Tag Archives: Burhanuddin al-Helmy

Ghani Othman Pegawai British Terbaru di Johor


‘Kenyataan MB Johor seperti pegawai penjajah British’

Ketua Dewan Pemuda PAS Johor turut mencabar Ghani Othman untuk berdebat.

Ketua Dewan Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat menyifatkan kenyataan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman yang melabelkan Mat Indera sebagai militan Parti Komunis Malaya ‘tak tumpah seperti seorang pegawai penjajah British’.

“Hujah-hujah yang beliau gunakan adalah saling tak tumpah seperti alasan dan hujah daripada seorang pegawai British untuk menentang kemaraan pejuang-pejuang kemerdekaan yang berjuang dengan darah dan air mata sewaktu negara kita masih dijajah dahulu,” katanya.

Suhaizan turut mencabar Ghani untuk berdebat berhubung isu serangan komunis pimpinan Mat Indera di Bukit Kepong pada tahun 1950.

“Saya cabar Ghani untuk berdialog secara terbuka di daerah Muar, Johor!” Suhaizan berkata dalam satu kenyataan media hari ini. Suhaizan menyanggah hujah Ghani bahawa Mat Indera seorang militan kerana para sarjana masih mengkaji sama ada pejuang haluan kiri perlu digelar pejuang atau pengkhianat.

“Dalam konteks peristiwa yang berlaku sekitar tahun 1948 hingga 1957, para sarjana masih sedang mengkaji dan masih tidak ada lagi (menurut kajian dan pembacaan saya) satu keputusan yang muktamad adakah pejuang-pejuang berhaluan kiri dikira sebagai pejuang atau pengkhianat.

“Tindakan beliau (Ghani) dengan mudah melabel Mat Indera sebagai pengganas yang kejam dan zalim adalah sama sekali tidak rasional.

Ini adalah berikutan kenyataan Ghani yang melabelkan Mat Indera sebagai Parti Komunis Malaya (PKM) yang dilaporkan akhbar Utusan Malaysia hari ini.

“Tindakannya (Mat Indera) terus menyertai PKM dan menyertai gerakan militan adalah haram, tidak sah dan tidak benar dengan menggunakan taktik kekejaman dan kezaliman, sehingga menyebabkan dia termasuk dalam golongan yang bertindak secara salah dan terpesong.

“Ini berlainan daripada para pemimpin berhaluan kiri lain seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad atau pun Ibrahim Yaakub yang tidak memilih untuk bertindak secara militan,” kata Ghani.

Ghani yang juga penaung Yayasan Warisan Johor (YWJ) turut mempertahankan penerbitan buku Pengukir Nama Johor yang turut memuatkan kisah Mat Indera.

Beliau menyifatkan penerbitannya sebagai “data-data kemasyarakatan berkaitan seorang anggota masyarakat yang pernah menonjolkan diri dalam peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku di negara ini, khususnya di negeri Johor dalam perjalanan sejarah negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.”

Adakah Tok Janggut juga pengganas? 

Suhaizan turut menimbulkan persoalan samada pejuang kemerdekaan Tok Janggut di Kelantan juga akan dilabel sebagai militan kerana serangan Tok Janggut ke atas balai polis Pasir Puteh menyamai serangan di Bukit Kepong pada tahun 1950.

Beliau turut mempertikaikan peranan Ghani sebagai penaung YWJ dan penulis prakata Pengukir Nama Johor sedangkan YWJ adalah agensi kerajaan Johor.

“Bagaimana selama ini semuanya ok dan baru kini beliau menyanggah buku yang beliau iktiraf sendiri?,” soal beliau.

Suhaizan turut mengemukakan kajian tulisan Ismail Adnan berkaitan sejarah Bukit Kepong agar debat ilmiah dan kajian akademik dijalankan.

fmt

Bongkar: Dr Burhanuddin Lebih Popular dari Tunku dan Onn Jaafar


Mat Sabu: Doktor Burhanudin lebih popular dari Onn Jaafar dan Tunku

Mohamad Sabu yang berhadapan dengan siri kritikan sejak dua minggu lalu menimbulkan beberapa persoalan baru mengenai fakta kemerdekaan malam tadi, antara lain menekankan bahawa Burhanuddin al-Helmy sudah pasti menjadi pilihan rakyat sebagai pemimpin mereka jika satu referendum telah diadakan sebelum kemerdekaan.

Timbalan Presiden PAS  berkata Burhanuddin yang dilahirkan di Kota Baru dan merupakan pengasas Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) lebih diterima berbanding Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Datuk Onn Jaafar sendiri.

Onn menubuhkan Umno dan beliau digantikan oleh Tunku Abdul Rahman, yang merupakan Bapa Kemerdekaan dan perdana menteri yang pertama.

“Kalau British telah mengadakan referendum (sebelum memberi kemerdekaan) antara Burhanuddin, Tunku Abdul Rahman dan Burhanuddin, saya fikir rakyat pilih Burhanuddin,” kata beliau pada forum bertajuk Mat Indera — Pejuang atau Pengkhianat Kemerdekaan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor malam tadi.

“. . . beliau telah disumbat (dimasukkan ke dalam penjara . . . Ahmad Boestamam (sekali) . . . kalau diadakan referendum, (rakyat) akan pilih Burhanuddin,” kata beliau sambil menambah, dari awal lagi kesemua pertubuhan dan organisasi telah diharamkan kecuali Umno oleh British semasa mengisytiharkan Darurat.

Darurat diisytiharkan pada 1948 dan berlarutan sehingga 1960.

“Jadi, dia (Umno) sahaja yang tinggal,” katanya yang menimbulkan bahawa tiada persaingan politik ketika itu.

Dua anggota panel forum malam tadi lain ialah Prof Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan penulis blog, Hishammudin Rais.

Adik Mat Indera, Baharom Shah Indera juga hadir sebagai tetamu khas pada forum itu.

Mengikut fakta sejarah, PKMM menuntut kemerdekaan penuh bagi Tanah Melayu dan menentang sebarang bentuk penjajahan Inggeris dan Burhanuddin membawa PKMM ke arah mewujudkan Melayu Raya iaitu satu gagasan “kesatuan politik” Malaya-Indonesia yang merupakan salah satu perjuangan utamanya.

Kepimpinan PAS berpindah tangan kepada Burhanuddin pada 1956.

Beliau digambarkan sebagai seorang “nasionalis radikal dan pemikir Islam” dan pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1965.

Beliau juga pernah ditahan oleh British kerana terlibat dengan Rusuhan Natrah di Singapura dan memenangi kerusi Parlimen Besut pada pilihan raya umum 1959.

Dalam ucapannya, Mohamad yang mesra dikenali sebagai Mat Sabu menimbulkan persoalan sama ada ketua Parti Komunis Malaya Chin Peng, yang mengetuai serangan yang membawa kepada kematian Sir Henry Gurney wajar dianggap sebagai pengkhianat negara.

Gurney, pesuruhjaya tinggi British ditembak mati pada 6 Oktober 1951 di Bukit Frazer dalam perjalanan menghadiri satu mesyuarat.

“Chin Peng (yang mengetuai PKM) yang membunuh Henry Gurney . . . jadi antara Chin Peng dan Henry Gurney, siapa pejuang dan pengkhianat? Saya tak mahu cakap, anda fikir sendirilah… kalau saya cakap kan, nanti mereka kata (saya penyokong komunis) . . . ,” kata beliau yang kini berhadapan dengan siasatan polis berhubung kenyataannya tentang tragedi Bukit Kepong enam dekad lalu.

Semalam, polis Pulau Pinang berkata pihaknya telah menyiapkan kertas siasatan terhadap Mohamad yang didakwa berkata pengganas komunis yang menyerang dan membunuh anggota polis dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero sebenar perjuangan kemerdekaan negara.

Polis turut merekodkan 68 kenyataan daripada pemberita, saksi bebas serta mereka yang membuat laporan polis terhadap beliau bagi melengkapkan siasatan.

Mohamad turut disiasat menurut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menggemparkan masyarakat. Sehingga kelmarin sebanyak 266 laporan polis terhadap Mohamad telah diterima di seluruh negara.

Mohamad yang lebih dikenali “Mat Sabu” mencetuskan kontroversi apabila memberitahu dalam satu ceramah bahawa pejuang kemerdekaan telah melancarkan serangan itu di balai polis Bukit Kepong — membunuh 25 orang — semasa pemberontakan komunis dalam 1950.

Ahli politik itu telah dituduh membela komunis oleh pemimpin Umno dan ia disiarkan dalam Utusan Malaysia walaupun Mohamad menafikan ada menggunakan perkataan komunis dalam ceramahnya.

Mohamad, dalam ceramahnya mengatakan Muhammad Indera — salah seorang individu yang dipujinya ketika ceramah pada 21 Ogos lalu telah dikatakan sebagai seorang pejuang kemerdekaan, sebagaimana disebutkan dalam Berita Harian pada 13 Ogos 2010.

Malah kata beliau ucapannya mengenai Mat Indera atau nama sebenarnya Ahmad Indera itu juga disokong oleh buku dikeluarkan oleh kerajaan negeri Johor dengan judul “Pengukir Nama Johor”.

G.Manimaran

%d bloggers like this: