Tag Archives: Alhamdulillah

Akma (AF3) Jaga Batas Selepas Bertudung


PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon yang dicungkil daripada program Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), Akma, 26, lebih selektif dan menjaga batas sejak bertudung pada 13 Syawal lalu.

Menurutnya, atas sebab itu dia memilih untuk tidak beraksi keterlaluan semasa menyanyikan lagu dangdut berjudul Selamat Jalan Romeo yang dipertandingkan dalam Konsert Akhir Reunion Akademi Fantasia di AEON AU2, Setiawangsa baru-baru ini.

Konsert tersebut akan disiarkan di Astro Ria (saluran 104) pada 31 Disember depan, pukul 10 malam.

“Saya menerima pelawaan pihak Astro apabila diminta menyanyikan lagu tersebut kerana saya pernah mendendangkannya semasa konsert AF3 dahulu.

“Pada mulanya saya ingatkan persembahan biasa tetapi sehari sebelum konsert reunion itu berlangsung, baru saya tahu ia adalah sebenarnya sebuah pertandingan.

“Bagaimanapun, saya lakukan persembahan itu secara sederhana dan tidaklah beraksi keterlaluan. Cukuplah sekadar menghiburkan mereka yang hadir pada malam itu,” kata Akma kepada mStar Online.

Menyentuh tentang perubahan barunya itu, Akma pada mulanya mengenakan selendang tetapi akhirnya mengambil keputusan untuk bertudung.

“Selain menjalankan kewajipan sebagai seorang Islam, saya juga lebih selesa berpakaian sebegitu kerana rasa lebih tenang. Alhamdulillah kerana Allah membuka hati saya untuk berubah ke arah kebaikan.

“Saya juga bersyukur apabila mendapat peluang untuk berniaga dengan menghasilkan coklat dari rumah yang dinamakan “Cocolycious by Akma”. Memandangkan sekarang sudah hujung tahun, saya mendapat banyak tempahan untuk majlis perkahwinan,” katanya yang turut memberi tumpuan kepada persembahan pentas.

Beralih kepada cinta, Akma akui belum menemui jodoh yang sesuai sebaliknya memohon agar semua peminat mendoakan kebahagiaannya.

Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ mStar

Nota: Semakin ramai artis wanita bertudung, semoga berkekalan dan berubah dari yang baik kepada lebih baik.

Kisah Benar: Datuk 76 Tahun Masih ‘Strong’


Tertarik kerana sabar

HULU LANGAT: Kehangatan berpacaran dengan lelaki bergelar warga emas tidak pernah pudar di hati Noraida Abdul Saman, 36, walaupun perkenalannya dengan suami, Abdul Aziz Uteh, 76, hanya dua minggu ketika mereka bertemu di Kampung Ketumbar, Ampalas, Medan, Indonesia.

Ketika berjumpa dalam pertemuan diuruskan keluarga, Noraida terpaksa membuat keputusan sama ada menerima atau tidak lamaran lelaki itu yang pada mulanya dianggap main-main kerana menyangka dia sudah berumah tangga.
“Bagaimanapun, selepas dia membawa dua daripada lima anaknya ketika itu, baru saya menyedari dia bersungguh-sungguh, malah lebih mengharukan apabila kedua-dua anaknya sibuk menguruskan perkahwinan kami di kampung saya dan menerima saya seadanya.

“Saya berkahwin ketika berusia 27 tahun manakala abang (suami) pula 67, sebenarnya saya tidak mempunyai ibu bapa dan bapa saudara saya memberitahu ini mungkin jodoh saya, manakala adik beradik lain pada mulanya risaukan keselamatan saya jika pulang ke Malaysia.
“Saya pada mulanya risau, mana tahu saya dijual atau tidak dilayan sebagai isteri, namun selama setahun kami hidup bersama saya akhirnya berasa selesa, malah hingga kini sering berulang-alik ke Medan, menyebabkan kebimbangan adik-beradik hilang,” katanya.
Kini, selepas sembilan tahun berkongsi hidup dengan Abdul Aziz, Noraida yang bunting pelamin ketika perkahwinannya mempunyai dua cahaya mata yang menyerikan hidup mereka iaitu Mohd Ashraf, 9, dan Siti Nurasnida, 5.

Ditanya apa yang membuatkannya tertarik kepada Abdul Aziz, Noraida berkata, ketika awal pertemuan mereka, dia dapat merasakan suaminya penyabar tetapi menyangka ia mungkin sekadar untuk mengambil hatinya, namun selepas hampir 10 tahun hidup bersama, telahan itu terbukti tepat.

.
Sementara itu, Abdul Aziz ketika ditanya sama ada dia mengamalkan pemakanan atau senaman tertentu memberitahu, tiada amalan atau rahsia yang diamalkannya kecuali melakukan senaman ringan pada awal pagi dan mengelak minuman sejuk, selain sentiasa tenang dalam menghadapi sebarang keadaan.

“Tiada apa petua atau amalan, cuma kita kena jaga kesihatan sendiri, malah saya juga mempunyai penyakit, iaitu darah tinggi dan sakit lutut, jadi saya ikut arahan doktor dan melakukan senaman setiap pagi,” katanya yang masih berniaga sekitar daerah ini sambil dibantu isteri.

.
Menurutnya, perkahwinan terbarunya adalah yang ketiga. Perkahwinan pertama pada 1960 dan dikurniakan lima anak kini berusia 49, 48, 46 dan 44 tahun (anak bongsu meninggal dunia pada usia 17 tahun dalam nahas jalan raya).“Isteri saya meninggal dunia sebelum saya mendapat pengganti, tetapi perkahwinan kedua tidak bertahan lama dan akhirnya kami berpisah. Kami juga tidak ada zuriat sebelum saya berasa kesunyian lalu bertemu jodoh dengan wanita dari seberang ini.“Sebenarnya jodoh kami adalah hasil usaha keluarga saya yang masih ada di sana kerana saya berketurunan Mendeling dan merekalah yang menemukan kami berdua.

.
“Alhamdulillah sehingga hari ini saya sentiasa bahagia dengannya, malah anak saya juga menerima perkahwinan ini,” katanya.
Menceritakan mengenai sambutan Aidilfitri atau Aidiladha, beliau berkata, anaknya pulang menyambut lebaran di rumahnya dan ada kalanya ke Medan menyambut hari raya di sana.“Kalau ada rezeki lebih, kami akan beraya di sana, malah Aidiladha lalu, anak saya turut mengadakan korban di kampung ibu tiri mereka dan ia sangat mengharukan saya,” katanya.
Abdul Aziz yang masih boleh membaca tanpa memakai kanta mata berkata, dia mempunyai 19 cucu dan dua daripadanya bakal berkahwin tahun depan.

.
Ditanya sama ada dia bercadang menambah zuriatnya dalam masa terdekat, katanya, tiada cadangan ke arah itu setakat ini dan kehadiran sepasang cahaya mata sebagai pengikat kasih dalam rumah tangga mereka sudah memadai kerana mempunyai tujuh anak sebelum ini.
“Kami kini lebih menumpukan pada persekolahan anak dan perniagaan, namun kita hanya merancang, tuhan juga yang menentukan,” katanya.

myMetro

Nota: Masyaallah , hebat atok ni kesihatan masih ok lagi. Kawan kawan aku muda lagi, umur belum sampai 40 tahun dah kena macam macam penyakit, paling ramai kena diabetis atau kencing manis.

Pengakuan Terbaru irma Hasmie dan Siti Nordiana


Irma Hasmie, Siri Nordiana kini akui lebih tenang jalani kehidupan sebagai artis dengan berimej baru

ALUR hidup mereka jauh berbeza, namun status selebriti tidak membebaskan dua personaliti yang kini membawa imej muslimah ini daripada belenggu palitan kontroversi yang pernah menimbulkan polemik sedikit masa lalu. Edaran masa seperti enggan meluputkan minda segelintir manusia daripada terus mengingati khilaf silam mereka, lantas memerangkap dua nama ini dalam persoalan yang berlarutan.

Biarpun kini Irma Hasmie dan Siti Nordiana sudah meninggalkan imej gelap masa silam, bayangan lakaran lalu yang masih mengekori membuatkan segelintir masyarakat skeptikal dengan penghijrahan mereka. Pengorbanan mereka bukan mudah untuk taqmpil imej baru sesuai dengan kehendak dan suruhan agama, namun itulah hikmah yang mereka peroleh kini.

Enggan pertikaian sebilangan kecil masyarakat merosakkan kesucian niat mereka, Irma dan Siti Nordiana atau Nana berharap pengorbanan besar memberikan imej baru kepada industri hiburan tidak menjauhi mereka daripada rahmat Allah. Dengan imej bertudung litup dan lebih mementingkan adab dalam pergaulan seperti dituntut Islam, mereka tetap akur meneruskan perjuangan seni dengan landasan yang benar.

Akui Irma, hasutan syaitan serta persekitaran ada kala menguji kekuatan iman namun dia nekad mempertahankan pendirian kerana perubahan itu adalah untuk mencari keredaan Allah. Bermula daripada niat ikhlas, seterusnya memancarkan kejujuran dalam diri dan dari situ, kata Irma akan terbit kesungguhan untuk terus mempertahankan pegangan diri.

“Setiap kali bangun, saya sentiasa berdoa kepada Allah supaya tidak jatuh dan berpatah balik ke laluan yang pernah saya lalui dulu.

Alhamdulillah, pandangan skeptikal dan sini manusia tidak sesekali membuat saya lemah dan tewas. Saya tolak ke tepi semua itu dan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah.
“Dia yang memberikan rezeki, malah mentadbir alam semesta jadi saya tidak perlu bimbang kerana semua yang berlaku mempunyai alasan dan hikmahnya. Allah sayangkan hamba-Nya yang mahu berubah ke arah kebaikan, jadi tidak mungkin Dia menutup pintu rezeki-Nya,” kata Irma mengenai penghijrahan yang berlaku selepas pulang dari mengerjakan umrah di Makkah, Mac lalu.

Penghijrahan itu akui Irma, menuntut kekuatan luar biasa bahkan mendesaknya melakukan pengorbanan yang cukup menguji.

Tanpa paksaan sesiapa, Irma melupakan keseronokan kosong yang membentangkan kebahagiaan sementara, sebaliknya beralih mencari kegembiraan hakiki.

“Dulu hidup saya tiada fokus, malah terlalu lalai dengan keseronokan dunia. Bukan saya tiada cita-cita, tetapi ia lebih terarah kepada pencapaian duniawi. Saya korbankan semua keseronokan itu kerana mahu berjaya di dunia dan akhirat. Saya berkorban untuk sebuah kehidupan yang lebih baik dan berbeza daripada apa yang dilalui dulu.

“Dulu saya tercari-cari arah hidup tetapi hari ini, saya lebih yakin dan berasa selamat kerana dekat dengan Allah. Apa sangat pengorbanan ini berbanding orang lain yang jauh lebih hebat diuji,” bahas Irma, bertepatan dengan kedatangan Hari Raya Korban yang disambut umat Islam hari ini.

Enggan segala luahannya disalah tafsir sebagai membangga diri, Irma bersyukur kerana hidupnya hari ini dikelilingi mereka yang sentiasa memberi dorongan untuk kebaikan. Disebabkan itu, perantara program Assalamualaikum dan Solehah siaran TV AlHijrah ini masih setia mengabdikan dirinya kepada dunia hiburan kerana medium itu boleh mendorong peminat ke jalan lurus dan diredhai Allah.

Baginya, tiada alasan untuk berundur diri jika bidang ini masih memberinya ruang untuk beramal dan berbakti bukan saja sesama manusia tetapi juga kepada Allah. Ralit mendengar hujah Irma membuatkan Nana memperoleh semangat baru apatah lagi, sebelum penghijrahannya dia diuji dengan pelbagai dugaan yang mencabar iman.

Berkali Nana menegaskan, perubahan dalam dirinya dilakukan bukan kerana mahu menarik perhatian ramai. Penyanyi kelahiran Sendayan, Negeri Sembilan itu juga tidak berniat mengalih ingatan peminat selepas berdepan kritikan pedih gara-gara pernah muncul dengan imej seksi.

“Saya tidak pernah mencanang kepada sesiapa untuk berubah. Saya hanya berterus terang mengenai imej baru apabila diundang menjayakan sesi fotografi menjelang Syawal lalu. Ketika itu saya sudah bersedia diterjah pelbagai pertanyaan. Usah memandang serong kerana saya cuma memenuhi tuntutan yang diwajibkan kepada wanita Islam, bukan berbangga atau cuba menunjuk-nunjuk,” katanya.

Penyanyi Cinta Hanya Sandaran itu bersyukur, penghijrahannya itu membuatkan dia lebihl dihormati malah bebas daripada gangguan lelaki hidung belang. Membawa status ibu tunggal seorang cahaya mata, Nana tidak menafikan dulu dirinya sering menjadi mangsa usikan lelaki yang cuba memancing perhatian.

“Sejak bertudung, tiada lagi lelaki yang mendekati hanya untuk mengambil kesempatan. Perubahan ini tanpa disangka menjauhkan saya daripada pandangan serong. Bukan mudah untuk saya jalani kerana saya bergerak sendiri. Namun Allah membentangkan laluan lebih selesa hingga saya dapat merasai, pintu rahmat-Nya terbuka luas apabila memilih untuk meniti laluan diredai,” jelasnya.

Bp

Rahsia Subur dan Gebu


Maizawati menunggu kelahiran anak ke 7

KUALA LUMPUR: Kegebuan dan kemampuannya memiliki ramai anak mungkin dicemburui wanita lain, tapi semua itu tidak datang bergolek.

Sebaliknya, Maizawati Zainal, 35, yang namanya tersohor dek kontroversi dengan bekas suaminya, Akhil Hayy, mengamalkan enam petua bagi melengkapkan impiannya menjadi wanita ‘sempurna’ di mata lelaki.

Menurut Maizawati atau lebih mesra disapa Maiza, petua utama adalah berpantang selepas melahirkan anak kerana percaya proses berkenaan dapat memulihkan tenaga dan memelihara kecantikan.

“Saya cuma mengamalkan berpantang. Saya yakin dengan kebaikan amalan tradisional itu selepas mendengarnya daripada ibu saudara. Proses berpantang membuang darah kotor dan wanita yang melahirkan anak beruntung kerana susah hendak diserang penyakit kronik.

“Ketika berpantang, saya memakan makanan yang boleh memanaskan badan dan makan jamu serbuk kerana percaya kesan pemulihan lepas bersalin lebih cepat. Sepanjang berpantang, saya banyakkan minum air akar kayu walaupun ia pahit. Saya berpantang selama setahun tidak minum ais dan minuman berkarbonat,” katanya.

Dia yang kini menjalankan perniagaan Madu Herba Maiza — produk kesihatan dengan campuran habbatussauda — turut memasukkan madu sebagai amalan pemakanan harian.

“Saya turut amalkan meminum madu setiap pagi dan malam bagi membantu meningkatkan antibodi tubuh dan awet muda,” katanya yang berminat menceburi bidang lakonan jika tiada aral.

Model sambilan itu memaklumkan, dia dinasihatkan doktor supaya banyak berehat dan mengurangkan aktiviti harian bagi menjaga kehamilan disebabkan terlalu aktif dan banyak berdiri.

“Selepas disahkan hamil dan berlaku pendarahan, saya perlu mengurangkan aktiviti harian dan banyak berehat seperti dinasihatkan doktor. Alhamdulillah saya tidak mabuk, cuma berlaku pendarahan kerana terlalu aktif. Selepas ujian imbasan dilakukan, bayi dalam rahim aktif,” katanya.

Ternyata Maiza yang kini meniti hari bahagia bersama suami baru, Mohd Yassin Ben @ Abd Rahim, 23, bertuah kerana tidak perlu menunggu lama selepas akad nikah, sebaliknya ‘bunting pelamin’ dan dijangka menyambut kelahiran anak terbaru, Mei depan.

‘Kesuburannya’ yang bakal menimang cahaya mata ketujuh pada usia 35 tahun — sesuatu yang jarang dialami wanita moden hari ini — turut membuatkan ramai wanita di luar sana mengagumi dan tertanya-tanya rahsia awet mudanya.

“Tiada rahsia besar memiliki ramai anak. Tambahan pula, keluarga ibu mempunyai ramai adik beradik. Saya bersyukur kerana disahkan hamil dan menganggapnya sebagai rezeki Allah. Tidak sangka hamil dalam waktu terdekat ini kerana kami tidak merancang apa-apa,” katanya.

Menurutnya, dia mengesyaki dirinya hamil apabila lewat datang bulan sebelum melakukan ujian kehamilan di rumah.

Selepas ujian itu menunjukkan tanda positif, Maiza mendapatkan pengesahan doktor dan disahkan hamil dua bulan.

“Sebenarnya kalau difikirkan, saya takut hendak mengandung. Proses mengandung dan melahirkan anak masih segar di ingatan. Suami gembira dengan berita itu dan meminta saya banyak berehat. Dia mengambil berat makan minum serta melarang saya melakukan kerja berat,” katanya.

Maiza mempunyai empat cahaya mata hasil perkahwinannya dengan Akhil Hayy iaitu Siti Nur Maisarah, 13; Mohd Syarif Idayatullah, 12; Mohd Syakir Idayatullah, 9, dan Mohd Syatiri Idayatullah, 3. Manakala dua lagi anak, Dania Sofea, 17, dan Danial Arif, 16, adalah hasil perkahwinan dengan bekas suami pertamanya.

Model sambilan itu sebelum ini dikenali berikutan kesnya ditinggalkan bekas suami, bercerai dan kemudian dicemuh kerana berpasangan dengan lelaki lebih muda 12 tahun daripadanya.

Biarpun perkahwinan barunya mengundang pelbagai persepsi, Maiza berkata, dia tidak bimbang perbezaan usia kerana yakin Mohd Yassin mampu menjadi suami dan ayah kepada anaknya serta menjadi pelindung keluarga.

PETUA MAIZAWATI
1. Amalkan berpantang
2. Amalkan makan makanan panas
3. Makan jamu serbuk
4. Minum air akar kayu
5. Elakkan minum ais dan minuman berkarbonat selama setahun
6. Minum madu setiap pagi dan malam

Mm.

%d bloggers like this: