akan memberikan keuntungan yang lebih besar.
Sebagai contoh dari segi bahasa. Lobi untuk menjadikan bahasa Malaysia/Indonesia sebagai bahasa Asean sudah lama berjalan. Jika kedua-dua negara konsisten melakukan perkara ini, tidak mustahil tidak lama lagi Asean akan menggunakan bahasa Nusantara sebagai bahasa pengantar.
Bukankah jika ini berlaku kedua-dua negara akan mendapat keuntungan bersama? Memang benar terdapat negara-negara yang tidak mahu Malaysia dan Indonesia bersatu. Mereka tahu bahaya penyatuan Nusantara.
Akan tetapi, sampai bilakah Malaysia dan Indonesia terus terperangkap dengan permainan negara-negara ini?
Razali Ibrahim seharusnya berfikir dalam rangka yang lebih besar. Janganlah semua perkara mahu dipolitikkan.
Jika benar PR lah punca Indonesia membenci Malaysia, ini bererti kerajaan Malaysia yang beliau anggotai sebagai seorang Timbalan Menteri begitu lemah dan tidak mampu untuk menggunakan ruang hubungan “G to G” diantara Malaysia dan Indonesia untuk memperbetulkan keadaan.
oleh Amin Iskandar
Like this:
Like Loading...