Tag Archives: amy search

Rahsia ‘Awet Muda’ Bro Haji Amy (Search)


Amy Search amalkan minyak zaitun untuk jantung sihat

TIDAK dimamah usia’, itu ungkapan yang biasa didengar apabila bertanya pendapat orang tentang penyanyi popular Suhaimi Abdul Rahman atau dikenali dengan nama Amy Search (gambar).

Biarpun usianya sudah mencecah 53 tahun, penyanyi yang popular menerusi laguIsabella, Kejora, Rozana, Fantasia Bulan Madu, Nur Nilam Sari, Kejoraku Bersatu danSeroja ini tetap tampak muda dan segak seperti dulu.

“Saya hanya mengamalkan gaya pemakanan sihat dan seimbang seperti makan nasi sekali sehari, lebih banyak minum air putih dan kurang makan manisan.

“Selain itu, saya selalu minum madu, minyak zaitun dan makan vitamin untuk menjaga kesihatan jantung dan badan.

“Selebihnya, saya hanya melakukan rutin biasa yang diamalkan oleh orang lain seperti mencuci muka dengan produk pencuci muka serta membuat senaman ringan.

“Kadangkala dengan mendukung dan bermain-main dengan anak sudah di kira menjadi salah satu aktiviti senaman saya,” ceritanya panjang lebar kepada OopStarz!

Begitu juga dengan zaman kegemilangan Amy seiring dengan perjalanan kumpulan Search yang tidak pudar kemilaunya.

Namanya dalam persada seni tempatan makin kukuh genap 30 tahun pada tahun ini dan sentiasa digilai peminat tanpa mengira batas usia.

Amy bukan sahaja menjadi bualan ramai dengan legasi muziknya yang sentiasa mendapat perhatian ramai, malah penyanyi ini juga diangkat sebagai pelopor fesyen rock sejak kemunculan Search pada tahun 1981.

Jika dahulu Amy lebih dikenali dengan imej rambut panjang mengerbang tetapi kini rambutnya sudah dipotong pendek dan kemas.

Masih mengekalkan imej rock, Amy selesa dengan gaya rambut pendek lebih-lebih lagi jiwanya semakin menjurus ke arah Islam.

“Untuk pakaian, saya selesa mengenakan baju-t dan seluar jeans bersesuaian dengan gaya hidup saya sebagai seorang artis.

“Jika tidak terlibat dengan kerja, saya juga gemar memakai pakaian yang sederhana dan ringkas,” ujarnya dalam nada keletihan kerana sibuk dengan aktiviti seninya.

Amy sedang menjalani latihan untuk membuat ‘Konsert Fenomena 30 Tahun Search’ di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 19 November ini, Stadium Hassan Yunos, Larkin, Johor Baru (3 Disember) dan Padang Astaka, Kuala Lumpur (17 Disember).

Selain Amy sebagai vokalis, Search turut dianggotai oleh Kid (gitar utama), Nasir (gitar bass), Nordin (gitar utama) dan Yazit (dram).

Profil Amy Search

Nama sebenar: Suhaimi Abdul Rahman

Tarikh lahir: 28 Julai 1958

Asal: Johor Bahru, Johor

Karier: Penyanyi, pemuzik, pelakon,ahli perniagaan

Filem: Kembara Seniman Jalanan,Rozana Cinta ’87, Sayang, Kepala Angin,Fenomena, Isabella dan Rock

Lagu popular: Isabella, Isi Atau Kulit,Langit dan Bumi, Mentari Merah Di UfukTimur, Gadisku, Pawana, Orang Timur,Nigina, Laila Namamu Teratas, Kejora,Rozana, Fantasia Bulan Madu, Nur NilamSari, Kejoraku Bersatu dan Seroja.

oleh Siti Azira

Gambar Cium di Tioman: Bro Haji Amy (Search) Nasihat Nabila


isu gambar cium: Amy Search nasihat Nabila jaga tingkah laku

Vokalis kumpulan Search, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy berharap anaknya, Nabila Huda, 27, menjaga tingkah laku demi menjaga kerjayanya sebagai seorang pelakon.

Kata Amy, Nabila seharusnya lebih fokus dan jangan rosakkan apa yang telah dikecapinya hari ini dengan perkara-perkara yang boleh menjejaskan namanya dalam industri.

“Saya tidak tahu tentang gambar-gambar itu, tapi sebagai bapa saya berharap dia menjaga tingkah lakunya kerana dia seorang perempuan.

“Dia yang memilih untuk menjadi selebriti dan seharusnya dia menjaga kerjaya dan fokus dengan apa yang dia ada sekarang,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single berjudul Simetri, di sini, Selasa.

Amy diminta mengulas tentang laporan sebuah program hiburan yang menyiarkan beberapa keping gambar artis yang dipercayai milik Nabila Huda.

Gambar-gambar liar tersebut diambil ketika Nabila sedang berpesta di Pulau Tioman bersama seorang lelaki yang dikatakan teman lelakinya.

Bagaimanapun, Amy enggan mengulas lanjut perkara tersebut namun berharap Nabila sedar dan bertanggungjawab terhadap kesilapannya.

“Saya harap dia tidak melarikan diri daripada kesilapan yang telah dilakukan dan bertanggungjawab dengan apa yang telah berlaku,” katanya.

Oleh KEMALIA OTHMAN

Bro Haji Amy (Search) Terkejut Nabila Mahu Cerai


Tuan Haji Amy Search terkejut Nabila mahu bercerai

Vokalis kumpulan Search, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy ternyata terkejut dengan keputusan anaknya, Nabila Huda, 27, yang ingin memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya Zaidi Zailani, 30, selepas tiga tahun berumah tangga.

Amy yang dihubungi mStar Online pagi Selasa berkata, dia hanya tahu mengenai tindakan anaknya yang merupakan seorang pelakon itu selepas membaca laporan di sebuah akhbar.

“Saya baru tahu tentang hal ini (mahu cerai). Itu pun selepas membaca akhbar hari ini (Selasa) yang melaporkan tentang tuntutan cerai anak saya.

“Memang saya terkejut dengan hal ini dan saya enggan memberi komen lebih-lebih kerana belum berjumpa dengan Nabila lagi,” katanya.

NEKAD…Nabila hadir di pejabat Jawi, semalam.

Ditanya adakah dia tahu selama ini Nabila mempunyai masalah rumah tangga, kata Amy, dia sekadar mendengar khabar angin sahaja tentang pergolakan rumah tangga anaknya itu tetapi tidak menganggapnya serius.

Sementara itu Nabila yang dihubungi tidak dapat memberi sebarang komen dengan alasan sibuk di lokasi penggambaran.

Nabila pada Rabu telah mengunjungi Pejabat Kadi Bahagian Perkahwinan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dekat sini untuk membuat permohonan cerai.

Bagaimanapun dia tidak dapat meneruskan hasratnya itu kerana terlupa membawa sijil nikahnya.

Hasil perkahwinannya Nabila dikurniakan seorang cahaya mata bernama Keisha Lalila yang kini berusia lebih setahun.

mStar

‘Takbir Cinta’ Amy Search dan Yassin


AMY dan Yassin bergabung bakat dan kreativiti untuk single Takbir Cinta.SIAPA yang tidak kenal dengan ikon rock, Search yang mencipta fenomena sendiri 30 tahun lalu. Bukan sahaja di Malaysia, malah penangan yang dibikin turut terasa hingga ke negara jiran Indonesia.

Sementelah apabila lagu Isabella yang cukup segala rempahnya meletus sehingga dinobatkan sebagai Juara Persembahan Terbaik, Anugerah Juara Lagu TV3 (1989).

Begitu pun, vokalis utamanya Amy atau nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman, 53, mengundur diri daripada kumpulan itu sekitar tahun 1996 dan mencipta jenamanya sendiri.

Diam tak diam Amy kini sudah 30 tahun mengabdikan diri dalam dunia seni dan sudah lima buah album solo berjaya dilahirkan iaitu Magic (1994), Camouflage (1997), Aku (1999), Suatu Masa (2000) dan IKON – A Rockstar Chronicle (2006) sepanjang tempoh itu.

Sinonim dengan aliran rock sejak mula menceburkan diri lagi, bagaimanapun kini Amy buat pertama kalinya cuba beralih angin dengan mendekatkan diri dengan lagu bercorak kerohanian.

Untuk itu dia telah memilih untuk berkolaborasi dengan bekas penyanyi kumpulan nasyid Brothers, Yassin Sulaiman.

Ia nyata sukses direalisasikan menerusi single berjudul Takbir Cinta yang sudah siap dirakam sepenuhnya.

“Mula-mula rancangan untuk berduet dengan Yassin timbul sejak bulan Ramadan tahun lepas tapi tidak berjaya berikutan kesibukan masing-masing.

“Alhamdulillah, tahun ini segalanya berjalan sempurna dan Takbir Cinta siap dirakam dalam masa tiga bulan sahaja,” katanya yang ditemui ketika majlis kesyukuran dan doa selamat di Restoran Cheng Ho miliknya di Wangsa Maju, Kuala Lumpir baru-baru ini.

Memuji hasil ketelusan dan kualiti hasil kerja serta bakat Yassin selaku penyanyi nasyid kontemporari dan komposer hebat, ujar Amy, mereka ada persefahaman dan punyai minat yang sama.

“Pertama kali dengar lagu yang dicipta Yassin saya dah berkenan dan saya yakin dengan hasil kerjanya.

“Tambahan pula ini single pertama saya yang bercorak kerohanian dan istimewanya single ini juga merupakan lagu pertama yang saya nyanyikan sempena bulan penuh berkat, bulan Ramadan,” bicaranya yang menyasarkan kejayaan lagu duetnya itu untuk didendangkan hingga ke bulan Syawal.

Pemilihan lagu berunsur keagamaan dan didedikasikan sempena bulan Ramadan berbanding lagu raya yang dirasakan lebih berpeluang mendapat sambutan pendengar, Amy ada rasionalnya sendiri.

“Semua orang sibuk untuk membuat lagu raya tapi kita ingin mencari perbezaan dan tidak salah untuk menyeru pendengar ke arah kebaikan sempena bulan mulia ini,” katanya.

Dengan lirik yang mengisahkan perjuangan, pengorbanan dan nazar selain irama balada rock world music iaitu signatur azali Yassin, single itu ibarat suatu percubaan bagi Yassin.

“Kita nak tengok maklum balas daripada pendengar dahulu sebelum membuat album, biar ia menjadi lagu yang mesra pendengar terlebih dahulu,” tutur Yassin yang begitu teruja bekerjasama dengan Amy.

Tambah Yassin, Takbir Cinta merupakan projek keduanya tahun ini selepas terlibat dengan penghasilan runut bunyi filem Nur Kasih dan beberapa lagu tema dan lagu korporat syarikat-syarikat ternama tempatan.

“Sepanjang karier saya, untuk menghasilkan muzik yang menarik perlu sentiasa berubah-ubah mengikut citarasa pendengar dan tidak boleh terhad pada satu stail.

“Begitu juga dengan single terbaharu ini, saya cuba sedaya upaya lakukan yang terbaik setelah idea ini datang daripada Amy sendiri selepas menyaksikan Konsert Maher Zain bulan Oktober tahun lepas,” jelasnya yang kini juga sedang bekerjasama dengan Noryn Aziz.

Fenomena 30 Tahun Search

Menyentuh perkembangan terkini, Amy memberitahu dia kini sedang giat melakukan persiapan menjelang konsert jelajah Fenomena 30 Tahun Search menjelang bulan Oktober nanti.

Sebanyak enam lokasi dipilih untuk siri jelajah sempena menghargai sokongan peminat tanpa berbelah-bagi sepanjang 30 tahun Search berkecimpung dalam industri muzik iaitu Terengganu, Johor, Sabah, Perak, Sarawak dan Kuala Lumpur.

“Konsert jelajah ini akan bermula di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dan akan diteruskan ke enam buah negeri sepanjang bulan Oktober nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Amy juga berkongsi perkembangan lagu duetnya bersama penyanyi dan komposer terkenal dari Indonesia, Ahmad Dhani.

Menerusi single yang diberi judul Jika Syurga Dan Neraka Tak Pernah Ada, lirik dan komposisi lagu sepenuhnya diuruskan oleh Ahmad Dhani.

“Proses rakaman belum lagi dibuat setakat ini tapi lagunya sudah saya dengar, kalau tiada aral melintang lagu ini akan dikeluarkan secepat mungkin menjelang hujung tahun ini,” nyata Amy menerangkan proses asal rakaman lagu berentak sederhana itu sepatutnya berlangsung sebelum bermulanya bulan Ramadan di Indonesia.

%d bloggers like this: