Tag Archives: Beijing

400 Juta Warga China Tidak Tahu Mandarin


nihaoma

Fakta terkini

Beijing: Lebih 400 juta rakyat China tidak boleh bertutur bahasa Mandarin yang juga bahasa kebangsaan di negara itu, manakala sebahagian besar bercakap dengan gaya bahasa yang teruk, lapor media tempatan.

Banyak dialek
Parti Komunis yang memerintah China berusaha mempromosikan bahasa Mandarin sejak berdekad lalu untuk menyatukan rakyat negara itu yang mempunyai beribu-ribu dialek dan bahasa minoriti, namun terhalang oleh saiz negara yang besar dan kurang pelaburan dalam bidang pendidikan.

Jurucakap Kementerian Pelajaran China, Xu Mei yang dipetik agensi berita Xinhua, berkata hanya 70 peratus rakyat negara itu boleh berbahasa Mandarin tetapi sebilangan besar tidak fasih, manakala 30 peratus lagi atau kira-kira 400 juta penduduk langsung tidak boleh menuturkannya.

Beliau berkata, China mungkin tidak akan berjaya menjadikan bahasa Mandarin atau sebelumnya dikenali sebagai Putonghua sebagai bahasa yang boleh dituturkan seluruh rakyat.

Promosi bahasa

“Tahun ini kementerian menumpukan kawasan terpencil dan pedalaman yang didiami kebanyakannya etnik minoriti,” katanya, menjelang kempen tahunan mempromosikan bahasa Mandarin yang diadakan setiap tahun sejak 1998.
Usaha mempromosikan bahasa Mandarin menjadi isu perdebatan dan pertelagahan di China, malah mencetuskan tunjuk perasaan dan keganasan.

– AGENSI

Gempar: Budak 3 Tahun Berat 60 Kilogram


 

Berat badannya sentiasa bertambah sejak berumur 3 bulan

BEIJING – Masalah obesiti kini melanda kebanyakan kanak-kanak di seluruh dunia begitu juga dengan seorang kanak-kanak berumur tiga tahun mencapai berat badan lima kali ganda berbanding berat kanak-kanak sebaya usianya.

Seorang kanak-kanak dari China, Lu Kao, 3, mengalami pertambahan berat badan secara drastik dan berterusan sejak dia berumur tiga bulan, sehingga kini beratnya mencecah 60 kilogram.

“Hao mempunyai selera makan yang luar biasa kerana dia boleh menghabiskan tiga mangkuk nasi dalam satu masa,” menurut ayahnya, Lu Yuncheng.

Ibu bapanya kini berasa khuatir dengan tahap kesihatan Kao walaupun doktor menyatakan hormon kanak-kanak ‘sihat’ itu berada pada paras normal dan sukar untuk mengesan punca berat kanak-kanak itu yang terus meningkat secara mendadak.

Ibunya berharap agar berat badan Kao akan menurun bagi mengelakkan masalah berkaitan kegagalan fungsi sistem badan akibat keadaan fizikalnya itu.

sinar

Kisah Benar: Mati Kerana Main Game Komputer


Lelaki pulun main game selama 3 hari sampai mati

BEIJING: Seorang lelaki warga China berusia 30-an meninggal dunia selepas tiga hari tidak tidur dan hanya menjamah sedikit makanan kerana asyik bermain permainan komputer di kafe internet di luar Beijing, lapor media kerajaan semalam.

Insiden itu menjadi contoh dalam kempen kerajaan untuk memerangi ketagihan internet yang melanda jutaan rakyat China, menurut penyelidik.

Lelaki yang tidak dikenali itu jatuh dan koma sebelum dikejarkan ke klinik berdekatan kafe yang terletak di pinggir ibu negara itu. Beliau kemudian meninggal dunia, lapor Beijing Times.

“Beliau membelanjakan lebih 10,000 yuan (RM4,629) sejak beberapa bulan lalu untuk bermain permainan komputer dan tidak meninggalkan komputernya selama tiga hari,” kata laporan berkenaan.

“Polis juga merampas beberapa komputer sebagai sebahagian penyiasatan tetapi menolak kaitan pembunuhan dan sehingga kini tidak menahan pemilik kafe internet yang hanya memiliki enam terminal komputer itu,” tambahnya.

Afp

Nota: Macam macam cerita kegilaan komputer, depa ni dah sampai tahap ketagih main game dalam komputer dan internet.

mungkin game tu berunsur perjudian la kot..pasai selalunya spesis tu depa suka sangat main judi.

Game pasai judi pun banyak dan berlambak dalam talian online internet..

dinjawa.lawak politik

Timur Leste Lubok Baru China


Timor Leste lubuk baru peniaga dari China


PRISCILLA menunjukkan sajian di Brothers Burger yang menjual hidangan seperti ayam goreng, burger dan kentang goreng.

 


SEBUAH jed berbentuk gajah berwarna hijau menjadi hiasan di sebuah restoran burger di Timor Leste.

Dengan pelanggan-pelanggan berselang-seli menikmati hidangan burger dan kentang goreng di restoran itu, jed tersebut bukan sahaja menjadi lambang kejayaan kedai makan itu, tetapi juga petunjuk asal-usul pemiliknya.

Restoran Brothers Burger merupakan salah satu daripada tiga rangkaian makanan segera yang menghidang menu ala Amerika di Timor Leste. Apa yang pasti ketiga-tiga restoran terbabit dimiliki dan dikendalikan warga China yang melabur di negara kecil berkenaan.

Biarpun menyediakan sajian ala Amerika, tetapi restoran Brothers Burger yang terletak di Dili, ibu negara Timor Leste beroperasi dengan pemikiran peniaga China sejati.

Ini kerana selain menghidangkan makanan, sebahagian restoran berkenaan diasingkan untuk dijadikan kedai barangan peralatan mainan, tempat simpanan peralatan dan gajet-gajet elektronik dari China.

Malah, di bangunan restoran itu juga disediakan studio mengambil gambar pasport yang diusahakan oleh peniaga China sekiranya ada pelanggan yang perlu bergegas mendapatkan foto pasport selepas makan.

Pelabur dari China

Pengurus Brothers Burger, Priscilla Soh berkata, syarikat pengendali restoran tersebut iaitu Brothers Enterprises yang berpangkalan di China menjalankan perniagaan tanpa pengkhususan satu-satu produk atau perkhidmatan.

Jadi bukanlah menghairankan apabila Brothers Enterprises menggabungkan kedai makan berusia dua tahun itu bersama perniagaan lain untuk menaikkan keuntungan.


DILI kini sedang membangun selepas berjaya muncul sebagai sebuah negara merdeka pada tahun 2002.

 


“Jika anda berani datang ke sini dan mengambil risiko, anda boleh mendapat keuntungan. Saya sangat menggalakkan rakan-rakan dari Barat yang hendak datang dan melabur di sini,” ujar Priscilla.

Bagi rakan dari China pula katanya: “Bukan perkara mudah untuk berniaga di sini kerana sudah terlalu ramai orang China di Timor Leste.”

Rangkaian makanan segera tersebut telah membentuk satu lapisan peniaga pertengahan baru di Timor Leste yang sebenarnya sebuah negara kaya dengan sumber asli.

Negara berkenaan yang mempunyai populasi kira-kira satu juta orang penduduk itu membentuk sebuah negara baru pada tahun 2002 dan sehingga kini masih bergantung kepada bantuan asing untuk terus membangun.

Jika dilihat daripada perspektif perniagaan di Timor Leste, kelompok pelabur China lebih kepada rangkaian bisnes yang dikendalikan secara hubungan keluarga.

Namun, jika dilihat daripada sudut yang lebih luas, bukan sedikit yang telah didermakan China untuk melonjakkan ekonomi serta politik di Timor Leste.

Beijing telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk membina rumah agam baru presiden, bangunan Kementerian Luar Negeri dan ibu pejabat ketenteraan yang masih dalam pembinaan.

Bangunan-bangunan tersebut merupakan struktur baru paling menarik di Dili.

Bagaimanapun di sebalik ‘limpahan kasih sayang’ China itu, ia telah mencetuskan kebimbangan merentasi beberapa pihak terutamanya kuasa besar seperti Australia yang melihat China cuba memberi pengaruh kepada Timor Leste.

Profesor Hugh White dari Pusat Strategik dan Pertahanan Universiti Kebangsaan Australia memberitahu Radio ABC, kepentingan China di Timor Leste merupakan sesuatu yang perlu diambil berat oleh Australia.

“Mengimbas kembali abad ke-18, rakyat Australia sentiasa sensitif terhadap idea kuasa besar merancang memasuki negara tertentu,” katanya.

Media Australia membuat banyak andaian daripada pembelian dua kapal peronda Vintage Shanghai Class 1960 bernilai AS$25juta (RM77 juta) oleh Timor Leste pada tahun 2008.

Bahkan, media mengaitkan terdapatnya hubungan ketenteraan yang kuat antara Beijing dan Dili.

Presiden Timor Leste, Jose Ramos-Horta yang sebelum ini dikenali sebagai rakan rapat Australia, bagaimanapun secara terbuka mentertawakan kebimbangan tersebut.


JURUJUAL Brothers Burger sedang melayan seorang pengunjung di restoran itu.

 


“Saya memberi jaminan kepada rakyat Australia bahawa rakyat Timor Leste dan China bukan membentuk tentera laut dan pangkalan tentera udara untuk menyerang Australia,” katanya berseloroh.

Beliau berkata: “Rakyat Australia boleh hidup dengan aman, mereka tidak perlu terburu-buru mempelajari Mandarin.”

Presiden itu menambah, Australia tidak sepatutnya bersikap terlalu sensitif kerana Timor Leste perlu bersikap terbuka apabila ada negara yang menghulurkan persahabatan.

“Australia tidak pernah bimbang saat mereka menjual banyak perkara kepada China, sedangkan ketika kami membeli sedikit dari negara China mereka begitu cepat melatah,” ujarnya.

afp

%d bloggers like this: