Tag Archives: Alor Gajah

Pakat Pulun Cicak Ekor Cabang Tiga Pulak


Gicak berekor cabang 3 pula jadi tumpuan

Seorang lelaki dari kampung Punggur, Alor Gajah, Melaka secara tiba-tiba menjadi tumpuan masyarakat setempat ekoran menemui seekor cicak yang kelihatan ganjil dan luar biasa apabila mendapati ekornya bercabang tiga.

Lelaki itu, Gafar Kassim, 53, berkata, pada mulanya dia tertarik melihat warna cicak berkenaan berikutan separuh daripada badannya kelihatan kehitaman manakala separuh lagi berwarna putih. Continue reading

Banjir di Melaka dan Johor Terus Meningkat


Anuar Yassin, 38, dan anaknya dari Kampung Gangsa di sini terpaksa mengharung banjir untuk ke kawasan selamat setelah rumah mereka di landa banjir. — Foto Bernama

Mangsa banjir di Melaka dan Johor terus meningkat

MELAKA, 2 Feb — Jumlah mangsa banjir di 19 pusat pemindahan membabitkan tiga daerah di Melaka kini meningkat kepada 4,555 orang berbanding 4,110 orang malam tadi.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri Melaka berkata daerah Melaka Tengah mencatatkan mangsa teramai dengan 2,264 orang, iaitu meningkat berbanding 2,114 orang pada pukul 7 malam tadi.

Anuar Yassin, 38, dan anaknya dari Kampung Gangsa di sini terpaksa mengharung banjir untuk ke kawasan selamat setelah rumah mereka di landa bajir. — Foto Bernama

Di Alor Gajah, jumlah mangsa yang dipindahkan juga meningkat kepada 1,748 orang berbanding 1,568 orang, katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, keadaan banjir di Jasin kini bertambah baik dan jumlah mereka yang berada di pusat pemindahan ialah seramai 543 orang.

Beliau berkata keadaan paras air di sungai-sungai utama juga dilapor semakin menyusut berikutan cuaca baik tanpa hujan di seluruh negeri.

Dalam pada itu, jumlah mereka yang terlibat dengan bencana banjir di dua daerah di Pahang kini meningkat kepada 1,941 orang berbanding 1,777 petang semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata daerah Rompin merekodkan pemindahan tertinggi iaitu seramai 1,778 orang daripada 222 keluarga membabitkan lima buah kampung.

Kampung-kampung terbabit ialah di Bukit Serok (1,499 orang), Kampung Rekoh (162), Kampung Kurnia Tanjung Gemok (85), Kampung Mekang Ibam (26) dan Kampung Lubuk Batu (6 orang), katanya ketika dihubungi pagi ini.

Jurucakap itu berkata di Temerloh, mangsa yang dipindahkan adalah seramai 163 orang daripada 44 keluarga di empat buah kampung, iaitu Kampung Insaf (83 orang), Kampung Batu Kapor (70), Kampung Sempadan (7) dan Kampung Rantau Panjang Lanchang (3).

Katanya beberapa jalan turut ditutup kepada semua kenderaan melibatkan jalan Kampung Inoi, jalan Kampung Baru Bukit Ibam, jambatan Sungai Gayong Kedaik dan jambatan Kampung Lubuk Batu Kota Bahagia di Rompin.

Sementara itu, jalan di KM 5 Felda Selancar, Rompin, ditutup kepada kenderaan berat selepas berlaku runtuhan tebing manakala Jalan Hwa Li Cenderawasih dan Jalan Lam Trading Cenderawasih hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda, katanya.

Selain itu katanya, KM 22 Jalan Kemayan-Risda di Bera hanya boleh dilalui kenderaan berat selepas dinaiki air sedalam 1.5 meter.

Bernama

Banjir Semakin Buruk di Selatan,3 Maut


TENGGELAM…Banjir yang melanda Stesen Keretapi Gemas hari ini lebih teruk berbanding 2006 sehingga menyebabkan sebahagian besar laluan kereta api di sekitarnya ditenggelami air. – Foto Owee Ah Chun

Keadaan banjir bertambah buruk di 4 negeri, 40,000 orang dipindahkan

KUALA LUMPUR, 31 Jan — Dengan tiga kematian dan lebih 40,000 telah dipindahkan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang hari ini, masih ramai terperangkap di beberapa bandar di Johor dengan ketiadaan bekalan elektrik atau bekalan makanan, memaksa pasukan tentera menyertai operasi menyelamat mangsa.

Sehingga pukul 6.45 petang tadi, sebahagian besar Johor diselubungi awan mendung manakala maklumat pihak berkuasa kaji cuaca menunjukkan hujan akan turun sehingga hujung minggu ini.

Di Labis, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, bencana banjir yang melanda Labis, Segamat, Kluang,

Ledang dan beberapa daerah lain sejak dua hari lepas, berpunca akibat keadaan cuaca hujan lebat yang disifatkannya sebagai luar biasa.

Terdahulu beliau mengunjungi pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Agama Labis – sehari selepas pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang. Pusat itu menempatkan 830 orang daripada 137 keluarga, yang terjejas ababila banjir melanda beberapa kawasan perkampungan dan taman-taman perumahan di sekitar Labis.

Kata Muhyiddin, segala usaha untuk memindahkan mangsa dan memberi pelbagai bantuan kemanusiaan telah digerakkan melibatkan kerajaan negeri dan pelbagai agensi kerajaan pusat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Beliau turut meminta Kementerian Pertahanan menggerakkan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu operasi pemindahan mangsa banjir.

Bencana kali ini diakibatkan hujan berterusan selama hampir 10 hari, kata penduduk Segamat manakala menurut Jabatan Meteorologi, hujan dijangka turun hingga minggu ini di Segamat, Kota Tinggi dan Kluang.

Johor menyaksikan lebih  37,000 telah dipindahkan dengan dua kematian manakala di Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang membabitkan sekitar 5,000 orang.

Seorang meninggal dunia di Jasin, Melaka.

Penduduk tempatan Segamat bimbang keadaan banjir akan semakin buruk berbanding yang melanda kawasan itu pada Disember 2006 dan Januari 2007.

Hotel-hotel di Segamat terpaksa memindahkan ruang memasak ke aras yang lebih tinggi untuk menyediakan makanan bagi tetamu, yang hanya mampu menyaksikan sebahagian bandar yang terselamat dalam banjir 2006 tetapi tidak terlepas daripada bencana kali ini.

Satu-satunya cara untuk mereka keluar dari Segamat dan perkampungan sekitar ialah dengan menggunakan bot.

Sebahagian mangsa dilihat meninggalkan rumah masing-masing yang dinaiki air setinggi satu meter menggunakan sampan manakala pasar mini dan pasar raya yang tidak terlibat dengan banjir pula sudah kehabisan bekalan makanan.

Keluarga di pusat-pusat pemindahan juga risau dengan mendakwa bekalan makanan hanya cukup untuk sehari meskipun pihak berkuasa mengatakan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang mengambil  langkah yang perlu untuk menyediakan makanan kepada mangsa-mangsa terlibat.

Banjir juga mencecah laluan Lebuh Raya Utara Selatan dekat Tangkak selepas air Sungai Kesang melimpah.

Keadaan itu menyebabkan pergerakan kenderaan menggunakan satu lorong, sekali gus membawa kepada kesesakan sejauh 10 kilometer ketika ramai mula menggunakannya sempena sambutan Tahun Baru Cina Khamis ini.

Sehingga petang tadi lebih 10,169 orang di daerah Segamat dipindahkan ke pusat perpindahan ekoran keadaan banjir yang semakin teruk.

Menurut jurucakap bilik gerakan banjir daerah Segamat, sehingga pukul petang tadi kesemua penduduk telah dipindahkan dari rumah masing-masing dan dibawa ke 82 pusat perpindahan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 2,400 keluarga dipindahkan ke pusat perpindahan.

“Kita jangkakan jumlah itu akan bertambah, selain itu 19 kawasan terputus hubungan dan beberapa jalan utama juga terpaksa ditutup termasuk jalan Segamat ke Jementah dan Segamat ke Gemas,” katanya.

Menurut jurucakap itu, keadaan banjir yang melanda daerah Segamat sejak semalam ekoran hujan berterusan sejak awal pagi dijangka akan terus meningkat sekiranya hujan masih turun.

“Bandar Segamat sudah ditenggelami air, begitu juga dengan beberapa kawasan petempatan lain terutamanya di kawasan kampung.

“Paras air masih lagi sama, kejap naik kejap turun tapi kalau masih hujan kita jangkakan ia akan naik lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, banjir yang melanda Johor meragut nyawa dua wanita — seorang di Chaah, Segamat, dan seorang lagi di Kampung Rahmat, Kulaijaya.

Kedua-duanya terperangkap dalam kenderaan masing-masing yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian malam tadi.

Di Chaah, Rohani Ismail, 51, lemas selepas kereta yang dipandunya dihanyutkan arus deras di KM145 Jalan Johor Baharu-Seremban, kata Ketua Polis Daerah Segamat, Supt Abdul Majid Mohd Ali.

Di Kulaijaya pula, Ketua Polis Daerah Kulaijaya Supt Zulkefly Yahya berkata, mangsa yang lemas akibat banjir di Kampung Rahmat dikenali Aw Yoke Lin, 53, berasal dari Taman Pelangi.

Pegawai Jabatan Meteorologi memberitahu The Malaysian Insider, hujan lebat diakibatkan musim monsun timur laut.

“Angin dari musim monsun timur laut membawa hujan lebat, Johor menjadi tumpuan,” katanya.

“Fenomena La Nina juga mungkin menyebabkan hujan lebat juga,” kata pegawai jabatan itu.

Laporan berasingan Bernama menyebut, banjir di Melaka meragut mangsa pertama hari ini di Jasin sementara 2,714 mengsa dipindahkan di 26 pusat pemindahan di ketiga-tiga daerah di Melaka sehingga empat petang ini.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri berkata mangsa yang dipindahkan terdiri daripada 616 keluarga di daerah Jasin, Alor Gajah dan Melaka Tengah.

Seramai 1,275 mangsa dari 330 keluarga dipindahkan di Jasin di 15 pusat pemindahanan, 1,390 mangsa dari 278 keluarga di Alor Gajah di 10 pusat pemindahan dan 49 mangsa dari lapan keluarga di Melaka Tengah di satu pusat pemindahan.

Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Che Suza Che Hitam, berkata, mangsa yang ditemui lemas ialah Yusry Mohd Yusof, 40, seorang pengawal keselamatan di Loji Air, Kg Chinchin, Jasin.

“Mangsa dilaporkan terjatuh ke kolam itu pada pukul 10 pagi ini dan polis dengan bantuan orang ramai, pasukan bomba dan penyelamat menemui mayat mangsa kira-kira 1.30 tengah hari,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Kerajaan negeri telah membuka bilik gerakan banjir yang beroperasi 24 jam di Kota Cemerlang, Air Keroh, di sini dan boleh menghubunginya di talian 06-2333333.

Seramai 538 mangsa banjir dari empat daerah di Pahang ditempatkan di 13 pusat pemindahan, kata Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abd Rahim.

Beliau berkata mangsa-mangsa itu adalah dari 18 perkampungan di daerah Rompin, Raub, Bera dan Maran yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan yang dibuka sejak pukul 2.40 petang semalam.

Daerah Raub mencatatkan angka pemindahan tertinggi dengan 204 mangsa diiikuti Rompin (179), Bentong (100) dan Maran (55), katanya kepada pemberita di Kuantan.

Sementara itu katanya, beberapa jalan di daerah Bentong, Bera dan Rompin ditutup kepada semua jenis kenderaan setelah dinaiki air setinggi 1.5 hingga dua meter.

Jalan-jalan tersebut ialah di KM9, 12 dan 13 Jalan Karak-Kuala Pilah di Bentong, jalan alternatif Kampung Pasal ke Felda Palong 8 dekat Muadzam Shah, jambatan Kampung Lubuk Batu dan Jambatan Sungai Gayung di Rompin serta KM22 Jalan Kemayan ke Ladang Risda di Bera.

Bernama juga melaporkan bahawa kira-kira 1,921 penduduk dari empat daerah dipindahkan ke pusat pemindahan hari ini berikutan banjir akibat hujan yang turun sejak semalam.

Gemas dan Tampin merupakan daerah yang paling teruk dilanda banjir apabila seramai 1,545 mangsa dipindahkan ke 13 pusat pemindahan.

Banjir di Gemas kali ini adalah paling teruk berbanding tahun 2006, ekoran hujan luar biasa yang berterusan dalam tempoh dua hari menyebabkan air Sungai Muar melimpah.

Pekan Gemas ditenggalami air hingga menjejaskan aktiviti perniagaan.

Oleh Shannon Teoh, Syed Mu’az Syed Putra dan Boo Su Lyn

Sebahagian daripada mangsa banjir di kawasan Segamat dipindahkan ke tempat lebih selamat oleh pasukan menyelamat mangsa banjir hari ini. — Foto oleh Choo Choy May

Rakam Video Anak Ahli Politik Sedang Mandi


 MOHD ALI melihat  tingkap banglo yang didakwa digunakan suspek untuk merakam video mangsa sedang mandi di sebuah pusat peranginan di Alor Gajah, semalam.MOHD ALI RUSTAM melihat tingkap banglo yang didakwa digunakan suspek untuk merakam video mangsa sedang mandi di sebuah pusat peranginan di Alor Gajah, semalam.

Suspek dilihat menghulurkan telefon celah tingkap

ALOR GAJAH: Seorang anak perempuan ahli politik dari Johor mendakwa dirinya menjadi mangsa rakaman video telefon bimbit seorang lelaki tidak dikenali ketika sedang mandi di bilik air penginapannya di sebuah pusat peranginan di sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abddullah berkata, mengikut aduan mangsa berusia lingkungan 20-an itu, kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu berlaku di sebuah banglo.

“Dalam aduannya, mangsa berkata dia ternampak tangan suspek memegang telefon bimbit dari atas tingkap kecil di bilik air sebelum dia menjerit ketakutan. Sejurus selepas itu, mangsa memanjat dan melihat dari tingkap berkenaan.

“Ketika itulah, dia berkata ternampak kelibat suspek berkenaan sedang melarikan diri ke arah depan banglo disewanya itu dengan berpakaian baju berwarna putih,” katanya ketika ditemui di banglo berkenaan, semalam.

Raja Shahrom berkata, siasatan awal pihaknya mendapati wanita berkenaan bercuti di pusat peranginan itu bersama keluarganya sejak Selasa lalu. Turut serta bersama mereka adalah kira-kira 30 individu lain termasuk ahli keluarga terdekat.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai identiti ibu bapa mangsa yang dikatakan ahli politik itu.
Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut dilihat bersama Raja Shahrom melawat banglo dikatakan lokasi kejadian, kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

Pengerusi Barisan Nasional Melaka itu meluangkan masa kira-kira 10 minit di situ sebelum bertolak untuk menunaikan solat Jumaat. Tiada sebarang kenyataan dibuat beliau berhubung aduan berkenaan.

Raja Shahrom bersama beberapa pegawainya kelihatan melakukan siasatan lanjut selama hampir sejam termasuk meninjau ke dalam bilik air digunakan mangsa.

Beliau kemudian meminta pengurusan resort meningkatkan tahap keselamatan bagi mengelakkan kejadian serupa terus berlaku pada masa akan datang.

brm

%d bloggers like this: