Tag Archives: ikhwanul muslimin

Dunia Kutuk Kudeta Mesir


jenazah berhampiran rabaah adawiyah

WANITA tempatan menunjukkan mayat yang belum diangkat selepas polis memulakan keganasan menyuraikan penunjuk perasaan berhampiran Masjid Rabaa al-Adawiya.

Kaherah: Ketika angka korban keganasan pasukan keselamatan Mesir terus meningkat komuniti antarabangsa menggesa pihak yang bertelagah segera menamatkan pertumpahan darah.

Turki yang selama ini tidak mengiktiraf kerajaan sementara Mesir mengutuk Kaherah kerana menggunakan keganasan bagi membersihkan kubu penyokong Mohamed Mursi dan Ikhwanul Muslimin.

Pejabat Perdana Menteri Turki berkata, komuniti antarabangsa mesti bertindak serta-merta selepas polis mengganasi penunjuk perasaan yang menuntut Mohamed Mursi dibebas dan dikembalikan ke jawatan Presiden Mesir.

“Komuniti antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB dan Liga Arab mesti menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini,” katanya.

Presiden Turki Abdullah Gul mengingatkan Mesir mungkin terjebak dalam huru-hara dan membandingkan situasi itu dengan tindakan  Syria menekan kebangkitan rakyat mereka sehingga memerangkap negara itu dalam perang saudara.

Jurucakap Ketua Hal Ehwal Luar Kesatuan Eropah (EU), Peter Stano berkata perkembangan di Mesir diikuti dengan “kebimbangan mendalam.”

“Konfrontasi dan keganasan bukan jalan untuk maju dan laporan mengenai kematian serta kecederaan sangat membimbangkan,” katanya.

Sehingga awal malam tadi sekurang-kurangnya 124 orang terbunuh selepas pasukan keselamatan menyuraikan penunjuk perasaan yang berkubu di dua tempat utama di Kaherah.

Seorang daripada mangsa yang terbunuh ialah seorang remaja perempuan, Asmaa, 17, yang juga anak pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin, Mohamed el-Beltagy.

keganasan polis dan tentera MesirSEORANG pemuda menangis melihat mayat yang disusun di sebuah rumah mayat sementara berhampiran Masjid Rabaa al-Adawiya semalam. Ada laporan menyatakan jumlah kematian meningkat kepada 874 orang (sehingga malam tadi waktu Malaysia).

Stesen al-Jazeera pula melaporkan seorang jurugambar Sky News Michael Douglas terbunuh ketika membuat laporan di Rabaa al-Adaweya.

Ketua Parlimen Eropah, Martin Schulz berkata kematian yang berlaku “tidak dapat diterima.”

Kementerian Luar Iran pula mengutuk pembunuhan beramai-ramai itu dan menggesa semua pihak menahan diri daripada terus menumpahkan darah.

“Pendekatan ini mungkin mencetuskan perang saudara di Mesir,” katanya.

Turut mengutuk keras keganasan pasukan keselamatan Mesir ialah Qatar dan Britain.

AFP

Parti islam Ikhwanul Muslimin Menang Besar


Sebahagian petugas pilihan raya membuat kiraan undi di Kaherah, Mesir, semalam.

KAHERAH: Parti politik pergerakan Ikhwanul Muslimin semalam berkata, mereka menang majoriti kerusi dalam pilihan raya kedua Mesir yang memberikan parti itu sekurang-kurangnya 40 peratus kerusi di Parlimen.
Parti Kebebasan dan Keadilan, dalam satu kenyataan berkata, mereka menang 36 daripada 56 kerusi yang diberikan kepada calon individu dalam undian yang tamat kelmarin.

Pergerakan Islam itu sudah pun menang hampir 37 peratus undi dalam pilihan raya pusingan awal yang memberikan kerusi menurut senarai parti.

Sayap politik Ikhwanul Muslimin itu dan blok Islam lain setakat ini menguasai pilihan raya pertama sejak kejatuhan Hosni Mubarak Februari lalu, dengan parti liberal ketinggalan.

Parti Al-Nour berada di tempat kedua selepas Ikhwanul Muslimin, menang hampir satu perempat daripada undian dalam pemilihan bagi senarai parti lewat November lalu.

Jurucakap parti itu, Yousseri Hamed, memberitahu The Associated Press semalam, kumpulannya menang sekurang-kurangnya lima kerusi tambahan dalam pilihan raya pusingan kedua itu. Undian masih dikira.

Bagaimanapun, sebahagian calon Islam lain berdepan saingan hebat di Kaherah. Calon Parti Keadilan yang lebih liberal, Mostafa al-Naggar, berkata dia mengatasi calon Ikhwanul Muslimin dalam undian pusingan kedua itu.

Sementara itu, pergerakan Islam berkenaan berkata, salah seorang calon mereka mengalahkan calon kontroversi Al-Nour, Abdel-Monem el-Shahat, di Iskandariah.

El-Shahat mencetuskan kekecohan ketika kempen pengundian dengan berkata novel tulisan pemenang Hadiah Nobel Sastera Mesir, Naguib Mahfouz, yang dibaca secara meluas di sekolah di negara itu sebagai pelacuran.

Ikhwanul Muslimin dan kumpulan Islam lain sudah sekian lama menawarkan perkhidmatan sosial dan perubatan kepada berjuta-juta penduduk miskin Mesir, yang memberikan mereka sokongan politik.

Undian untuk 498 anggota Parlimen diadakan dalam tiga tahap, dengan dua pertiga daripada penduduk negara itu masih belum membuang undi.

Sementara itu, kerajaan sementara yang diterajui Perdana Menteri dilantik tentera dijangka mengangkat sumpah semalam.

Mereka cuma mentadbir Mesir sehingga undian untuk kedua-dua dewan di Parlimen diputuskan Mac ini.

Kamal el-Ganzouri dinamakan sebagai Perdana Manteri bulan lalu selepas pentadbiran sementara terdahulu meletak jawatan berikutan pertempuran ganas antara penunjuk perasaan dan polis.

Pelantikan el-Ganzouri sepatutnya memenuhi tuntutan penduduk awam yang mahukan kerajaan lebih berkuasa dan mampu berdepan dengan ketidakstabilan, ketegangan sosial dan krisis ekonomi yang melanda negara itu.

AP

%d bloggers like this: