Tag Archives: Arau

Najib ‘Kencing’ Rakyat Perlis Lagi


Empangan Perlis: Tiada peruntukan saliran ke laut

Kami mendesak kerajaan agar mengotakan janji untuk mempersiapkan saliran khusus ke laut dari empangan ini demi keselamatan dan ketenteraman seluruh warga Perlis.

PETALING JAYA: Ternyata apa yang di war-warkan sebelum ini bahawa kerajaan negeri Perlis akan memulakan projek ‘Saliran Khusus Empangan Timah Tasoh’ seawal tahun 2012 setelah proses pengambilan tanah selesai adalah bohong semata-mata.

Ini kerana dalam pembentangan Bajet 2012 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan Jumaat lepas menyebut dengan jelas peruntukan hanya melibatkan kerja menaik taraf Empangan Timah Tasoh dan mendalamkan Sungai Arau sahaja, lihat muka surat 45 Bajet 2012 versi online.

Demikian menurut satu kenyataan media semalam daripada Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Rakyat Perlis Atasi Masalah Banjir, Mohammad Faisol Abd Rahman.

Justeru katanya, ini memberi gambaran bahawa kestabilan rakyat Perlis khususnya penduduk di sekitar kawasan yang pernah terlibat dengan banjir masih lagi berada dalam keadaan dirundung rasa gelisah.

“Persoalannya apakah hanya cukup sekadar dengan mendalamkan sungai yang sedia ada mampu mengatasi limpahan stok air Empangan Timah Tasoh yang akan di naik taraf? Sudahkah kajian terperinci dibuat untuk tujuan tersebut ataupun hanya sekadar mahu menunaikan janji sahaja?

“Persoalan yang selama ini menghantui para penduduk negeri Perlis mengenai tahap keselamatan Empangan Timah Tasoh masih belum terjawab,” terang beliau.

Menurutnya, banjir besar yang melanda Bangkok sehingga mengorbankan ratusan nyawa di antara puncanya adalah saliran sungai yang sedia ada tidak mampu menampung pembuangan air empangan akibat hujan lebat.

Bangkok ditenggelami air

“Natijahnya hampir seluruh kota Bangkok ditenggelami air sekaligus melumpuhkan segala aktiviti penduduk di kota tersebut. Kejadian yang menimpa Bangkok sekarang ini wajar diambil iktibar oleh semua pihak,” katanya.

Faisol berkata, Empangan Timah Tasoh yang terletak lebih kurang 20 km dari bandar Kangar dan Arau kini dianggap sebagai “Time Bomb”. Mungkin ada yang menganggap hal ini sebagai lucu dan tidak masuk akal.

“Namun siapa sangka gegaran gempa bumi di Jepun baru-baru ini telah menyebabkan bencana kerosakan reaktor nuklear hingga menimbulkan keresahan masyarakat Jepun,” jelas beliau.

Katanya lagi, walaupun Malaysia bebas dari lingkaran kawasan gempa bumi, namun Malaysia tidak terkecuali dari merasakan gegaran hasil dari gempa bumi di negara jiran seperti Indonesia dan Myammar.

“Sesungguhnya warga Perlis amat bimbang seandainya Empangan Timah Tasoh retak, pecah dan runtuh akibat faktor luar jangka seperti gegaran gempa bumi dan apakah kerajaan negeri Perlis sudah bersiap sedia dengan pelan kecemasan sekiranya hal ini terjadi?

“Malaysia juga tidak terlepas dari potensi masalah tanah gelungsur akibat peningkatan projek dan aliran air dalam tanah yang tidak diurus dengan sempurna,” tambahnya.

Beliau menerangkan kenyataan tentang projek menaik taraf Empangan Timah Tasoh yang kapasiti simpanan air semasa 33.3 juta meter padu kepada 87 juta meter padu sudah pasti akan menambahkan lagi ancaman keselamatan kepada lokasi-lokasi popular banjir seperti Beseri, Kampung Syed Omar, Bintong, Kampung Jarak, Kangar, Repoh, Santan, Arau dan sebagainya.

“Dijangkakan sekiranya Empangan Timah Tasoh pecah akibat faktor luar jangka, maka ia akan hanya mengambil masa lebih kurang setengah jam sahaja untuk menenggelamkan seluruh bandar Kangar dan Arau dengan bukan sahaja membawa air tetapi segala apa yang ada.

“Sehubungan dengan itu kami mendesak kerajaan agar mengotakan janji untuk mempersiapkan saliran khusus ke laut dari empangan ini demi keselamatan dan ketenteraman seluruh warga Perlis,” katanya.

fmt

Banjir Perlis: Bandar Kangar ‘Tenggelam’ Lagi


SEBAHAGIAN pelajar Sekolah Menengah Syed Hassan meredah banjir selepas kawasan sekolah mereka dinaiki air akibat hujan berterusan sejak semalam. Kira-kira 20 sekolah diarahkan tutup di beberapa kawasan sekitar Perlis. – Foto Eizairi Shamsudin

Mangsa banjir di Perlis terus meningkat

KANGAR: Walaupun paras air di beberapa kawasan yang dilanda banjir di Perlis sudah mulai surut, namun jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat berbanding semalam.

Jurucakap bilik gerakan banjir Perlis berkata, ketika ini 3,062 mangsa banjir dari 759 keluarga berada di 33 pusat pemindahan di kawasan Kangar, Padang Besar dan Arau berbanding 2,998 orang lewat malam tadi.

Paras air di bahagian utara Perlis ketika ini didapati surut sedikit berbanding semalam. Di bandar Kangar, air mulai naik malam tadi mengakibatkan banyak kedai ditutup, dan sehingga kini 28 batang jalan dinaiki air, namun kebanyakannya masih boleh dilalui semua kenderaan.

Di Kedah

Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca di Kedah dan Perlis akan bertambah baik dalam tempoh beberapa hari lagi walaupun berlaku perubahan cuaca berikutan hujan lebih kerap sepanjang Mac ini, berbanding bulan sama beberapa tahun lalu.

Pegawai Pejabat Meteorologi Bayan Lepas, Pulau Pinang, ketika dihubungi, berkata keadaan cuaca seperti itu boleh berlaku dan ia tidak menunjukkan sebarang tanda berterusan dalam jangka masa panjang.

Katanya, keadaan beransur baik ketika ini dan ia dijangka berterusan walaupun sepanjang minggu lalu hingga semalam hujan agak kerap. “Keadaan cuaca sebegini memang boleh berlaku dalam keadaan cuaca yang tidak menentu seperti ini. Ia mungkin ada timbal balik kerana perubahan cuaca yang berlaku pada bulan ini mungkin juga mengubah keadaan cuaca pada bulan April nanti.

“Pada bulan ini kadar hujan tidak seperti biasa apabila hujan kerap dan ia mungkin menyebabkan hujan pada bulan April nanti kurang sedikit berbanding beberapa tahun sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri, Datuk Azmi Lateh, berkata lebih 400 rumah membabitkan enam daerah di negeri ini terjejas teruk akibat dilanda ribut pada petang Isnin lalu.

Antara daerah yang terjejas teruk dalam bencana itu ialah Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap, Yan, Pendang dan Kuala Muda.
“Kami dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mendapatkan maklumat terkini mangsa bencana itu bagi memudahkan kita menyampaikan bantuan atau membaiki bumbung dan dinding yang rosak,” katanya yang ditemui ketika melawat mangsa ribut di Kampung Kandis, Kodiang, Jerlun, hari ini.

Bernama

%d bloggers like this: