Tag Archives: Banting

Seluar Dalam,Darah dan Tulang Ditemui: Saksi Kes Sosilawati


 Serpihan tulang,darah dan cebisan seluar dalam ditemui diladang: Saksi kes Sosilawati dan Rakan Rakan

SHAH ALAM: Seorang pegawai kanan forensik memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa sejumlah barangan termasuk serpihan tulang, kesan darah dan cebisan seluar dalam ditemui di sebuah ladang di Tanjung Sepat, Banting, yang didakwa menjadi lokasi pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Supt Soo Me Tong, 55, Ketua Bahagian Kimia, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, berkata semua barangan itu dijumpai semasa pasukannya menjalankan siasatan di sebuah bangunan setingkat dan sebuah tapak pembakaran pada 12 dan 14 September 2010.
“Pegawai penyiasat kes (ASP Ishak Yaakob) maklumkan kepada kami bahawa bangunan setingkat yang terletak di sebelah kanan ladang itu adalah tempat mangsa diangkat, diikat, dipukul dan diserang.
“Satu lagi tempat (tapak pembakaran) berhampiran sebuah kolam kira-kira 50 meter dari bangunan setingkat itu ditutupi kayu-kayan dan atap zink dan pegawai penyiasat maklumkan bahawa ia adalah tempat mangsa dibunuh dan dibakar,” katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani.

Soo, saksi ke-48 pendakwaan, memberi keterangan pada perbicaraan kes bekas peguam, N Pathmanabhan, 42 dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyalagan, 20, R Matan, 21 dan R Khatavarayan, 31, yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai CIMB, Noorhisham Mohamad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Pembunuhan itu didakwa berlaku di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Soo berkata, siasatan pasukannya pada 12 September 2010 di bangunan setingkat yang mempunyai lima bilik itu, menemui kesan darah di dinding bilik pertama, di luar dinding bilik kedua, ketiga dan kelima, pada sarung sofa dan kusyen yang terletak di depan bilik kedua serta pada televisyen di depan bilik ketiga.

Beliau berkata, siasatan di bangunan itu juga menemui dua puntung rokok dan beg kertas di dalam bilik ketiga, sebuah tong plastik berisi dua pertiga penuh cecair dipercayai bahan bakar dan beberapa keratan wayar berwarna hijau di dalam bilik kelima serta enam kesan cap jari di almari, laci almari dan sebuah botol minuman Coca-Cola yang terletak di dalam bilik ketiga.

“Selepas kumpul semua barang kes, pasukan saya beralih pada tapak pembakaran untuk buat proses galian bagi mencari sisa-sisa tulang atau barang kes yang berkaitan dengan kes pembunuhan ini. Tempat ini dilitupi dengan atap zink, kayu-kayan dan atas permukaan tanah juga dilitupi dengan najis kambing.

“Saya buat empat zon pada tapak pembakaran supaya saya boleh berikan tugasan kepada anggota saya untuk mencari dengan lebih rapi. Saya teliti di kawasan sekitar mendapati daun kelapa sawit berhampiran ada kesan layu kena haba kebakaran dari tapak pembakaran itu,” katanya.

Soo berkata, pemeriksaan di zon A dan zon B tapak pembakaran itu menemui beberapa serpihan tulang dan dua sampel tanah turut diambil selepas pasukannya terhidu bau bahan bakar pada tanah.

Beliau berkata, pada 14 September 2010, pasukannya sekali lagi menjalankan galian di tapak pembakaran itu dengan bantuan enam patologi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan Hospital Melaka bagi mengesahkan sisa tulang yang ditemui.

“Hasil pemeriksaan di zon A menjumpai satu kepingan logam, di zon B menjumpai satu tulang rahang, sebatang kayu bakau dan serpihan kayu terbakar manakala pemeriksaan di zon C menemui satu wayar warna hijau, seluar dalam jenama Hush Puppies saiz M, satu cebisan stoking, satu seluar panjang jenama Snail Classic saiz M, satu cebisan kain guni, sisa kebakaran warna biru, beberapa cebisan tulang dan wayar hijau.

“Pemeriksaan di zon D menemui berbelas-belas serpihan tulang, sebatang gigi dan kod bar. Kami juga ada ambil lima sampel tanah di zon A, B dan C serta ambil sampel tanah kawalan di kawasan sekeliling luar tapak pembakaran untuk rujukan,” katanya.

Soo berkata, semua barang bukti itu dibungkus dengan baik, dilabel, ditandatangani serta dicatatkan tarikh penemuan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat dan beliau turut menyediakan laporan berhubung semua penemuan pada dua tarikh berkenaan.

Perbicaraan hari ke-35 di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir disambung esok.

Bernama

Kes Sosila: 2 Premis Pathma diSita


Pejabat Pathmanaban disita oleh Polis dalam siasatan penggubahan wang haram

2 Premis Pathmanaban disita

KUALA LUMPUR – Polis menyita sebuah rumah teres dua tingkat dan bangunan pejabat milik bekas peguam, N. Pathmanabhan yang sebelum ini dituduh membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.

Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman semalam, tindakan menyita kedua-dua premis di Banting, Selangor itu dibuat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Timbalan Pendakwa Raya telah memutuskan untuk menyita premis tersebut yang berkuat kuasa pada 16 Disember lepas.

Jelas kenyataan itu lagi, tindakan itu dibuat mengikut Seksyen 51(1) Akta Anti Pengubahan Wang Haram dan Anti Pembiayaan Keganasan 2001.

“Ekoran itu pemiliknya, Pathmanabhan, 41, keluarga terdekat, pekerja atau mana-mana individu ditegah daripada menjalankan sebarang bentuk urus niaga dalam apa jua keadaan di dua premis tersebut,” katanya.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan berkata, perintah yang diperoleh oleh Pasukan Petugas Khas Operasi/Anti Keganasan Bukit Aman itu, bagi membolehkan siasatan dibuat berhubung satu laporan polis di Teluk Panglima Garang membabitkan kes pengubahan wang haram. Menurut kenyataan itu, Timbalan Pendakwa Raya memutuskan untuk melaksanakan tindakan penyitaan terhadap satu unit rumah teres dua tingkat dan satu unit bangunan pejabat tiga tingkat, kedua-duanya terletak di Banting, Selangor. Pada 13 Oktober lalu, Pathmanabhan, 41, dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyagan, 19, R. Matan, 20, dan R.Khatavarayan, 30, dituduh membunuh Sosilawati bersama pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, di satu kawasan di Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, pada 30 Ogos lalu.

Kes itu akan didengar semula pada 27 Januari tahun depan.

Bernama

%d bloggers like this: